Saturday, May 13, 2017

Dulu miskin, sekarang naik ‘business class’

PAS yang satu masa dulu dituduh menolak pembangunan material dan sesat akidah, kini berdepan dengan tuduhan baharu yang berkait dengan gaya kehidupan mewah pemimpinnya, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, perubahan tersebut mula dirasakan beberapa tahun lalu, apabila gaya hidup mewah beberapa wakil rakyat parti itu menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli.


“Kita melihat kelainan setahun dua tahun sebelum 2015. Kita melihat pimpinan yang baru wakil rakyat sepenggal, tetapi hidupnya begitu mewah. Boleh pergi London naik kapal terbang business class, duduk di hotel, kalau di Indonesia, hotel 5 atau 6 bintang,” katanya pada sebuah program ceramah di Kota Bharu malam tadi.

Mohamad, atau Mat Sabu, berkata perkembangan itu sesuatu yang baru untuk PAS yang satu masa dulu terkenal sebagai parti “miskin”.

“Dulu tidak ada tuduhan ini. Sekarang boleh hadiah kepada isteri (Audi) Q7,” kata Mat Sabu, dipercayai merujuk kritikan terhadap pemimpin Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali, yang menghadiahkan kereta mewah kepada isterinya.

“Dulu tuduhan PAS dituduh parti miskin, parti menyeleweng aqidah, tolak pembangunan, ini tuduhan kepada kami dulu,” katanya, dan berkata tuduhan seumpama itu giat dilawan oleh pemimpin PAS terdahulu. “Masakan pohon bergoyang tiada angin,” tambahnya.

Tuduhan gaya hidup mewah pemimpin PAS timbul lagi ketika Muktamar PAS ke-63 di Kedah yang berakhir semalam, di mana poster menunjukkan gaya hidup mewah beberapa pemimpin utama diedarkan kepada perwakilan.

Antara lain, ia menyasarkan Khairuddin dan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, dengan gambar kereta yang didakwa ‎dimiliki mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tahu siapa yang melakukan provakasi tersebut.

“Benda itu benda biasa dengan melakukan tindakan provokasi. Pihak-pihak yang terlibat sebenarnya kami kenal. Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke mahupun poster mengenai sebaran-sebaran di sisipan di akhbar itu,” katanya. -FMT

Friday, May 12, 2017

Mampukah PKR menang berdepan PAS

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata parti itu sedia berdepan pertandingan tiga penjuru dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang sekiranya situasi itu tidak dapat dielakkan.

"Kalau ini keputusan PAS, ini adalah pilihan mereka. Sebagai sebuah parti politik, kami bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Jika tak dapat dielakkan kami akan berdepan mereka," kata Menteri Besar Selangor itu kepada wartawan ketika menghadiri satu acara di sebuah masjid di Sungai Choh, Kajang hari ini.

Beiau berkata, rundingan kerusi bersama PAS telah ditutup apabila parti Islam itu memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

"Pintu itu ditutup oleh PAS," katanya.

Azmin berkata beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membina semula hubungan kedua-dua parti. Ini kerana katanya, Hadi kini sedang berehat sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan.

"Saya tidak mempunyai rancangan untuk menemui Hadi dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan dia berehat sebagai persediaan untuk pembedahan minggu ini," katanya.

Beliau juga mendedahkan butiran lanjut berhubung mesyuarat dengan tiga Exco PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehin Mukhyi pagi ini.

Hubungan putus PRU-14

Empat pemimpin itu, katanya, memberitahu kepadanya bahawa kerjasama politik itu hanya akan berakhir pada pilihan raya umum akan datang dan bukan pada masa ini.

"Menurut tiga exco itu, penamatan tahaluf siyasi bermula dari pilihan raya umum ke-14 dan bukan pilihan raya umum ke-13," katanya.

Azmin menegaskan beliau perlu bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang baru pulang dari New York, untuk membincangkan langkah seterusnya.

Exco PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Azmin.

Di Sungai Choh hari ini, dua Exco PAS, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib juga hadir dalam majlis itu.

Azmin dan Ahmad Yunus juga dilihat ketawa apabila bercakap mengenai beberapa perkara di atas pentas. Manakala Zaidy mengambil gambar bersama Azmin dan Ahmad Yunus ketika mereka makan tengah hari.

Semalam, Majlis Syura PAS mengekalkan keputusan di muktamar parti Islam itu untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Ini mendorong Azmin memanggil exco PAS Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus, Zaidy dan Sallehin untuk memberi penjelasan pagi ini mengenai kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.

-MK