Suatu kekecohan didakwa berlaku di perkarangan pejabat PAS Semporna apabila sekumpulan lelaki dikatakan menyerang dengan membawa objek seperti kayu besbol, topi keledar, gergaji, besi dan tukul.

Yang Dipertua PAS Semporna Hassan Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian serangan itu.

MNONEenurutnya, serangan itu berlaku tiba-tiba tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan pekan Semporna menuju ke Tawau.

Dakwanya, semasa Anwar berucap di Kampung Perigi, Pemuda BN telah pun memulakan gangguan dengan membuat bunyi bising menggunakan motor yang kemudian berlanjutan kepada serangan di perkarangan pejabat parti.

Hassan berkata, akibat daripada serangan tersebut, seorang daripada ahli parti itu mengalami kecederaan ringan serta beberapa kerosakan pada kenderaan.


Beliau turut mendakwa, serangan itu diketuai oleh dua orang adik kepada salah seorang wakil rakyat.
NONE"Cermin kereta dipecahkan dan dua buah kereta dikemekkan. Motorsikal turut dirosakkan," dakwa Hassan.

Laporan polis telah pun dibuat berkenaan serangan itu.

Menurut laporan yang dibuat oleh anggota PAS Abdul Naib Arrolah, serangan kedua berlaku pada 7.20 petang ketika ahli-ahli PAS sedang solat Maghrib dan solat Hajat di pejabat mereka.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa kumpulan itu mengancam untuk membakar pejabat PAS Semporna.

Polis: Jangan ambil petugas kaki gaduh
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Firdaus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan laporan telah diterima.

"Ada kekecohan berkenaan penggantungan poster dan bendera. Ekoran pekerja merebut tempat. Itu sahaja. Kita dah panggil semua pihak yang bertanding dan semua bersetuju berkempen secara sihat," katanya.

NONEFirdaus tidak dapat mengesahkan jenis senjata yang digunakan kerana tidak berada di tempat kejadian.

"Kadang-kadang yang muda-muda ni ada gelojoh sikit. Tapi tak ada niat apa-apa, hanya provokasi dan sakitkan hati. Tapi bila pakcik dia datang dari PAS, Bebas atau BN, dia sudah bersalaman kerana semua bersepupu," jelas Firdaus.

Polis menasihatkan parti bertanding tidak mengambil petugas parti daripada kalangan kaki gaduh.

BN Semporna akan dapatkan maklumat dulu
Pegawai kepada wakil rakyat yang dikaitkan dengan kejadian tersebut ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas dakwaan itu buat masa ini.

Sementara itu, pembantu kepada calon BN di Semporna Datuk Seri Shafie Apdal berkata mereka tidak dapat mengulas perkara itu kerana sedang berada di Sarawak.

"Kami akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini. Kami akan dapatkan dahulu maklumat berhubung perkara ini sebelum mengulasnya," katanya. -MK