Saturday, February 14, 2015

Dr M ketuai PKR?

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata cadangan PKR untuk melantik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai PKR hanyalah strategi untuk memecahbelahkan Umno.

Syed Ali yakin bahawa Mahathir bukanlah “pemimpin murahan dan mudah diperalat” sehingga sanggup menggalas jawatan seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini meringkuk di penjara.

“Cadangan tersebut ternyata sesuatu yang mengarut, tidak waras dan satu provokasi (untuk) memecahbelahkan Umno.

"Saya tidak terfikir bagaimana pembangkang boleh keluarkan cadangan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Ketua Pembangkang yang sebelum ini disandang oleh Anwar.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang,” katanya dalam kenyataan di blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau mengulas gesaan dari kelompok PKR yang menggesa Mahathir menggantikan Anwar di jawatan tersebut.

Spekulasi kerjasama Anwar-PM

Cadangan itu muncul susulan spekulasi bahawa wujud kerjasama di antara Anwar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melihat bahawa perkara itu tidak mustahil terjadi kerana Najib menurutnya mahu menutup kritikan Mahathir dan, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau menimbulkan jangkaan itu apabila melihat Mahathir melancarkan kritikan terbuka ke atas kepimpinan Najib dan turut menimbulkan isu berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB.

Pada masa sama, media arus perdana yang dikuasai BN menyerang sekutu rapat Mahathir, Tun Daim Zainuddin, dan turut membuat liputan mengenai siri pendedahan PKR mengenai kekayaan bekas menteri kewangan itu.

PKR bagaimanapun menolak tanggapan itu dan hanya menganggapnya sebagai satu kebetulan.

Syed Ali juga berpendapat bahawa Mahathir tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan Umno dengan mudah.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang," katanya.

Beliau turut sambil menyindir PKR yang disifatkannya sebagai “perahu usang” yang menunggu masa untuk tenggelam dan "ketandusan" pemimpin yang layak menggantikan Anwar.-mk

Thursday, February 12, 2015

Selamatkah kedudukan Najib dengan terpenjaranya Anwar?

Setelah muktamad hukuman penjara lima tahun dijatuhkan keatas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kesedihan rakyat hampir dapat dirasai di mana-mana.

Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar.

Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu.

Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa di mana juga berkongsi perasaan yang sama.

Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penanggungan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat.

Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga.

Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik.

Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti.

Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua.

Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya.

Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini?

Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi?

Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh?

Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan?

Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi?

Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu?

Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang?

Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO.

Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. -shahbudindotcom

Anwar akan 'keluar' penjara?

Sekalipun dihukum penjara lima tahun kes kesalahan meliwat, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka muncul di khalayak umum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa ini, seminggu selepas dijatuhi hukuman itu semalam.

Perkara tersebut disahkan oleh peguamnya J Leela kepada Malaysiakini hari ini.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri akan dibawa untuk memberi keterangan dalam saman RM100 jutanya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Selain Leela, ketua pembangkang itu turut diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.

Anwar diarah memberi keterangan lagi susulan dakwaan Anifah dalam pembelaannya bahawa beliau (Anifah) ditawarkan RM100 juta untuk memujuk beberapa anggota parlimen BN dari Sabah untuk melompat menyertai Pakatan Rakyat dalam isu 16 September 2008. -mk

Siapa tanding kerusi Pmtg Pauh?

Spekulasi bahawa anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang kini semakin bertiup kencang.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat hanya akan memutuskan perkara itu minggu depan.

Beliau mengelak ketika ditanya jika adiknya itu sememangnya akan bertanding di kerusi berkenaan.

Jelasnya, sidang media pada pagi ini bertujuan untuk memaklumkan tentang perhimpunan 'Berarak Demi Kebebasan' dan tidak berbangkit mengenai calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu.

"Sukar untuk teruskan hidup dalam iklim politik di Malaysia terutama jika anda adalah pembangkang.

"Buat masa ini, ibu saya (Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan saya yang akan memimpin," katanya kepada pemberita.

Sesetengah pihak mendakwa Anwar berhasrat untuk melihat Nurul Nuha bertanding di kerusi kubu kuatnya itu.

Anwar terpaksa mengosongkan kerusi tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Beliau juga sebelum ini didakwa mengamalkan nepotisme kerana jawatan utama dalam PKR diisi anggota keluarganya - Wan Azizah menjadi presiden dan Nurul Izzah menjadi naib presiden.

Jika Nurul Nuha benar-benar menjadi calon di Permatang Pauh, ia mungkin akan menyukarkan Pakatan untuk memilih ketua pembangkang yang baru.

Isu pencalonan berkenaan, dan soal pelantikan ketua pembangkang yang baru bakal menjadi agenda utama dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan, Jumaat depan. -mk

Wednesday, February 4, 2015

Hadi dan Lim setuju bertemu selasai masalah?

Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan Mesyuarat Tertinggi Majlis Permuafakatan pada Ahad ini, kata Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah bersetuju untuk hadir pada mesyuarat itu.

Mesyuarat itu diadakan dua hari sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb berhubung rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Dalam ucapan pada ceramah di perkarangan Pejabat Keadilan Kemaman di Bandar Cukai di Kemaman malam tadi, Anwar berkata mesyuarat itu antara lain akan membincangkan hala tuju PR sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

"Terserah kepada kebijaksanaan kawan-kawan apa nak buat selepas ini kalau apa-apa terjadi (selepas keputusan Mahkamah Persekutuan)," katanya.

Anwar berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan permasalahan berbangkit yang berlaku antara parti dalam PR iaitu PKR, PAS dan DAP.

- Bernama