Sunday, September 29, 2013

70 Pelajar Diserang Histeria

Kuantan - Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan mereka.

Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, turut mengalaminya.

Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.

“Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.

“Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati tidak sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.

Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang sama dan salah seorang daripada mangsa maut pada Mei lalu manakala kejadian terbaru pada bulan lalu.

“Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.

“Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian, pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk apabila para pelajar terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.

“Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.

“Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan rawatan,” katanya.

Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang apabila pihak sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.

“Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria terbaring dan kemudiannya sedar kembali selepas ustaz memulihkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

“Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah,” katanya. -SH

BR1M diagih dua kali tahun depan?

Kerajaan cadang beri BR1M dua kali mulai tahun depan, kata Ahmad Husni (kanan). Gambar fail.Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata nilai BR1M hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 25 Oktober ini.

"Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

"Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500 yang diberi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi di Perak hari ini.

Katanya kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

"Kerajaan juga melihat bagaimana mahu membantu golongan ini. Ia lebih kepada konteks apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita juga menyatakan kerajaan akan terus membantu, tetapi kita bantu mereka ini dalam bentuk yang lain, yang ini perinciannya saya tidak boleh beritahu, kita tunggu pembentangan belanjawan nanti," katanya.

Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan oleh kerajaan tahun lepas.

Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib di Parlimen pada 28 Sept 2012, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sementara individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan RM250.

– Bernama

Gadis Syria Dipaksa Mengaku ‘Jihad Seks’

Heboh berkenaan “Jihad Seks” di Syaria. Semakin lama semakin jelas kepalsuannya. Sebelumnya media-media arus perdana dengan gegak gempita – khususnya media-media pro Bashar dan Syiah – memberitakan kes ini. Beberapa media dengan sengaja memberitakan maklumat yang belum jelas kebenarannya tersebut dengan tujuan untuk melemahkan barisan Mujahidin dan dukungan kaum Muslimin terhadap Jihad di Syria.

Sebelumnya media pro Bashar dan Syiah memberitakan tentang adanya fatwa “Jihad Seks” dari ulama Saudi Syeikh Muhammad Al-’Arifi, di mana dalam fatwa itu Syaikh ‘Arifi menganjurkan para perempuan untuk membantu para pejuang Syria dari sisi keperluan syahwat seksual mereka. Namun hal tersebut dinafi dan dibantah keras oleh Syeikh ‘Arifi sendiri.

“Apa yang disiarkan oleh chanel Al-Jadid pengikut Bashar, dan saya yakin ini juga disiarkan oleh chanel-chanel Rafidhah, yang berkaitan dengan kicauan atas nama saya di twitter, tentang fatwa jihad seks di Syria adalah dusta!” tegas ‘Arifi beberapa waktu yang lalu.

Akan tetapi seperti biasa bantahan tersebut dianggap angin lalu oleh para pemuja Bashar dan Syiah Iran. Bagi mereka pejuang Syria gila seks dan harus dipuaskan dengan para perempuan yang merindukan ‘syurga’ dengan “jihad seks” mereka. Termasuk meyiarkan foto seorang muslimat Syria yang dianggap sebagai pelaku “Jihad Seks”.

Setelah itu media pro Bashar mengeluarkan video testimoni perempuan muda yang mengaku telah menjadi ‘hamba seks’ bagi para pejuang Syria anti Bashar, bersamaan dengan adanya kecaman dari pejabat Tunisia yang menyatakan banyak perempuan hamil setelah berjihad seks di kalangan pejuang Syria.

Lamanweb Al-Arabiya Jumaat kelmarin (27/9/2013) mendedahkan maklumat terbaru berkaitan ‘Jihad Seks’ di Syria. Dalam laporan Al Arabiya dikatakan bahwa wanita Syria – yang keluarganya mengatakan diculik oleh pasukan keamanan Syria – telah muncul di television kerajaan dengan bercerita tentang bagaimana mereka diperkosa oleh ‘pemberontak’ atau bagaimana mereka bergabung dengan kelompok al-Qaidah untuk memenuhi keperluan duniawi para pejuang yang telah digambarkan banyak media sebagai “jihad seks.”

“Ayah saya mengatakan kepada saya untuk pergi dan mandi. Sementara saya sedang mandi, seorang lelaki datang, ia tampak lebih tua dari usianya yang 50 tahun, dia hanya mengenakan seluar dalam. Dia kemudian menarik rambut saya dan memaksa saya ke kamar.

Saya menjerit dan ayah saya mendengar teriakan saya, tapi dia tidak melakukan apa-apa,” ujar Rawan Qadah, seorang gadis yang masih di bawah usia 18 tahun, dalam pengakuannya di television pemerintah Syria. Dia menambahkan bahawa ayahnya telah menjual “kehormatan” nya kepada para pemberontak.

Versi yang belum diedit dari video television Syria yang diperoleh Al Arabiya justeru menunjukkan keanehan bagaimana gadis itu dalam pernyataannya diarahkan oleh orang yang berada di belakang kamera untuk membaca kenyataan mereka.

Namun, menurut keluarga Rawan Qadah, anak perempuan mereka telah diculik oleh pasukan keselamatan Syria setelah kembali dari sekolahnya pada November tahun lalu di kota barat daya Deraa.

Penculikannya telah menyebabkan berlakunya kempen petition di lamanweb kempen umum, global Avaaz.

Pengakuan lain yang disiarkan television kerajaan Syria disampaikan oleh Sarah Khaled al-Alawo dari wilayah timur Deir al-Zourr.

Alawo oleh television Syria digambarkan sebagai anggota Jabhah Al- Nusrah. Dalam pengakuannya dia menyatakan bahwa dia melayani tuntutan seksual para ‘pemberontak’ dengan menyebutnya sebagai “jihad seksual.”

Namun keluarga Alawo membantah dengan menekankan bahwa anak gadis mereka ditangkap di kampus Universitinya di Damaksus setelah dia menyatakan pendapat dalam mendukung pemberontakan melawan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Dalam video lain yang diperoleh oleh Al Arabiya sebelum diedit, seorang gadis Syria meminta orang-orang di belakang kamera untuk mengesahkan tanggal “18″ tanggal ketika dia diduga diperkosa oleh para pejuang anti Assad.

DUN Sg Limau: SPR mesyuarat Khamis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis depan (3 Okt) di ibu pejabatnya di Putrajaya untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Kedah.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata SPR menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N.20 Sungai Limau daripada Dewan Undangan Negeri Kedah awal hari ini.

“Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan membincangkan tarikh seperti hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian biasa dan daftar pemilih yang akan digunakan.

“Selepas itu akan diikuti dengan satu sidang media oleh Pengerusi SPR,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak Khamis lepas.

Azizan, bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Allahyarham menjalani rawatan lebih empat bulan berikutan masalah kesihatan yang serius.

- Bernama

Video : Sebuah Pulau Muncul Selepas Gempa Bumi

Khuzdar (Pakistan): Sebuah pulau baru muncul di Pakistan selepas berlakunya gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di wilayah Baluchistan di daerah Awaran pada Selasa lalu yang kelihatan seperti tanah berdebu yang luas.

“Pulau itu setinggi sehingga 100 kaki dan 200 kaki lebar, muncul selepas gempa bumi melanda di bahagian Baluchistan,” kata pegawai kanan pentadbiran Tufail Baluch kepada AFP.

Pegawai itu berkata, pulau yang sama muncul di tempat yang sama di perairan kira-kira 60 tahun lalu tetapi hilang selepas beberapa ketika, yang bermaksud ‘pulau’ sekarang ini mungkin tidak akan bertahan lama.

Ia bagaimanapun tidak menghalang penduduk tempatan menggunakan bot untuk meneroka pulau itu, yang mungkin dilanda lumpur dan pasir.

Saluran televisyen menunjukkan imej kawasan berbatu yang semakin meninggi di atas paras laut, serta orang ramai yang kelihatan hairan dengan kejadian itu berkumpul di pantai untuk menyaksikan fenomena yang jarang-jarang berlaku.

Pulau baru itu tercipta akibat tekanan gempa bumi, kata seismologi John Armbruster kepada NBC News, yang mana katanya ia membawa kepada pembentukan sebuah “gunung berapi lumpur.”

Beliau berkata, pembentukan lumpur itu merupakan kejadian yang wujud berikutan gempa bumi sekuad magnitud tujuh atau lapan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tahap merah pada Selasa, yang memberi amaran bahawa jumlah kematian yang tinggi berdasarkan data sebelum ini, dan kerajaan wilayah mengisytiharkan darurat di Awaran.

“Jumlah kematian akibat gempa bumi mencecah mencapai 208 orang sekarang. Yang cedera adalah lebih 382 orang,” kata Asad Gilani, yang merupakan salah seorang pegawai paling kanan pentadbiran wilayah kepada AFP.

“Pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mendapatkan semula mayat dan mereka yang cedera, tetapi keutamaan kami adalah untuk membawa mereka yang cedera ke hospital secepat mungkin,” katanya.

“Tidak ramai doktor di kawasan itu tetapi kami cuba untuk menyediakan kemudahan secara maksimum di kawasan-kawasan yang terlibat,” kata Jan Muhammad Baledi, jurucakap kerajaan Baluchistan, kepada saluran berita Ary.









20 anggota CEC DAP kekal dalam j'kuasa

Kesemua 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dipilih dalam pertandingan pada Disember lalu mengekalkan keanggotaan dalam jawatankuasa tersebut dalam pemilihan semula hari ini.



MP Kluang Liew Chin Tong memperolehi undi paling banyak dengan 1,438 undi.

Satu-satunya anggota CEC Melayu, Zairil Khir Johari memperbaiki kedudukannya ke tempat ke-12 dengan 1,132 undi.

Zairil sebelum ini menduduki tempat ke-20 dengan hanya 803 undi sementara Liew Chin Tong sebelum ini menduduki tempat ke-14 dengan 984 undi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula hanya berjaya menjadi calon kelima paling popular dengan 1,304 undi walaupun tahun lalu memperolehi undi kedua tertinggi.

Lim ketika ditanya pemberita selepas pengumuman keputusan tersebut malam ini berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya.

"Saya berpuas hati. Jumlah undi (saya) berkurangan mungkin kerana jumlah perwakilan yang datang mengundi juga kurang," katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan dua majlis perundingan baru di bawah CEC iaitu Majlis Perundingan Dayak yang dipengerusikan Dr John Brian Anthony dan Majlis Perundingan KDM (Kadazan Dusun Murut) yang dipengerusikan Dr Edwin Bosi.

Jawatan-jawatan utama lain seperti setiausaha agung, pengerusi kebangsaan dan ketua parlimen kekal seperti sebelum ini.

Pemilihan hari ini yang berlangsung menerusi Kongres Khas DAP diadakan susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menolak keputusan pemilihan Disember 2012.

Seramai 1,731 dari keseluruhan 2,576 perwakilan yang layak mengundi hadir ke Kongres Khas tersebut di Petaling Jaya.

Parti itu mengeluarkan sebanyak 1,725 kertas undi bagi pemilihan hari ini.

Berikut adalah senarai penuh keputusan pemilihan CEC:

Liew Chin Tong (1,438 undi)
Lim Kit Siang (1,436)
Karpal Singh (1,421)
Gobind Singh Deo (1,409)
Lim Guan Eng (1,304)
Chong Chieng Jen (1,294)
Anthony Loke (1,263)
Chow Kon Yeow (1,203)
Fong Kui Lun (1,193)
Teng Chang Khim (1,164)
Tony Pua (1,158)
Zairil Khir Johari (1,132)
Teresa Kok (1,127)
Chong Eng (1,111)
M Kula (1,088)
Tan Kok Wai (1,088)
Teo Nie Ching (1,081)
Bo Cheng Hau (961)
Nga Kor Ming (956)
Ngeh Koo Ham (809)

Berikut adalah senarai sepuluh orang lagi pemimpin DAP yang dilantik ke jawatankuasa tersebut:

Tan Seng Giaw
P Ramasamy
Arifin Omar
Jimmy wong
Vincent Wu
John Brian
Edwin Bosi
Leong Ngah Ngah
V Sivakumar
Thomas Su

Saturday, September 28, 2013

Memalukan..? Kerana Ghairah Najib Tersilap Tweet



Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memuatnaik satu status unik di Twitter @NajibRazak apabila melakukannya dari ibu pejabat Twitter sendiri di San Francisco, California.

Mungkin masih keliru dengan pengalaman berkenaan, Najib telah melakukan satu kesilapan apabila memuatnaik satu lagi status di Twitter, semalam.

Dalam status berbunyi, “Had a good chat yesterday with Mark Zuckerberg at Twitter HQ” Najib menyatakan dia berada di ibu pejabat Twitter sedangkan dalam gambar yang dkepilkan, beliau berdiri bersama Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.







Kesilapan itu bagaimanapun segera disedari beliau dan dibetulkan sejurus kemudian.

Bernama melaporkan Najib memiliki lebih 1.7 juta pengikut dengan rekod lebih 5,000 tweet telah dimuatnaik sekalipun sebelum ini pernah Meld Magazine pernah menyatakan Najib merupakan pemimpin yang paling banyak mempunyai pengikut palsu di Twitter berbanding pemimpin-pemimpin dunia lain.

Portal atas talian itu pernah melaporkan, Najib mempunyai 40 peratus atau 1.41 juta pengikut palsu - bermaksud pemilik akaun yang mempunyai hanya beberapa pengikut dan tweet tetapi mengikuti banyak akaun.

Sebanyak 15 peratus daripada pengikut Najib tidak aktif, menurut laporan yang disiarkan pada 3 Mei sementara 15 peratus lagi dipercayai pengikut asli.

Malaysia Antara Negara Tertinggi Amal Rasuah

Malaysia disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang kerap mengamalkan rasuah dan mengambil jalan pintas bagi mencapai sesuatu sasaran sewaktu dalam kegawatan ekonomi, kata satu kajian baru-baru ini.

Kajian yang dibuat Ernst & Young itu sekali gus menunjukkan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) kerajaan gagal dalam peranannya mentransformasikan bidang ekonomi.

Malaysia dan China berada pada paras teratas dalam skala rasuah menurut penemuan terbaru Laporan Kajian Penipuan Asia Pasifik 2013. Kajian itu dijalankan kepada 681 eksekutif di China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Korea Selatan.

Separuh daripada eksekutif itu berpendapat China, Indonesia, Malaysia dan Vietnam paling banyak terlibat dalam rasuah.

Eksekutif yang terlibat dalam kajian ini mempunyai latar belakang dalam sektor industri, perbankan, peruncitan dan sumber asli.

"Kegiatan penipuan mencatatkan peningkatan dan hal ini tidak berkait di antara polisi ditetapkan dengan pematuhan polisi itu," kata rakan pengurusan dalam laporan tersebut, Chris Fordham.

Kira-kira 39 peratus mendapati rasuah diamalkan secara meluas di Malaysia, dua kali ganda daripada purata Asia Pasifik iaitu sebanyak 21 peratus.

Malah, 29 peratus responden mendapati rasuah yang diamalkan di sini meningkat berikutan keadaan ekonomi yang semakin mendesak dan peningkatan dalam persaingan yang merupakan negara ketiga tertinggi dalam kajian itu.

Laporan itu mendapati sewaktu negara di Asia mengenengahkan polisi anti rasuahnya, pendekatan itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Kira-kira 40 peratus responden mendedahkan syarikat mereka mempunyai etika anti rasuah dan 35 peratus lagi mengesahkan pegawai atasan mereka menyatakan komitmen terhadap polisi tersebut.

"Kajian juga mendapati risiko rasuah meningkat dalam pasaran negara membangun disebabkan kawalan persekitaran lemah dalam pelaksanaan polisi yang berbeza dengan kerangka kerja pematuhan global,” katanya.

Kajian berkenaan turut menunjukkan empat peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju di mana bukan sesuatu yang salah menawarkan ganjaran wang dalam perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang salah satunya mengurangkan amalan rasuah.

Mengapa Mukhriz tidak pilih Ketua Pemuda?

Mengapa Mukhriz tidak pilih Ketua Pemuda?Dato Mukhriz anak Dr Mahathir telah memilih untuk merebut satu dari tiga kerusi Nnaib Presiden dalam pemilihan pimpinan Umno. Mengapa dia tidak merebut jawatan Ketua Pemuda Pergeerakan Pemuda Umno yang pernah ditandinginya dalam pemilihan yang lalu?

Dia tidak dapat mengalahkan Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru dalam pertandingan itu.

Adalah benar jawatan Ketua Pemuda itu dalam rangking pimpinan parti lebih rendah dari Naib Presiden, maka jika berlaku mana-mana kekosongan dalam dua jawatan teratas – Presiden dan Timbalan Presiden – di luar musim pemilihan, maka yang dipandang dulu untuk mengisinya ialah para Naib Presiden.

Meskipun Ketua Pemuda adalah calon yang layak, tetapi tidak dipandang dulu. Maka mungkin itu sebab Mukhriz berminat lagi. Tetapi adakah itu sebab dia tidak memilih jawatan Ketua Pemuda, malah membiarkan seorang yang dikira proksinya, anak Tan Sri Sanusi Joned untuk mencabar seteru ketatnya, Khairy?

Bagi kedua anak beranak tersohor itu, Mukhriz dan bapanya, orang yang paling dicemburuinya adalah Khairy sejak dia belum menjadi Ketua Pemuda lagi. Famili itulah yang mencipta jolokan budak di tingkat empat yang ditujukan kepada Khairy sejak pentadbiran Tun Abdullah dulu lagi. Malah tidak suka itu mungkin melebihi pada bapa mertua Khairy sendiri.

Jika boleh mereka mahu ketepikan Khairy dulu dari bapa mertuanya, sebab mereka percaya Khairy lebih sudu dari senduk dalam perang dingin antara bapa Mukhriz dengan mertua Khairy.

Maka dengan tidak mencabar Khairy kali ini, Mukhriz dan bapanya membiarkan Khairy terus berada dalam salur galur hiraki pimpinan Umno. Pandangan jauh mereka Khairy boleh menghalang peluang Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Jika Khairy tidak dipinggirkan, maka itu adalah satu percaturan politik yang silap.

Menyekat Khairy dalam mood semua tidak senangkan bapa mertuanya adalah lebih senang sebelum dia bertapak dalam kuasa Umno.

Usaha menyekat Khairy itu gagal. Mukhriz tidak dapat menggantikan jawatan anak seorang bekas Perdana Menteri lagi apabila jawatan itu dikosongkannya. Khairy yang mengisinya.

Khairy sudah dikira bertapak kuat dalam Pemuda Umno sekalipun dia dipeti sejukkan sekitar empat tahun oleh pentadbiran pro Mahathir. Dengan dia jadi menteri belia dan sukan empat bulan lalu, dia dilihak lebih berwibawa dari menteri yang digantikannya.

Maka dengan keadaan yang terbaru itu adalah payah bagi Mukhriz untuk mengambil alih tempat Khairy itu. Kira Mukhriz hendak menebus kekalahan dulu, eloklah dilupakan. Gerenti Mukhriz akan dikalahkan.

Dengan menyedari peluang itu tipis dan jawatan itu pula rendah dibandingkan dengan Naib Presiden, maka risiko memilih jawatan Naib Presiden itu tidaklah setinggi mencabar Khairy. Mukhriz nescaya lingkup jika berdepan dengan Khairy.

Bukan semua penyandang Naib itu boleh dikecundangkan. Mungkin ada ruang bagi Mukhriz mencelah. Jika sentimen kelab Menteri Besar seperti yang pernah berperanan sejak 40 tahun dihidupkan lagi, peluang itu ada buat Mukhriz.

Sejak zaman Dato Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor awal 70-an dan dilanjutkan oleh Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu, kelab Menteri Besar itu mahu ada di kalangan Naib Presiden itu dari Menteri Besar, tidak kira Menteri Besar mana negeri, maka kesempatan menjadi Menteri Besar Kedah adalah menjadi peluang baik buat Mukriz.

Dan kalau percubaan Mukhriz itu gagal, ia tidak terasa sangat, kerana yang kalah bukan dia saja. Ada dua lagi yang kalah bersamanya. Tapi kalau kalah di tangan Khiary, terasa sangat.

Harakahdaily

ADUN Luyang keluar DAP

KOTA KINABALU – Teka-teki mengenai masa depan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Hiew King Che bersama parti DAP terjawab apabila beliau mengumumkan untuk keluar daripada parti pembangkang itu semalam.

King Che yang turut mengesahkan akan menjadi wakil rakyat bebas, membuat keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat dengan penyokong-penyokongnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

[GAMBAR & VIDEO] Hidungnya Kini Di Dahi

Beijing: Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Xiaolian mempunyai hidung baru yang tumbuh di dahinya.Xiaolian, 22, menjalani rawatan bagi menggantikan hidung asalnya yang cacat selepas dijangkiti virus di sebuah hospital di Fuzhou, wilayah Fujian.

Xiaolian, mengalami kecacatan di bahagian hidungnya akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu dan doktor yang merawatnya gagal memulihkan hidungnya.

Ekoran nahas yang dialaminya, hidung Xiaolian mengalami jangkitan dan tulang hidungnya terjejas.

Doktor tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menjalankan prosedur yang membolehkan hidung barunya tumbuh di dahi bagi menggantikan hidung asalnya.

Hidung itu direka dengan menanam tisu kulit ke dahi Xiaolian.

Ia dipotong mengikut bentuk hidung dan disokong oleh tulang rawan yang diambil daripada rusuk Xiaolian. Pakar bedah berkata, hidung baru itu tumbuh dengan baik dan pembedahan transplan akan dijalankan dengan secepat mungkin. – Agensi

Calon MT tahu tidak layak hanya melalui media

Kedua-dua calon Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tun Faisal Ismail dan Prof Dato Dr Mohd Zainal mengakui mengetahui tidak layak bertanding hanya melalui media.

Tun Faizal yang mengetahui melalui media Bernama mengakui agak terkejut sebaik saja membaca berita tersebut.

"Saya mengetahui hanya melalui Bernama dan sehingga kini saya masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi dari anggota Jawatankuasa pemilihan Umno,"kata Tun Faisal ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Dr Zainul dalam sidang medianya sebentar tadi.

"Saya mengetahui saya tidak layak setelah membaca akhbar Utusan, dan alasan yang diberikan pada media juga terlalu kabur,"kata Dr Zainul kepada media di PWTC, Kuala Lumpur.

Ura-ura mengenai pengguguran nama dua calon bagi MT Umno itu pada Rabu lalu menimbulkan tanda tanya kerana tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat dari pihak rasmi parti itu.

Bagaimanapun semalam Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh mengesahkan Tun Faisal dan Dr Zainul tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat minimum pertandingan bagi jawatan itu.

"Syarat yang ditetapkan untuk bertanding jawatan MT ialah pernah menjadi AJK Bahagian sekurang-kurangnya sepenggal atau pernah menjadi anggota MT sekali (sepenggal)...sekurang-kurangnya sekali.

"Tetapi kedua-dua Tun Faisal dan Dr Zainul tidak ada dalam kedua-duanya," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mengulas mengenai hal itu, Dr Zainul berkata kegagalan kerana tidak memenuhi terma "AJK Bahagian " merupakan alasan yang mengelirukan.

"Terma AJK Bahagian itu tidak jelas pengertiannya... sepatutnya terma itu perlu diperjelas lebih awal, iaitu merujuk kepada AJK Bahagian induk dan bukannya AJK sayap," kata Dr Zainul.

Beliau bagaimanapun telah membuat rayuan yang dihantar kepada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor dan berharap jawatankuasa pemilih akan mempertimbangkan keputusan itu semula.

"Atas dasar peremajaan Umno saya berharap ajk pemilihan membenarkan saya bertanding, kita sedia maklum ini pertama kali pemilihan terbuka dilakukan saya harap mereka boleh melonggarkan syarat tersebut, untuk memberi ruang kepada muka baru,"kata Dr Zainul lagi.

Sementara itu Tun Faisal turut menyuarakan kehairanan apabila pembatalan dalam pemilihan tidak diberitahu secara rasmi.

Menolak pembatalannya ada kemungkinan wujudnya unsur sabotaj, Tun Faisal menyifatkan beliau hanya merupakan calon "underdog".

Menurut Exco Pergerakan Pemuda Pusat itu surat rayuan beliau juga telah dihantar.

Ditanya apakah tindakan susulan sekira rayuannya ditolak beliau menjawab akan akur dengan keputusan yang diputuskan oleh parti.

"Kalau kata tidak boleh maka kita terpaksa akur namun biarlah penolakan itu disertai dengan alasan yang wajar dan kita berharap undang-undang seperti ini boleh dipinda dalam pemilihan tahun depan kerana amat tidak masuk akal apabila isunya cuma tafsiran perlembagaan saja,"kata Tun Faisal.

Umno mengedarkan senarai nama calon MT yang disahkan bertanding, pada pemilihan Oktober ini yang mengandungi nombor calon 1 sehingga 64.

Namun, nama mereka tidak tersenarai, dengan nombor 11 dan 60 dibiarkan kosong dalam senarai itu. – TMI

Thursday, September 26, 2013

Pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

Siapa Bumiputera yang Umno maksudkan? Bumiputera itu maksudnya Melayu. Melayu didahulukan daripada Bumiputera bukan Melayu. Melayu Umno didahulukan daripada Melayu bukan Umno. Maka, bila Umno bercakap mengenai Bumiputera dan Melayu - tidak semesti yang dimaksudkan itu, Melayu kebiasaan. Seperti yang saya katakan banyak kali, 4 juta lebih Melayu kali ini tidak menyokong Umno secara keseluruhannya.

Apa boleh kita buat, ini standard pemikiran pemimpin Umno. Kenalah kita terima sehingga kelompok berminda seperti ini disingkirkan. Beberapa minggu sudah berlalu sejak Najib berucap mengisytiharkan pelan Memperkasakan Ekonomi Bumiputera. Ia memberi peluang kita meneliti pelan tersebut dengan lebih teliti dan rapi. Ada beberapa unsur yang baik dalam pelan itu. Sayang sekali, saya percaya, pelan itu akan mengalami nasib yang sama dengan DEB-1. Pelan ini suatu retorik politik. Ia dimunculkan dengan tergesa gesa untuk Najib buat pengisytiharan.

Apa punca utama ia akan gagal? Sebab prinsip asasnya tidak betul. Prinsipnya ialah habuan/hadiah kehidupan tidak akan datang melalui penggubalan undang-undang dan peruntukan di bawah undang-undang. The Reward System cannot be legislated or arranged by setting out laws and regulations. Mengayakan orang Melayu mesti dilakukan dengan meletakkan sumber pengkayaan secara langsung dalam tangan mereka yang mahu dikayakan. The Reward System must be based on qualifications- those not academically inclined qualify to get rewards by sheer hard work and diligence; those who are academically and technically competent are rewarded in accordance to their marketed talent.

Siapa yang perlu dikayakan sekarang ini juga? Yang perlu dikayakan ialah 40% rakyat Malaysia yang hidup dengan pendapatan bulanan kurang RM1,500 sebulan. Yang memerlukan kedai ialah pewarung yang berniaga di merata tempat. Mereka hanya mampu bayar mungkin RM500-RM1,000 sebulan. Yang memerlukan latihan dan latihan semula ialah lepasan tingkatan 5 yang tidak ada kelayakan akademik yang tinggi. Mereka akan berada pada kedudukan mengayakan diri 2-4 tahun yang akan datang jika ekonomi ketika itu boleh menyerap mereka kedalam pertumbuhan ekonomi. 2-4 tahun sedangkan 10 juta orang Melayu memerlukan pengkayaan sekarang!

Saya bukan bercakap mengenai mereka yang kurang upaya, warga emas, golongan kekurangan serba serbi yang memerlukan bantuan kebajikan sosial. Mereka ini semua mesti terus dibantu. Itu sebabnya kita ada sistem jaringan keselamatan sosial.

Kelompok yang saya maksudkan ialah kelompok yang able bodied yang mahu berkerja dan berusaha , mahu melayakkan diri untuk mendapatkan habuan hidup, mahu berdikari tapi tidak ada sumber pengkayaan. Mereka tidak ada perumahan, tanah, alatan kelengkapan dan modal kewangan. Berikan mereka perkara ini semua secara langsung, maka kerajaan tidak memerlukan suatu pelan yang penceritaan dan pencanangannya hebat, tapi pelaksanaannya lemah .

Pelan mengayakan Melayu dan pemilihan Umno

Sekarang ini, apa sahaja kenyataan oleh pemimpin Umno, kita kena lihat dalam konteks pemilihan Umno. Semua yang mahu bertanding akan menunjukan mereka lebih Melayu daripada Melayu lain. Maksud saya sesama Melayu Umno.

Tiga penyandang bermuafakat dan menyatakan mereka perlu dipilih semula untuk mendokong dan mengembangkan wawasan Najib. Mereka yang lebih layak dan ada kerasian meneruskan wawasan Najib.

Apa dia wawasan Najib? Yang terbaru ialah pelan Memperkasakan Ekonomi Bumiputera. Tidak ada pelan lain yang meminatkan Melayu Umno daripada suatu pelan yang mengayakan mereka.

Kita kena faham bahawa dalam Umno, perjuangan pemimpinnya bukan kerana suatu idealisme atau ideologi. Umno tidak ada ideologi. Perjuangan dalam Umno ialah perlumbaan mendapat kuasa dan kedudukan. Sebab daripada kuasa dan kedudukan, yang dipilih akan dapat memberi naungan dan habuan kepada penyokong. Mukhriz Mahathir misalnya - berkata bahawa kerajaan negerinya tidak akan bantu sekolah Cina sebab Cina menolak MCA. Dia mahu berlaku adil, tapi dia mesti tolong orang yang sokongnya dahulu, kalau ada lebih, baru tolong orang lain. Inilah dia dia quotient kenegarawanan yang ada dalam diri Mukhriz.

Jadi kita tengok, semua orang berlumba-lumba menunjukkan mereka lebih Melayu berbanding Melayu lain. Isa Samad, Ali Rustam semua menunjukkan kemelayuan mereka. Kerana itu, orang Melayu bila dengar omongan Najib tentu gembira. Suka hati kerana Najib buat banyak langkah untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu. Inilah peluang mengayakan diri dan memaksa pelaksanaan, pemberian lesen, monopoli dan keistimewaan lain atas nama mendepankan kepentingan ekonomi bangsa Melayu.

– sakmongkol.blogspot.com

Siapa orang bodoh dalam Umno yang Mahathir maksudkan?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus melontarkan kritikannya terhadap Umno. Jika sebelum ini beliau mengatakan Umno sebagai parti yang sudah tua dan akan mati, kali ini pemimpin Umno yang sudah lama memegang jawatan pula dijadikan sasarannya.

Walaupun hujah Mahathir yang mengatakan Umno sudah tua dan bakal mati itu disanggah oleh Najib dengan mengatakan Umno sebenarnya semakin diterima rakyat berdasarkan lebih kerusi dimenanginya dalam pilihanraya lalu berbanding pilihanraya 2008, namun Mahathir nampaknya terus juga melontarkan kritikannya.

Beliau yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata, seseorang pemimpin tidak seharusnya memegang kuasa terlalu lama dan perlu mengetahui bila waktunya mahu berhenti.

Langkah itu, menurutnya perlu dilakukan untuk mengelakkan parti daripada terus dikuasai oleh orang-orang bodoh.

Tidak pasti siapa yang dimaksudkan oleh Mahathir sebagai golongan pemimpin yang tidak perlu memegang kuasa terlalu lama dan harus mengetahui waktu untuk berundur itu. Adakah beliau maksudkan kepada Najib? Atau barangkali ditujukan kepada Muhyiddin?

Memang Najib sudah berusia 60 tahun manakala Muhyiddin pula sudah berusia 64 tahun, tetapi mereka baru saja sepenggal menjadi Presiden dan Timbalan Presiden Umno? Apakah jika lebih lama Najib dan Muhyiddin memimpin Umno, mereka akan termasuk dalam kategori orang bodoh juga?

Oleh kerana anaknya, Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan kali ini, apakah sebenarnya Mahathir sedang menghantar isyarat kepada perwakilan agar menolak calon-calon berusia yang bertanding jawatan itu? Dengan Mukhriz berusia 49 tahun, Hishammuddin 52 tahun, Shafie Apdal 54 tahun, Zahid Hamidi 61 tahun, Isa Samad, 63 tahun dan Ali Rustam, 64 tahun, apakah tujuan Mahathir sebenarnya mahu perwakilan Umno menolak mereka yang berusia lebih 60 tahun itu?

Atau Mahathir menujukan perkara itu kepada ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara yang masih lagi mahu bergayut pada jawatan masing-masing meskipun sudah sekian lama memegang jawatan tersebut?

Mahathir kini dilihat begitu kerap bersuara tentang perlunya Umno menerima golongan muda. Semua kritikan dan pandangannya mengenai masa depan Umno sering kali berakhir dengan jalan penyelesaianna ialah perlu menerima dan membawa masuk lebih ramai golongan muda ke dalam parti itu. Meskipun perkara itu ada kebenarannya tetapi oleh kerana anaknya bertanding kali ini, orang sering membuat tafsiran bahawa beliau sedang berkempen secara tidak langsung untuk memastikan kemenangan anaknya itu.

Oleh kerana beliau begitu kerap bercakap mengenai keperluan orang muda dan pemimpin tidak perlu memegang jawatan terlalu lama, orang juga mula tertanya-tanya, apakah langkah Mahathir selepas pemilihan Umno ini berakhir?

Berdasarkan kehendak semasa dalam Umno sekarang, Mukhriz memang dilihat tiada masalah untuk mengisi salah satu slot Naib Presiden itu. Kejayaan BN menawan semula Kedah dan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah telah melonjakkan imejnya di mata umum. Tetapi apakah Mahathir sudah berpuas hati sekadar anaknya menjadi Naib Presiden saja?

Apakah Mahathir akan meneruskan strategi memaksa Najib ataupun barang kali Muhyiddin berundur pula selepas ini sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah dahulu?

Dalam beberapa pendekatan yang dilakukan Mahathir sebelum ini, beliau jarang bercakap tanpa maksud tertentu. Beliau didapati kerap bercakap soal perpaduan dan perpecahan Melayu sebelum mempelawa Tengku Razaleigh menyertai Umno dan membubarkan Semangat 46.

Beliau juga kerap bercakap mengenai sejarah Julias Ceaser dan Brutus sebelum menikam dan membunuh karier politik anak didiknya sendiri, Anwar Ibrahim.

Apabila sekarang beliau kerap bercakap mengenai masa depan Umno yang buruk, pemimpin perlu tahu untuk berundur, Umno dikuasai oleh orang-orang bodoh, keperluan membawa pemimpin muda dan seumpama dengannya, langkah Mahathir yang seterusnya sedang dinanti-nantikan oleh ramai orang.

Orang juga ingin tahu siapakah orang pandai yang dirasakan layak oleh Mahathir untuk memimpin dan membaik pulih Umno untuk masa depan. Dalam hal ini, Mahathir dipercayai akan terus mengkritik dan bercakap mengenai buruknya wajah Umno sekarang. Di mata Mahathir, Najib dan kebanyakan pemimpin Umno yang lain belum lagi menepati citarasanya walaupun di era Najiblah beliau lebih dihargai dan anaknya juga mendapat kedudukan yang lebih baik lagi.
Barangkali elok juga ditanyakan soalan, apa lagi Mahathir mahu?

– shahbudindotcom.blogspot.com

Mungkinkah RON95 naik lagi?

Orang ramai boleh menjangka kenaikan selanjutnya pada harga petrol RON95 dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api negara.

Langkah ini juga membantu usaha mengurangkan penyeludupan petrol ke negara-negara jiran, kata Presiden Persatuan Pengedar Petroleum (PDAM), Datuk Hashim Othman.

"Penyeludupan petrol dan diesel adalah berikutan bahan api ini lebih murah di Malaysia," kata beliau kepada Bernama.

Menurut laporan akhbar, Unit Anti Penyeludupan Kedah (UPP) pada Jumaat lepas melumpuhkan percubaan menyeludup 27,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM54,600 ke Thailand.

Di sebalik usaha untuk membantu orang ramai menerusi subsidi, beliau kesal terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan daripadanya.

Presiden PDAM itu berkata, pengurangan subsidi itu boleh menghalang mereka daripada menjalankan aktiviti itu.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan harga baharu bagi RON95 dan diesel dengan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.10 dan RM2.00 daripada RM1.90 dan RM1.80.

Harga ini masih dianggap murah berbanding negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

PDAM baru-baru ini mencadangkan penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak digunakan oleh kerajaan untuk menghapuskan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans untuk kereta dengan kapasiti enjin kurang daripada 2,000cc.- Bernama

K'jaan Bazir RM15 Juta Taja Kelab Bola

Perbelanjaan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjumlah £3 juta atau melebihi RM15 juta melalui penajaan jersi “Front of Shirt Sponsorship” adalah tidak wajar dan membazir.

Penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City milik ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan (gambar) untuk tempoh setahun.

Perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom khususnya Negara Eropah Barat.

vinni-tan_getty_2645418bMungkin perbelanjaan tersebut menjurus kepada bantuan kerajaan yang disalurkan kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang memiliki secara langsung Kelab Bola Sepak EPL Cardiff City tersebut. Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak EPL Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain?

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff.

Peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawab dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana atau sekurang-kurangnya dilaburkan kepada latihan-latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa.

Rujukan:

Jawapan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan di Dewan Rakyat pada 24 September 2013

Soalan:

YB Tuan Hee Loy Sian minta MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN menyatakan:-
a) Jumlah perbelanjaan Kerajaan daripada menaja jersi Kelab Bolasepak Cardiff City dan tempoh penajaan; dan
b) Bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia.

Jawapan:

Datuk Seri Mohamed Nzari Abdul Aziz
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

Tuan Yang di-Pertua,

a) Kos keseluruhan bagi menaja “Front of Shirt Sponsorship” ini adalah sebanyak £7.35 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2013/2013.
Nilai publisiti dan perhubungan awam yang dianggarkan dapat diperolehi daripada penajaan ini di peringkat global adalah seperti berikut:
i) Jumlah penonton televisyen seramai 720 juta orang;
ii) Masa siaran tayangan televisyen sebanyak 217,000 jam; dan
iii) Melibatkan lebih 80 rakan penyiar (broadcasting partner) antarabangsa.

Penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan.
b) Melalui penajaan jersi Kelab Bola Sepak Cardiff City Football Club telah dapat memperkasakan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 secara global serta menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Destination mencapai sasaran ketibaan pelancong. Program kerjasama ini juga berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya hih end tourist daripada negara pasaran khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta oranfg pada tahun 2014. Pasaran pelancong-pelancong daripada United Kingdom dan Eropah merupakan pasaran long haul yang utama bagi Malaysia. -KD

Gambar Penghormatan Terakhir Buat Allahyarham Ust. Azizan

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat menziarahi jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Razak di Dewan Kompleks PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, jam 4.05 petang tadi.

Tengku Bendahara Kedah turut menziarahi jenazah Allahyarham pada jam 3.50 petang.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan para pemimpin PAS di semua peringkat.

Orang ramai turut berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan sebaik selesai solat Asar. -HD



Kini kempen dalam PAS paling teruk?

"Sepanjang 35 tahun saya berada dalam PAS iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, apa yang berlaku dalam PAS sekarang amat mengejutkan terutama mengenai perubahan minda di kalangan ahli PAS.

"Saya terkejut dan hairan dengan perubahan minda ahli PAS terhadap muktamar dan kepimpinan parti," katanya dalam satu wawancara khas dengan The Malaysian Insider.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas pendekatan kempen yang dibuat sesetengah ahli dan pemimpin PAS bagi menghadapi Muktamar ke-59 November ini di Shah Alam, Selangor.

Pelbagai kempen dijalankan oleh ahli PAS termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui oleh masing-masing dengan menjadikan Facebook, sms dan blog sebagai medan utama.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, dalam PAS ada tatacara pemilihan walaupun tidak dilembagakan.

Katanya, ia menjadi satu kefahaman umum bahawa kempen terbuka tidak digemari dan tidak dizinkan walaupun tidak dilembagakan.

Tetapi kini, katanya, ia sudah menjadi trend baru di kalangan ahli PAS.

"Saya sendiri sebagai ahli veteran kadang-kadang terpinga-pinga melihat perkembangan terbaru dalam parti ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap perkembangan ini bukan berpunca daripada unsur luar yang masuk menyerap ke dalam PAS atau cuba diambil kesempatan oleh pihak luar atas keterbukaan PAS selama ini.

Beliau berkata, perkara ini boleh dilihat sejak sebelum pilihan raya umum ke 13 Mei lalu lagi.

Ketika itu, katanya, sudah disebut di kalangan pimpinan dan ahli PAS orang ini layak memimpin, orang ini tidak layak, malah label juga diberikan kepada kepimpinan parti.

Mohamad berkata, “penyakit” sebegini sebelum ini dihadapi oleh Umno pada 1980-an iaitu label komunis diberikan kepada tokoh kepimpinan mereka.

"Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Samad Ismail dilebelkan sebagai komunis. Tun Dr Mahathir pun nyaris ditangkap oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie," katanya.

Kisah itu turut dinyatakan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali melalui bukunya yang antara lain menyatakan soal siasat terhadap beliau menyelamatkan Dr Mahathir.

"Betul atau tidak hal kedua kerana yang penting label komunis boleh jejaskan seseorang untuk dipilih sebagai kepimpinan Umno," kata Mohamad.

Sekarang ini, katanya, “penyakit” itu melanda PAS pula.

"Untuk menjatuhkan sesaorang pemimpin PAS, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua liberal," katanya.

Beliau berkata, tuduhan itu bukan hanya menerusi laman web atau Facebook sahaja tetapi dalam pertemuan yang dinamakan Liqa' Fikri.

"Saya rasa trend ini kurang sihat dan kami kepimpinan parti sedang memerhatikan perkara ini dan bagaimana langkah hendak diambil bagi mengatasinya," katanya.

Mohamad berkata, ketika beliau dalam Pemuda PAS dahulu, perbezaan pendapat sebegini juga berlaku tetapi tidak seteruk sekarang.

"Saya dahulu berbeza pendapat dengan (Datuk) Abu Bakar Chik dan Halim Arshat tetapi kami boleh duduk bersama dan membuat program menghadapi Umno," katanya.

Katanya, pertandingan dalam parti sepatutnya untuk dinilai bukan saling menyingkirkan dan melabelkan antara satu sama lain.

"Ini trendnya dan saya hairan bagimana ia muncul. Jika tidak ditangani dengan baik dalam masa terdekat kita bimbang masa depan PAS yang dilihat cemerlang sekarang ini akan kabur di masa depan," katanya. -TMI

Ustaz Tan Sri Azizan Dalam Kenangan

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan bin Abdul Razak , 69, meninggal dunia pada jam 11:15 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Ustaz Azizan merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

Pada 16 Julai 2008, Ustaz Azizan telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran “Datuk Seri”.Pada 1 Jun 2013 beliau telah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang menerima gelaran Tan Sri.

Ustaz Azizan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Beliau pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1966. Fasih bahasa Filipina

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina.

Beliau mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England. Pada tahun 1986 beliau bergiat aktif dengan PAS di Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) selama lima penggal mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

Ustaz Azizan memang diketahui mengalami masalah kesihatan. Ini menyebabkan terdapat khabar angin beberapa pihak yang mahu beliau digantikan dengan orang lain. Datuk Mukhriz Mahathir selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah pernah menggesa Azizan digantikan oleh Exco Datuk Amiruddin Hamzah kerana kesihatannya terjejas. Presiden PAS, Datuk SeriAbdul Hadi bin Awang menjelaskan tiada cadangan itu setakat ini.

Menafikan

Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan beliau tidak profesional berbanding Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah.Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hutang dengan kerajaan pusat untuk bayar gaji. Hasil balak sampai RM70 juta setahun. Masa BN cuma RM8 juta. Banyak pula buat projek membazir. BN bagi JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) guna duit pusat.

“Saya bagi MKK (Majlis Keselamatan Kampung) guna duit kerajaan negeri. Kerajaan PAS Kedah tidak boleh banyak buat pembaharuan kerana hanya menang 16 kerusi (PAS 16 , PKR 3 dan BN 11).Manakala PAS Kelantan mentadbir lebih 30 tahun dengan banyak majoriti,” katanya.

Larangan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadan ditarik balik selepas berunding dengan Exco PKR S. Manikumar dan Lim Soo Nee.Sebelum itu, kerajaan mahu melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya.Enakmen itu diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan BN tetapi BN sendiri tidak menguatkuasakannya .

13 jenis hiburan itu termasuklah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko. MCA dan Gerakan mambantah larangan itu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu membawa larangan itu mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar Pakatan Rakyat ekoran isu hiburan itu. Kaum Cina merayakan “Festival Hantu Lapar” pada bulan Ogos.

Pembedahan

Ustaz Azizan mahu mendedahkan pihak yang menyebabkan Kedah kerugian berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air .Pada 5 Oktober 2010,Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad menggesa laporan dibuat kepada SPRM. Sebelum ini PAS dipertikaikan kerana menaikkan tarif air.

Ustaz Azizan diketahui menghidap penyakit kencing manis sejak sekian lama. Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.[Atas sebab itu, beliau terpaksa selalu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan, sehingga pernah mempengerusikan mesyuarat penting di hospital.

Pada Ogos 2011, Ustaz Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI(pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Manakala pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kakinya. Beliau dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei.

Kekalahan kerajaan PAS Kedah pada pilihanraya umum lalu dikatakan kerana perebutan kuasa di antara golongan ulama, Ustaz Azizan dan golongan profesional, Amiruddin Hamzah untuk menjadi Menteri Besar. BN Kedah berjaya mengekpolitasi isu ini dan berjaya menumbangkan kerajaan PAS.

Pada 5 Mei lalu Ustaz Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi mengalahkan calon BN, Mohd Fadzillah Mohd Ali dan dua calon Bebas, Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad.

Ustaz Azizan mendapat 13,294 undi manakala Mohd Fadzillah memungut 10,520 undi. Abdullah (Bebas) mendapat 100 undi dan Sobri mendapat 84 undi.

Dengan kematian Ustaz Azizan, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Alfatihah buat beliau. -FMT

Benarkah MB S'ngor Sudah Terlupakan Jasa PAS?

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim terlihat tidak matang apabila seakan-akan melenting dengan teguran Pemuda PAS Selangor yang mempersoalkan kemerosotan pasukan bola sepak negeri itu sehingga gagal masuk ke peringkat suku akhir dan mengaitkannya dengan kekurangan penajaan dan menyebabkan ramai pemainnya berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan.

Dalam jawapan balasnya terhadap kritikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan itu, Khalid menjelaskan bahawa syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) menyalurkan kira-kira RM7 juta setahun kepada pasukan bola sepak negeri atau dalam erti kata lain melebihi kos pembinaan sebuah masjid.

"Bermakna adakah Pemuda PAS berminat kita buat masjid atau menggalakkan bola sepak. Kita kena buat pilihan," kata Khalid lagi.

Sesiapa pun yang membaca kenyataan Khalid itu pasti akan geleng kepala, kalau pun tidak memaki dan menyumpah seranah terhadapnya. Apa kaitannya pembinaan masjid dengan pembangunan bola sepak? Penasihat kerajaan negeri Selangor, Anwar Ibrahim yang sedang berada di luar negara sekarang juga pastinya turut geleng kepala dan sedikit terganggu percutiannya dengan kenyataan Khalid yang tidak matang dan dan separuh masak itu.

Dalam erti kata lain, jika sebelum ini ada menteri yang mengatakan tukarlah makan ikan dan daging kerana harga ayam sudah mahal, tanamlah sayur kerana sayur mahal, pindahlah ke luar negara atau duduk dalam hutan jika tidak setuju dengan undang-undang dan sistem pilihan raya, jangan beli rumah jika rumah begitu mahal, gula akan dinaikkan harganya kerana rakyat banyak penyakit kencing manis dan sebagainya lagi, ternampak bahawa Khalid juga sudah dijangkiti aliran pemikiran yang sama sekarang ini.

Tiada jauh bezanya beliau dengan menteri-menteri Umno yang selama ini mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dalam sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Khalid jelas tidak boleh ditegur dan dikritik sedangkan niat Pemuda PAS membuat teguran itu adalah dengan niat yang baik, lebih-lebih lagi pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat dengan sejarahnya sebelum ini dan kegagalan memasuki peringkat suku akhir adalah sesuatu yang memalukan.

Jika tidak dibendung dan tidak diperbaiki segera serta pemain bola sepak yang berbakat pula dibiarkan dipancing oleh pasukan lain yang mempunyai dana lebih besar, tidak mustahil musim depan pasukan Selangor lebih merosot prestasinya dan mungkin untuk masuk ke pertandingan Piala Malaysia pun tidak layak.

Dalam hal ini, teguran dan kritikan Pemuda Selangor tidak ada salah dan celanya, lebih-lebih lagi PAS dan PKR bersama-sama berada dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Teguran Pemuda PAS tentunya bukan saja kerana merasakan mereka adalah rakan dalam gabungan tetapi juga kerana Khalid dan kerajaan negeri selalu berbangga sebelum ini dengan kemampuan mengumpulkan rizab tunai melebihi RM2 bilion yang digambarkah sebagai tanda aras pentadbiran yang cekap, berhemah dan telus.

Tetapi tentunya tiada gunanya berbangga dengan rizab sebanyak itu jika untuk pembangunan bola sepak pun terlalu berkira dan menjadi haji bakhil sehingga digambarkan jika pembangunan bola sepak terpaksa menggunakan dana yang melebihi RM7 juta, maka pembinaan masjid akan terjejas.

Bukankah antara tujuan berjimat cermat dan mengumpulkan tabungan itu supaya akhirnya duit itu dapat dibelanjakan untuk faedah rakyat dan kepentingan negeri dan membangunkan bola sepak serta mencipta kejayaan adalah juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri yang membangkitkan rasa banggga di hati rakyat.

Tentulah lebih membanggakan lagi jika di ketika bola sepak terus mahu, syiar Islam dan pembinaan masjid juga tidak tergendala.

Tolonglah Khalid, janganlah buat lawak yang membuatkan rakyat jadi meluat. Perbandingan antara bola sepak dan masjid langsung tidak kena dan memalukan rekod serta prestasinya sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang dibanggakan selama ini.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, janganlah bandingkan bola sepak dengan masjid. Macam menghina agama pula bunyinya dan seolah-olah mengeluarkan lebih daripada RM7 juta untuk bola sepak merupakan suatu dosa besar sedangkan ada tabungan berjumlah RM2 bilion. Apakah rizab tunai RM2 bilion itu mahu disimpan dalam bank saja?

Kenyataan Khalid ini turut menimbulkan rasa kurang senang Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang segera menyindir dalam Twitternya dengan antara lain menulis, "jom kita bermain bola sepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid".

Di kalangan rakyat biasa juga ramai yang bersungut dan mencebik bibir kepada Khalid atas kenyataan tidak matang dan sikap haji bakhil yang ditunjukkan itu. Malah ada yang bertanya, apa sudah jadi Khalid sekarang sedangkan dulu sikap dan perangainya tidaklah sebegitu?

Dalam menempelak Pemuda PAS yang berniat baik membuat kritikan demi pembangunan bola sepak negeri Selangor serta dalam masa yang sama membuat perbandingan tidak logik antara bolas epak dan masjid, Khalid juga seharusnya tidak lupa bahawa kerusi yang didudukinya sekarang ini adalah atas ehsan PAS juga berikutan PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihan raya umum lalu.

Hanya atas dasar kesepakatan dan memikirkan PAS sudah ada Kelantan untuk ditadbir dan DAP ada Pulau Pinang, maka persetujuan diberi kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar di Selangor supaya masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi melihat cara Khalid melibas Pemuda PAS seolah-olah beliau terlupa budi dan jasa PAS itu. – shahbudindotcom

Wednesday, September 25, 2013

Video : Pak Cik "Guard" yang Dimaki Hamun Isteri Mat Yo.



Kejadian seorang isteri pemain bola sepak kebangsaan memaki hamun seorang pengawal keselamatan menjadi viral apabila video yang dimuat naik oleh wanita tersebut mendapat perhatian ramai hari ini.

Pelbagai kata biadap yang dilemparkan oleh isteri Nor Shahrul Idlan Tallaha atau dikenali sebagai Mat Yo terhadap pengawal di Lapangan Terbang Subang Skypark, di sini.



Bagi mendapatkan kisah sebenar bagaimana isu ini boleh tercetus, wartawanMynewshub.my berjaya menjejaki pengawal keselamatan yang dimaki hamun menerusi video berdurasi selama 55 saat itu.

Menurut Azman Mohd Nayan, 49, kejadian berlaku pada jam 12 tengahari pada 12 September lalu.

Katanya, dia menegur tindakan pasangan tersebut yang meletakkan kereta mereka di kawasan yang tidak sepatutnya.

Jelasnya, pada mulanya pasangan tersebut dilihat berborak hampir 10 minit.

Lalu, kata Azman, dia meminta mereka meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya jika mereka hendak berada lama di situ.

” Saya cakap pada mereka sekiranya lambat lagi, mereka perlu ‘park’ kereta di tempat sepatutnya.

” Dia kemudiannya memaki hamun saya, kata saya ‘tak guna’ sampailah perkataan jantan dayus pun keluar.

” Muka cantik tapi tiada adab, suaminya yang ada di sebelah hanya mendiamkan diri tidak berbuat apa-apa,” jelasnya di sini hari ini.

Selepas insiden tersebut, Azman berkata, pemain bola sepak kelab Johor Darul Takzim (JDT) itu tidak mahu bersalam dengannya walaupun dia cuba berbuat demikian.

” Lepas itu saya nak pergi jumpa lelaki dia, nak minta maaf lebih kuranglah, mungkin saya pun terkasar atau apa-apa.

” Bini dia tetap rakam gambar saya dan maki hamun saya. Saya tak boleh terima dan saya tak nak dia ambil gambar saya, saya tepislah gambar tu (kamera).

” Lepas tu dia keluar, dia tendang saya, lelaki dia tolak saya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut insiden itu, Azman berkata, dia tidak begitu mengenali lelaki tersebut adalah Mat Yo kerana tidak mengikuti perkembangan bola sepak tanah air.

Difahamkan kedua-dua pihak yang terlibat telah pun membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

“Dah report dah, saya buat report, dia pun buat report, sekarang ini saya tunggu (tindakan) dari dia.

“Di sini ada CCTV, bila polis dah tengok, bos saya dah tengok, semua orang dah tengok memang betul bini dia tendang saya (di celah kangkang). Suami dia tolak saya,” jelasnya lagi.

Menurut Azman, isteri Mat Yo juga mendakwa dirinya seorang kerabat sambil menunjukkan plat kereta Mini Cooper yang dipandunya mempunyai lambang kerabat diraja.




Sumber: MyNewsHub

Siapa mengalah, siapa bertahan?

Tempoh bertenang 72 jam akan tamat pada pukul 5 petang hari ini. Siapakah daripada senarai khususnya 261 mereka yang menyerahkan borang pencalonan peringkat UMNO Pusat Sabtu lalu, bakal menarik diri akan diketahui selepas 5 petang ini. Dan berkemungkinan diumumkan secara rasmi esok (Rabu 25 September).

Adakah terdapat calon Naib Presiden daripada enam orang akan menarik balik pencalonan mereka? Tetapi bagi yang mahu menjadikan kerjaya politik darah daging mereka akan terus bertahan dan kekal dalam senarai sehingga ke hujung bulan ini dan 19 Oktober nanti.

Kelmarin, Ahad 22 September, penulis sempat menghubungi seorang pegawai di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn mengenai perkembangan semasa pencalonan.

Katanya: "Saya terima banyak panggilan daripada individu tentang bagaimana cara hendak menarik diri. Ini bukan setakat yang bertanding di Pusat sahaja (MT dan sayap-sayap parti) tetapi banyak juga di peringkat bahagian.

"Cara nak tarik diri mudah sahaja, iaitu sama ada anda menelefon ibu pejabat UMNO memaklumkannya. Atau bercakap secara terbuka kepada media dan disiarkan percakapan itu. Jika itu dibuat, penarikan diri diterima secara rasmi oleh ibu pejabat parti," kata pegawai itu kepada penulis.

Apa pun kepada yang empunya diri, tanyalah diri sendiri adakah anda mahu mencapai sasaran selepas melalui pelbagai perjuangan dan persaingan.

Bagi kebanyakan menteri UMNO, mereka akan menawarkan diri untuk kerusi-kerusi Majlis Tertinggi, badan tertinggi pentadbiran parti itu. Jika seorang menteri gagal memenangi kerusi di dalamnya, maka kedudukan beliau dalam Kabinet hanya menunggu masa sahaja.

Secara umumnya, satu atau dua dekad lalu, andaian ini boleh dianggap benar. Sebagai satu amalan, seorang yang bukan ahli MT jarang diberi peluang untuk berkhidmat dalam Kabinet. Dalam Kabinet Pak Lah, terdapat hanya empat menteri UMNO yang bukan ahli MT parti. MT adalah satu forum di mana dasar-dasar parti yang penting dibincangkan.

Kedudukan menteri-menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Dr. Rais Yatim merupakan pengecualian daripada kelaziman ini. Ini kerana selepas tewas pertandingan merebut kedudukan Naib Presiden pada tahun 2000, kedua-dua menteri ini tidak lagi menjadi ahli MT sejak 1999 hingga 2004.

Pernah di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri yang tewas atau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada Mac 2009, telah dilantik oleh Presiden untuk duduk di dalam MT. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Rais dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, antara yang termasuk dalam kategori ini.

Baik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Najib tidak menganggap ia mustahak untuk memberi isyarat kepada menteri-menteri bukan ahli MT, iaitu jika mereka mahu kekal sebagai anggota Kabinet, mereka mesti menang kerusi MT.

Mungkin pemimpin-pemimpin ini sedar bahawa ahli-ahli Kabinet yang telah cuba dan gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kedudukan dalam MT, keperluan untuk menggantikan mereka tidak timbul.

Sebaliknya, jika ini dijadikan dasar, ia mungkin keras dan boleh menjejaskan gabungan yang sihat, yang benar-benar berkebolehan. Tetapi corak ini nampaknya tidak diguna pakai dalam proses lantikan menteri-menteri daripada parti-parti komponen BN lain.

Semua menteri mewakili MCA, MIC, SUPP dan lain-lain dalam keluarga BN memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.

Tanpa segan-silu, ia perlu dinyatakan, tanpa kedudukan parti yang diperlukan, menteri-menteri bukan ahli MT UMNO akan terasa janggal bila menghadapi isu-isu politik yang membabitkan orang Melayu. Menteri-menteri dalam kalangan ini, diakui tidak akan mencapai tahap optimum dalam kepimpinan kerajaan, walaupun cemerlang dalam portfolio tertentu.

Seseorang perlu menjadi orang penting dalam parti jika beliau ingin menerajui kerajaan.

Pencapaian menjadi seorang menteri sudah memadai bagi ahli-ahli politik biasa. Tetapi sekiranya seseorang itu berkaliber, terkenal dalam kalangan akar umbi dengan mempunyai kemahiran dalam komunikasi yang berkesan, pemidato yang hebat dan dilihat sebagai seorang pekerja atau pembekal perkhidmatan, maka peluang untuk menaiki tangga politik dijangka berhasil.

Ketangkasan politik mesti wujud di dalam diri anda.

Sudah tentu, yang ironinya jika pekerjaan sebagai ahli politik itu membebankan, mengapa 261 bakal calon mahu terus menggapai cita-cita dalam politik? Dan terus menceburi politik?

Satu soalan yang baik, tetapi ia mungkin akan peroleh jawapan yang sebaliknya kerana ia tidak mempunyai penjelasan yang rasional. Boleh dikatakan ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

Jika anda mempunyai adrenalin politik, ia akan mengalir keluar untuk mencari tahap dan bentuknya sendiri.

Walau apa pun, seseorang itu akan terjerumus dalam sistemnya selepas beberapa ketika. Biasanya, seseorang ahli politik dengan bersahaja akan berkata, "Ia adalah dari gerak hati".

Edmund Burke seperti yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quotations (3rd.Edn) 1980, mempunyai alasan yang baik apabila beliau berkata: "Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia Tuhan dan mematuhi pemikiran/kemunasabahan (Every politician ought to sacrifice to the grace, and to join compliance with reason).

Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadang kala berkata bahawa politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang yang meminati bidang politik.

Dia sewajarnya seorang yang mempunyai sifat reaksioner untuk bertahan dalam keperitan kerja-kerja rutinnya.

Cooling off period akan tamat 5 petang ini. Siapakah ahli politik yang mendambakan apa yang dihasratkan oleh Burke.

Dan siapakah yang akan mengalah meskipun keterbukaan UMNO menerusi pindaan perlembagaan 2009 yang menghapuskan kuota kelayakan, telah membuka peluang dan ruang selebar-lebarnya untuk mereka membuktikan diri sebagai ahli politik tulen.

-Oleh Zulkifli Jalil (U/M)

Pelatih PLKN Mati Dibunuh

Seorang pelatih berumur 18 tahun dipercayai dibunuh di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Muadzam Shah, Pahang kerana dikatakan memotong barisan semasa sarapan pagi pada Ahad lalu.

Sehubungan itu, tiga pelatih berumur 17, 18 dan 21 ditahan polis bagi membantu penyiasatan kes bunuh berkenaan.

Mangsa, Muhammad Suhaimi Norhamidi ditemui tidak sedarkan diri di bilik mandi kem itu pada 12.04 pagi dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Muadzam Shah.

Terdapat tanda kecederaan di belakang telinganya, dipercayai disebabkan oleh objek keras.

Bedah siasat awal mendapati Suhaimi mati kerana kecederaan di bahagian otak.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Mohd Haris Dau mengatakan tiga yang ditahan berasal dari Johor dan Pahang.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa menyebabkan kemarahan beberapa pelatih PLKN lain apabila memotong barisan pada Ahad.

Ini menyebabkan pergaduhan pertama antara mangsa dan tiga yang lain beberapa jam kemudian.

Mohd Haris berkata, pergaduhan kedua berlaku pada 11.30 malam dan 30 minit selepas itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi.

Terdapat 22 kematian semenjak PLKN diperkenalkan pada Disember 2003 termasuk mati lemas, jangkitan kuman dan masalah kesihatan lain.

Ini merupakan kes pertama mangsa dibunuh di kem latihan PLKN. Pada 2004, gadis berumur 17 tahun dirogol oleh jurulatih PLKN yang kemudiannya dipenjarakan selama 12 tahun.

GST bakal naikkan kemarahan rakyat?

Penganalisis ekonomi tidak menolak GST adalah kaedah terbaik untuk mengutip wang dan menjana pendapatan negara, sekaligus pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Lebih awal kita laksanakan lebih pantas kita menyesuaikan diri, saya jangkakan lebih banyak penambahbaikan berlaku kepada ekonomi kita.

"Ia memperkasakan pengurusan cukai dan memberi kerajaan lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kewangan awam," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Dr Yeah mengakui langkah itu akan menyumbang kepada inflasi yang tinggi terutamanya selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini, tetapi melihatnya sebagai satu "realiti kehidupan".

"Mengenai inflasi, ia adalah realiti kehidupan kerana kos hidup sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, ia tidak ada bezanya.

"Tetapi yang menjadi kebimbangan ialah kawalan dan penguatkuasaan ke atas pelaksanaan GST, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berlebihan dan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya.

Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui, berkata pelaksanaan GST adalah satu langkah tidak adil kerana kumpulan berpendapatan rendah terpaksa membayar pendapatan boleh guna mereka lebih tinggi daripada mereka yang kaya.

"GST secara dasarnya adalah kaedah berkesan untuk mengutip wang.

"Namun, secara jelasnya GST dilihat akan menghukum kumpulan yang lebih berpendapatan rendah kerana peratusan pembayaran GST daripada pendapatan boleh guna mereka akan lebih tinggi daripada mereka yang kaya," katanya.

Lim berkata, pelaksanaan GST tidak kena pada masanya kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga minyak baru-baru ini di samping langkah pencegahan rasuah dan ketirisan yang masih lagi lemah.

"Kerajaan sepatutnya melihat dan menangani isu ketirisan serta rasuah yang lebih merugikan orang ramai," katanya.

Lim juga mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk meningkatkan perolehan negara antaranya meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang kaya, meningkatkan keuntungan modal dan memperkenalkan semula cukai duti harta pusaka.

"Putrajaya perlu memperkenalkan polisi yang lebih berkredibiliti untuk mengawal defisit dan membawa pendapatan dengan cara yang lebih berkesan," katanya merujuk kepada tiga kaedah yang dicadangkannya.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, iaitu jumlah yang kerajaan belanjakan lebih daripada jumlah yang diperolehi, iaitu 4.5 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu. Sementara itu, hutang kerajaan berbanding KDNK ialah pada 53.1 peratus, hampir mencecah set siling kerajaan iaitu 55 peratus.

Lebihan akaun semasa Malaysia juga jatuh kepada RM2.6 bilion pada suku kedua daripada RM8.7 bilion awal tahun ini ketika eksport jatuh selepas berita mengenai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan dolar.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Hussin Baharuddin meramalkan langkah itu akan menerima aksi marah daripada orang ramai khususnya selepas kenaikan minyak.

"Demam 20 sen belum habis lagi, kalau GST ini diperkenalkan ia akan parah lagi.

"Tunggulah dua tiga tahun lagi, sekarang bukan masanya lagi. Kerajaan perlu juga pertimbangkan persepsi rakyat, lebih baik kerajaan berjimat dalam belanja dahulu sebelum mahu perkenalkan GST," katanya.

Selepas kenaikan minyak baru-baru, orang ramai meluahkan kemarahan dan menyifatkan ia satu bebanan kepada mereka, malah Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata pemandu teksi mengeluh mengenai keadaan selepas pengumuman Putrajaya tersebut.

"Kami ini pemandu teksi, hari-hari guna minyak. Bila minyak naik, kos penyelenggaraan juga naik hampir 30 ke 40 peratus.

"Barang keperluan harian, semuanya sudah naik," kata Amran ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, Oktober ini.

Malah, Najib dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, turut menyatakan bahawa kerajaan akan cuba menstruktur semula sistem cukai negara dalam memastikan defisit perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.

Najib berjanji untuk mengurangkan defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang mempunyai hutang tertinggi di Asia.

Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings turut meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini. -TMI

Menteri Meletakkan Kesalahan Pada Rakyat?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa menteri dan pemimpin kerajaan kebalakangan ini benar-benar meresahkan rakyat. Ia bukan saja menimbulkan kesangsian tentang kecerdikan, kewibawaan dan tahap intelektual mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab itu tetapi seolah-olah semuanya sedang sepakat untuk meletakkan segala kesalahan dan beban kehidupan kepada rakyat.

Kadangkala pula, selain semua kesalahan cuba dilonggokkan kepada rakyat, pemimpin juga cuba memperbodohkan rakyat dengan memaksa menerima hujah separuh masak yang mereka lontarkan itu.

Dalam isu kenaikan harga minyak, selain kerajaan berhujah bahawa subsidi yang dikurangkan itu akan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya, di ketika yang lain Najib dan Ahmad Maslan juga berkata, kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya sahaja.

Mungkin benar dan mungkin tidak, subsidi minyak yang dikurangkan itu akan ditumpukan kepada golongan rakyat yang menerimanya tetapi haruslah diingat bahawa kesan segera daripada kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter itu telah pun ditanggung oleh rakyat sebelum keselesaan yang dijanjikan melalui penstrukturan subsidi baru itu benar-benar menjadi kenyataan.

Rakyat seperti disusahkan dahulu sebelum bantuan yang dijanjikan itu tiba.

Najib melalui tv dan semalam Ahmad Maslan bercakap di Parlimen bahawa kerajaan sebenarnya tidak menaikkan harga minyak tetapi hanya mengurangkan subsidinya saja. Apa beza tidak menaikkan harga tetapi memotong subsidi? Adakah harga sebelum subsidi dipotong sama dengan selepasnya?

Tolonglah jangan cuba perbodoh dan mengelirukan rakyat. Kalau harganya naik kerana subsidi dikurangkan, bermakna harganya sudah naiklah. Yang penting ialah sama ada duit yang dikeluarkan oleh rakyat bertambah atau tidak untuk membeli minyak dengan kuantiti yang sama. Apa yang susah sangat sampai Najib berkerut-kerut dahi mempertahankan bahawa harga minyak sebenarnya tidak naik tapi hanya subsidi yang dikurangkan.

Semalam Menteri Kesihatan, S Subramaniam pula berkata, oleh kerana jumlah pengidap kencing manis di kalangan rakyat adalah tinggi dan untuk mengurangkannya, maka harga pasaran gula akan dinaikkan. Senang benar nampaknya jadi menteri kalau macam ini.

Sekali lagi kenyataan seorang menteri menimbulkan keresahan rakyat dan kesalahan rakyat cuba dicari untuk melakukan sesuatu perkara yang akhirnya menyusahkan rakyat juga. Kenyataan beliau itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak dan rata-rata mereka mengejek dan memperlekeh kecerdikan serta tahap pemikiran menteri tersebut.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin turut menyindir dalam Twitternya dengan menulis, "kalau naikkan harga gula dapat kurangkan diabetes, apakah naikkan harga kereta dan minyak boleh kurangkan accident?"

Semalam juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada kenderaan VIP ketika kesesakan lalulintas atas alasan bahawa mereka itu mempunyai tugas penting yang menunggunya, selain dakwanya, sikap itu juga merupakan budaya rakyat negara ini yang seharusnya sentiasa diamalkan.

Kenapa tiba-tiba sekarang seorang menteri meminta rakyat memberi penghormatan dan laluan kepada golongan VIP sedangkan rakyat yang sedang terperangkap dalam kesesakan juga sudah cukup sengsara deritanya? Bukankah lebih baik dan disanjung tinggi jika golongan VIP juga sanggup bersama-samad dengan rakyat biasa mengharungi kesesakan jalanraya tanpa sebarang keistimewaan?

Atau kalau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan, keluar awal dan rancang perjalanan dengan baik. Bukankah terlihat angkuh dan sombong jika seorang pemimpin atau VIP diberi keistimewaan begitu. Lagi pula, bukanlah sikap pengguna jalanraya begitu buruk sehingga permintaan sebegini dibuat. Ini kerana mereka biasanya tiada halangan untuk memberi laluan jika melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau golongan diraja tertentu lantaran memahami desakan tugas dan selalu berkejar dengan masa.

Apa yang berlaku, ada menteri biasa pun turut menggunakan pengiring dan tidak sanggup bersesak bersama-sama dengan rakyat kebanyakan. Inilah yang menimbulkan rasa meluat rakyat. Tambahan pula bila Hassan Malek yang membuat permintaan secara terbuka mengenainya, seperti semuanya diminta rakyat mengalah selepas mereka dibebankan dengan pelbagai perkara sebelum ini.

Dengan Hassan Malek membuat permintaan sebegini dan sebelum ini meminta rakyat mengalih kepada makan ikan dan daging berikutan kenaikan harga ayam sedangkan sebenarnya harga ikan dan daging jauh lebih mahal, ada yang bertanya, "dari gua mana datangnya menteri yang dipilih Najib ini?"

Dan jika diimbas serta dihitung beberapa kenyataan menteri-menteri sebelum ini, kita sebenarnya memang harus berasa gusar dengan kualiti mereka yang dipilih dan diamanahkan tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah bercakap tanpa ada perasaan dan meluahkan sesuatu perkara itu ikut sedap mulut saja.

Bila mempertikaikan undang-undang, disuruh pindah ke negara lain; mempertikaikan sistem pilihanraya, diminta duduk dalam hutan; apabila merungut harga sayur mahal, diminta tanam sayar sendiri; harga rumah mahal diminta jangan beli rumah dan kalau tidak suka dengan sistem pendidikan negara, bolehlah mencari pendidikan di negara lain.

Rakyat seolah-olah tidak boleh mengeluh, merungut atau meluahkan perasaan lagi, sebalik diminta redha dan menerima saja apa yang dilakukan oleh pemimpin dengan seadanya.

Kenyataan terbaru yang terus mengelirukan mengenai kenaikan harga minyak, cuba menaikan harga gula dengan alasan kencing manis dan meminta pengguna jalanraya memberi laluan kepada golongan VIP adalah kesinambungan cerita-cerita selepas pilihahraya yang cuba meletakkan beban kesalahan kepada rakyat atas kegagalan pemimpin itu sendiri menjalankan tugas dan memberi kesejahteraan yang sewajarnya kepada rakyat.

Jika sebelum pilihanraya dulu, kejadian sebegini tidak berlaku tetapi kini ianya seakan menjadi-jadi. Satu demi satu kesalahan rakyat cuba dicari dan diselesaikan dengan meletakkan bebannya kepada rakyat juga.

Agaknya selepas menang pilihanraya memang resamnya begitu. Ketika hampir pilihanraya semula nanti, pelbagai janji dan harapan ditaburkan lagi untuk menutup semua kelemahan itu. Begitulah agaknya dan kita akan terus dihadapkan dengan perlakuan menteri-menteri yang menjengkelkan ini sepanjang masa.

Oleh Shahbudin Husin

Kenyataan Ikhwanul Muslimin Berhubung Pembubarannya

Ikhwanul Muslimin mengeluarkan kenyataannya, Isnin (23/9/2013), berkaitan dengan keputusan mahkamah rejim kudeta yang membubarkan orrganisasi terbesar di Mesir itu. Berikut kenyataan tersebut yang diterjemahkan dari Dakwatuna, Selasa (24/9/2013):



“Hari ini, mahkamah Kaherah yang dipimpin oleh hakim Muhammad Sayid menjatuhkan hukuman yang melarang semua aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin, jemaah Ikhwanul Muslimin, semua yayasan cabang, atau yang ada kaitan, atau didirikan dengan dana dari Ikhwan, atau mendapatkan bantuan kewangan dan bantuan lainnya, dan lembaga-lembaga yang menerima bantuan dari Ikhwan atau anggota Ikhwan.

Selain itu, mahkamah juga membuat keputusan membekukan semua aset jemaah, baik yang berbentuk bangunan, aset bergerak, dana cair, yang dimiliki atau disewakan, maupun semua aset yang dimiliki oleh orang-orang yang ada kaitan dengan gerakan Ikhwan, untuk kemudian dimanfaatkan negara sesuai dengan undang-undang Mesir sebagaimana mestinya.

Ikhwanul Muslimin menegaskan bahwa keputusan mahkamah ini bersifat diskriminatif, balas dendam, politik, dan berusaha untuk menghancurkan pihak tertentu. Keputusan ini tidak mengejutkan, kerana tujuannya hanya untuk dijadikan untuk menutup semua kejahatan yang telah dilakukan tentera mulai dari 3 Julai lalu. Pihak tentera telah menangkap lebih dari 15 ribu orang Ikhwan, termasuk di dalamnya Mursyid ‘Am, Muhammad Badi’ dan dua orang wakilnya. Mereka juga telah membakar pejabat-pejabat Ikhwan, membunuh anggota Ikhwan, dan menuduh para peserta demonstrasi a man dengan tuduhan yang sengaja diada-adakan.

Ikhwanul Muslimin ingin mengingatkan tentera tentang para pendahulu mereka yang pernah melakukan hal yang sama. Dulu mereka mengira dapat menghilangkan Ikhwan dan anggotanya dari masyarakat Mesir.

Padahal Ikhwan adalah bahagian yang sangat penting dalam masyarakat; memberikan denyut kehidupan, membimbing, memberi dan merangkul semua lapisan masyarakat. Penerimaan masyarakat terhadap Ikhwan terbukti dengan lima kemenangannya dalam proses demokrasi. Ketika ini, demonstrasi yang terus saja terjadi di Mesir juga membuktikan bahwa masyarakat akan terus bersama Ikhwan mendukung demokrasi, menentang kudeta tentera, membela kebebasan rakyat dalam berjuang, mengembalikan kemerdekaan bangsa dan masa depan generasinya.

Keputusan yang bersifat diskriminatif, balas dendam, politik, dan berusaha menghancurkan pihak tertentu ini, dikeluarkan oleh mahkamah yang tidak memiliki kuasa untuk mengeluarkannya. Selain itu, isi keputusannya juga melebihi tuntutan yang diajukan oleh pihak penuntut.

Sebenarnya, tuntutan hanya diajukan untuk lembaga swasta yang diatur oleh undang-undang lembaga swasta. Oleh kerana itu, keputusan seperti ini belum pernah dikeluarkan oleh rejim sekejam apapun, dan di manapun. Pengeluaran keputusan ini hanyalah rentetan baru kejahatan pemerintah kudeta.

Ikhwanul Muslimin adalah fikrah, manhaj, dan jamaah. Ikhwan telah ada, dan akan selalu ada. Ikhwan akan terus berjalan menyeru semua orang kepada Allah swt., setia dengan janji kepada-Nya, dan berbakti kepada negara dan rakyatnya. Ikhwan akan terus memegang prinsip dakwahnya yang penuh hikmah, mau’izah hasanah, dilakukan dengan cara-cara yang aman dan menghormati undang-undang yang adil.

Ikhwanul Muslimin adalah dakwah yang mengajak kepada kebenaran, kekuatan dan kebebasan. Dia melintasi semua batas geografi dan politik, untuk memelihara umat dan bangsanya agar tetap berjuang demi negara, dengan tetap memegang prinsip dan menjaga manhajnya. Tujuannya adalah agar seluruh bangsa dapat hidup mulia dan merdeka dengan cahaya Islam yang diridhai Allah swt. Kejahatan penguasa tidak akan pernah melemahkan perjuangan kami.”

Niscaya orang-orang yang zalim akan segera mengetahui akhir kezalimannya. Allahu Akbar Wa Lillahil Hamdu.

Ikhwanul Muslimin, 23 September 2013

Mahkamah Mesir Haramkan Aktiviti Ikhwanul Muslimin

Mahkamah di Kaherah telah mengharamkan "semua aktiviti-aktiviti" yang dijalankan oleh Ikhwanul Muslimin, demikian lapor Ahram Online

Keputusan yang diputuskan semalam terpakai kepada pertubuhan tersebut, NGO dan "mana-mana organisasi yang dibentuk olehnya," kata hakim.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan sementara Mesir untuk merampas dana pertubuhan itu dan membentuk sebuah panel untuk mentadbir aset yang dibekukan sehingga apa-apa rayuan telah didengar.

Satu sumber Ikhwanul Muslimin memberitahu Ahram Online, mereka akan membuat rayuan dalam masa sepuluh hari.

Pertubuhan Islam itu telah wujud di luar undang-undang Mesir selama beberapa dekad dan hanya secara rasmi didaftarkan sebagai NGO pada Mac 2013.

Tuntutan itu difailkan oleh parti berhaluan kiri, Tagammu.

Keputusan yang diputuskan itu bukanlah satu-satunya cabaran kepada kewujudan kumpulan Islam yang berusia 85 tahun itu.

Pada 2 September lalu, Lembaga Pesuruhjaya Negeri Mesir, sebuah badan yang menasihatkan kerajaan mengenai isu-isu undang-undang, mengesyorkan pembubaran Ikhwan selepas dakwaan mereka terlibat dengan pengganas bersenjata.

Cadangan pihak berkuasa itu - yang tidak terikat - telah dibuat selaras dengan Undang-undang 84 tahun 2002, yang melarang organisasi dan institusi bukan kerajaan daripada membentuk kumpulan separa tentera.

Pihak berkuasa Mesir telah melancarkan tindakan keras terhadap kumpulan berikutan penyingkiran Presiden Mohamed Mursi - yang berasal dari Ikhwanul Muslimin - oleh pihak tentera pada 3 Julai.

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie, dan ramai pemimpin tertinggi dan peringkat pertengahan telah ditahan dan berhadapan dengan tuduhan termasuk hasutan keganasan terhadap lawan mereka.

Pada 17 September, pendakwa raya Mesir membekukan aset beberapa pemimpin kanan Ikhwan dan Islamis lain yang terkenal sebagai sebahagian daripada siasatan hasutan keganasan semasa demonstrasi.

Mohamed Badie, timbalan mursyidul am Khairat El-Shater, setiausaha agung Ezzat Ibrahim dan pemimpin kanan Mohamed El-Beltagy adalah antara berpuluh-puluh pemimpin Islam terkemuka disasarkan oleh pihak berkuasa.

Langkah mengharamkan aktiviti Ikhwanul Muslimin dan cabang politiknya, Parti Kebebasan & Keadilan dilihat oleh ramai permerhati politik sebagai usaha kerajaan Mesir untuk menghalang Dr.Mursi kembali sebagai Presiden dan menafikan penyertaan Ikhwanul Muslimin di dalam pilihanraya yang bakal diadakan.

Kerajaan membazir belanja RM20 juta untuk PPPM?

DAP hari ini mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat firma pakar runding dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

Firma pakar runding McKinsey & Co dikatakan menerima bayaran sebanyak RM20 juta bagi khidmat mereka.

"McKinsey sebenarnya hanya firma pakar runding dalam pengurusan am dan sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan," kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, bayaran untuk firma berkenaan bercanggah dengan 11 "Anjakan" dalam PPPM iaitu "Memaksimumkan Keberhasilan Murid bagi Setiap Ringgit."

"Duit itu sebenarnya boleh digunakan untuk membina empat sekolah baru dengan kos RM5 juta sebuah, atau pun membina makmal sains baru," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang turut serta dalam sidang media itu berkata, peranan firma itu juga tidak dinyatakan dalam buku PPPM.

"Terdapat begitu ramai pegawai dalam Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain, dokumen PPPM sendiri menyenarai nama 20 individu berkaliber.

"Mengapakah kerajaan tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam Kementerian dan Pemandu untuk menyediakan pelan berkenaan,"katanya.

Kedua-dua pemimpin muda DAP itu mendakwa pembayaran kepada firma berkenaan dibuat melalui dua fasa iaitu RM4,705,400 bagi fasa pertama, manakala RM15,860,000 dibayar bagi fasa kedua. -TMI