Tuesday, December 6, 2016

Siapa beli plat nombor berharga RM20j..?


Acara lelongan elektronik bagi membida nombor plat kenderaan di Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat rekod baru selepas ia ditutup 2 Disember lalu.

Selepas lelongan elektronik itu berakhir penganjur mengumpul Dh16.5 juta (RM19.9 juta) atau meningkat 47 peratus berbanding lelongan pertama.




Lelongan itu dianjur oleh polis Sharjah dengan kerjasama firma Emirates Auction sejak 20 November.

Ia turut menarik minat pembida dari luar UAE.

Lebih 620 pembida terbabit untuk memperoleh nombor plat unik yang ditawarkan polis Sharjah. Secara keseluruhan ada lebih 7,000 bidaan berlangsung sepanjang tempoh itu.

Antara nombor yang dilelong ialah nombor 2, 11, 21, 33 dan 63 dan 61 lagi nombor plat dengan lima digit.

Bidaan tertinggi dicatatkan ialah Dh2.65 juta (RM3.2 juta) untuk plat bernombor 2 diikuti nombor 11 (Dh2 juta atau RM2.4 juta) dan nombor 21 (Dh1.1 juta atau RM1.3 juta).

Bidaan bagi plat lima digit - 77777 - pula ialah Dh602,500 (RM728,400) adalah antara yang terendah dicatatkan kali ini.

Amalan membida nombor plat memang bukan asing di kalangan hartawan di UAE dan ia pernah dijalankan berkali-kali sebelum ini.

Namun lelongan secara elektronik masih baru. Kali pertama ia diadakan ialah pada Oktober lalu dengan kutipan keseluruhan sebanyak Dh11,015 juta (RM13.3 juta).

Ketua Polis Sharjah, Brig Saif Al-Shamsi berterima kasih kepada semua pembida yang terlibat dalam lelongan berkenaan serta mengucapkan selamat kepada pemenang.

Emirates Auction pula menggalakkan orang ramai berdaftar dengan mereka untuk terlibat dalam lelongan akan datang.

Sebagai insentif, semua pengguna berdaftar aplikasi Emirates Auction berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah sebuah kereta BMW edisi 2017 dan Bentley edisi 2016.


-MK

Umno, PAS bawa lari isu Parlimen ke dalam stadium, kata Amanah

Amanah hari ini mempersoalkan sikap Umno dan PAS yang membisu terhadap usul dibawa pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi membincangkan krisis terbaru melibatkan penduduk Rohingya di Myanmar, sambil mendakwa kedua-dua parti menganjurkan perhimpunan di sebuah stadium semalam demi kepentingan politik masing-masing.

Datuk Raja Bahrin Shah yang mengetuai Biro Antarabangsa Amanah berkata usul membincangkan isu itu ditolak dengan alasan ia mencampuri hal ehwal negara luar.



“Anehnya lebih kurang seminggu selepas itu, Umno-BN bersama PAS menyertai Himpunan Solidariti dengan Rakyat Rohingya di Stadium Titiwangsa. Tajuk isunya adalah sama, kekejaman atas Muslim Rohingya.

“Ini bermakna isu-isu yang sepatutnya dibahas secara serius di Parlimen telah dibawa lari ke sebuah stadium untuk dibahas oleh hanya Umno dan PAS,” kata ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kekejaman ke atas etnik Rohingya pada 24 November lalu menunjukkan ahli Parlimen dinafikan hak untuk menyuarakan pandangan rakyat diwakili mereka.

Malah, katanya, Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang diadakan semalam bertujuan mengambil kesempatan daripada penderitaan etnik Rohingya demi kepentingan politik dua PAS dan BN, bukannya untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan isu itu.

“Kami ahli Parlimen pembangkang terutamanya, tidak redha isu sepenting ini di ‘hijack’ parti politik tertentu sahaja untuk kepentingan politik murahan mereka dan menafikan Parlimen Malaysia membuat ketetapan rasmi untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kami menuntut perdana menteri mengadakan satu sidang Parlimen khas untuk membahas isu kekejaman ke atas Muslim Rohingya.”

Ribuan orang menghadiri Himpunan Solidariti Ummah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam di Stadium Titiwangsa, semalam.

Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz. -FMT

Monday, December 5, 2016

Orang Asli beri amaran kepada PAS dan UMNO

Sepucuk surat bertulisan tangan yang didakwa cetusan luahan Orang Asli di Kelantan selepas dirinya dibebaskan daripada penahanan selepas membuat sekatan menghalang pembalakan di Gua Musang, semalam sedang disebarkan di laman sosial, khususnya di Facebook.

Bagaimanapun, surat yang bertarikh 1 Disember itu tidak mempunyai nama.


Kelmarin 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah selepas tahanan reman antara dua dan tiga hari.

Berikut transkrip penuh surat itu yang juga dimuat naik di laman Facebook PSM.

1 Disember 2016

"Kamu marah bila kami panggil wilayah kami sebagai tanah adat. Tapi kamu tolak permohonan kami walau tanah TOL pun!

Walau kami dah duduk situ zaman sebelum orang putih. Kubur kami usia ribu tahun.

Kalau kamu luluskan tol, kami panggil tanah kami tanah tol, lulus geran, kami panggil tanah kami bergeran! Kamu kata cadangan dah lulus. Belas tahun kami dengar alasan itu.

Kenapa tak warta? Kenapa tak buat? Guna alasan kampung lain yang luluskah?

Guna penghulu tanpa kampung yang dapat gaji kerajaankah?

Berpuluh lagi kampung kami susah sangatkah nak susun semula?

Wartakan, bagi geran. Kalau tuntutan kami tidak tepat, betulkanlah, berundinglah, takut jubah kotorkah?

Kamu suruh patuh undang-undang tapi undang-undang kamu yang buat. Undang-undang kamu lindungi siapa? Syarikat Singapurakah? Syarikat Taiwankah?

Jangan jual agama pada kami.

Tuhan kamu bukan Allah tapi kapitalisme.

Kamu yang tentukan siapa yang boleh tanam sayur siapa tak boleh, siapa boleh tebang pokok, siapa tak boleh.

Kalau potong tangan hudud pun, kamu yang tentukan siapa kena, siapa terlepas, siapa pencuri, siapa bukan?

Jangan bawa cerita nabi pada kami. Kenapa kamu tidak susah macam nabi?

Kamu susahkan orang lain pula. Cuba kamu hidup 24 jam di tempat kami. Minum air kami yang kamu kotorkan.

Buat susu bayi kamu guna sungai kami yang kamu cemarkan racun itu. Basuh baju keluarga kamu. Takut nyamuk, takut pacat, atau takut racun?

-mk

Myanmar Demo, Najib tak peduli

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata himpunan solidariti Rohingya hari ini bertujuan untuk memberi mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa Malaysia membantah penganiayaan dilakukan ke atas etnik Rohingya di negara itu.



Berucap dalam himpunan yang diadakan di stadium Mini Titiwangsa itu, Najib berkata isyarat sama diberi kepada menteri luar Myanmar, Aung San Suu Kyi yang pernah menerima anugerah nobel keamanan.

"Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar. Kita nak beritahu kepada Aung San Suu Kyi. Enough is enough," katanya.

Najib berkata, Malaysia tidak berhasrat campurtangan dalam urusan Myanmar, sebaliknya mengingatkan negara itu mengenai piagam Asean yang menekankan hak asasi manusia.

Ini berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

"Kerajaan Myanmar akan anggap saya campur tangan dalam urusan Myanmar. Dia gertak saya, saya tak peduli.

"Sebab saya akan hadir (himpunan ini) atas nama Najib. Saya hadir atas nama ummah dan rakyat Malaysia.

"Bukan kita nak campur tangan. Kita nak ingatkan Myanmar charter Asean juga mempertahankan hak asasi manusia," kata Najib.

Minta Indonesia suarakan bantahan

Beliau juga menggesa presiden Indonesia Joko Widodo agar meminta rakyat republik itu berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap Myanmar.

"Rohingya mesti diperjuangkan di Indonesia. Kita nak tunjuk bahawa kita dalam Asean ini, kita tak redha. Kita mesti bertamadun.

"Ini sebahagian maqasid syariah. Ini wajib, ini bukan pilihan. Sebab itu Umno dan PAS ada dalam himpunan. Ya, kita boleh berbeza pendapat. Soal Islam, soal ummah ini bukan politik, ini wajib," katanya.

Dalam ucapannya Najib turut menyelar Aung San Suu Kyi kerana enggan bertemu menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan isu Rohingya.

"Suu Kyi kata apa, 'Jika kamu (Anifah) mahu berjumpa dengan saya mengenai isu-isu dua hala ya, tetapi saya tidak sanggup berjumpa kamu untuk bincangkan isu Rohingya'," kata Najib.

"Mana boleh. Apa makna community of nation. Apa makna nobel prize (anugerah nobel)," katanya.

Sementara itu, timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mempersoalkan pendirian Suu Kyi mengenai nasib etnik Rohingya di negara itu.

"Saya nak tanya pemimpin negeri sana yang terima anugerah nobel keamanan. Apa yang dilakukan di negeri itu untuk wujudkan keamanan.

"Ini bukan campurtangan, ini soal kemanusiaan. Kita akan bangkit semula untuk perjuangkan rakyat Rohingya," katanya.

-MK

Friday, December 2, 2016

Bila Melayu Umno mudah lupa

Kita lihat banyak negara-negara yang mencapai kemerdekaan setelah dijajah, memilih sistem demokrasi. Malaysia juga demikian.

Tetapi sementara di Malaysia pilihanraya dapat menentukan parti yang akan mendiri Kerajaan, di kebanyakan negara lain pilihanraya hanya menghasilkan Kerajaan otokratik.



Sebabnya ialah banyak penipuan berlaku dalam pilihanraya sehingga keputusan dipertikai oleh pihak yang kalah. Kadang-kadang rusuhan berlaku, bahkan adakalanya perang saudara berlaku.

Sebenarnya penipuan mudah diperlakukan dalam pilihanraya. Diantaranya ialah dengan memindah pengundi dari kawasan yang tetap dimenangi kepada kawasan yang parti kalah dengan jumlah undi yang sedikit sahara.

Dengan tambahan sedikit sahaja pengundi dari kawasan kubu kepada kawasan kalah, kemenangan mudah dicapai.

Sogokan wang dan barangan juga boleh menentu kemenangan. Biasanya dibuat secara rahsia kerana ia menyalahi undang-undang, tetapi jika kerajaan boleh menghalang segala tindakan undang-undang terhadapnya, sogokan boleh dibuat secara terbuka oleh parti kerajaan.

Undi pun boleh ditipu

Jika ada laporan dan dakwaan bahawa sogokan telah berlaku, ketua polis dan pendakwa raya boleh mengenepi atau menutup dakwaan itu. Mahkamah tidak akan dapat mendengar kes itu.

Mungkin juga orang yang membuat laporan dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah. Setelah ini berlaku tiada akan ada lagi sesiapa yang akan membuat laporan.

Orang asing juga boleh diguna untuk mengundi parti yang berkuasa. Katakanlah terdapat ramai orang asing yang berada dalam negara kerana sebab-sebab tertentu, mereka ini boleh diberi kad pengenalan warganegara dan didaftar sebagai pengundi.

Sudah pun dikesan orang asing yang memiliki pasport negara lain tetapi mempunyai kad pengenalan Malaysia.

Dengan sogokan juga pegawai dan kakitangan boleh mengambil bahagian dalam penipuan ini. Pekerja dalam pengurusan pilihanraya boleh juga disogok supaya bekerjasama dan tidak melapor penyelewengan yang berlaku. Jumlah undi pun boleh ditipu semasa dikira.

Mereka yang bersubahat seperti ini boleh dilindungi oleh pihak yang berkuasa. Mereka tidak akan didakwa.

Apabila diisytihar keputusan pihak yang tidak puas hati boleh membantah. Mereka boleh berdemo.

Tetapi selagi ketua pihak penguatkuasa undang-undang dan pendakwaraya menolak segala dakwaan penipuan dan bantahan oleh rakyat sia-sia sahajalah usaha yang dibuat.

Parti yang menang secara penipuan akan dirikan kerajaan dan akan terus menipu dan melesapkan duit rakyat. Ini sudah pun berlaku.

Melayu Umno mudah lupa

Demokrasi memang sistem yang terbaik tetapi demokrasi boleh disalahguna dan salahlaku sehingga wujud diktator demokratik – atau lebih tepat lagi kleptokratik. Demikianlah wang boleh menghapuskan semangat sayang kepada bangsa, negara dan agama.

Untuk mengelak semua ini berlaku terdapat hanya satu cara sahaja. Rakyat sebagai pengundi, kakitangan dan pegawai mestilah menolak dengan sekeras-kerasnya rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

Apa juga yang diterima dan boleh ditakrif sebagai rasuah adalah haram – haram di dunia dan haram di akhirat. Islam, agama-agama lain dan masyarakat mengutuk rasuah. Percayalah rasuah tetap akan memburukkan nasib semua dari kita termasuk dan lebih-lebih lagi mereka yang menerima rasuah.

Janganlah sesiapa berkata oleh kerana rasuah tidak termasuk dalam hukum hudud, dianya akan dibalas hanya di akhirat sahaja. Dia tidak menjadi kesalahan di dunia. Oleh itu terimalah rasuah sebagai rezeki.

Sebenarnya balasan di dunia akan dirasai oleh semua kerana rasuah, selain dari menjadi beban kepada masyarakat tetap akan menghancurkan negara.

Melayu Umno mudah lupa, seperti saya nyatakan dalam perhimpunan Agung Umno dahulu. Kali ini mereka lupa sayang kepada bangsa, negara dan agama seperti perjuangan Umno di waktu ia ditubuh.

Yang mereka ingat hanyalah duit itu raja. Dan mereka teruslah menyembah duit. Pilihanraya kali ini akan memperlihat duit-duit yang dicuri dikongsi bersama oleh mereka yang terus menyokong Najib.

Dengan perkataan lain ahli Umno yang terus sokong Najib bersubahat dengannya dalam melesapkan duit kerajaan (duit rakyat) berbilion-bilion Ringgit.

Makanlah duit haram ini, duit dari menjual bangsa, agama dan tanahair.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

-MK

Thursday, December 1, 2016

Abang tomoi' pula nak lawan Abang Kucing



'Salam' Abang Kucing untuk beradu tenaga dan ketangkasan dalam gelanggang kini bersambut. Cuma ia bukanlah daripada orang yang diharapkannya, iaitu Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Hari ini muncul "geng tomoi" yang mahu membela ketua Umno Sungai Besar itu.

Petinju Muay Thai, Datuk Muhammad Fuad Mat Isa berkata beliau berada terpanggil untuk mempertahankan Jamal kerana mengambil kira aspek 'keadilan' dalam pertarungan.

Kayanya tidak berbangkit isu Jamal takut menyahut cabaran berkenaan, tetapi hakikatnya ahli politik itu bukan lawan sebenar Abang Kucing.

“Tujuan kita adalah nak pertahankan Datuk Jamal, nak buat perlawanan yang sihat.

“Kalau betul Abang Kucing ni seorang ahli gusti, kita sediakan gelanggang dan lawan ikut kilogram dan ketinggian (yang betul).

"Lagipun kita banyak fighter-fighter kita dan ini adalah gelanggang yang sebenar. Kalau kita fighter yang sebenar, kita kena lawan fighter juga.

"Kalau kita berlawan dengan orang yang bukan fighter, kita bukan fighter,” katanya pada sidang media di FF Muay Thai di Setiawangasa hari ini.

Katanya untuk memastikan pertarungan itu saksama faktor ketinggian dan berat badan adalah penting, dan pada masa sama Jamal tokoh politik serta ahli perniagaan.

“Datuk Jamal orang berniaga dan dia ahli politik, kita ini fighter, kita ahli sukan (justeru) kita menyahut mana-mana cabaran (untuk beradu kekuatan).

Buat betul-betul di gelanggang

Pada 27 November lalu Malaysiakini melaporkan sekumpulan lelaki menggelar diri mereka Gabungan Pejuang Rakyat Demi Negara mencabar Jamal - yang juga ketua kumpulan Baju Merah - menjadi anak jantan untuk beradu kekuatan secara budiman di gelanggang.

Jurucakapnya Sharul Nizam Abdul Rahim berkata tujuan utama mereka membuat cabaran itu adalah untuk menegaskan pendirian mereka menolak aktiviti membuli.

Cabaran sama, katanya, dibuat kepada orang kanan Jamal, Razali Zakaria.

"Saya atas nama Abang Kucing Antibuli menyusun wira rakyat untuk mencabar Datuk Seri Jamal Yunos masuk dalam gelanggang (dan beradu kekuatan).

"Daripada bergaduh macam samseng, saya nak ubah jadi pergaduhan yang sah," katanya.

Jamal sebelum ini aktif menggerakkan Baju Merah mengekori konvoi BERSIH menjelang perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Dalam kempennnya tercetus beberapa insiden kekasaran termasuk melibatkan kakitangan media.

Muhammad Fuad berkata jika Abang Kucing bersetuju dengan tawarannya beliau bersedia menyediakan orang yang sesuai serta gelanggang pertarungan.

“Saya dan kelab saya FF Muay Thai menganjurkan perlawanan yang sihat kerana saya seorang fighter dan rakan-rakan saya fighter. Kita juga akan sediakan gelanggang.



"Jadi saya nak ingatkan Abang Kucing, kalau benar-benar rasa inginkan pelawanan yang sihat, kita buat betul-betul atas gelanggang. Ikut berat, tinggi dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.

-MK

Sembelih 100 kucing sehari

Seorang lelaki yang mendakwa dia pencinta haiwan dan memelihara kucing liar di rumahnya ditangkap kerana menyembelih haiwan itu dan menjual bangkainya kepada restoran.

Gambar yang tersebar menunjukkan puluhan bangkai kucing beku dan baru disembelih di gudang kecil lelaki itu di Chengdu, barat daya China.



Seorang wartawan yang menyamar untuk melakukan siasatan bagi Akhbar Chengdu Business mendapati lelaki itu, Huang Fuping menjual bangkai kucing berkenaan sebagai arnab kepada restoran di pedalaman China dengan harga 20 yuan (RM13) sekilogram.

Pihak berkuasa menutup rumah penyembelihan kucing Huang yang beroperasi sejak 30 tahun lalu sebaik menerima maklumat daripada sukarelawan 23 November lalu.

Jurucakap Pusat Penyelamat Haiwan Aizhijia Chengdu yang mahu dikenali sebagai Chen berkata, pihaknya merampas dua tan bangkai kucing dan menyelamatkan 49 ekor yang belum disembelih pada hari berkenaan.

Aktivis berkata, Huang sempat menjual 13 tan bangkai haiwan itu sebelum gudangnya diserbu hari itu.

Huang memberitahu wartawan yang menjalankan intipan itu, dia menyembelih 100 kucing sehari, meraih pendapatan kira-kira 3,000 yuan (RM2,000) semalam.

Kerana jualan daging kucing diharamkan di Chengdu, dia terpaksa menjualnya di pasar dan restoran di luar bandar berkenaan dengan mendakwa ia daging arnab.

Dia memberitahu wartawan berkenaan, daging kucing dan arnab hampir sama dan apabila dikisar, tidak seorang pun dapat membezakannya.

Untuk memenuhi permintaan tinggi daripada restoran, Huang bukan sahaja menangkap kucing yang berkeliaran, tetapi juga mengupah orang lain untuk mencuri kucing peliharaan penduduk sekitar.

-mymetro

Jemaah mencuri di dalam masjid

Orang lain ke surau menunaikan solat, namun lain pula halnya dengan seorang wanita apabila dia mengambil kesempatan itu untuk melarikan beg tangan seorang guru yang diletakkan di atas rak al-Quran di surau Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, wanita itu kini ‘panas punggung’ kerana dia tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam surau berkenaan.

Kejadian itu hanya disedari jam 3.30 petang oleh mangsa, seorang guru wanita berusia 33 tahun yang ketika itu meletakkan beg tangannya atas rak berkenaan kerana mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur.

Menurut sumber, selesai mengambil wuduk, mangsa masuk semula ke surau dan terkejut mendapati beg tangannya hilang.

“Guru wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan hasil semakan melalui CCTV mendapati seorang wanita bertudung serta berbaju lengan panjang menghampiri rak terbabit.

“Suspek dilihat mengambil beg tangan mangsa dan keluar dari surau dalam keadaan tergesa-gesa dan polis kini mengesan wanita berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berikutan kes itu, mangsa kerugian RM1,500 apabila telefon bimbit yang baru sebulan dibeli serta wang tunai RM500 yang disimpan dalam beg dilarikan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan.

-hmetro

Tiga terkorban terkena tembakan


Georgetown: Tiga lelaki yang belum dikenal pasti identiti maut manakala jurukamera sambilan RTM cedera di bahu selepas ditembak dalam kejadian di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, semua mangsa yang maut terdiri daripada dua pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.

Setakat ini, polis masih menjalankan siastaan di lokasi kejadian.

Sebelum kejadian, jurukamera sambilan RTM Mohamad Amirul Amin Amir, 27 bersama rakan, wartawan Sinar Harian Mohd Iskandar Othman dalam perjalanan ke Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.

Mohamad Amirul yang menyangka ada kemalangan cuba memberi bantuan namun suspek yang bersenjatakan pistol terus melepaskan tembakan ke arahnya.

-hmetro

Gigitan Cinta labah-labah di leher Yuna

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, berkata, kesan merah itu terjadi akibat alahan pada kulit selepas digigit serangga berkenaan ketika dia


"Ini bukan gigitan cinta tetapi kesan daripada gigitan labah-labah ketika konsert jelajah di Alabama, Amerika Syarikat pada lima minggu lalu.



"Ia bukan sahaja di leher tetapi juga di wajah dan tangan saya yang turut digigit ketika sedang tidur," ujarnya kepada mStar Online.

Yuna ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama Younder di Hotel St Regis, di sini, malam Selasa.

Dia diminta mengulas tentang sekeping fotonya yang dimuat naik oleh penganjur konsert Rockway yang berlangsung pada Sabtu lalu dipersoalkan netizen.

Sementara itu, tambah Yuna, akibat kesan gigitan labah-labah itu menyebabkan dia mengalami bengkak dan gatal-gatal selama seminggu selepas mendapatkan rawatan.

-Mstar