Showing posts with label N.Sembilan. Show all posts
Showing posts with label N.Sembilan. Show all posts

Friday, October 17, 2014

Minah saleh berkelakuan separuh bogel

PORT DICKSON – Tindakan empat wanita warga asing berehat di Pantai Saujana Batu 4, di sini dalam keadaan separuh bogel, tengah hari kelmarin, menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Pengunjung yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan perlakuan melampau wanita terbabit.

"Mereka pada awalnya hanya berbikini dan berenang di pantai. Selepas setengah jam kemudian, mereka naik semula ke pantai dan berjemur dengan hanya memakai seluar dalam sahaja.

"Tiga dari mereka berusia sekitar 20 hingga 30 tahun, sementara seorang lagi lebih berusia sekitar 50-an. Mungkin mereka anak beranak," katanya.

Sementara itu, penjaga tandas awam Pantai Saujana Batu 4, Latif Ahmad, 61, berkata, dia didatangi oleh empat wanita warga Eropah lengkap berpakaian sekitar jam 12 tengah hari yang ingin menyewa payung.

"Mungkin mereka menginap di salah sebuah hotel sekitar Batu 4 berikutan mereka hanya berjalan kaki ke pantai ini.

"Disebabkan saya tidak faham bahasa Inggeris, saya hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dengan bantuan orang awam lain, dia dimaklumkan wanita berkenaan ingin menyewa payung dan meminjam kerusi," katanya.

Tambah Latif, dia tidak menyedari kejadian berkenaan sehinggalah diberitahu wartawan.

“Jarak antara tandas ini dan lokasi kejadian agak jauh, ditambah pula tempat ini dihalang oleh tandas," katanya.

Katanya, sekitar jam 4 petang, wanita berkenaan memulangkan semula kerusi dan sempat bertanya bagaimana hendak ke restoran segera di Port Dickson," katanya.

Latif berkata, sejak dia bertugas sebagai penjaga tandas hampir dua tahun lalu, ini kali pertama dia mendengar berita mengenai kejadian seperti itu.

“Memanglah tidak ramai pengunjung yang datang ke pantai ini semalam (kelmarin) kecuali pada hujung minggu atau cuti umum, memang pantai ini padat dengan pengunjung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, walaupun kes itu terpencil, namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mandi tanpa pakaian di tempat awam adalah satu kesalahan dan melanggar etika Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dalam hal ini. Sekiranya perkara sama berlaku, orang ramai diminta segera menghubungi MPPD atau pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, sehingga jam 6 petang semalam, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkenaan perkara tersebut.

-sinar harian

Sunday, October 5, 2014

Mayat diikat dengan motosiksl di dasar sungai

REMBAU - “Sebaik besi penyangkut mengenai benda berat di dasar sungai saya terus menariknya ke atas dan hati saya berdebar-debar apabila melihat kaki manusia,” luah penduduk, Zainudin Ali, 53, ketika ditemui di Jeti Pengkalan Sungai Nelayan, Lubok China, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, Zainudin nekad mengajak rakan sekampungnya, Mahat Saru, 53, untuk mencari kenalan mereka seorang penggembala lembu dan kambing berusia lingkungan 60an yang hilang sejak lewat petang Sabtu lalu.

Menurut Zainudin, sejak mangsa hilang, penduduk sudah mencari mangsa iaitu seorang lelaki Cina di merata tempat di atas daratan di perkampungan berkenaan, namun tidak menjumpai jejak mangsa.

“Bagaimanapun, hari Khamis lalu, saya datang ke lokasi ini dan terbau benda hanyir. Jadi, hari ini kira-kira jam 5.00 petang, saya nekad bersama rakan saya untuk mencari mangsa di dalam sungai pula.

“Jika diikutkan lokasi ini berdekatan dengan lokasi buaya berjemur. Saya mulakan gerakan mencari dengan besi penyangkut yang dicucuk ke dasar sungai. Sebaik terasa benda berat saya tarik ke atas,” katanya.

Zainudin berkata, kali pertama dia menarik objek berkenaan, objek berkenaan terlepas dan dia tetap berusaha menarik buat kali kedua.

“Saya sangat terkejut apabila melihat objek berkenaan merupakan kaki manusia dan apabila ditarik bahagian pinggang ke bahagian atas muka sudah terlindung dengan karung berwarna putih.

Sementara itu, Mahat berkata, mereka juga dibantu penduduk lain yang mencari mangsa pada petang berkenaan dan memohon bantuan untuk menghubungi pihak polis susulan penemuan mayat berkenaan.

“Jadi kami ikut nasihat untuk menarik mayat mangsa ke bahagian tebing sungai sementara menanti bantuan polis tiba," katanya.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai PB, Abdul Halim Abdul Malek bagi membantu mengeluarkan mangsa dari dalam sungai.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengangkat mangsa ke tebing untuk diserahkan kepada polis berikutan badan mangsa diikat dengan motorsikal dan juga karung yang di dalamnya terdapat pasir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes masih lagi dalam siasatan polis.

-sinar harian

Friday, September 26, 2014

Majlis kahwin rosak angkara mak andam

SEREMBAN – Impian sepasang pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia mereka minggu lalu, bertukar pengalaman ngeri apabila mereka ditipu mak andam.

Lebih teruk, pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 42, dan Nina, 32, terpaksa membeli persalinan lain sebagai ganti disebabkan mak andam dinantikan hanya tiba 15 minit sebelum majlis persandingan bermula.

Menceritakan kejadian itu, Zack berkata, dia dan isteri membuat keputusan memilih mak andam berkenaan yang ditemui di pameran pengantin di pusat membeli-belah Terminal 2, Februari lalu selepas tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan.

“Pakej ditawarkan meliputi pelamin, jurugambar, solekan dan lapan persalinan baju dengan hanya RM1,500. Selepas berbincang dengan isteri, kami telah pergi ke kedai mak andam itu di Seremban Jaya beberapa hari kemudian untuk membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia membayar deposit sebanyak RM450 pada 10 Februari lalu selepas membuat pilihan pelamin dan pakaian pengantin serta membuat bayaran tambahan RM700 pada 26 Mac lalu.

Namun, kata Zack, dia dan isteri mula berasa tidak sedap hati kerana sukar berurusan dengan wanita terbabit bagi membincangkan persediaan majlis perkahwinan mereka.

“Bila kita telefon mahu tengok baju dan buat fitting, dia beri alasan sibuk dan selalunya gagal untuk dihubungi. Tapi disebabkan kami telah membuat bayaran dan majlis perkahwinan pun tidak lama lagi, saya bersangka baik mungkin dia betul-betul sibuk," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perasaannya bertambah tertekan kerana sebaik saja hari dinantikan, pelamin dan pakaian diberikan tidak seperti dipesan.

“Saya pilih pelamin lain, tapi yang dia pasang pada majlis di rumah isteri saya macam pelamin budak tadika buat. Baju pula dia beri bukan yang kami pilih," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila pada majlis bertandang di rumahnya pula, dia dan isteri terpaksa memakai pakaian sendiri kerana wanita terbabit gagal dihubungi.

Zack berkata, suami kepada mak andam itu hanya tiba kira-kira 15 minit sebelum majlis bermula dan memberi alasan isterinya tidak dapat datang kerana terjatuh di dalam tandas.

“Bayangkan, tertekannya kami ketika itu. Tapi mahu buat macam mana, majlis perlu diteruskan kerana tetamu sudah dijemput.

“Mereka berjanji mahu memulangkan semula wang yang dibayar sebanyak RM1,150. Tapi tak tahulah macamana," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini.

-sinar harian

Saturday, September 6, 2014

Remaja perempuan lalok hidu gam

Seorang remaja perempuan yang juga pelajar tingkatan lima dipercayai lalok dan tidak sedarkan diri ketika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan pemeriksaan di Dataran Seremban.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, dalam pemeriksaan jam 10 malam itu mendapati terdapat kumpulan remaja lelaki dan perempuan berusia 16 hingga 20 tahun sedang leka menghidu gam dan meminum minuman keras.

“Kami mendapati sebahagian daripada mereka memegang bungkusan plastik dipercayai berisi gam, selain botol-botol arak bersepah.

“Remaja perempuan dilihat terbaring dan tidak sedarkan diri, walaupun setelah dikejutkan beberapa kali.

“Ibu dan bapa remaja itu datang ke lokasi dengan menaiki motosikal setelah dihubungi oleh kami.

“Bimbang dengan keadaan remaja tersebut, ibu bapa remaja itu meminta bantuan JHEAINS untuk menghantar anaknya ke Hospital Tuanku Jaafar,” katanya.

Menurut Ahmad Zaki, dalam pemeriksaan tersebut, empat remaja lelaki di tahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana didapati mengambil minuman memabukkan yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Zaki menasihatkan ibu bapa supaya dapat memantau pergerakan anak-anak agar tidak terjerumus dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka.

-FMT

Sunday, May 5, 2013

Mampukah Aishah tumbangkan Isa di Jempol?

Difahamkan asalnya nama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak ada dalam senarai tiga nama yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Jempol bagi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Umno Bahagian Jempol tidak menghantar nama beliau kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan untuk seterusnya diajukan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukanlah sesuatu yang pelik kerana Isa bukan orang Umno Jempol pun walaupun beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol selama sepenggal (2004-2008).

Sebaliknya Isa merupakan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang sejak zaman beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sebelum parlimen bubar sekalipun Isa sudah dianggap tidak akan bertanding lagi sebarang kerusi sama ada kerusi Parlimen atau mempertahankan DUN (Dewan Undangan Negeri) Bagan Pinang. Ini kerana beliau mempunyai tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Felda.

PAS pula sejak tahun lalu lagi sudah memperkenalkan Ketua Pemuda PAS Jempol, Ustaz Mohd Fairus Mohd Isa sebagai calon kerusi Parlimen Jempol.

Bagaimanapun 10 hari sebelum hari penamaan calon, PAS membuat kejutan apabila mengumumkan bekas penyanyi popular, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah ‘Janji Manismu’ sebagai calonnya di Parlimen Jempol.

Ramai yang menjangka penyandang Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin akan diberi kepercayaan untuk mempertahankan Jempol bagi kali kedua.

Tanpa disangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kejutan dengan menamakan Isa yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sebagai calon BN untuk Parlimen Jempol.

Senario ini difahamkan berlaku kerana Najib sudah menekan butang panik dalam usahanya agar satu lagi kerusi Parlimen di Negeri Sembilan tidak terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.

Persoalannya apakah percaturan PAS menurunkan Aishah akan membuahkan hasil atau Isa sekali lagi akan kembali ke Parlimen sebagai Ahli Parlimen Jempol?

Isa ada kelebihan

Aishah apabila ditanya FMT, berkata beliau diterima baik oleh pengundi Jempol. Majoriti pengundi Parlimen Jempol merupakan pengundi Felda yang secara tradisinya penyokong kuat BN. Maka tidak hairanlah Aishah juga mengalami dua atau tiga insiden yang beliau dimarahi oleh penyokong BN.

Isa pula bukanlah nama asing kepada pengundi Jempol. Apatah lagi Isa merupakan Pengerusi Felda, satu jawatan yang sudah pasti memberi kelebihan yang lebih ketara kepada beliau.

Daripada tinjauan FMT, sukar untuk Aishah menumbangkan Isa. Aishah berpeluang membuat kejutan di Parlimen Jempol sekiranya lawan beliau ialah penyandang Parlimen Jempol, Lilah Yasin atau muka baru. Namun Isa merupakan lawan yang agak kuat untuk Aishah.

Aishah mungkin mempunyai potensi yang lebih besar sekiranya PAS membuat keputusan untuk menurunkan beliau di Parlimen Jempol awal tahun lalu.

Ini semestinya memberi peluang kepada Aishah untuk lebih mengenali pengundi Parlimen Jempol dan mengenalpasti masalah tempatan yang membelenggu pengundi Parlimen Jempol.

Namun Aishah berpeluang untuk mengurangkan majoriti kemenangan Isa nanti berdasarkan beliau mampu mendapat undi daripada pengundi wanita yang mungkin juga sebahagian daripada peminat beliau.

Parlimen Jempol mempunyai 65,213 jumlah pengundi. Pengundi Melayu 60.62 peratus, Cina 25.32 peratus, India 13.07 peratus dan Lain-lain 0.99 peratus.

Masalah dalaman Umno

Sedia maklum BN atau lebih tepat Umno menghadapi masalah dalaman di DUN Palong ekoran keputusan pucuk pimpinan Umno mencalon Lilah di DUN Palong.

Isunya kerusi DUN Palong yang diwakili oleh Umno, calonnya secara tradisi adalah daripada peneroka Felda.

Sejak DUN Palong diwujudkan pada tahun 1986, sudah tiga calon Umno-BN mewakili DUN Palong, iaitu Baharudin Hassan (1986 dan 1990), Kamaruddin Mohd Din (1995 dan 1999) dan Aziz Shamsuddin (2004 dan 2008).

Kesemua mereka merupakan warga peneroka Felda Palong dan setiap seorang pernah berkhidmat selama dua penggal.

Bagaimanapun Najib membuat satu kejutan apabila menamakan Lilah yang bukan orang Felda Palong tetapi berasal dari Batu Kikir.

Ini mengundang rasa tidak puas kepimpinan Umno DUN Palong dan FMT pernah melaporkan pada 18 April lalu di mana lebih 200 ahli Umno Felda Palong mengadakan bantahan terbuka menolak pencalonan Lilah.

Keadaan ini merupakan satu kelebihan kepada calon PKR DUN Palong, Rebin Birham. Ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa dengan mengambil kira protes terbuka terhadap Lilah, Rebin mampu mencipta kejutan pada hari mengundi esok.

Tuesday, April 23, 2013

Konflik UMNO : Ada protes dalam diam?

Peluang BN mengekalkan DUN Lenggeng di Negeri Sembilan dengan mempertaruhkan panglima perang Umno negeri, Datuk Ishak Ismail kini semakin kurang jelas.

Ia kerana wujud penolakan daripada akar umbi Umno setempat di Lenggeng terhadap pencalonan ketua Umno bahagian Seremban itu.

Perkara itu mula dikesan sejak beberapa hari sebelum penamaan calon apabila ahli Umno Lenggeng sebelum ini dilaporkan mengugut akan meletakkan calon Bebas sekiranya Ishak diamanahkan BN negeri untuk bertanding di situ.

Ia menjadi kenyataan apabila ketua penerangan cawangan, Zulkifli Abdullah disahkan sebagai sebagai calon Bebas menentang Ishak dan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.

NONEPenyandang kerusi berkenaan ialah Mustafa Salim, yang baru dibebaskan oleh mahkamah pada Mac lalu daripada sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM20,000 atas satu tuduhan menerima rasuah.

Zulkifli pula, yang disingkirkan daripada Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas, adalah di antara nama-nama yang sebelum ini disebut-sebut bakal menggantikan Mustafa di kerusi tersebut.

Selain Zulkifli, satu lagi nama yang disebut-sebut sebelum ini adalah ketua penerangan Umno cawangan Panchor, Syamsul Amri Ismail.

Satu sumber yang rapat dengan Syamsul sewaktu dihubungi Malaysiakini melahirkan rasa hairannya apabila Ishak menerima pencalonan itu.

"Datuk Ishak dalam ucapannya sebelum ini, sebelum nama beliau dicalonkan, pernah menegaskan yang beliau tidak mahu menjadi calon walau pun ditawarkan mana-mana kerusi oleh menteri besar," kata sumber tersebut yang enggan dinamakan.

Tanpa merujuk secara langsung kepada Ishak, beliau berpendapat sesetengah calon Umno kali ini tidak menepati kriteria boleh menang yang digariskan perdana menteri – orang muda, berpendidikan tinggi dan diterima orang ramai.

Beliau yang bertugas sebagai penjawat awam berkata, kalangan ahli Umno di kawasan itu mungkin tidak menunjukkan bantahan mereka secara terang-terangan.

Bagaimanapun, kalangan ahli Umno di Lenggeng itu tetap membantah dalam diam dan mungkin menzahirkannya di kertas undi kelak, katanya.
"Yang saya nampak jentera (Umno Lenggeng) kini 'tenang' sahaja," kata sumber tersebut.

Situasi yang sama turut dihadapi calon parlimen Seremban, Datuk Dr Yeow Chai Tiam Chai yang dilaporkan menerima bantahan daripada kira-kira 50 ahli MCA bahagian tersebut.

Namun, situasi Yeow dilihat lebih baik berbanding Ishak kerana ketua MCA Seremban, Datuk Peter Lai Yit Fei yang mengetuai kumpulan penentang tersebut kini membawa diri ke luar negara.

Peter sewaktu dihubungi Malaysiakini semalam berkata beliau berada di satu lokasi di luar negara dan menjelaskan beliau dan orang-orangnya hanya menolak pencalonan Yeow tetapi mereka tidak memboikot kempen beliau.

Seorang wakil Yeow, Datuk Leong Teong Chwee diketika dihubungi turut menjelaskan bahawa kempen Yeow kini tetap berjalan lancar dengan dukungan seluruh jentera BN Seremban.

Yeow yang pernah menjadi ADUN Lukut selama hampir 20 tahun sebelum ini merupakan senator Dewan Negara dan mengasaskan Pusat Dialisis Mawar di Negeri Sembilan.

Beliau bakal berhadapan saingan sengit dengan bekas ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dalam pertandingan lima penjuru melibatkan DAP, BERJASA dan dua lagi calon Bebas.

Selain Lenggeng, tujuh lagi kerusi DUN Negeri Sembilan ditandingi calon Bebas – Jeram Padang, Nilai, Seri Menanti, Bukit Kepayang, Senawang, Port Dickson, dan Repah.

Dua lagi kerusi parlimen juga turut menarik tumpuan calon Bebas ialah Rembau dan Teluk Kemang.-MK