Tuesday, December 31, 2013

Kedaulatan Kemerdekaan Dan Hak Rakyat Borneo

KEDAULATAN KEMERDEKAAN DAN HAK RAKYAT BORNEO MENENTUKAN NASIB SENDIRI

1. Pembebasan Rakyat Borneo Dari Penindasan Malaya

PENAKLUKAN tanpa pengisytiharan penjajahan adalah kemuncak tertinggi dari ketuanan atau dominasi kuasa Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang merdeka pada 31 Ogos 1957 ke atas Sabah Sarawak (Borneo), yang bagi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dari penjajah yang sama, iaitu United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

Sesungguhnya, penguasaan Malaya ke atas Borneo terang dan nyata telah melampaui batas perjanjian tentang persetujuan dan jaminan kedudukan sama taraf antara Borneo dan Malaya dalam Malaysia, di samping hak bagi Borneo atau negara masing-masing, iaitu Borneo dan Malaya untuk menentukan nasib sendiri dalam Malaysia.

Lantaran itulah, maka pelanggaran Malaya terhadap perjanjian penubuhan Malaysia adalah pengkhianatan kotor dan sekaligus menghancurkan harapan-harapan manis tentang apa itu kedaulatan kemerdekaan Borneo dalam Malaysia. Yang demikian, Malaya telah membuatkan bangsa-bangsa Borneo laksana anjing berkepala busuk dalam Malaysia. Pada hal, Malaysia itu wujud kerana faktor Borneo dan kalau bukan kerana faktor Borneo, nescaya Malaysia tidak wujud.

Oleh itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam usaha menzahirkan keazaman baru dan sekaligus menyerlahkan perjuangan baru ke arah menghancurkan dominasi kuasa Malaya dalam erti kata ketuanan Melayu selama 50 tahun ke atas Borneo demi pengambilalihan semula semua jabatan kerajaan dan lembaga kerajaan kepunyaan Borneo yang Malaya rampas atas nama ‘Kerajaan Persekutuan’ atau pusat pentadbiran Malaysia kononnya.

Pembebasan Borneo dari penindasan Malaya sememangnya memaksa seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo untuk bergerak ke dalam satu arena perjuangan baru dengan mempertajamkan antagonisme terhadap Malaya sehingga ke tahap yang sebesar-besarnya. Antagonisme besar Borneo yang dimaksudkan adalah bertujuan untuk menghancurkan kelakuan tidak bertamadun Malaya yang dengan pongahnya telah memburukan harapan baik kehidupan rakyat bangsa-bangsa Borneo secara ekonomi melalui rampasan 95 peratus hasil Borneo, dan secara politik melalui penindasan terhadap warga asal Borneo melalui penciptaan warga melayu baru dari kalangan jutaan bilangan PTI yang diberi IC Projek.

Kemenangan nasionalis rakyat bangsa-bangsa Borneo hendaklah didasarkan kepada mencapai demokrasi yang sepenuhnya dan sebagai akibatnya, tidak hanya membawa kesetaraan sepenuhnya di antara Borneo dan Malaya sebagai koleksi negara yang membentuk Malaysia dalam Malaysia, tetapi juga memberikan hak kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo yang tertindas kerana ditindas dalam Malaysia untuk menentukan nasib sendiri, iaitu hak untuk bebas memisahkan diri secara politik, dengan cara membuang dan menghapuskan semua parti politik ‘Made In Malaya’ di Borneo agar penjarahan ekonomi dari hasil Borneo oleh Malaya dapat dihentikan.

Justeru, semua parti politik berasaskan Borneo yang gagal membuktikan keazaman tinggi nasionalisme mereka hari ini, dalam erti kata sekadar mampu menjadi pencacai dan penjilat kepada Malaya, sehingga rakyat asal Borneo sendiri wujud pada posisi tertindas, tidak syak lagi, bahawa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk demikian adalah pengkhianatan besar terhadap hak kedaulatan kemerdekaan Borneo. Dengan kata lain, mereka adalah pengamal politik busuk standard kelas longkang dari acuan demokrasi biawak Malaya sehingga Borneo kehilangan status negara dalam Malaysia kepada Malaya akhirnya.

2. Budaya Politik Tanpa Moral Malaya

Orang-orang yang paling tidak bermoral dalam senario ini tentunya melayu UMNO kerana telah memusnahkan seluruh janji dan jaminan persamaan taraf antara Borneo dan Malaya ketika mula-mula Malaysia hendak dibentuk atau ditubuhkan. Tetapi, takdir buruk telah membuktikan sekarang, bahawa nawaitu Malaya hendak bergabung dengan Borneo dalam Malaysia hanyalah untuk menjadikan Borneo sebagai tempat untuk memenuhi kepentingan tujuan busuk tamak mereka.

Oleh sebab itu, semua perjanjian dan jaminan tentang maksud asal penubuhan asal Malaysia telah dicabul untuk tidak dihormati, dan akhirnya Borneo telah diletakkan pada posisi yang amat rendah dan begitu dirugikan sehingga kehilangan daulat kemerdekaan dalam Malaysia. Seperti yang saya katakan, bahawa di sebalik perancangan busuk ini berdiri orang-orang tamak Malaya yang berkepentingan busuk untuk merompak segala kekayaan Borneo yang boleh mereka rampas atas nama Malaysia. Yang demikian, Malaya telah mengatasnamakan Malaysia untuk menghalalkan rompakan mereka ke atas 95% hasil minyak Borneo.

Selainnya, Malaya juga telah menghancurkan konsep Borneonisasi dalam konteks rompakan mereka ke atas jabatan-jabatan kerajaan dan lembaga-lembaga kerajaan Borneo yang sekaligus membuatkan segala hasil Borneo 100% menjadi kepunyaan atau menjadi milik Malaya. Lantarannya, maka rakyat bangsa-bangsa Borneo hanya menjadi kuli yang hina dan rendah di bawah tapak kaki Malaya yang menjadi ketua kepada seluruh jabatan kerajaan dan lembaga kerajaan Borneo sendiri namun telah dirampas oleh Malaya atas nama Malaysia kononnya, pada hal Malaya sebenarnya. Justeru, konsep Borneonisasi hancur mutlak dalam erti kata Borneo tidak ada hak untuk menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Apakah ertinya itu semua kalau bukan penaklukan tanpa pengisytiharan penjajahan dalam budaya politik tanpa moral Malaya?

Sesungguhnya, tatkala seseorang nasionalis rakyat Borneo yang baik sesekali menitiskan airmata bukan kerana memikirkan bahawa besok-besok ia akan meninggalkan alam ini buat selamanya. Namun, kerana memikirkan soal nasib generasi orang asal Borneo menghadapi kehidupan di masa akan datang angkara kejahatan generasi masa kini lantaran pengamal politik yang ada hanya setakat mampu menjadi pencacai hina kepada sistem politik kebinatangan Malaya. Sehubungan itu, dalam pandangan sisi nationalisme tinggi adalah terang dan jelas, bahawa Malaya mahu terus menerus meletakkan rakyat bangsa-bangsa Borneo di tempat yang rendah dalam pelbagai dimensi kehidupan agar rakyat bangsa-bangsa Borneo sentiasa merendah diri kepada mereka dalam erti kata terus menerus bertuankan Malaya.

Contohnya, dalam soal hasil Borneo yang ratusan billion setahun, tidak syak lagi telah berjaya membangunkan prasarana di Malaya dalam pelbagai dimensi kehidupan dengan baik. Namun begitu, dalam Bajet 2014 yang lepas, yang berjumlah 264 billion, Borneo hanya sekadar diberi atau mendapat 2.049 billion. Dengan kata lain, 262 billion lagi dalam konteks Bajet 2014 semuanya telah menjadi milik Malaya sepenuhnya. Justeru, di mana jiwa nasionalis rakyat bangsa-bangsa Borneo tatkala negara Malaya merampas kekayaan Borneo dan menjalankan kerajaan Borneo atas nama Malaysia atau Malaya mengatasnamakan Malaysia untuk merompak kekayaan Borneo dan menjalankan kerajaan Borneo?

Sesungguhnya, nenek moyang rakyat bangsa-bangsa Borneo sebelum penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 tidak pernah menyembah; tidak pernah menjadi kuli; tidak pernah merendah diri; dan tidak pernah bertuankan Malaya walau satu saat pun. Oleh itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo sekarang wajar membuat keputusan yang muktamad untuk menetapkan minda dan hati, bahawa bumi yang kita berpijak ini adalah bumi Borneo, bumi Borneo ini adalah ‘bumi hati’ kita semua yang sama unggul dengan semua negara lain di dunia ini dan kita wajib menjaga dan mempertahankannya dengan sebaik-baiknya kerana kita, leluhur kita dan generasi kita lahir di dalamnya.

Sementelahan, jika ada apa yang dikatakan sebagai manusia pemberani dalam kamus sejarah dunia itu, maka ada The Headhunters of Borneo (Indigenous Peoples of Borneo) di dalamnya. Sejarah umat manusia di Borneo tidak bermula pada 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963. Cendekiawan sejarah dunia menjadi saksi, bahawa sejarah umat manusia di Borneo ini sudah bermula atau wujud sejak 8000 tahun sebelum masehi.

Malangnya, semenjak 16 September 1963 hingga kini keturunan The Headhunters of Borneo sudah menjadi bangsa pengecut sehingga tidak mampu membuka mulut untuk berkata “Tidak” kepada kehendak jahat Malaya yang berhubung dengan pembodohan yang mereka timpakan kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo sehingga ke tahap atau ke peringkat mengubah sejarah patut tentang penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan kemudian menggantikannya dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 dalam buku-buku teks sejarah sekolah sebagai tarikh bagi kemerdekaan Malaysia kononnya.

3. Banjir Bohong Cakap Kosong Malaya

Dasar pembohong Malaya tidak pernah surut, tidak pernah berasa malu walau sedikit pun kerana sentiasa hidup dalam kebohongan melampau dan fitnah besar. Sedia maklum, bahawa hanya satu dokuman paling penting yang melibatkan wibawa United Nations (PBB) untuk mengesahkan tanda ikatan rasmi di antara Malaya dan Borneo adalah apa yang ditulis sebagai “London Agreements 1963 atau Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963”. Malangnya, dengan London Agreements 1963 itulah Malaya jadikan alat sebagai jerat untuk mencekik leher rakyat bangsa-bangsa Borneo sehingga jatuh ke tahap maruah paling rendah dalam Malaysia.

Namun begitu, Malaya terus menerus memberi ribuan kata dusta untuk mewajarkan pencabulan mereka terhadap perjanjian tersebut dengan maksud untuk menafikan hak rakyat bangsa-bangsa Borneo menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Dengan kata lain, segala isi kandungan London Agreements 1963 tentang harapan dan impian manis kewujudan suatu sistem pemerintahan koleksi negara merdeka yang sama taraf dalam Malaysia telah hancur dan berkecai sama sekali, segala janji yang diukir telah dibogelkan sebagai banjir cakap bohong yang kosong Malaya.

London Agreements 1963 contohnya, sepatutnya disemak semula untuk menentukan ‘kedudukan, hak dan masa depan’ bersama Borneo dan Malaya dalam Malaysia selepas 10 tahun penubuhannya. Tetapi, sudah 50 tahun telah berlalu dan sampai sekarang masih tidak disemak. Apakah ertinya ini semua, kalau bukan banjir cakap kosong yang bohong Malaya semata-mata dari awal hingga ke akhirnya? Dalam erti kata lain, London Agreements 1963 hanyalah persiapan dan persediadaan atau misi kepada visi jahat dan kotor Malaya untuk menipu Borneo semata-mata. Justeru, di seluruh ruang pemikiran, di manakah letaknya otak pengamal politik rakyat bangsa-bangsa Borneo yang begitu sanggup menjadi barua dan pencacai hina kepada wajah politik hina Malaya dalam menipu Borneo?

Lantaran itu, dalam segala kerendahan hati dan keluhuran budi, maka rakyat bangsa-bangsa Borneo mempunyai alasan yang kuat sekarang untuk mengatakan, bahawa Malaya sekarang adalah lawan dan musuh kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam konteks pengkhianatan dan pencabulan mereka terhadap Perjanjian Malaysia. Yang demikian, rakyat bangsa-bangsa Borneo bertanggungjawab penuh untuk mendepani cabaran kotor Malaya sehingga muncul daulat merdeka Borneo bagi menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Tetapi, saya tidak percaya bahawa perjuangan menggapai daulat merdeka Borneo boleh dicapai di bawah keadaan tanpa keazaman tinggi nasionalisme.

Ertinya, keyakinan baru perlu dibuat bagi menghubungkan antara keazaman tinggi nasionalisme dengan kebangkitan rakyat Borneo bersatu sebagai jalan menuju ke masa depan takdir yang selamat untuk rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam Malaysia. Sesungguhnya, rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu melihat ke masa depan dengan keyakinan baru yang dinamik dan komprehensif. Lantaran itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu menjawab panggilan dan seruan kebangkitan rakyat Borneo bersatu untuk melihat ke masa depan dengan ketenangan yang sempurna dan keyakinan yang besar dalam amanah menghancurkan kebodohan selama 50 tahun Borneo kepada Malaya dalam Malaysia.

4. Menilai Kemerdekaan Borneo Dalam Malaysia

Sesungguhnya, sudah 50 tahun Borneo merdeka, tetapi para pemimpin Borneo masih tidak berfungsi sebagai ketua negara merdeka sebagaimana fungsi pemimpin negara-negara merdeka yang lain di pentas dunia. Hakikatnya, rakyat bangsa-bangsa Malaya berpolitik kerana mahu merompak hasil kekayaan Borneo, manakala rakyat bangsa-bangsa Borneo pula berpolitik kerana mahu hasil kekayaan Borneo dirompak Malaya. Justeru, adalah suatu yang kurang pasti, sama ada pemimpin Borneo betul-betul faham hakikat konsep negara merdeka atau masih rabun?

Pada dasarnya, konsep kemerdekaan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu pengiktirafan negara luar terhadap negara yang dikatakan merdeka, dan pengiktirafan oleh negara yang dikatakan merdeka terhadap negara luar. Isi kemerdekaan pula adalah kedaulatan, dan kedaulatan adalah dalam bentuk kekuasaan dan kemakmuran rakyat. Dalam negara demokrasi kedaulatan rakyat adalah kemuncak kuasa tertinggi negara, sebab di tangan rakyatlah terletaknya kuasa sesebuah pemerintahan yang Adam Lincoln menyebutnya sebagai ‘of the people, by the people and for the people’.

Malangnya, konsep kedaulatan rakyat dalam konteks Malaysia yang Malaya dan Borneo di dalamnya, para pemimpin yang bertopengkan demokrasi kotor boleh menukar kedaulatan rakyat (demokrasi) kepada yang hitam menjadi putih, dan yang salah menjadi benar. Justeru, muncullah pelbagai salah laku oleh para politikus haprak yang mencabul kedaulatan rakyat berkerajaan, bermasyarakat dan bernegara dengan cara yang baik dan jujur dalam konteks isu yang berhubung dengan Pengundi Hantu, IC Projek dan manipulasi laporan media yang bias dan pembohong.

Sesungguhnya, hak untuk menentukan nasib sendiri rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam Malaysia adalah kehendak semulajadi manusia dalam konteks kesedaran tinggi terhadap kepentingan kedaulatan kemerdekaan berdasarkan kepada pendapat umum antarabangsa melalui pengiktirafan muktamad terhadap Borneo sebagai keluarga baru negara-negara merdeka yang berhak berdaulat di pentas dunia.

Akhirnya, mungkin Malaya telah berjaya selama 50 tahun ini menurunkan kedaulatan kemerdekaan Borneo kepada negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia, tetapi jika rakyat Borneo bersatu adalah tidak mustahil mampu menggulingkan ketuanan dan dominasi kuasa Malaya ke atas Borneo yang terang-terang telah mengkhianati hak rakyat bangsa-bangsa Broneo dalam Perjanjian Malaysia 1963 sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan Malaya dalam Malaysia. Justeru, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo, beranilah bermaruah dengan menghancurkan pembodohan Malaya terhadap Borneo!

RAKYAT BERSATU BORNEO MENUJU MOMENTUM PATRIOT BORNEO!
- Naspazi (30/12/2013

Realiti pahit menjelang sesi persekolahan baru

Tinggal dua hari lagi sebelum sesi persekolahan yang baru bermula. Setinggi mana pun semangat kita untuk Turun dalam himpunan aman membantah kenaikan yang berlaku, kita masih mempunyai tanggungjawab yang perlu diselesaikan iaitu membeli barang persekolahan anak-anak kita.

Saya tertarik dengan satu poster yang dikeluarkan, mendedahkan anggaran perbelanjaan bagi seorang pelajar untuk sesi baru persekolahan. Satu hakikat pahit yang perlu ditelan. Bantahlah sekuat mana terhadap kerajaan ''kesayangan'' kita, kita tentunya tidak mampu membantah kehendak anak-anak kita untuk kelihatan serba baru di awal persekolahannya.

Situasi semakin teruk apabila selepas seminggu kita menghadapi karenah anak-anak, datang pula surat atau permohonan daripada pihak sekolah. Yuran sekolah, PIBG, kelas, persatuan, kelab, badan beruniform, dan lain-lain.

Cukup sebulan, datang pula surat permohonan derma, jemputan ke majlis graduasi atau jamuan yang disertakan dengan bayaran tiket, lawatan kelas, perkhemahan perdana, dan pelbagai lagi aktiviti yang menuntut jumlah wang yang tidak pernah kita bayangkan. Ingatkan selesai selepas kita membeli set alat tulis baru buat anak-anak kita, tetapi tidak!

Di sini, sebenarnya datang peranan guru dan ahli PIBG sekolah. Dalam keadaan negara kita yang semakin hari, semakin tinggi keperluan hidupnya, peranan pembuat dasar sekolah harus dimainkan. Para guru dan ahli PIBG harus mula berfikir tentang nasib golongan kebanyakan sebelum membuat polisi yang membabitkan kos dan wang ringgit. Rakyat kita sangat memandang tinggi institusi pendidikan sebagai satu tempat untuk mereka mengubah masa depan mereka melalui anak-anak mereka nanti.

Janganlah menghampakan harapan mereka dengan beban-beban kewangan yang tidak masuk akal sehingga harapan itu bertukar menjadi satu tindakan memberhentikan anak mereka dari sekolah kerana kondisi kewangan yang ridak mengizinkan. Alangkah malangnya nasib anak-anak kita.

Pengalaman peribadi yang pernah bersekolah di pelbagai jenis sekolah, sekolah swasta, kebangsaan, asrama penuh dan sebagainya, memang kos 'tambahan' yang dikenakan oleh pihak sekolah jika ditambah dari segi purata tahunan memang sangat banyak. Ditambah dengan sikap beberapa guru yang mewujudkan satu suasana yang tidak selesa kepada pelajar-pelajar susah mengeruhkan lagi keadaan.

Pelajar-pelajar yang bajunya lusuh, kasutnya tidak berkapur, corak lencana sekolah dan tag nama ditukar setiap tahun dan perlu dijahit di poket baju; buku latihan yang banyak, Matematik 1,2, dan 3; pakaian hari Jumaat, baju batik sekolah; baju sukan berlambang sekolah; baju asrama; buku laporan, fail peribadi dan sebagainya, golongan yang tidak mampu menampung kos membeli keperluan ini dicemuh oleh pihak sekolah, dimalukan di hadapan pelajar lain, diejek kawan-kawan sekelas sehingga mereka takut dan seterusnya memaksa ibu bapa memperuntukkan wang untuk membeli keperluan tersebut.

Tidak hairan isu kecurian di asrama biasa didengari dan isu pakaian hilang sering dialami para penghuni asrama pelajar. Manakala di rumah ibu bapa bukan sahaja pening dengan laporan disiplin anak mereka tetapi juga tertekan dengan perbelanjaan hidup yang semakin menekan.

Seruan ini saya tujukan khas buat guru-guru yang saya hormati dan sanjungi, juga buat ahli PIBG yang banyak membantu pengurusan pihak sekolah, fikirkanlah dasar dan polisi yang membantu pihak ibu bapa.

Kurangkanlah perbelanjaan yang tidak patut, santuni para pelajar yang susah, dan bantulah mereka. Selain itu, suasana serta sifat murid-murid di sekolah harus dijaga agar golongan yang kaya tidak menghina yang kurang berupaya. Guru-guru harus menjadi ejen kesedaran buat murid-murid, menyemai perasaan kasihan terhadap yang kurang bernasib baik, memperjuangkan keadilan dan sikap bantu-membantu.

Pengenalan tabung anak yatim, tabung prihatin, skim takaful, dan model-model yang membantu meringankan beban pelajar-pelajar susah harus difikirkan bersama oleh guru dan PIBG. Guru-guru ekonomi dan matematik selain mengajarkan buku teks dan teknik menjawab soalan SPM, harus memperingatkan pelajar keburukan sikap boros, mengutuk pembaziran, ketirisan, serta mengajarkan cara perbelanjaan secara berhemat kepada pelajar agar satu hari nanti kalimah-kalimah seperti ''tol akan naik'', ''jika ayam mahal, jangan makan ayam'', dan ''harga gula naik langkah mengurangkan diabetis'' tidak akan kita dengar lagi.

Akhir kata, inilah masanya buat golongan pendidik yang direkodkan seramai 420,088 yang bertanggungjawab terhadap 5,222,531 pelajar daripada pra-sekolah sehingga menengah (sumber: Portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia) menunjukkan solidariti mereka menentang kenaikan kos keperluan hidup dan bersama-sama golongan kebanyakan. Kini gaji RM 12000 pun sudah terasa susah, apatah lagi anak-anak didikan kita yang mungkin anak kepada pekebun, nelayan, dan penoreh getah.

''Dan tidaklah Tuhanmu membinasakan penduduk sesuatu kaum dengan zalim selagi mana masih ada golongan yang menyeru pada pembaikan'' (Surah Hud: 117).M/Insider


Oleh Muhammad Arham Munir Merican
* Penulis adalah pelajar tahun tiga, Ekonomi dan Perbankan Islam, Universiti Yarmouk, Jordan.

MCA Sabah kena pilih Pengerusi yang selari dengan Musa

Pada hari Khamis, presiden MCA yang baru Datuk Liow Tiong Lai akan mengumumkan pengerusi-pengerusi MCA negeri seluruh negara.Di Sabah, Pengerusi Jawatan Kuasa Perhubungan MCA Negeri, Datuk Edward Khoo Keok Hai yang telah mengetuai MCA negeri sejak 1999 dijangka akan digantikan.

Pengerusi MCA Sabah yang disebut-sebut bakal menggantikan Edward Khoo ialah Datuk Paul Kong Sing Chu. Paul Kong merupakan pemimpin MCA tunggal dari Sabah yang menang kerusi Central Committee (CC) pada pemilihan parti tersebut 22 Disember lalu.

Paul Kong juga dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Presiden MCA kerana sama-sama dalam team B menyokong Lim Ah Lek pada pemilihan parti tahun 1999.

Mengambil kira keunikan politik negeri Sabah, Presiden MCA bagaimanapun dinasihatkan agar berhati-hati melantik barisan kepimpinan yang lain seperti timbalan dan setiausaha perhubungan negeri. Jika pemilihan tersebut tidak selari dengan kehendak Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, MCA Sabah akan menghadapi masalah seperti yang pernah dihadapi parti LDP.

Walaupun LDP merupakan parti komponen BN Sabah tetapi hubungan dengan Pengerusi BN negeri tidak baik kerana Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Pin pernah mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Sabah secara terbuka. Faktor yang paling penting ialah hubungan rapat Chin Su Pin dengan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal.

Musa Aman dan Shafie Apdal merupakan dua pemimpin warlords di Sabah yang umum tahu masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut. Jika MCA memilih pemimpin yang diketahui mempunyai hubungan dengan naib presiden Umno itu, MCA Sabah bakal berhadapan dengan masalah.

Dalam hubungan itu, sungguhpun pemilihan pengerusi dan Jawatan Kuasa Perhubungan MCA negeri adalah hak mutlak atau prerogatif Presiden MCA, sensitviti hubungan dengan pengerusi BN Sabah mesti diambil kira. -FMT

Felixia Yeap, gadis Playboy Bunny berazam ikut kelas agama

Felixia Yeap semasa diwawancara di TV Al-Hijrah semalam.Felixia Yeap, bekas Playboy Bunny berazam untuk mengikuti kelas agama (Islam) mulai tahun depan dan akan terus lebih banyak memakai hijab.

"Felixia harap lebih banyak pakai hijab tahun depan... dan Alhamdulillah tidak akan 'let you down'," kata Yeap dalam slot Asssalamualaikum yang disiarkan oleh TV Al-Hijrah semalam.

Dia juga berkata selalu bertanya kawan-kawannya tentang solat walaupun belum belajar secara khusus tentang Islam.

Yeap, seorang model bukan Islam, yang tampil dengan memakai tudung warna krim dan jubah berwarna gelap diwawancara oleh pengacara TV Al-Hijrah Amin Idris dan Irma Hasmie.

Jelitawan berusia 27 tahun dari Ipoh yang memulakan karier sebagai model sejak usia 19 tahun itu mula memakai hijab beberapa bulan lalu.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insider sebelum ini, Yeap berkata beliau mula memakai hijab ketika menjadi model yang memerlukannya memakai tudung.

Felixia Yeap (kiri) berkongsi pendapat dengan pengacara TV Al-Hijrah Amin Idris dan Irma Hasmie (kanan). Felixia Yeap (kiri) berkongsi pendapat dengan pengacara TV Al-Hijrah Amin Idris dan Irma Hasmie (kanan). "Saya mengidamkan untuk memakai tudung tetapi peluang tersebut hanya saya dapat pada tahun ini ketika mencuba nasib dalam temuduga komersil televisyen Celcom untuk sambutan Hari Raya.

"Ia tudung berwarna biru dan saya jatuh cinta terus dengannya. Kemudian, saya mempunyai satu lagi peluang mengenakan tudung apabila menjadi model untuk sebuah butik Islam dalam pertunjukan fesyen semasa Hari Raya," katanya.

Yeap, yang juga bekas guru tadika, memulakan kerjaya dalam pemodelan pada tahun 2005 apabila dia memasuki pertandingan Dewi Remaja yang dianjurkan oleh sebuah majalah tempatan dan menjadi salah seorang finalis ketika itu.

Beliau kemudiannya menyertai banyak pertandingan ratu cantik lain dan di puncak kerjayanya telah dijemput untuk menjadi Playboy Bunny dan bekerja di sebuah kelab di Macau.

Tetapi kerjayanya di kelab itu hanya bertahan sebulan apabila Yeap membuat keputusan untuk pulang ke tanahair bagi meneruskan kerjaya sebagai model.

Ketika ditanya oleh pengacara TV Al-Hijrah semalam apa rancangan beliau untuk lima tahun akan datang ini, Yeap berkata, kalau boleh beliau mahu meneruskan kariernya sebagai model.

"Tetapi dengan pakaian yang menutup aurat," kata Yeap yang fasih berbahasa Malaysia itu.

Beliau yakin dengan memakai pakaian yang berhijab ia tidak menyekat rezeki beliau.

"Rezeki itu ada di mana-mana sahaja. Kalau satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka," kata Yeap menjawab soalan Amin yang disokong oleh Irma yang juga tidak bertudung sebelum itu.

"Saya sokong dengan Felixia. Dulu saya pun macam itu, orang kata akan hilang 'job'lah dan sebagainya. Tetapi tidak, akan ada rezeki kita," kata Irma menyokong Yeap.

Ketika ditanya pengalamannya memakai hijab, Yeap berkata, dia tidak ada masalah dengannya kerana, "Saya takut sejuk. Bila pakai pakaian muslimah ini tutup semua, so tidak rasa panaslah".

Ketika ditanya, apakah perasaan beliau ketika dikatakan fesyen berhijab ini ortodoks dan kuno, Yeap tidak bersetuju dengannya.

"Felixia rasa busana muslimah lebih banyak 'styling', macam selendang yang saya pakai dan baju jubah ini, fesyennya lebih banyaklah sekarang dan tidak nampak 'boring'," katanya.

Menurutnya juga, sekarang ini, hampir semua waktu beliau di luar akan memakai hijab walaupun bukan semasa bekerja sebagai model.

Ketika ditanya apa reaksi kawan-kawannya, Yeap berkata, ada yang tidak boleh menerimanya tetapi beliau berkata, "Alhamdulillah banyak yang boleh terima". –TMI

VIDEO Sarawak Pula Dilanda Banjir

eadaan hujan yang berterusan telah menyebabkan empat bahagian di Sarawak dilanda banjir hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri semasa dihubungi Bernama hari ini berkata beberapa kawasan di Miri, Bintulu, Betong dan Sri Aman dinaiki air antara 0.5 meter dan satu meter.

Menurutnya dua buah keluarga juga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Marudi, sebuah bandar di pedalaman di Miri.

Di bandar Bintulu pula, tujuh kawasan perumahan dinaiki air sehingga 0.5 meter namun jumlah penduduk yang terjejas dan perlu dipindahkan masih belum dapat dipastikan. ?

Lima buah penempatan yang terjejas di Sri Aman termasuk Rumah Panjang Lancaster King (lapan keluarga), Rumah Panjang Bujau (lapan keluarga), Rumah Ujang (tujuh keluarga), Kampung Sekait (lima keluarga) dan Kampung Melayu Baru (14 keluarga).

Satu-satunya penempatan di Betong yang dilaporkan dinaiki air ialah Kampung Lalang, Meludam; namun jumlah mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

Situasi terkini banjir di bandar tersebut dikongsi pengguna media sosial lewat petang tadi.

Turut berkongsi foto situasi terkini banjir yang berlaku di sana adalah akaun Twitter rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat. -astroawani







Bekas Ketua Polis Negara yakin himpunan esok aman

Tan Sri Norian Mai hari ini menyuarakan keyakinan bahawa himpunan membantah kenaikan kos sara hidup yang dijadualkan di Dataran Merdeka esok akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang keganasan.

Bekas Ketua Polis Negara itu itu berkata, beliau percaya dengan kemampuan anggota pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga sikap rasional rakyat Malaysia yang tidak akan mencetuskan keganasan.

"Saya berkeyakinan dengan kemampuan polis untuk kendali situasi begini kalau wujud.

"Kedua, saya yakin dengan masyarakat Malaysia yang rasional.

"Atas dua premis ini, saya yakin perkara ini tak akan berlaku," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Badan bukan kerajaan Turun Kos Sara Hidup (Turun) akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran bersempena sambutan ambang Tahun Baru membantah kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi Turun, Muhammad Azan Safar telah ditahan polis ekoran penganjuran himpunan berkenaan pada 23 Disember lalu atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan.

Kenaikan kos sara hidup telah menjadi tajuk hangat sejak beberapa bulan ekoran penstrukturan semula subsidi, yang mana menyaksikan kenaikan harga minyak, pemansuhan subsidi, kenaikan harga barang dan juga kenaikan tarif elektrik. –TMI

"GULING KERAJAAN", Mungkinkah Kerajaan UMNO BN Akan Terguling?

Menuding suara rakyat membantah kenaikan kos sara hidup dengan tuduhan mahu menggulingkan kerajaan adalah dangkal dan tidak menghormati sentimen rakyat yang terpaksa menanggung bebanan keperluan harian yang semakin berat, bidas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.



Menurut beliau, tuntutan rakyat supaya kerajaan mengawal dan menurunkan kos hidup yang semakin meningkat menerusi perhimpunan 31 Disember ini adalah wajar.

“Perhimpunan yang bertujuan supaya suara rakyat untuk menuntut pihak kerajaan mengambil langkah mengatasi isu kenaikan kos hidup yang meningkat tidak harus dipandang serong.

“Kami mengingatkan bahawa jika kerajaan terus menerus dengan sindrom menafi berlakunya kenaikan kos, dan kerajaan mendakwa bahawa kini kos sara hidup adalah manasabah dan meningkatnya kos tidak dapat dielakkan, maka rakyat pasti akan melihat kerajaan ini tidak bertanggungjawab,” tegas beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Azmi berkata, jurang kaya miskin di negara ini masih ketara dan wujud kelompok berpendapatan tinggi di negara ini yang hidup mewah termasuk di kalangan pemimpin dan ahli keluarga pemimpin.

Beliau mempersoalkan kewajaran rakyat untuk berdiam diri apabila wujud kepincangan dalam pengurusan kewangan negara sedangkan para pemimpin dan keluarga mereka terus menonjolkan kemewahan dan tidak prihatin terhadap kenaikan sara hidup yang ditanggung rakyat bawahan.

“Tidak dapat dinafikan dengan kadar kenaikan sara hidup yang mendadak , keresahan rakyat akan beransur-ansur memuncak dan akhirnya keadaan tidak boleh terkawal lagi.

“Keresahan ini bukan suatu yang dibuat-buat, apatah lagi tidak boleh dengan mudah dituduh perhimpunan yang digembleng bertujuan untuk menggulingkan kerajaan,” jelas beliau.

Beliau menyifatkan dakwaan kononnya perhimpunan Turun pada 31 Disember ini bertujuan menggulingkan kerajaan adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab , malah menjadi petanda wujudnya sindrom nafi (denial syndrome) di kalangan pemimpin negara.

“Kesempitan hidup kini dirasai oleh semua peringkat rakyat terutama di kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang merupakan lebih 80 % dari keseluruhan penduduk di negara ini.

“Kesan berganda dan berangkai terhadap kos sara hidup pasti tidak dapat dielakkan bila kos pengangkutan naik serentak dengan kenaikan harga minyak mahupun tol lebuhraya,” tegas beliau.

Jika benar pemimpin kerajaan mengutamakan rakyat seperti yang sering didakwa , beliau menggesa supaya isu kos hidup ini ditangani segera.

“Langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan ialah menangani isu-isu utama ini dan menghormati suara rakyat yang mahu menyatakan kerasahan mereka melalui perhimpunan aman,” katanya. -HD

Kos persekolahan dijangka naik mendadak

Ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan mulai tahun depan, Pemuda PAS menjangka ibu bapa yang mempunyai anak sekolah akan berhadapan dengan cabaran kewangan yang agak kritikal ekoran daripada impak kenaikan harga petrol dan gula beberapa bulan lalu.

Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin menjangka, harga barangan keperluan seperti makanan dan minuman dijangka akan meningkat secara purata 20% hingga 50%.

Disember lalu, Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia telah memberi kata dua kepada kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sama ada mengumumkan kenaikan kadar baru tambang bas sekolah atau mereka sendiri yang akan menaikkannya sehingga 40%.

Rentetan siri kenaikan itu, ia turut memberi kesan rantaian kepada input-input persekolahan, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang ketara ialah yuran pendaftaran dan bulanan, kadar tambang bas, set pakaian, buku-buku serta alat tulis.

Pakej kenaikan ini, katanya, sukar ditampung oleh pendapatan isi rumah semasa memandangkan terdapat beberapa faktor luaran yang berlaku antaranya adalah bencana banjir, sambutan perayaan krismas dan kelewatan pembayaran bonus tahunan yang dijangka pada 2 Januari, 2014 bagi pekerja sektor awam.

Awal Disember lalu, Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) telah memberi kata dua kepada kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sama ada mengumumkan kenaikan kadar baru tambang bas sekolah atau mereka sendiri yang akan menaikkannya sehingga 40% bagi mengelak menanggung kerugian.

Walau bagaimanapun, menurut dapatan sekitar Kuala Lumpur, terdapat pengusaha bas telah menaikkan kadar tambang baru antara 30% hingga 60% bagi tahun 2014 kata Khairil.

Beberapa hari sebelum pendaftaran, operator pra sekolah dan sekolah-sekolah turut melakukan semakan baru terhadap bayaran pendaftaran dan yuran bulanan.

"Majoriti menaikkan caj perkhidmatan disamping mengenakan beberapa tambahan lain seperti yuran keraian, baju tshirt tambahan dan peralatan alat tulis. Pembayaran wajib terpaksa dibuat bagi memastikan sesi persekolahan baru berjalan lancar," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan:

1. Berikutan harga minyak mentah dunia menurut ukuran Dated Brent berlegar sekitar AS$ 108 setong akhir-akhir ini, maka kerajaan wajar mempertimbangkan penurunan harga petrol dan diesel sekarang.

2. SPAD wajar meningkatkan rebat semasa daripada RM10,000 dan skim penggantian komponen bas sekolah bagi mengatasi masalah penggunaan bas sekolah yang telah melebihi 30 tahun.

3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan mesti mengawasi kenaikan tidak munasabah terhadap barang-barang keperluan sekolah dan kadar baru bulanan perkhidmatan pra sekolah serta caj pendaftaran di sekolah-sekolah agar tidak terlalu membebankan ibu bapa.

Beliau berharap agar tindakan drastik mesti segera dilakukan supaya rakyat terus dipelihara kebajikan disamping dapat meningkatkan kualiti hidup mereka. – TMI

Al-Sisi Sudah Mati? Kehilangan al-Sisi jadi misteri

Kaherah: Rakyat Mesir kini tetanya-tanya ke manakah hilangnya Panglima Tentera Mesir, Jeneral Abdul Fattah al-Sisi yang sudah tidak kelihatan di khalayak ramai sejak 17 Oktober lepas.

Al-Sisi yang melakukan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mohammed Morsi, 3 Julai lepas, sebelum ini sering membuat kenyataan secara langsung di televisyen Mesir.

Namun selepas pembunuhan ribuan rakyat tidak berdosa di Dataran Rabaah dekat sini, khabarnya al-Sisi sudah tidak kelihatan lagi secara 'live' dalam laporan media elektronik Mesir.

Televisyen Mesir masih menyiarkan footage video mengenai al-Sisi, namun umum mengetahui bahawa gambar statik dan video tersebut adalah rakaman lama yang sudah tersiar sebelum ini.

Sehingga kini tidak ada pengesahan yang sahih sama ada Jeneral al-Sisi menghilangkan diri atau beliau sudah mati.

Namun laporan rangkaian berita Sky News semalam (28 Disember 2013) agak mengejutkan rakyat Mesir.

Laporan Sky News memetik kenyataan Pakar Tentera Britain kepada mereka, bahawa mayat al-Sisi ditempatkan di Kem Tentera di Iskandariah.

Pakar tentera tersebut mendakwa Tentera Mesir menunggu masa yang sesuai untuk meletupkan bangunan dalam kawasan tentera, supaya boleh dizahirkan al-Sisi sebagai mangsa letupan.

Isu ini menjadi bualan rakyat Mesir, kerana mereka melihat sendiri tiada langsung kelibat al-Sisi selama dua bulan.

"Tiada kepastian drp sumber kerajaan, cuma suratkhabar pembangkang dan cakap-cakap belakang sahaja yang mengatakan al-Sisi sudah mati.

"Apa yang pasti dah lama beliau tidak keluar televisyen untuk buat ucapan. Televisyen menyiarkan aktiviti al-Sisi, tapi semua gambar lama," kata seorang penganalisis politik Mesir.

Bagaimanapun seorang wartawan terkenal Mesir bercakap kepada akhbar Aljazeera menyatakan keyakinan beliau bahawa Jeneral al-Sisi sudah mati cuma berita tersebut disembunyikan.

Wartawan tersebut juga mendakwa puak kudeta (perampas kuasa) menunggu untuk meletupkan bangunan Kementerian Pertahanan dan mengisytiharkan al-Sisi meninggal.

Lebih buruk lagi kata beliau, Ikhwan Muslimin yang dituduh sebagai pengganas akan dipersalahkan kerana didakwa melakukan pengeboman tersebut.

Berikut ialah video lanjutan mengenai dakwaan kematian atau pembunuhan Jeneral al-Sisi dan pembantu kanannya Sidqi Subhi:

Emel Ancaman Bom: Rafizi Lapor Polis Terhadap Blogger UMNO

Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, hari ini membuat satu laporan polis terhadap pengendali blog Umno yang menyebarkan e-mel palsu hingga mampu mengugat ketenteraman dan keselamatan negara.

Laporan polis itu dibuat antaranya terhadap pengendali blog The Unspinners dan The Flying Kick di Balai Polis Tropicana di sini, sejurus Rafizi mengadakan sidang medianya di ibu pejabat PKR kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi.

Laporan itu juga dibuat bagi menguji keikhlasan dan keadilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara seperti mana tindakan pantas dan tegas yang diambil polis terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan komen orang ramai yang tidak disenangi kerajaan di laman sosial Facebook.

Sebelum itu, ketika mengulas isu sama Rafizi dalam sidang medianya berkata, beliau juga akan membawa kes berkenaan pada setiap persidangan Dewan Rakyat begi memberi tekanan kepada pihak berkuasa sehingga pengendali blog Umno terbabit disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya syak ini satu perencanaan terancang untuk membina persepsi kononnya ada plot menggulingkan kerajaan menjelang 31 Disember ini.

“Rencana di blog yang memaparkan e-mel palsu yang direka itu menuduh kononnya saya terbabit dalam plot untuk menanam bom di beberapa tempat di Kuala Lumpur dengan bertujuan mencetuskan suasana huru-hara.

“Penyebaran berita palsu itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mewujudkan panik di kalangan orang ramai dan ia adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Ia jelas melanggar undang-undang dan merbahaya,” katanya.

Rafizi berkata, soalan yang bakal dikemukan di Dewan Rakyat nanti akan terus ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara selagi pengendali blog pro-Umno, The Unspinners dan The Flying Kick tidak diheret ke muka pengadilan.

Katanya, sebelum ini PDRM dilihat begitu tegas terhadap perkara kecil seperti komen anak muda yang tidak berpengaruh di Facebook, sebaliknya sehingga kini tidak memanggil pengendali blog Umno yang secara terang melanggar undang-undang negara dengan menyebarkan berita palsu dengan tujuan mewujudkan suasana huru-hara.

“Jika PDRM hanya menyiasat saya dan bukan dalang di belakang e-mel palsu dan blogger yang menyebarkan berita palsu itu, jelas menunjukkan PDRM hanya menjadi alat kepada Umno bagi tujuan politik Umno,” katanya.

Rafizi mendakwa, propaganda menggulingkan kerajaan itu adalah satu taktik untuk mengalihkan perhatian daripada pelbagai kegagalan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam isu kenaikan kos sara hidup rakyat. -selangorku


Sunday, December 29, 2013

Pesan Mahathir, Kurang kos, bukan naik harga..

Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan ekoran kenaikan tarif elektrik pada kadar 15 peratus yang menurutnya, agak tinggi.

Beliau berkata, tarif elektrik tidak seharusnya dinaikkan secara mendadak kerana akan membebankan pengguna.

“Ini akan memberikan bebanan kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri,” katanya dalam satu entri blognya, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tarif elektrik jika perlu dinaikkan, boleh dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian pengeluaran menanggung kerugian besar.

“Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat tidak mendapat keuntungan besar,” katanya.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, pembaziran mampu dielakkan sekiranya kerajaan serius bertindak dan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan.

“Kerajaan ada kalanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam sebarang bentuk perbelanjaan.

Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” kata beliau.

Selain itu, katanya, pendapatan negara boleh ditingkatkan melalui pengurangan kos pengeluaran berbanding menggunakan pendekatan menaikkan harga.

"Konsep ‘cost down’ merupakan salah satu alternatif terbaik bagi mengelakkan pembaziran sekali gus mampu menjana pendapatan.

Ada masanya harga boleh dinaikkan. Ini mungkin mengakibatkan kemerosotan jualan dan keuntungan.

Lebih baik mengurangkan kos atau sama ada mengekalkan atau meminimumkan kenaikan harga," katanya.

Jelas Dr Mahathir, perkara sama boleh dilakukan kerajaan. "Semua kos boleh diteliti untuk menentukan mana yang benar-benar penting, kos mana yang boleh dikurangkan, atau perkhidmatan mana yang boleh diolah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara namun pada masa yang sama menyifatkan bebanan tersebut tidak harus digalas oleh rakyat sepenuhnya.

2 Disember lalu, Kerajaan mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuat kuasa Januari tahun depan.

Pada 2014, kerajaan dijangka akan menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini. Tambang pengangkutan awam LRT dan monorel juga dijangka dinaikkan ~ Sinar Harian

Pentadbiran Najib musuh kebebasan kata NGO

Sekumpulan NGO prokebebasan menganggap penggantungan mingguan The Heat oleh kerajaan menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "musuh kebebasan".

Perkara itu dinyatakan dalam dalam kenyataan bersama Institut Kajian Dasar, Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dan Akademi Pak Sako hari ini.

"Kami sebagai sebuah perkumpulan yang menjunjung idea kebebasan serta pembinaan sebuah masyarakat dan negara yang liberal mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan akhbar mingguan The Heat.

"Penggantungan tersebut membuktikan pentadbiran Najib musuh kepada kebebasan," kata mereka.

Mereka juga menyeru pelbagai pihak bersatu membentuk "kekuatan liberal" dan mempertahan hak kebebasan yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

"Kami berpendirian, menjadi keutamaan kepada semua kumpulan yang menjunjung kebebasan berekspresi untuk tuntas mengungkapkannya dalam apa sahaja bentuk sama ada seni budaya, politik, media dan lain-lain demi menewaskan anasir autoritarian di negara ini," katanya.

Ketiga-tiga kumpulan itu juga dengan tegas menyatakan solidariti dan dokongan terhadap perjuangan Gerakan Media Marah (GERAMM) untuk menuntut kebebasan media ekoran penggantungan akhbar itu. -MK

Prof Muhaya tampil jawab isu "Tidak Prihatin"

Gara-gara mengeluarkan kenyataan pada artikel Prof Muhaya : Solusi Keluar Dari Bebanan Hidup yang disiarkan Sinar Harian Online, Selasa lalu, penceramah terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad dikritik pembaca kerana disifatkan tidak prihatin nasib rakyat.

Melalui sebuah video yang dimuat naik ke laman sosial Youtube, Prof Muhaya menjelaskan mengenai perkara tersebut.

“Saya bukan ustazah, bukan ahli politik dan bukan ahli ekonomi. Saya cuma pencetus inspirasi yang semua orang sudah tahu, gaya saya bercakap...Kita mesti faham bahawa ada benda yang kita boleh kawal dan tidak boleh kawal.

“Apabila ditanya bagaimana nak tangani beban orang yang tengah serabut...memang banyak pihak yang nak saya buat kenyataan memarahi pihak yang menaikkan harga dan sebagainya. Tapi, pada saya, itu semua banyak dah orang yang cakap.

"Jadi, peranan saya sebagai seorang yang berusia 50-an, ada pengalaman, saya memang sangat yakin bahawa cara kita melihat sesuatu akan mengubah tindakan, persepsi atau interpretasi kita terhadap perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan soal 80 peratus dalam kehidupan adalah untuk mencari solusi sementara bakinya untuk melihat masalah.

“Katakanlah, minyak atau susu tumpah. Adakah kita nak lap susu itu atau nak bergaduh siapa yang tumpahkan susu itu?

“Saya nak katakan di sini bahawa kita mesti melihat kehidupan dengan 80 peratus mencari solusi dan 20 peratus untuk melihat masalah,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyebut kenyataannya dalam artikel tersebut menunjukkan bahawa dirinya tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.

“Saya bukan ahli politik dan prinsip saya adalah tidak membuat kenyataan berbaur politik. Untuk situasi ini, bukan tidak prihatin. Siapa yang tidak prihatin...memang kasihan.

“Tetapi kalau kita kasihan, ramai orang yang susah, takkanlah kita nak ambil duit beri kepada semua orang susah itu? Kalau kita beri pun, ia dipanggil langkah sekejap.

“Tetapi bagaimana kita nak ‘empower’ seseorang? Ataupun beri kuasa atau membuat seseorang itu melakukan apa yang boleh pada situasi terdesak ini untuk menghadapi suasana tersebut?,” katanya.

Tambahnya, “saya seru kepada yang membuat dasar, kalau boleh kita prihatin dan janganlah kita melakukan sesuatu yang membebankan orang. Kerana kalau kita melepaskan beban orang, insya-ALLAH, ALLAH akan melepaskan beban kita,” katanya.

Jelasnya, “saya nak jelaskan, saya buat video ini pun bukan untuk justifikasi...takut orang tak suka, takut orang marah. Sebenarnya, saya dah maafkan semua orang yang mengata tak elok tentang saya. Saya tak rasa marah langsung. Saya faham dan rasa kasihan.”

-Sinar Harian

Veteran Umno, ISMA tolak sambutan tahun baru

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Kelab Veteran Umno Malaysia menggesa agar sambutan tahun baru 2014 dibatalkan kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Setiausaha Kelab Umno Veteran Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata hanya tahun baharu Islam iaitu 1 Muharam wajar dijadikan sambutan rasmi bagi negara ini.

"Sambutan tahun baharu Masihi juga ada kaitan dengan perayaan Krismas, sebab itu dalam lagu Krismas disebut Merry Christmas and Happy New Year.

"Perayaan itu juga menghidangkan hiburan melampau dan boleh melekakan majoriti muda-mudi Melayu Islam dan banyak maksiat yang dilakukan oleh mereka dalam menyambut tahun baharu," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik pula menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tidak mengkaji permit penganjuran sambutan malam tahun baru di Dtaaran Merdeka kerana ia tiada makna khusus untuk umat Islam.

"Hanya DBKL yang berkuasa membatalkan sebarang acara di kawasan tersebut," katanya. -SinarHarian

Wang Rakyat Disalahguna Biaya Perkasa Bantu BN

Pendedahan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa Perkasa menerima dana daripada agensi kerajaan dikritik pertubuhan tersebut.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menyifatkan pendedahan itu tidak sepatutnya berlaku dan dibongkarkan kepada media.



"Jika benar pun berlaku (dana) tujuan suntikan itu juga pastinya untuk membantu Umno-BN menang dalam PRU14 kelak.

“Beliau (Isa) veteran parti yang sekian lama berkhidmat dan tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang mendedahkan kepada risiko seperti ini untuk digunakan ‘musuh’ menyerang kerajaan.

“Kalau tahu pun, diam saja tidak perlu heboh. Sekiranya Perkasa menerima suntikan modal pun ia untuk membantu kerajaan juga dalam kelangsungan survival politik BN pada PRU14 kerana agenda utama Perkasa ialah memperjuangkan hak keistimewaan Melayu dan Perlembagaan Negara bukannya kegunaan peribadi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, katanya Perkasa Selangor tidak menerima saluran kewangan daripada agensi kerajaan tetapi tidak menolak kemungkinan ia hanya di peringkat pusat.

“Di peringkat Selangor, Perkasa mengumpul dana hasil sumbangan orang ramai dan usahawan yang sudi menghulur bantuan untuk menjayakan program yang dirancang bermatlamat Melayu, Islam dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Ali Syed Hassan mengakui menerima bantuan kerajaan seperti dakwaan Isa namun menyifatkan bantuan tersebut tidak sebanyak yang diterima oleh badan bukan kerajaan (NGO) Cina dan India.

Bagaimanapun, beliau meminta Isa menyenaraikan jumlah bantuan kerajaan yang diberikan kepada pertubuhan itu dalam menjayakan program mereka selama ini.

"Senaraikan jumlah bantuan yang diberikan kepada Perkasa. Berapa banyak? Berjutakah? Berbilionkah? Kami tidak nafikan ada agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) membantu Perkasa,” katanya. -SH

Risiko maut dan kebejatan jenayah bila barang naik!

Tirai 2013 bakal dilabuhkan dalam beberapa hari lagi. Namun kali ini tidak ramai yg mahu membuat azam dan cita-cita besar di ambang tahun baru ini. Sebabnya mudah. Rakyat di negara ini sedang menghitung pelbagai ancaman kenaikan kos saraan hidup atau inflasi yang mesti mereka depani.

Kali terakhir harga petrol dan diesel dinaikkan atas nama ‘rasionalisasi subsidi’ pada bulan September lalu (2013), ‘analysts’ sebuah Bank Pelaburan (Maybank lnvestment Bank) melaporkan bahawa inflasi (CPI) melonjak paling tinggi dalam 20 bulan berbanding sebelumnya ke paras 2% pada bulan Oktober. Pantas betul.

Kalau lonjakan tersebut dicetuskan oleh hanya satu faktor yakni ketika bahan bakar itu dinaikkan 20 sen satu liter, rakyat gerun memikirkan apakah 'malapetaka dan celaka' yang bakal menimpa mereka ketika pelbagai kenaikan dilakukan serentak dan mendadak.

Tahun 2014 pastinya ‘Tahun Derita’. Golongan berpendapatan rendah, khasnya nelayan, petani serta peniaga pasar malam contohnya, yang tak ada kenaikan gaji berkali ganda, berdepan dengan prospek hidup yang sangat suram dengan hempitan kos saraan hidup yang bakal melambung. Pendapatan mereka yang tetap sama atau kalau peniaga mungkin sahaja mengecut sebab kuasa membeli rakyat mengecil akibat inflasi.

Bayangkan setelah penarikan subsidi gula pada hari yg sama Belanjawan 2014 dibentang 25 Oktober lalu, rakyat secara berdikit-dikit dengan kaedah ‘conditioning’ minda, didedah tentang kenyataan bahawa mereka akan berdepan dengan kenaikan tarif elektrik, kos pengangkutan awam, kenaikan tol di 13 lebuhraya, kenaikan 40% bas sekolah dan bayaran bulanan Astro untuk tahun depan ini.

Paling menyiksa kerana semua kebejatan ini bakal berlaku seawal Januari 2014, 8 bulan setelah 47% pengundi memandatkan kembali kerajaan Umno-BN memerintah Putrajaya. Kerajaan yang paling lama di muka bumi ini (tak termasuk kerajaan Komunis Cina) nyata sudah hilang kepeduliaan terhadap rakyatnya, semacam mengalami sejenis sindrom ‘pyschosclerosis’ – buta perut atau hilang kepekaan dan tak prihatin penderitaan rakyat atau dalam bahasa Ingeris ‘hardening of feelings’.

Sudah sampai waktunya juga 53% pengundi-rakyat yang menolak kerajaa Umno-BN ini wajar bangkit bersama masyarakat sivil (NGOs) dari pelbagai latar-belakang, untuk menentang kezaliman ini. Pembayaran BRIM nyata tidak bererti kalau ‘untung secupak rugi segantang’.

Ini perbuatan kerajaan Umno-BN paling biadap mentelahan baru sahaja dimandatkan semula dan telah berjanji ‘bulan dan bintang’ dalam pilihanraya ke-13 lalu. Hairan juga PM Najib naikkan tol sementara telah berjanji sebaliknya. Begitu juga halnya tentang kenaikan tarif elektrik gergasi utiliti Tenaga Nasional Berhad atau TNB sebab baru sahaja mengisytiharkan keuntungan RM4.46 bilion dalam laporan kewangan berakhir April 2013 lalu, menambah dari RM4.41 bilion keuntungan tahun sebelumnya.

Mengapa kerajaan izinkan kenaikan ini adalah amat membingungkan. Kenaikan menasabah kalau TNB mengalami kerugian. Kerajaan cepat-cepat membuat penjelasan bahawa kenaikan tidak akan membabit 4.6juta ketua isirumah kerana kenaikan tarif tak menjejaskan golongan domestik ini yang pengggunaannya rendah.

Nyata kerajaan ini samada benar-benar jahil atau memang jahat serta buat-buat tak faham. Rakyat umumnya sudah mulai faham bahawa yang dipertikaikan bukan kenaikan bil bulanan elektrik atau tol itu sahaja, tetapi ‘kesan rantaian’ (chain effect) ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan yang menggunakan bahan bakar, elektrik dan pengangkutan dan tol.

Tekanan inflasi akibat kenaikan kos terhadap barangan dan perkhidmatan ini atau “Cost-Push Inflation’ adalah sangat parah! Sesungguhna, CPI (Indek Harga Barangan) bukan ukuran beban sebenar rakyat. Ia adalah lebih tinggi dan lebih teruk. Rakyat sudah tidak dapat lagi dibendung amarah mereka. Satu lagi aspek kenaikan.

Ya, memandangkan kadar inflasi diramalkan bakal mencecah 3.5% sehingga 4% (CPI atau Indeks Harga Pengguna) oleh pelbagai pihak ‘analysts’ Perbankan Pelaburan pada tahun 2014, maka Bank Negara Malaysia (BNM) pastinya akan menaikkan satu kadar faedah yang dinamakan ‘Kadar Faedah Semalaman’ atau ‘Overnight Policy Rate’-OPR.

Dengan kenaikan OPR maka kaedah faedah pinjaman (Average Lending Rate) akan dinaikkan oleh semua bank komersil sekaligus menjadikan bayaran bulanan pi akan pinjaman juga turut naik. Apa akan berlaku? Ramailah yang akan tersiksa dan terbeban untuk membayar ansuran yang lebih tinggi. Lebih banyak lagi ‘Hutang Tak Berbayar atau NPL’. Lebih ramailah rakyat akan bakal muflis dan bankrap!

Impak inflasi seperti ini bukan sahaja dari aspek kewangan. Kesan sosial ke atas keutuhan kekeluargaan apabila ibu-bapa mula membuat pelbagai kerja tambahan pastinya menjejas pelbagai aspek keharmonian keluarga dan anak-anak. Ini sudah pasti. Apa lagi? Ada lagi dan yang ini tentunya menyayat hati.

Mengikut kajian sebuah badan penyelidikan (International Association of Traffic and Services) setiap kali bahan bakar (petrol dan diesel) naik dan inflasi tercetus golongan berpendapatan rendah akan merubah cara hidup mereka. Menteri-menteri BN tak payahlah suruh rakyat ikat perut atau suruh ambil jalan alternatif kalau tak bayar kenaikan tol sebab rakyat memang tahu sangat untuk ‘survive’.

Hanya menteri-menteri yang boleh hidup mewah bershopping di Harold London dan bandar-bandar besar dunia semasa cuti Christmas dan Tahun Baru ini. Rakyat sudah mula ikat perut dan sedang bergelut untuk menyiapkan anak-anak hendak mula bersekolah.

Namun yang hendak didedah penulis ialah apabila rakyat marhaen bertukar dari kereta kancil dan proton saga mereka kepada menunggang motosikal untuk ke pejabat, maka di situ jugalah dapatan kajian membuktikan bahawa kadar kemalangan meningkat. Sudah umum maklumi bahawa Malaysia merupakan Negara punyai risiko kematian jalanraya tertinggi di dunia. Penunggang motosikal terdedah tiga kali ganda risiko kemalangan berbanding menaikki kereta!

Dengan kenaikan kos saraan hidup ini atau inflasi barang naik ini, rakyat Malaysia sekaligus berdepan dengan maut jalanraya. Apakah kerajaan Umno-BN sedar akan akibat perbuatan mereka menaikkan secara mendadak kesemua ini? Umno-BN memangsakan rakyat!

Satu dapatan kajian sekumpulan penyelidik USM sedikit waktu lalu (2009) juga menemui hubungan faktor inflasi dan kadar jenayah. Sayugia dingatkan kerajaan Najib dengan NKRA Jenayah serta KPInya pasti akan tercalar apabila rakyat lebih mudah menukar kerjaya mereka atau menambah pendapatan dengan meragut, mencuri dan merompak! Dapatan menemui hakikat bahawa semasa dalam tekanan kos saran hidup yang tinggi-inflasi, kadar jenayah meningkat! Rakyat juga diheret ke kancah jenayah atau menjadi mangsa jenayah. Pencetusnya siapa?

Apakah benar tidak ada cara lain kecuali mengheret negara ke kebejatan inflasi dan kesengsaraan hidup ini dengan menarik balik subsidi-subsidi penting ini? Tun Mahathir yang baru celek pun suruh supaya kos pengurusan diturunkan bukan subsidi direntap macam malaikat maut mengambil nyawa.

Maka Najib dan konco2nya wajar berfikir panjang. Apakah mereka sanggup mengundang semua malapetaka untuk rakyat di negara ini. Menjual asset negara dan berniaga (securitise mortgages) atas pajakan pembelian rumah kerajaan memang langkah desperate. Umum akan lebih faham kalau maksudnya ialah ‘gali lubang baru untuk tutup lubang hutang lama’. Pokoknya masih berhutang untuk bayar hutang.

Sudah cemuih atau mangli dan bosan rakyat sarankan supaya lobang-lobang kebocoran ditutup dahulu, rasuah ditangani, monopoli dirungkaikan jenayah ‘kebodohan dan kebebalan’ pihak birokrasi di atasi dalam ‘perolehan’ atau ‘procurement’ seperti didesak oleh Laporan “Ketua Audit Negara” setiap tahun.

Kalau berdegil dan keras kepala juga kerajaan Najib ini, jumpa anda semua di demonstrasi ‘TURUN’ pada 31 hb Disember. Bukan TURUN itu untuk suruh kerajaan Umno-BN turun dengan cara digulingkan. Silap itu! Patutlah ada pelajar yang ditahan kerana hendak guling kerajaan.

Turun itu adalah kempen supaya ‘jangan subsidi ditarik dan Tol serta Tarif dinaik’. Itu maksudnya. Sah ada pihak yang silap faham. Ini lah yang dimaksudkan dengan kata Tun Mahathir... Jangan lama-lama memerintah akibatnya lebih ramai pemimpin yang 'bodoh' mengemudi kerajaan.

Akhir sekali kalau GST mahu juga dilaksanakan pada April 2015, memanglah bagai dek kata, rakyat akan di ‘Gasak Sampai Tumbang’. Tapi tak tahu kali ini siapa yang benar-benar akan Tumbang?
Cuma hari ini penulis ingatkan kerajaan Najib-BN, belum pasti siapa yang bakal Tumbang pada PRU14. Jangan terlalu angkuh setelah mengemis dan mendapat sokongan 47% sokongan rakyat! -

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Amaran keras terhadap perhimpunan guling kerajaan

Polis memberi amaran keras terhadap individu atau kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram 'menggulingkan kerajaan' di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Selasa ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata pihak polis tidak teragak-agak menahan pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012.

Beliau berkata hasil risikan mendapati beberapa kumpulan dan badan bukan kerajaan akan terlibat dalam perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak berpuas hati mereka ke atas kerajaan dan seterusnya mahu menimbulkan kekacauan.

"Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia serta Solidariti Mahasiswa Malaysia dipercayai akan terlibat dalam perhimpunan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata penganjur perhimpunan haram tersebut dipercayai akan mendirikan khemah di sekitar Dataran Merdeka dengan membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan.

Amar Singh menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai dan menyokong perhimpunan sedemikian kerana ia menyalahi undang-undang negara.

Katanya setakat hari ini, pihak polis telah menerima 588 laporan di seluruh negara dari pelbagai pihak bagi membantah perhimpunan berkenaan. - Bernama

Selepas mungkir janji, BN takut “digulingkan”

Tahun 2014 sudah pastinya bukan berita gembira bagi majoriti rakyat Malaysia berpendapatan rendah kerana kenaikan kos sara hidup yang bakal mereka hadapi.

Semasa berkempen menjelang Pilihan Raya 2013 lalu, Barisan Nasional melalui “Manifesto: Menepati Janji, Membawa Harapan” memberikan pelbagai janji indah seperti mengurangkan kos sara hidup.

Di antaranya adalah penurunan harga kereta secara berperingkat, menyediakan sejuta rumah mampu milik, pendidikan lebih baik, pembangunan luar bandar secara agresif dan keselamatan awam.

Akan tetapi selepas pilihan raya 5 Mei, apa yang rakyat dapat?

Bermula September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.

Perlu diingat, kenaikan harga minyak dan gula mempunyai kesan berantai kepada barangan lain. Dalam erti kata lain, janji kerajaan harga barang lain tidak akan naik selepas subsidi minyak dan gula dipotong tidak boleh digunapakai.

Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.

Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015.

Ertinya, selepas tamat 2014 juga, kehadiran 2015 belum tentu memberikan kebahagian kepada majoriti rakyat Malaysia dengan pengenalan GST.

Tindakan “ganas” pentadbiran Najib dalam memotong subsidi dan menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas turut membimbangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.

“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det semalam.

Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai ketirisan dan pembaziran kerajaan.

“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” katanya.

Dr Mahathir menulis menggunakan hujah yang sering dipakai pemimpin pembangkang.

Sebagai orang yang sudah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan mengikuti perkembangan sejarah negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, Dr Mahathir sudah tentunya bimbang dengan tindakan pentadbiran Najib.

Dr Mahathir menyaksikan bagaimana rakan-rakan baiknya seperti Ferdinand Marcos dari Filipina dan Jeneral Muhammad Soeharto dari Indonesia digulingkan melalui demonstrasi jalanan selepas gagal mensejahterakan hidup rakyat.

Sudah pasti hujah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek mengatakan kenaikan kos sara hidup merupakan masalah kecil tidak dibeli bekas perdana menteri itu.

Maka tidak hairanlah Putrajaya juga dilihat begitu takut sekali dengan perhimpunan pada malam ambang Tahun Baru 2014 yang dikatakan berniat untuk menggulingkan kerajaan.

Semalam polis menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan dikatakan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Sebelum itu polis menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar selepas seorang pengguna Facebook memberikan komen mengatakan akan berlaku rusuhan pada malam ambang Tahun Baru.

Selepas memungkiri janji, Putrajaya kelihatan begitu takut sekali dengan kemarahan orang ramai di atas tindakan mereka itu.

Yang hairannya, yang ditahan adalah orang yang marah kerana janji dimungkiri dan bukan yang memungkiri janji. -Amin Iskandar/TMI

The Christian Sciense Monitor: Ikhwanul Muslimin Bukan Teroris!

Boston - Lamanweb media www.csmonitor.com mengkritik sikap dan kenyataan penguasa Mesir yang merupakan bentukan kudeta tentera berhubung dengan ledakan bom yang terjadi Mapolwil Daqhaliyah di kota Manshura, Selasa (24/12/2013) minggu lalu, demikian lapor dakwatuna.com.

Kritikan tersebut lebih tertuju kepada pernyataan perdana menteri kudeta, Hazim Bablawi, bahawa jamaah Ikhwanul Musliminlah yang bertanggung jawab atas aksi peledakan bom tersebut. Padahal belum dilakukan siasatan dalam kes ini.

Media rasmi gereja di Boston itu menyatakan bahawa penguasa kudeta masih mempunyai sifat konservatif. Setelah berhasil mengkudeta Ikhwanul Muslimin dari pemerintahan, mereka selalu menuduh Ikhwan sebagai pihak yang bertanggung jawab di balik semua aksi kekerasan yang terjadi di seluruh wilayah Mesir, terutama di dataran Sinai.

Christian Sciense Monitor menyatakan mustahil Ikhwan yang melakukannya. Sangat mungkin kelompok Islam yang lain seperti Anshar Baitil Maqdis, yang beberapa waktu lalu mengakui telah melakukan beberapa aksi kekerasan di antaranya usaha pembunuhan menteri dalam negeri, Muhammad Ibrahim. Pun demikian, kali ini belum ada pihak tertentu yang menyatakan bertanggung jawab.

Csmonitor juga menyebutkan bahwa pejabat Ikhwanul Muslimin di London mengeluarkan kenyataan bahawa ledakan bom di Manshurah ini adalah serangan langsung yang bertujuan memecahkan perpaduan rakyat Mesir. Ikhwan meminta agar segera dilakukan siasatan agar dapat diketahui pelaku yang sebenarnya, dan diadili.

Di akhirnya, csmonitor menyelar sikap sembrono Bablawi, perdana menteri kudeta, menunjukkan bahawa dirinya hanyalah boneka yang harus siap dimainkan oleh tentera.

PAS sertai himpunan Turun Dataran Merdeka

PAS bersedia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli melihat himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.

"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST. Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya himpunan untuk menggulingkan kerajaan.

Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.

"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta kenaikan barangan dan perkhidmatan. Berhimpun secara aman. Tidak timbul isu guling kerajaan, bukan tujuan pun.

"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan, penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada kerajaan tentang kepayahan rakyat. -HD

Thursday, December 26, 2013

Menghadapi esok yang segala-galanya naik

Kita akan menyambut musim-musim mendatang yang sangat mencabar sebenarnya. Bersempena tahun baru 2014 yang akan muncul dalam seminggu dua lagi, tidak akan ada yang turun, melainkan segalanya akan naik dan naik belaka.

Kos kehidupan yang sarat dengan beban, terpaksalah kita pikul juga demi memujuk hati yang kecewa kerana walau bagaimanapun juga, hidup perlu diteruskan!

Isteri saya baru saja membelanjakan RM200 untuk buku-buku rujukan, peralatan dan segala yang berkaitan sekolah anak saya yang akan masuk darjah 6 tahun depan. Itu belanja untuk buku saja, walaupun yuran dimansuhkan, selainnya perlu dibayar dengan duit.

Anak saya itu akan menduduki peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan tetapi kos pembelajarannya macam nak ambil SPM pada tahun 80an dulu. Kalau di tahun 60an dulu, lulus darjah 6 kita layak menjadi guru sekolah, hari ini lulusan diploma pun belum tentu diterima menjadi guru, melainkan jika kita kenal orang dalam. Apatah lagilah jika kita berkelulusan UPSR.

Kita bukan hidup di tahun 70an, di mana jalan yang disediakan untuk kita hanya satu hala dan itulah yang kita pilih, samada suka mahupun tidak.

Hari ini kita diberi pelbagai pilihan, jalan alternatif mahupun yang konservatif. Hari ini juga kita semakin melihat panorama itu dari sudut yang tersurat mahupun tersirat. Hari ini masyarakat lebih peka dan bijak dalam membuat pilihan, untuk diri mereka juga untuk masa depan.

Untuk seorang lagi anak saya yang akan masuk ke darjah 3 pula, kosnya pun lebih kurang begitu juga. Sehelai baju sekolah sudah mencecah RM30 untuk saiz kanak-kanak. Seluar sekolah untuk saiz dewasa pula mencecah sehingga RM50 sehelai. Jadi kalau kita berpendapatan bawah RM3 ribu, memang karamlah dibuatnya.

Dulu di tahun 80an sewaktu bersekolah di kampung, saya tempah seluar untuk sekolah menengah di tempat kelahiran saya, kosnya baru RM18. Dan seingat saya juga kita mendapat bekalan buku teks percuma daripada hari pertama persekolahan sampailah ke tingkatan 5 kelas menengah. Selainnya untuk buku-buku tambahan atau rujukan itu tidak ada sangat, berbanding hari ini. Kalau ada pun, kosnya tidaklah membebankan sangat.

Bayangkan betapa siksanya pelajar sekolah rendah yang saiz badan mereka di zaman ini kebanyakannya kecil-kecil belaka terpaksa menggendong beban buku yang segala macam jenisnya itu dimasukkan ke dalam beg yang seperti guni baja, sehingga senget badan mereka. Kelas pula di tingkat 4. Untuk sepanjang tahun, setiap hari kecuali hari cuti, mereka akan melakukan rutin yang sama.

Adakah mereka fikir tentang keselesaan anak kita? Adakah mereka ada berfikir untuk meringankan beban kita, para ibu bapa?

Bayangkanlah dan inilah kenyataan betapa hebatnya sistem pendidikan hari ini yang motif utamanya hanyalah ringgit dan keuntungan saja. Mendidik itu satu tanggungjawab, tapi itu berjalan seiring kemampuan (dari segi RM)

Sebab kalau mereka fikir akan keselesaan para pelajar dan tahap kemampuan ibu bapa, mereka akan permudahkan semaksimum yang boleh demi meringankan beban yang perlu dipikul. Ini mereka tambahkan lagi beban dan yang jadi mangsanya, kitalah!

Betapa setiap buku itu nilainya setiap sebuah berharga lebih kurang RM5. Untuk satu subjek kita memerlukan tiga atau empat buah buku rampaian yang wajib dibeli. Jadi syarikat pembekal buku memang untunglah dan yang menanggungnya kitalah, para ibu-bapa yang berpendapatan sederhana ini.

Saya bercerita tentang golongan marhaen. Saya tidak mahu bercerita tentang mereka yang berpendapatan RM400 ribu sebulan atau RM700 ribu sebulan atau RM20 ribu ke atas. Apa yang mereka faham tentang kesederhanaan dan kenyataan hidup?

Umpama seorang pelajar yang berumur 19 atau 20 tahun datang kepada saya bercerita tentang perkara-perkara yang rebel dan tidak konvensional yang penuh dengan teori belaka. Makan minum dan belanja sekolahnya pun masih ditanggung ibu bapa, jadi perkara terbaik yang saya katakan padanya, “Habiskan sekolah dulu, kemudian cari kerja, hidup sendiri, belajar apa itu hidup dan survival, kemudian kalau umur panjang boleh jumpa saya balik.”

Hari ini sistem pendidikan pun menjadi barang perniagaan yang menguntungkan. Inilah seronok dan nikmatnya bagi kita para warga marhaen yang tinggal di negara yang mengamalkan sistem kapitalis secara praktikalnya.

Umpama jika kita menerima saman daripada JPJ mahupun polis. Mahu tak mahu terpaksa kita jelaskan saman, kalau tidak lesen tidak dapat diperbaharui. Sama jugalah dengan buku-buku yang disediakan untuk murid yang wajib memilikinya. Kalau tak beli banyaklah masalah yang akan timbul nanti.

Segalanya menjadi halal serta suci dan kita diajar bersyukur juga disaran agar lebih berjimat cermat. Nak jimat macamana saya pun tak tahu lah, sebab jika kita ‘calculate’, memang akan lari ‘budget’.

Keluhan dan luahan saya ini hanyalah luahan seorang bapa yang mempunyai seramai empat orang anak yang masih bersekolah, bukan ada kepentingan politik apa pun. Bila kita mengkritik, dikatanya kita ini pembangkang pula. Jadi susah untuk bercakap jujur di negara kita sendiri sebenarnya.

Saya tidak percaya sangat pada sistem akademik kita sebenarnya, terutamanya di zaman ini. Atau kenyataannya yang kita perlu akui, bukan semua pelajar itu akan lulus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka dengan menjadi doktor, pilot, arkitek, peguam, engineer, profesor atau menteri.

Ada yang akan menjadi pengawal keselamatan, tukang kebun, kerja kilang, kerani, guru, polis mahupun tentera. Bertambah pula jika nasib tidak menyebelahi mereka, jadilah mereka perompak, pelacur, penagih untuk melengkapkan watak-watak buruk dan baik dalam kehidupan manusia.
Apa yang jelas, kita sedang dan akan melalui fasa yang semakin sukar di masa depan. Jurang antara si kaya dan miskin itu semakin jelas untuk kita saksikan. Inilah nikmatnya hidup di era kapitalis, di mana yang kaya makin kaya, yang miskin semakin tersepit.

-Oleh Meor Yusof Aziddin (M/Insider)

Keluarga Hindu balut keranda dengan bendera PAS

Jarang-jarang berlaku, sebuah keluarga India beragama Hindu memilih membalut keranda ahli keluarganya yang meninggal dunia dengan bendera PAS.

Tiga keping gambar berkaitan dimuatkan dalam akaun Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Meru Dr Rani Osman semalam.



Ia memaparkan mendiang Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kota Raja, Letchumany Maniam diusung dalam keranda yang berbalut bendera parti Islam itu.

Ia mendapat komen menggalakkan daripada penggguna laman sosial itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan memberitahu Malaysiakini, tindakan ahli keluarga mendiang bertujuan menggambarkannya mendian sebagai pejuang PAS sejati walaupun beragama Hindu.


Tambahnya, ia sekali gus, menunjukkan penerimaan yang cukup baik dari kalangan bangsa lain terhadap parti itu daripada kalangan bukan Melayu.


"Apa yang terbukti perjuangan apabila Ketua Wanita DHPP itu dibalut dengan bendera PAS itu menunjukkan beliau seorang pejuang PAS sejati walaupun duduk dalam PAS sebagai DHPP.


"Ia menunjukkan PAS sudah boleh diterima bukan Islam,” katanya lagi.

Ditanya sama ada tindakan itu bertentangan dengan perjuangan PAS, Sany menegaskan, ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syiar Islam dan tidak membawa kesan buruk.


"Tiada sebarang tanggapan negatif pada saya dan PAS sendiri,” katanya. -MK

Demo bantah KDN satu kewajipan?

"Potonglah kaki tangan seseorang lalu masukkan di tempat 2 x 3 meter dan berilah kebebasan padanya. Inilah kemerdekaan pers di Indonesia..." ~ Soe Hok Gie.

Perkara ini tertuang dalam lembaran catatan diari peribadi Soe Hok Gie, seorang mahasiswa beraliran sosialis, komunis apabila beliau menyatakan sikapnya mengenai amalan dan dasar kebebasan akhbar di negaranya. Diari peribadi itu kemudiannya dibukukan dengan judul; Catatan Seorang Demonstran.

Jauh di Timur Tengah, agak menakjubkan saat Presiden negara haram Israel; David Ben-Gurion mengungkapkan, "The test of democracy is freedom of criticism..."

Ben-Gurion adalah antara penyokong Zionis. Ketika berkuliah di Universiti Warsaw, beliau bergabung dengan pertubuhan Marxis Poale Sion pada 1904. Dia ditahan dua kali dalam Revolusi Rusia pada 1905. Akhirnya, beliau terpaksa berhijrah ke Palestin setahun berikutnya.

Pada tahun 1912, Ben-Gurion berhijrah ke Istanbul, Turki, bagi mengikuti kuliah hukum di Universiti Istanbul itu. Di sinilah beliau menceburi kerjaya sebagai wartawan.

Dan, selepas tiga tahun bekerja wartawan, beliau diusir. Mungkin ketika inilah David Ben-Gurion, mengungkap hal yang berkaitan kebebasan dalam kewartawanan, "The test of democracy is freedom of criticism..." ~ Ujian ke atas demokrasi adalah kebebasan untuk menegur.

Dua cebisan kisah kecil ini bererti, hatta Soe Hok Gie, seorang siswa Cina beraliran Sosialis, Komunis, dan juga Yahudi Zionis David Ben Gurion yang dikenali kejam lagi zalim sekali pun, turut peduli ke atas amalan kebebasan akhbar.

Bagaimanapun, isu kebebasan akhbar mutakhir ini seolah-olah tidak ghairah dibincangkan. Malah, penerbit akhbar dan masyarakat wartawan sendiri tidak bersatu dalam membangkitkan soal tekanan-tekanan yang ditimbulkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas mereka.

Kalau wartawan dan pemilik akhbar sendiri jarang-jarang menunjukkan sikap melawannya, maka bagaimanakah rakyat ingin menyerap derita tekanan yang ditanggung oleh kalangan wartawan, pemodal dan pemilik akhbar itu? Sementara itu, pihak KDN akan terus kekalkan sikap berdiam diri sebagai cara bagi menyelamatkan diri.

Dalam perkembangan terkini, penerbit akhbar The Heat berkata KDN akan memberi jaminan bahawa KDN akan berlaku adil dalam mempertimbang rayuan penggantungan permit penerbitan mingguan itu. Kenyataan pihak pengurusan The Heat itu dilaporkan selepas diadakan satu pertemuan antara pengarang akhbar dan pegawai KDN.

Agak aneh bila melihat sikap KDN itu dirumuskan oleh pihak pengurusan The Heat. Sepertinya, KDN tidak hendak memberi sebarang kenyataan kerana menyedari akan kezaliman yang sedang mereka rancang ke atas penerbitan akhbar itu.

"Pihak pengarang telah bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini.

"Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik daripada kenyataan pihak pengurusan The Heat.

Akhirnya, setiap akhbar akan berhasil ditundukkan oleh KDN dengan peristiwa 'membuli' akhbar-akhbar yang tertindas ini daripada semasa ke semasa. Kitaran ini akan terus berterusan bagi menumbuhkan rasa takut yang ketara jelas di mana-mana.

“Freedom of the Press, if it means anything at all, means the freedom to criticize and oppose,” berkata George Orwell (Eric Arthur Blair), sasterawan Inggris yang terkenal dengan karya Nineteen Eighty-Four dan Animal Farm itu.

Lewat memoir Mikhail Bulgakov; Manuscripts Don't Burn: Mikhail Bulgakov A Life in Letters and Diaries, tertuang ayat-ayat yang melawan usaha penapisan, “To struggle against censorship, whatever its nature, and whatever the power under which it exists, is my duty as a writer, as are calls for freedom of the press. I am a passionate supporter of that freedom, and I consider that if any writer were to imagine that he could prove he didn't need that freedom, then he would be like a fish affirming in public that it didn't need water.”

Ketika Mikhail Bulgakov, pengarang novel The Master and Margarita dari Rusia menganggap penulis yang tidak ingin kebebasan seperti ikan yang mendakwa bahawa mereka tidak perlukan air untuk hidup, maka John Lewis, seorang pemimpin hak asasi manusia berkata...

"We live in a country where we're supposed to have freedom of the press and religious freedom, but I think to some degree, there's a sense of fear in America today, that if you say the wrong thing, what some people will consider what is wrong, if you step out of line, if you dissent, whether you be an entertainer, that somehow and some way this government or the forces to be will come down on you."

Ini luahan seorang pimpinan hak asasi Amerika Syarikat yang dilihat menjuarai amalan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Di Malaysia, KDN sudah dedahkan ketakutannya sendiri dengan mengelak bercakap-cakap dengan media selepas mereka menggantung permit The Heat.

Tidak syak lagi, keberanian dan kesedaran rakyat itulah yang membuatkan KDN akan semakin tertekan. Tindakan menurunkan rakyat ke jalan raya untuk bantah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) mesti dilakukan segera. Tertekannya KDN dan Najib Razak, bererti zaman kekuasaan mereka semakin menuju era kemerosotan.

Oleh H FANSURI

"Guling Kerajaan": Kain Rentang Memfitnah Pakatan Dikesan

Pemuda Pas Kuala Langat kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan PR dengan penggantung kain rentang mengajak masyarakat menyertai perhimpunan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Hairul Nizam Tohar berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan penduduk negara ini.

Menurutnya, pihaknya masih percaya sistem demokrasi dan menghormati ketenteraman awam, namun jika menyalahgunakan nama dalam mengajak masyarakat untuk menjatuhkan sesuatu pihak tidak sepatutnya berlaku.

“Saya menerima maklumat satu kain rentang telah digantung di Jalan Telekom Lama, Banting sekali gus mengarahkan ahli supaya menurunkan kain rentang terbabit supaya tidak meragukan masyarakat.

“Tindakan itu menunjukkan ada unsur sengaja ingin menjatuhkan imej PR selain menunjukkan sikap tidak profesional mereka dalam menimbulkan isu baru,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya.

Hairul Nizam berharap penyebaran fitnah seperti itu dihentikan supaya tiada berlakunya sikap menuding jari.

Katanya, orang ramai juga diharapkan segera melaporkan kepada polis sekiranya menerima maklumat berhubung pemasangan kain rentang berkenaan.

Selain itu, Hairul Nizam berkata, pihaknya difahamkan pemasangan kain rentang berkenaan bakal dipasang lagi namun pihaknya mengambil langkah berwaspada untuk membanteras pemasangan tersebut daripada berleluasa.

Dalam pada itu, semalam, lebih 20 ahli Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat, Puteri Umno Bahagian Kuala Langat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman mengenai pemasangan kain rentang mengajak masyarakat menyertai aktiviti menggulingkan kerajaan pada 31 Disember di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. -SH

ISMA: Peningkatan kos memang salah Umno

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya membidas kenyataan Ketua Umno Teluk Kemang Tan Sri Isa Samad yang menyarankan rakyat agar tidak menyalahkan Umno berhubung kenaikan harga barangan keperluan serta kos sara hidup.

Pemimpin NGO itu berkata, kenyataan Isa tersebut menunjukkan pemimpin Umno sudah jauh daripada realiti hidup masyarakat.

“Alasan yang diberi Tan Sri Isa dilihat cuba mempelekehkan minda rakyat seolah-olah rakyat masih hidup di zaman 70-an yang tidak mempunyai sebarang akses maklumat,” kata Aminuddin Yahaya.

Isa yang juga pengerusi Felda kelmarin dilaporkan berkata, rakyat tidak harus menuding jari kepada Umno mengenai kenaikan harga barangan keperluan serta kos sara hidup kerana ia tidak dapat dielak oleh mana-mana kerajaan.

Malah, katanya, rakyat perlu memahami dan menerima perubahan situasi tersebut dari semasa ke semasa disebabkan faktor ekonomi dunia tidak menentu.

Sambil menyeru orang ramai tidak emosional, Isa berkata, dengan memarahi Umno sekali pu, harga barang dan kos hidup tetap tidak akan turun.

'Utamakan rakyat, bukan kroni'

Dalam kenyataannya hari ini, Aminuddin (kiri) berkata, ucapan wakil rakyat BN itu pada Isnin lalu seolah-olah memperlekehkan minda rakyat yang bukan lagi hidup dalam zaman 70-an dan tidak berinformasi.

"Walhal kewajipan pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Jadi mana mungkin kalau dikatakan Umno (selaku parti utama pemerintah) tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan isu kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Aminuddin berkata, Umno terlibat menentu dan menjalankan dasar negara dan sehubungan itu mereka tidak boleh mengelak daripada dipertanggungjawabkan.

Katanya, walaupun kenaikan tersebut tidak boleh dielakkan, kerajaan perlu bijak melakukan keseimbangan penyelarasan kenaikan gaji kerana ia menekan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

ISMA juga menyeru pemimpin Umno dan kerajaan BN agar lebih bertanggungjawab dan memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat daripada syarikat-syarikat kroni ini.

-MK

Wednesday, December 25, 2013

VIDEO Ikan Serang Pantai Lahad Datu

Penduduk kampung sekitar Pantai Tambisan, berhampiran Felda Sahabat Tungku, Lahad Datu, Sabah menerima kejutan apabila jutaan ikan laut tiba-tiba melompat ke darat kira-kira 9.30 pagi tadi.

Kejadian pelik ini disahkan sendiri oleh penduduk kampung di kawasan berkenaan dengan disertakan gambar dan video. Difahamkan, kejadian seumpama ini bukan kali pertama berlaku di Lahad Datu kerana sebelum ini pernah beberapa kali berlaku apabila musin ikan besar mendarat di perairan Tambisan.

Fenomena pelik membabitkan jutaan ikan tambal mendarat di Pantai Tembisan, Lahad Datu, kira-kira jam 8.10 pagi tadi menggemparkan penduduk kampung Tembisan Darat.

Meskipun terkejut dengan kejadian tidak dijangka itu namun beberapa penduduk kampung berkenaan mengambil kesempatan mengaut ribuan ikan tamban yang terdampar di pantai kampung terbabit.

Menurut sumber Jabatan Meteorologi, fenomena pelik itu berpunca daripada kejadian gempa bumi berukuran 5.7 skala Ritcher di kepulauan Mariana pada jam 5.12 petang semalam yang berpusat di timur laut Tagum, Filipina, kira-kira 2,842 kilometer dari timur laut Kinabatangan, Sabah.



Ada yang mendakwa kejadian tersebut sebagai petanda akan berlakunya serangan Tsunami seperti di Aceh pada 26 Disember 2004, tidak kurang juga yang mendakwa serangan Ribut Tropika Greg yang pernah berlaku di Keningau, Sabah pada 26 Disember 1996 akan kembali berulang.

Susulan itu, Ketua Kampung Tanjung Labian segera tampil membuka mulut berhubung isu tersebut agar orang ramai tidak terus membuat apa-apa spekulasi yang menakutkan penduduk kawasan berkenaan. Berikut adalah jawapan Ketua Kampung Tanjung Labian.



Tuesday, December 24, 2013

Normala umum barisan Puteri Umno Sabah

Ketua Puteri Umno Sabah Normala Rasik, yang baru dipilih menerajui pergerakan itu mengumumkan barisan kepimpinan Puteri Umno negeri.

Normala menggantikan Musliati Moslimin yang melepaskan jawatan ketua kerana faktor usia melebihi had umur 35 tahun.

Normala yang juga anggota Exco Puteri Umno dan Ketua Puteri Umno Kudat sejak 2004 dibantu Ketua Puteri Semporna Zakiah Kalipunya yang mengekalkan jawatan naib ketua pada pemilihan parti lepas.

Ketua Puteri Penampang Dayang Sarinah Yassin dilantik penolong setiausaha agung yang baharu manakala Ketua Puteri Kota Kinabalu Salmi Sarinoh (penolong bendahari) dan Ketua Puteri Pensiangan Norhafizah Muhamin (ketua penerangan).

Barisan kepimpinan anggota jawatankuasa menyaksikan hampir 70 peratus muka baharu iaitu Ketua Puteri Bahagian Sharifah Lydia Sharif Dandan (Kota Marudu), Fadilahn Sarbi (Sepanggar), Daliah Md Zain (Putatan), Fahzean Mohiddin (Papar), Suzana@Fauzieah Jamadih (Beaufort).

Yang turut dilantik ialah Suzie Hamat (Sipitang), Rusnah Sait (Ranau), Salbiah Syhaideh@Junaideh (Keningau), Norhazrilah Latif (Tenom), Karmi Ariffin (Libaran), Hazulizah Md Dani (Batu Sapi), Dayang Norhayati Titing (Kinabatangan), Zuraidah Asdian (Silam) dan Halina Michanael (Kalabakan).

Muka lama ialah Masnatu Satong (Kota Belud), Effaridun Ismail (Tuaran), Saudah Sarzaman (Kimanis), Siti Haibah Abdul Majid (Sandakan) dan Nazliah Ali (Tawau), Julie Sabran (Beluran).

Bercakap dalam sidang akhbar ketika mengumumkan perkara itu, Normala berikrar akan menyahut cabaran parti untuk menambah kira-kira 20,000 anggota.

Beliau berkata rekod keanggotaan Puteri bertambah sejak penubuhannya kepada 368,000 orang termasuk di Sabah paling ramai iaitu 55,000 anggota.

“Saya ingin menyahut saranan Puteri Umno pusat untuk membawa misi dan visi utama pergerakan Puteri Sabah bagi penggal ini dengan mendaftarkan sebanyak mungkin anggota Puteri di negeri ini.

Normala turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Puteri Umno yang baharu Mas Ermieyati Samsudin atas pelantikan beliau memimpin sayap parti itu.

Beliau mengingatkan semua anggota supaya menekankan ketelusan dan disiplin bagi memantapkan transformasi parti selain bekerjasama rapat dengan Pergerakan Pemuda dan Wanita.

Beliau akan mengadakan mesyuarat pertama Puteri Umno negeri pada 4 Jan bagi membincangkan hala tuju pergerakan itu.

– BERNAMA

Petisyen PRU13 : Parlimen Bagan Dato Bergegar?

Mahkamah Persekutuan hari ini menghantar semula petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh ke mahkamah pilihan raya dan ia menjadikan nasib Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum dapat diputuskan.

Panel lima hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, ketika membenarkan permohonan oleh dua pempetisyen berkata, sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen.

“Pempetisyen tidak perlu secara fizikal memfailkan petisyen itu sendiri,” katanya ketika membacakan keputusan sebulat suara itu.

Madhi Hasan dan Azmi Sulaiman memfailkan dua petisyen dengan asas bahawa Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan rasuah dan perbuatan menyalahi undang-undang.

Antaranya ialah membeli undi dan berbelanja melebihi RM200,000 untuk mendapatkan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, merit kes berkenaan tidak dapat didengar kerana Hakim Mahkamah Pilihanraya, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid membuang petisyen berkenaan susulan daripada bantahan awal bahawa petisyen perlu dihantar sendiri secara fizikal oleh pempetisyen.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Zahid menewaskan Madhi dengan majoriti 2,108 undi. Zahid memperolehi 17,176 undi manakala Madhi yang bertanding atas tiket PKR mendapat 15,068 undi.

Peguam Edmund Bon, New Sin Yew, Chan Yen Hui dan Joshua Tay mewakili pemohon manakala Zahid diwakili peguam Datuk Firoz Hussein.

Mahkamah juga membenarkan atas alasan yang sama seperti rayuan K. Vasantha Kumar bagi petisyen pilihan raya Tapah.

Kerusi itu dimenangi oleh Datuk M. Saravanan, kini Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Hal yang sama juga berlaku apabila ia membenarkan rayuan oleh calon pembangkang untuk kerusi DUN Lubuk Merbau di Perak.

Bagaimanapun mahkamah menolak rayuan untuk kerusi Parlimen Sungai Besar, Kuala Selangor, Batu dan Lembah Pantai.

Awal pagi tadi, satu jawatankuasa yang dianggotati lima orang dengan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria membenarkan rayuan bagi kerusi parlimen Ketereh di Kelantan.

Peguam Sivarasa Rasiah, yang mewakili perayu Abdul Aziz Abdul Kadir, memberitahu mahkamah bahawa bilangan undi dijadualkan dalam lembaran skor dipegang oleh Pilihan Raya Suruhanjaya dan terdapat enam Borang 14 yang berbeza.

Beliau berkata, terdapat perbezaan 6,000 undi dan ini boleh mengubah keputusan pilihan raya.

Mahkamah bersetuju dengan Sivarasa dan memerintahkan kes berkenaan diteruskan dan didengar sebagai perbicaraan penuh.

"Kami akan dapat membawa saksi untuk memberi keterangan di hadapan hakim pilihan raya," katanya.

Pada pilihan raya lalu, wakil BN Datuk Annuar Musa BN merampas kerusi daripada Abdul Aziz dengan 974 undi majoriti.

Abdul Aziz mewakili parti PKR, memenangi kerusi itu pada tahun 2008.

Isteri Aaron Aziz Ambil Keputusan Berhijab

Pelakon terkenal, Aaron Aziz atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz melahirkan rasa syukur apabila isterinya Diyana Halik, 30, akhirnya membuat keputusan untuk berhijab.

Memetik laporan mStar Online, Aaron, 37, berkata, dia ada meminta isterinya untuk bertudung selepas menunaikan umrah dua tahun lalu, namun tidak memaksa wanita itu untuk berbuat demikian.

"Saya bersyukur akhirnya dia ambil keputusan untuk bertudung dengan ikhlas tanpa sebarang paksaan.

"Sebelum ini ada juga meminta dia berhijab iaitu selepas pulang menunaikan umrah dua tahun lalu, namun saya tidak mahu terlalu memaksa dan biar dia melakukannya dengan kerelaan hatinya sendiri," katanya ketika ditemui pada sidang media Oh My English-Hello America, di Hotel Hilton, semalam.

Sementara itu, menurut Diyana, tindakan mengenakan selendang di kepala ketika berada di pesawat dalam perjalanan pulang dari percutian di Hong Kong menjadi titik mula hatinya terbuka untuk terus bertudung.

Tambahnya lagi, Aaron kerap kali menghantar video-video dan bercerita tentang hari kiamat menguatkan lagi hatinya untuk berhijrah.

"Sejak kebelakangan ini, Aaron banyak bercerita tentang petanda kiamat dan perkara itu menguatkan hati saya untuk bertudung.

"Sebelum ini memang saya sudah ada niat untuk berubah, cuma hati masih belum benar-benar bersedia," katanya yang belum berkesempatan membeli tudung untuk membolehkan imejnya kelihatan lebih sempurna,” katanya.