Tuesday, June 17, 2014

AWAS, k'jaan boleh pintas komunikasi anda

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mendedahkan bahawa kerajaan berupaya memintas komunikasi rakyat sama ada melalui emel, telekomunikasi atau pos seperti yang diperuntukkan bawah lima akta.



Dalam jawapan bertulisnya, Nancy berkata pendakwa raya dibenarkan untuk membuat pintasan bawah seksyen 116C Kanun Atacara Jenayah jika berpendapat komunikasi itu mungkin mengandungi maklumat yang berhubungan dengan pelakuan kesalahan.

Empat lagi akta yang memperuntukkan perkara yang sama ialah Seksyen 27A Akta Dadah Merbahaya; Seksyen 11 Akta Penculikan; seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 6 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), katanya.

"Dari tahun 2009, tiada pintasan komunikasi yang melibatkan mana-mana ahli politik. Pintasan komunikasi dipohon semasa proses risikan dan siasatan oleh pihak polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain," katanya .

Nancy menjawab soalan MP Kluang Liew Chin Tong mengenai kekerapan timbalan pendakwa raya memintas emel, telekomunikasi dan tulisan di Internet oleh ahli politik, suspek jenayah dan orang awam antara 1998 dan 2014.

Liew tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut kerana ia tidak menjelaskan tindakan pihak berkuasa terhadap komunikasi di kalangan ahli politik sebelum 2009.

"Adakah ini bermakna sebelum 2009 terdapat banyak berlaku pintasan telefon? Apa yang berlaku antara tahun 1998 dan 2009.

"Kerajaan perlu bersikap lebih telus," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. -MK

Pelajar 14 tahun mati dibelasah lelaki 70 tahun

Seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun maut akibat dipukul dengan sebatang besi dalam satu pergaduhan dipercayai dengan seorang lelaki 70 tahun di Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian itu mangsa mengalami pendarahan serius di bahagian peha kanannya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak Hospital Sungai Buloh kira-kira pukul 10.40 malam memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia ketika dibawa ke hospital berkenaan.

"Susulan kejadian itu, pihak kami berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun awal pagi tadi dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebatang besi serta pakaian berlumuran darah dipercayai milik suspek.

Katanya, lelaki terbabit direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh. – Bernama, 16 Jun, 2014.

- TMI

Kisah Teladan Untuk Anak-anak..

Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, "Pakcik, laptop..." - dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai. Aku menyambung lagi, "Nak beli untuk anak ke?", "Ya, nak beli untuk anak - dia nak sambung belajar - laptop yang mana yang ok?".

Aku mempromosi barang seperti biasa - aku biasanya mengsyorkan yang paling murah. "Kalau nak yang bagus mahal pakcik - tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung - seribu seratus lebih je...". Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir.

Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut "Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni..." - pergi dengan suatu perasaan yang lain.Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja, kebetulan - aku duduk di kaunter menunggu pelanggan - dia datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya - perempuan. "Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?", "Yang nie Samsung haritu, tapi yang nie stok baru - harga sama je", aku menyambut soalan nya.

Dia bertanya kepada anaknya, "Yang nie ok ke dik?" - "Ermmm, ok ke nie murah je - karang rosak karang susah..." jawabnya dengan muka yang kurang puas hati - anaknya seperti menginginkan yang lain yang lebih mahal. "Yang acer nie x boleh ke ayah?", ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, "Yang acer nie berapa boleh murah lagi?" - "Yang tu tak dapat dah pakcik,... Dah harga kos dah tu..." aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, "Dik, nak laptop untuk belajar kan... Rasanya kalau untuk belajar - yang nie lebih dari cukup - rosak tak payah pikir sangat - warenti setahun.".

Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya."Oklah, yang ini." jawab anaknya. Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja 'display' - aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar - aku nampak dompetnya kosong - habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula - dia melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira - wang aku masukkan dalam cash drawer, "Cukup duit tadi dik?" - "Cukup, Terima Kasih ya...".

Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan - RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya - penuh harapan.Aku geram kepada anaknya - seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana - hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekepi­ng duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu 'mengais' untuk hari esoknya.

Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin...

HARGAILAH PENGORBANAN IBU & BAPA KITA.


-GB

Benarkah Kehilangan MH370 Konspirasi Yang Disengajakan?

Dalam satu teori konspirasi terbaru mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, juruterbang komersial veteran dan wartawan penyiasat melihat insiden berkenaan merupakan tindakan yang "disengajakan" dan dalam "perkiraan, (perancangan)" lapor akhbar.

The Huffington Post UK melaporkan, juruterbang komersial veteran, Ewan Wilson dan wartawan penyiasat Geoff Taylor menghabiskan masa selama berbulan-bulan menganalisis data saat akhir pesawat sebelum hilang bersama 239 penumpangnya.

Mereka membuat kesimpulan, misteri kehilangan pesawat dan kegagalan sistem penjejaknya hanya boleh berlaku dengan tindakan yang disengajakan.

Wilson, sebelum ini pernah bekerja dengan dua syarikat penerbangan turut berlepas ke Malaysia untuk menemuramah penyiasat dan saudara mara juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Mereka yang berasal dari New Zealand turut melihat data yang dikeluarkan dan diperolehi Malaysia serta negara lain yang terlibat dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

Pusat kawalan udara kehilangan pesawat Boeing 777 ketika berada di kawasan perairan Malaysia dan Vietnam sebaik sahaja berlepas dari Kuala Lumpur dalam penerbangan malam pada 8 Mac yang dijadualkan ke Beijing.

Wilson berkata kepada stuff.co.nz, kesimpulan daripada bukunya, "Good Night Malaysian 370: The truth behind the loss of Flight 370," akan mengejutkan orang ramai.

Penulis itu berkata, mereka menolak kemungkinan kegagalan fungsi atau kemalangan pelik secara sistematik, dan berkata tiada alasan mengapa pesawat perlu berubah arah laluannya.

Menjelaskan dapatan mereka, Wilson, yang turut dilatih dalam bidang nahas pesawat udara berkata: "Buat pertama kali kami dedahkan maklumat analisis penerbangan, laluan dan siapa yang kami percaya bertanggungjawab terhadap pesawat terjunam ke Lautan Hindi."

Penulis itu berkata, saudara penumpang juga tidak dimaklumkan kebenaran tentang perubahan arah pesawat.

Taylor berkata:"Demi kebaikan keluarga penumpang, kebenaran perlu didedahkan.

"Kami melawat lounge ketibaan ketika keluarga berkumpul dengan semangat untuk menunggu panggilan mendarat. Sudah pasti mereka berhak mendapat lebih daripada itu," katanya.

Katanya: "Apa yang berlaku kepada MH370 bukanlah kemalangan. Ia disengajakan dan perkiraan yang tepat dan tidak seharusnya perkara itu (dibenarkan) berlaku.” -GB

Friday, June 6, 2014

Rasuah punca kelemahan di perairan Sabah

Faktor kelemahan manusia menyumbang kepada masalah keselamatan perairan Sabah, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Gambar fail The Malaysian Insider.Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata masalah yang berlaku di perairan Sabah bukan sahaja disebabkan kelemahan aset yang digunakan tetapi kelemahan manusia.

Menteri pertahanan itu berkata, faktor kelemahan manusia yang dikesan dalam keselamatan perairan Sabah adalah rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Kita sudah kehilangan banyak masa apabila bercakap tentang keselamatan Pantai Timur Sabah. Masa kita banyak dihabiskan dengan mencari kelemahan.

"Kelemahan bukan sahaja aset yang digunakan tetapi faktor manusia seperti rasuah, kebocoran maklumat dan kredibiliti pegawai kami yang perlu dilihat," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin hari ini memperkenalkan empat aspek yang perlu diberi perhatian kepada keselamatan perairan Pantai Timur Sabah iaitu perisian, perkakasan, sumber manusia dan risikan.

Katanya, perisian adalah berkaitan polisi yang digunakan bagi menangani pencerobohan di kawsan itu, perkakasan adalah aspek teknologi pensenjataan dan kelengkapan yang digunakan manakala sumber manusia adalah tenaga yang dikerahkan oleh polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Saya mendapat mandat dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, persetujuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kait dengan polis dan APMM.

“Penting untuk kita kaji semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam konteks ancaman baru yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata dalam misi terbaharu untuk menambah baik kawalan di perairan Pantai Timur Sabah, pelantar minyak Petronas yang lama akan digunakan bagi mempergiat kawalan di kawasan itu.

Katanya, kerajaan Brunei juga sedia bekerjasama dengan syarikat cari gali minyak di negara itu bagi membantu penggunaan pelantar minyak untuk tujuan sama.

“Penglibatan pihak ketiga iaitu Petronas dengan pelantar minyak akan digunakan sebagai respon kepada apa jua ancaman untuk kita lihat secara mendalam.

“Sabtu dan Ahad ini saya akan ke Sabah untuk melihat 1,400km pantai yang harus dikawal, radar sedia ada yang perlu ditingkatkan dan resort yang perlu diperkukuhkan dengan kehadiran penguatkuasa.”

Hishammuddin berkata tiada gunanya bidang kuasa ketua pengarah Esscom diperluas sekiranya agensi keselamatan yang terlibat di kawasan itu tidak memainkan peranan mereka secara berkesan.

“Ini banyak bergantung kepada kerjasama pihak yang berkepentingan. Bukan sahaja ketua pengarah tetapi penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan APMM. Itu tidak termasuk kastam, imigresen dan negara ketiga.

“Apa jua kuasa yang diberikan kepada ketua pengarah, jika tak dapat kerjasama daripada pihak berkepentingan maka ia tak membawa apa-apa makna,” katanya.

Mengulas mengenai laporan media yang mendakwa Malaysia membayar sejumlah wang tebusan bagi membebaskan mangsa culik di perairan Sabah, Hishammuddin berkata rakyat harus mempercayai apa yang dikatakan perdana menteri.

Katanya, kejayaan Malaysia membebaskan tebusan itu memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-China bersempena dengan sambutan dua hala untuk tahun yang ke-40.

“Perdana menteri katakan tidak dan memang tidak. Ini bukan satu perkara baru. Saya semasa di Kementerian Dalam Negeri pun ada kes yang kita dapat pembebasan kepada mereka yang diculik.

“Apa yang penting keselamatan mereka yang diculik. Warganegara China yang diculik dikembalikan ke Beijing. Bayar tak bayar, tak boleh dinilai dengan wang ringgit.”

Reuters pada Sabtu mendakwa pembebasan dua wanita yang diculik di Sabah dalam usaha bersama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina hanya dicapai selepas pembayaran "wang tebusan yang besar".

Laporan itu bercanggah dengan kenyataan Najib bahawa "tidak ada wang tebusan dibayar" untuk membebaskan pelancong China, Gao Huayun dan pekerja resort, warga Filipina Marcy Dayawan, yang diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, di Semporna, 2 April lalu.

Najib dalam satu kiriman tweet berkata: "Saya baru sahaja diberi taklimat oleh @PDRMsia bahawa kedua-dua wanita diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas diselamatkan oleh pihak berkuasa kita."

"Tiada wang tebusan dibayar bagi mendapatkan pembebasan mereka. Kejayaan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat."

Bagaimanapun, sumber polis Filipina memberitahu Reuters bahawa wang tebusan yang besar dibayar bagi membebaskan kedua-dua wanita itu. –

-TMI

Guru Berpolitik Rugikan BN, Sertai PAS?

Gesaan pemimpin Umno supaya penjawat awam khususnya guru kembali ke pangkuan BN dengan membenarkan mereka berpolitik hanya akan merugikan parti itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada jaminan warga pendidik itu berpihak dan memberi sokongan kepada parti pemerintah jika mereka diberi kelonggaran untuk menceburi bidang politik.

"Mereka (guru) tidak akan sertai BN tetapi mereka sertai Pas dan kerajaan akan hadapi masalah bila guru menjadi pengikut parti pembangkang.

"Kerajaan kena ingat apabila mereka masuk politik, mereka tidak semestinya menyokong BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Siri Syarahan Perdana Presiden' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang meminta warga pendidik itu kembali ke pangkuan BN.

Katanya keputusan kerajaan sebelum ini menyekat guru dari menyertai politik adalah satu kesilapan dan boleh melemahkan BN.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menambah jika cadangan itu tidak diperhalusi, kelonggaran itu dikhuatiri akan mengancam kerajaan kelak.

"... mereka bukan sahaja tidak akan sertai BN malah lebih buruk lagi akan menentang kerajaan pemerintah," katanya lagi. -SH

Rasuah Dalam Pemilihan PKR?

Ahli PKR yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai 'Chegubard', telah memfailkan aduan bertulis kepada pihak parti itu berkaitan rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi dan lembaga rayuan pemilihan parti itu.

Dalam surat yang bertarikh hari ini dan dilihat oleh Malaysiakini, Badrul Hisham membangkitkan satu tuduhan yang telah tersebar luas di internet sejak dua minggu lalu.

Tuduhan itu mendakwa bahawa pengerusi lembaga rayuan pemilihan parti, Abd Malek Hussin (kiri) telah menolak rasuah oleh Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar dan "bosnya".

Badrul Hisham juga berkata, berdasarkan khabar angin, "bos" itu boleh jadi Timbalan Presiden Azmin Ali, yang mempertahankan jawatannya menentang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Sambil menyifatkan khabar angin itu sebagai "memalukan", Badrul Hisham menggesa Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Dr Tan Kee Kwong supaya menyiasatnya.

Dalam surat itu, Badrul Hisham berkata khabar angin itu mendakwa
Abd Malek telah mencampak "sejumlah wang" kepada Dr Xavier (kanan) dan berkata, "Berikan semula wang ini kepada ketua kamu".

Ketika dihubungi, Badrul Hisham, yang digantung keahliannya kerana secara terbuka mendakwa pemilihan parti itu kotor dan tidak telus, berkata adalah penting bagi mereka yang didakwa terlibat memperjelaskan perkara tersebut.

Bagaimanapun, sumber-sumber parti berkata Abd Malek "mencampak wang itu" di hadapan Wan Azizah dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat biro politik PKR dua minggu lalu.

Ketika dihubungi, Abd Malek enggan mengulas mengenainya.

Bagaimanapun, Dr Xavier menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

-MK

Pelajar Perempuan Bergaduh Sampai Terselak...

Belum reda lagi kejadian buli di sekolah Kota Samarahan yang menjadi viral baru-baru ini, tersebar pula sebuah video yang membabitkan 2 orang pelajar perempuan yang tersebar di laman sosial.

Beberapa yang lalu, telah tersebarnya sebuah video yang melibatkan dua orang pelajar perempuan sekolah menengah bergaduh di luar perkarangan sekolah.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Terengganu berdasarkan bahasa yang digunakan oleh dua pelajar perempuan terbabit.

Di dalam kes sebelum ini, video kes buli pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kota Samarahan Sarawak tersebar telah menjadi viral di mana rakaman berdurasi 1 minit 16 saat yang memaparkan aksi sekumpulan pelajar wanita membuli dan memukul seorang pelajar lain tanpa belas kasihan.

Kejadian tersebut berlaku pada 25 April 2014 di sebuah sekolah di daerah Kota Samarahan, Sarawak. Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 25 Mei 2014 dan siasatan serta tindakan susulan sedang dijalankan.

GB pernah mengulas sebelum ini bahawa "apabila sistem pendidikan negara telah jauh daripada roh pendidikan sebenar dengan tidak menitikberatkan aspek pendidikan rohaniah maka itulah kesannya."

Pengertian sebenar konsep pendidikan, tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam sesebuah masyarakat dan negara perlu dinilai semua dan Menteri Pelajaran perlubertangungjawab sepenuhnya untuk sebuah penggubalan dasar pendidikan yang menitikberatkan nilai-nilai akhlak dan disiplin - bukan terhad semata-mata kepada penilaian kognitif dan lulus periksa.

Jika tidak, maka kita akan dapat melihat lagi kejadian-jeadian di atas, malah dengan adegan dan senario yang lebih mengerikan!

Tuesday, June 3, 2014

Subsidi petrol hanya untuk rakyat bergaji bawah RM5,000

Hanya rakyat berpendapatan tidak melebihi RM5,000 sebulan yang menggunakan kenderaan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter layak menerima pemberian subsidi sepenuhnya dalam pelaksanaan kaedah pemberian subsidi petrol dan diesel yang dijangka bermula pada September ini lapor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Pendedahan eksklusif akhbar tersebut yang memetik sumber dalaman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaporkan ‎sistem itu dijangkakan bermula pada September ini bagi kenderaan komersil manakala Oktober dan November bagi kenderaan persendirian.

Pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapatkan ‎kad subsidi minyak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Jun, 2014.

Menurut Sin Chew Daily, sumber itu mengatakan pemberian subsidi akan dilaksanakan melalui pemberian elaun di mana setiap pengguna kenderaan perlu mendaftar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan memberikan butiran berkaitan cukai perseorangan atau syarikat bagi mendapatkan ‎kad minyak tersebut.

Kad elaun subsidi minyak yang bakal diberikan kepada pengguna mengandungi maklumat seperti nama penerima, alamat dan kuota bulanan minyak.

Bagaimanapun menurut akhbar itu, sekiranya penggunaan elaun subsidi melebihi ‎kuota ditetapkan, ‎‎pengguna perlu membeli sendiri minyak mengikut harga pasaran.

Sumber itu juga mendedahkan pengguna kenderaan berpendapatan RM5,000 ‎dan tidak melebihi RM10,000 turut layak menerima pemberian subsidi tersebut, bagaimanapun dihadkan hanya sebanyak 300 liter.

Di bawah skim ini bagaimanapun tidak boleh diguna pakai kepada mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 dan warga asing.

Menurut Sin Chew Daily, pelaksanaan sistem baru itu belum diputuskan secara rasmi kerana KPDNK masih mempertimbangkan keadah lain daripada pihak berkaitan.

Pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan memutuskan mengkaji semula pemberian subsidi minyak bagi memastikan tiada kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan.

Katanya, tahun lepas kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.48 bilion bagi pemberian subsidi petrol dan diesel manakala tahun ini pula sebanyak RM22.3 bilion.

Menurut Sin Chew Daily, pemberian subsidi berbentuk kad itu diputuskan bagi membolehkan kerajaan mengkaji nilai penggunaan minyak yang betul oleh pengguna.

Kerajaan juga dikatakan bercadang memperbaiki sistem MyKad bagi pertambahan maklumat penerima subsidi di dalam kad tersebut. –TMI

Misteri Kubur Wanita Di Tengah Masjid?

Mungkin ramai tertanya-tanya mengenai kubur yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan. Ini kerana belum pernah ditemui di mana-mana masjid sama ada di dalam atau luar negara kubur orang awam berada dalam masjid.

Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini sudah tentu membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang dianggap pelik itu.

Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh.

Mangsa sarat mengandung

Catatan sejarah itu masih sulit untuk diedarkan kepada umum kerana masih disimpan anak tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu benar-benar berlaku.

Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid.

Serangan komunis itu yang pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis.

Nik Mah juga adik kepada Nik Jaafar gagal melarikan diri pada masa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung. Allahyarhamah itu terpaksa berselindung di dalam longkang tersebut namun diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit.

Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan tanam di bahagian tangga belakang masjid itu.

Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur terbabit berada di tengah-tengahnya.

Sejarah serangan komunis ketika itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk sanggup berjalan kaki dalam hutan.

Berselindung dalam longkang

Allahyarham Nik Jaafar seperti yang tercatat dalam tulisan sejarahnya beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam.

Ini kerana kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk.

Nik Mah dibunuh kejam serangan komunis itu bersama 25 orang Melayu terperangkap ketika berselindung dalam longkang berkenaan.

Ada juga yang dibunuh ketika cuba menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai Jalan Besar untuk menyelamatkan diri.

Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai.

Tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang Melayu bagi merampas harta termasuk makanan.

Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana tanaman dimusnahkan komunis.

Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada orang ramai berhubung perkara itu dan menjadi kenangan sepanjang masa. -SH