Tuesday, July 12, 2016

Antoine Griezmann kecewa walaupun miliki kasut emas EURO 2016

Perasaan bercampur baur antara kebanggaan dan kekecewaan, itulah situasi yang dihadapi penyerang Perancis Antoine Griezmann selepas berjaya meraih kasut emas Euro 2016.

Namun, apa yang menyedihkan bintang Atletico Madrid itu adalah kegagalan menghadiahkan kemenangan buat Perancis di pentas final.

Sepanjang saingan Euro yang berlangsung di tanah airnya itu, Griezmann berjaya mencipta enam gol daripada tujuh perlawanan, sekali gus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Malah, rekod jaringan itu merupakan koleksi gol tertinggi Euro sejak edisi 1984.

"Sangat kecewa dan (rasa) hebat dalam waktu sama.

“Kami melalui beberapa saat luar biasa, juga peristiwa paling menyedihkan," katanya seperti dilaporkan laman web rasmi Kesatuan Bola Sepak Eropah.

Pada perlawanan akhir awal pagi tadi, Perancis sebagai tuan rumah tewas tipis 0-1 kepada Portugal di Stade de France, Paris.

"Sebagai penjaring terbanyak saya mungkin boleh berbangga, tetapi saat ini adalah tentang pasukan.

"Saya kecewa tak dapat membantu pasukan, tetapi tetap bangga dengan pasukan kami dan semua penyokong di sini.

"Kami perlu ambil pengajaran daripada kekalahan," ujarnya.

Menyusul prestasi Griezmann sebagai raja gol edisi kali ini adalah penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo dengan tiga jaringan dan tiga kali membantu menjaringkan gol (assist) dalam penampilannya selama 625 minit.

Bagaimanapun, jaringan itu menyamai jumlah jaringan pemain Jerman Olivier Giroud, Dimitri Payet (Perancis), Gareth Bale (Wales), Nani (Portugal) dan Alvaro Marota (Sepanyol), tetapi dibezakan dengan tempoh beraksi dan assist.

-MK

Saturday, February 14, 2015

Dr M ketuai PKR?

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata cadangan PKR untuk melantik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai PKR hanyalah strategi untuk memecahbelahkan Umno.

Syed Ali yakin bahawa Mahathir bukanlah “pemimpin murahan dan mudah diperalat” sehingga sanggup menggalas jawatan seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini meringkuk di penjara.

“Cadangan tersebut ternyata sesuatu yang mengarut, tidak waras dan satu provokasi (untuk) memecahbelahkan Umno.

"Saya tidak terfikir bagaimana pembangkang boleh keluarkan cadangan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Ketua Pembangkang yang sebelum ini disandang oleh Anwar.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang,” katanya dalam kenyataan di blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau mengulas gesaan dari kelompok PKR yang menggesa Mahathir menggantikan Anwar di jawatan tersebut.

Spekulasi kerjasama Anwar-PM

Cadangan itu muncul susulan spekulasi bahawa wujud kerjasama di antara Anwar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melihat bahawa perkara itu tidak mustahil terjadi kerana Najib menurutnya mahu menutup kritikan Mahathir dan, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau menimbulkan jangkaan itu apabila melihat Mahathir melancarkan kritikan terbuka ke atas kepimpinan Najib dan turut menimbulkan isu berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB.

Pada masa sama, media arus perdana yang dikuasai BN menyerang sekutu rapat Mahathir, Tun Daim Zainuddin, dan turut membuat liputan mengenai siri pendedahan PKR mengenai kekayaan bekas menteri kewangan itu.

PKR bagaimanapun menolak tanggapan itu dan hanya menganggapnya sebagai satu kebetulan.

Syed Ali juga berpendapat bahawa Mahathir tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan Umno dengan mudah.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang," katanya.

Beliau turut sambil menyindir PKR yang disifatkannya sebagai “perahu usang” yang menunggu masa untuk tenggelam dan "ketandusan" pemimpin yang layak menggantikan Anwar.-mk

Thursday, February 12, 2015

Selamatkah kedudukan Najib dengan terpenjaranya Anwar?

Setelah muktamad hukuman penjara lima tahun dijatuhkan keatas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kesedihan rakyat hampir dapat dirasai di mana-mana.

Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan.

Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar.

Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu.

Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa di mana juga berkongsi perasaan yang sama.

Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penanggungan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat.

Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga.

Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik.

Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti.

Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua.

Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya.

Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini?

Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi?

Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh?

Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan?

Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi?

Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu?

Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang?

Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO.

Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. -shahbudindotcom

Anwar akan 'keluar' penjara?

Sekalipun dihukum penjara lima tahun kes kesalahan meliwat, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka muncul di khalayak umum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa ini, seminggu selepas dijatuhi hukuman itu semalam.

Perkara tersebut disahkan oleh peguamnya J Leela kepada Malaysiakini hari ini.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri akan dibawa untuk memberi keterangan dalam saman RM100 jutanya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Selain Leela, ketua pembangkang itu turut diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.

Anwar diarah memberi keterangan lagi susulan dakwaan Anifah dalam pembelaannya bahawa beliau (Anifah) ditawarkan RM100 juta untuk memujuk beberapa anggota parlimen BN dari Sabah untuk melompat menyertai Pakatan Rakyat dalam isu 16 September 2008. -mk

Siapa tanding kerusi Pmtg Pauh?

Spekulasi bahawa anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang kini semakin bertiup kencang.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat hanya akan memutuskan perkara itu minggu depan.

Beliau mengelak ketika ditanya jika adiknya itu sememangnya akan bertanding di kerusi berkenaan.

Jelasnya, sidang media pada pagi ini bertujuan untuk memaklumkan tentang perhimpunan 'Berarak Demi Kebebasan' dan tidak berbangkit mengenai calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu.

"Sukar untuk teruskan hidup dalam iklim politik di Malaysia terutama jika anda adalah pembangkang.

"Buat masa ini, ibu saya (Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan saya yang akan memimpin," katanya kepada pemberita.

Sesetengah pihak mendakwa Anwar berhasrat untuk melihat Nurul Nuha bertanding di kerusi kubu kuatnya itu.

Anwar terpaksa mengosongkan kerusi tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Beliau juga sebelum ini didakwa mengamalkan nepotisme kerana jawatan utama dalam PKR diisi anggota keluarganya - Wan Azizah menjadi presiden dan Nurul Izzah menjadi naib presiden.

Jika Nurul Nuha benar-benar menjadi calon di Permatang Pauh, ia mungkin akan menyukarkan Pakatan untuk memilih ketua pembangkang yang baru.

Isu pencalonan berkenaan, dan soal pelantikan ketua pembangkang yang baru bakal menjadi agenda utama dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan, Jumaat depan. -mk

Wednesday, February 4, 2015

Hadi dan Lim setuju bertemu selasai masalah?

Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan Mesyuarat Tertinggi Majlis Permuafakatan pada Ahad ini, kata Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah bersetuju untuk hadir pada mesyuarat itu.

Mesyuarat itu diadakan dua hari sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb berhubung rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Dalam ucapan pada ceramah di perkarangan Pejabat Keadilan Kemaman di Bandar Cukai di Kemaman malam tadi, Anwar berkata mesyuarat itu antara lain akan membincangkan hala tuju PR sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

"Terserah kepada kebijaksanaan kawan-kawan apa nak buat selepas ini kalau apa-apa terjadi (selepas keputusan Mahkamah Persekutuan)," katanya.

Anwar berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan permasalahan berbangkit yang berlaku antara parti dalam PR iaitu PKR, PAS dan DAP.

- Bernama

Friday, January 30, 2015

RON95 sepatutnya RM1.62 seliter pada Feb kata Rafizi

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata Putrajaya sepatutnya menetapkan harga seliter petrol RON95 pada kadar RM1.62 bagi bulan Februari.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Rafizi berkata, angka ini akan mencerminkan harga pasaran purata petrol RON95 di Malaysia, seperti yang ditentukan oleh MOPS (Mean of Platts Singapore)

Katanya, jika subsidi dipulihkan, seperti yang digesa oleh PKR, maka harga akan hanya menjadi RM1.32 seliter.

Terdapat spekulasi bahawa harga minyak akan diturunkan pada 1 Februari, selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah.

Sumber dalaman industri memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menjangka Putrajaya akan menambat RON95 pada harga RM1.63 seliter dan diesel RM1.62 seliter.

Putrajaya telah memansuhkan subsidi petrol dan diesel bulan lalu selepas harga minyak mentah mencecah paras paling rendah dalam rekod. Satu mekanisma harga "apungan terurus" kemudiannya diperkenalkan.

Pada masa ini, harga seliter RON95 ialah RM1.91 manakala diesel dijual pada harga RM1.93 seliter.

Jika RON95 dijual bawah harga RM1.75 seliter, ia akan menjadi jumlah yang paling rendah sejak 2009.

Sementara itu, Rafizi turut mendakwa, Putrajaya telah mengumpul kekayaan sebanyak RM1.15 bilion bagi "cukai bahan api" berikutan petrol yang telah dijual melebihi harga pasaran antara bulan Disember dan Januari.

Hujah beliau berdasarkan harga oleh MOPS, kadar pertukaran matawang harian dan data harga penggunaan yang disediakan kerajaan.

Pengiraan yang dibuat naib presiden PKR itu juga mengandaikan, harga pasaran yang betul untuk satu liter bahan api RON95 telah berubah-ubah antara RM1.75 dan RM1.49 antara 1 Januari dan 28 Januari.

Manakala, harga pasaran untuk satu liter diesel adalah antara RM1.80 dan RM1.55 semasa tempoh sama.

Bagaimanapun, menurut Rafizi, Putrajaya telah menetapkan harga RM1.91 seliter bagi RON95 dan RM1.93 seliter bagi diesel pada bulan Januari.

Oleh yang demikian, Rafizi yang turut menyediakan pengiraan dari hari ke hari dalam kenyataan akhbarnya itu menegaskan, pengguna juga secara berkesan telah membayar "cukai bahan api" kepada kerajaan.

"Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), BN mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pandan itu mencabar kerajaan Persekutuan untuk menyangkal dakwaannya dan mendedahkan formula yang digunakan untuk menentukan harga bahan api.

Malah, beliau turut mengulangi permintaaannya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan kutipan "cukai bahan api" dan menubuhkan Tabung Penstabilan Harga Minyak dengan menggunakan cukai tersembunyi yang telah dikutip untuk digunakan semasa harga petrol dan diesel dinaikkan.

Beliau turut mencadangkan supaya harga terkini bahan api disemak setiap minggu bagi mengelakkan rakyat terus membayar jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan menghentikan cukai tersembunyi akibat perbezaan harga itu.

"Tindakan mencukai rakyat melalui pembelian petrol dan diesel pada ketika ekonomi negara semakin teruk melambangkan keterdesakan kewangan pentadbiran Najib," katanya lagi. -mk

Pengguna Twitter disiasat polis kerana MH370 satu konspirasi

Akibat menulis tweet mengatakan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 merupakan satu 'konspirasi' dan bukannya kemalangan, seorang pengguna Twitter kini di dalam siasatan pihak polis selepas postingnya dipetik ketua polis yang mengarahkan siasatan dijalankan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam tweetnya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pengguna yang dikenali sebagai 'Fazel' di akaun Twitternya @ollie_mollie.

Khalid, yang menulis tweet di @KBAB51, memuatnaik 'screenshot' tweet Fazel dan memberi arahan: "PCIRC @PDRMsia Sila kesan dan siasat 'Fazel' di bawah ini"

PCIRC ialah singkatan bagi Police Cyber Investigation Response Centre atau Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis.

Dalam 'screenshot' itu, Fazel dilihat menulis tweet membalas mesej Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas MH370.

Fazel mengatakan, "@NajibRazak jib jib..it's not an accident, it's a conspiracy (ia bukan satu kemalangan, ia satu konspirasi)".

Bagaimanapun, akaun Twitter @ollie_mollie itu kini dipadamkan selepas beberapa pengguna Twitter lain mencabarnya memberi bukti wujudnya konspirasi dalam kes MH370 itu.

Pihak polis di akaun @PDRMsia kemudiannya bertindak balas kepada arahan Khalid dengan menjawab: "Tan Sri @KBAB51, tindakan sedang diambil oleh pihak PCIRC".

Khalid akhir-akhir ini menggunakan akaun Twitternya menghebahkan beberapa kes, terutama yang melibatkan Akta Hasutan 1948 dan kritikan terhadap pihak berkuasa.

Beliau juga menggunakan Twitter mengumumkan siasatan atas peguam hak asasi manusia Eric Paulsen kerana menuduh pihak berkuasa agama menyebarkan ekstremisme ketika solat Jumaat.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia agar menghargai keharmonian yang wujud di negara ini dan memberi amaran polis akan bertindak ke atas mereka yang mengganggu keamanan dan mengancam keselamatan negara.

Khalid juga menggunakan Twitter meminta tindakan diambil ke atas pengguna media sosial lain yang mengkritik beliau di Internet.

Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, tanpa menyebut nama, pernah mengeluarkan pendapat yang polis tidak sepatutnya mendedahkan terlalu banyak mengenai kerja mereka di laman media sosial. – TMI

Harakah & Parti PAS Dalam Bahaya

Kuala Lumpur: Salah seorang pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, Ishak Surin mendedahkan selama dua dekad Datuk Mustafa Ali memegang jawatan Pengerusi Harakah, sudah terlalu banyak pembaziran yang dilakukan Setiausaha Agong PAS itu.

“Sehinggakan perjuangan dan imej Islam yang dibawa oleh PAS sedikit sebanyak tercemar,” tambah beliau.

Secara terus terang, Ishak memberitahu, malah Mustafa juga menggunakan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk kepentingan dirinya dan keselesaan dirinya sendiri.

“Terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Mustafa, sehingga melakukan apa yang tidak perlu dilakukan. Mustafa membazirkan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk mengubahsuai biliknya menjadi bilik yang sangat mewah,” katanya dalam satu forum pendedahan bertajuk Harakah Dalam Bahaya, di Gombak.

Ishak yang merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Batu turut mempersoalkan apakah kepentingan bilik yang sebegitu mewah di Ibu Pejabat Harakah kepada pengarah urusan kerana menurutnya, permulaan wang jualan akhbar Harakah adalah daripada titik peluh rakyat (ahli) khususnya.

Bukan itu sahaja, Ishak turut melahirkan kekesalannya apabila melihat pihak pengurusan Harakah gagal untuk mengurus wang tersebut dengan baik.

Menurut beliau lagi, jika wang tersebut dikendalikan dengan cara betul, sudah banyak projek-projek yang boleh dilaksanakan untuk parti PAS, malangnya perkara tersebut tidak berlaku.

“Sekiranya wang daripada hasil jualan akhbar Harakah itu digunakan dan diurus secara baik, pastinya Harakah sudah setaraf dengan media rasmi kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah PAS sendiri juga pasti mampu untuk memiliki akademi wartawannya sendiri. Tetapi kini apa yang ada?” ujar beliau.

Selain itu, veteren PAS itu juga turut kesal apabila mendapat tahu kebajikan kakitangan akhbar Harakah tidak dijaga sebaiknya.

“Gaji kakitangan Harakah tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana perkara ini boleh berlaku, kerana kita sering bercakap soal Islam, tetapi adakah ini gambaran sebuah parti yang membawa perjuangan Islam?

“Atas perkara itu, saya kini dalam usaha untuk menubuhkan satu kesatuan sekerja dalam kalangan kakitangan pekerja akhbar Harakah,” ujarnya lagi.

Ishak secara lantang menyuarakan dan mendesak agar Mustafa meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam akhbar Harakah serta mengembalikan semula pentadbiran Harakah kepada pentadbiran asal.

“Saya mendesak supaya Mustafa Ali berundur dan saya juga yakin beliau akan berundur. Malah saya turut mengharapkan pentadbiran secara korporat dihentikan dan dikembalikan semula cara pentadbiran yang lama iaitu secara berjemaah.

“Sudah terlalu lama Mustafa berada di dalam Harakah, dan dia ingat akhbar Harakah adalah bapa dia yang punya,” ujar beliau lagi. Tidak terhenti di situ, Ishak turut menggesa agar kewangan akhbar Harakah diaudit kerana menurutnya, ia akan membolehkan akar umbi mengetahui pengaliran wang hasil jualan akhbar tersebut.

“Tetapi sehingga kini, kita tidak mengetahuinya. Macam mana nak tahu, kewangan Harakah tidak pernah diaudit walaupun perkara ini sering dibangkitkan dalam muktamar PAS,” tambah beliau.

Menurutnya, walaupun persoalan itu dibangkitkan setiap kali muktamar berlangsung, ia hanya sampai di peringkat pertanyaan sahaja kerana tidak pernah terjawab.

Jelas Ishak lagi, beliau akan menegur mana-mana pemimpin PAS yang disifatkannya sudah lari daripada perjuangan asal PAS iaitu untuk memartabatkan Islam dan membentuk sebuah negara berkebajikan.

“Kalau Mustafa sanggup menjadi pemimpin, maka dia mesti sanggup kena tegur. Ini kerana, sebagai ahli PAS, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur pemimpin, “ tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli PAS mengenai dua perkara yang akan disoal dan dihitung iaitu sewaktu di dunia dan di akhirat kelak.

“Sewaktu di akhirat kelak, akan ditanya jika ahli-ahli PAS menegur pemimpinnya dan jika tidak ditegur, mengapakah tidak ditegur. Adakah takut jawatan akan diturunkan,” tegasnya.

Ishak yang pernah menjadi pengurus Harakah kira-kira dua tahun ketika akhbar itu mula diterbitkan pada tahun 1986 turut menyifatkan kemelut dalam pengurusan akhbar Harakah amat mencemaskan dan ia berpunca oleh perlakuan individu seperti Mustafa.

“Selagi Harakah tidak dibetulkan, kita akan terus menegur kerana kita sayang akhbar Harakah ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak pengurusan Harakah telah meminta ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua pengarang kanannya iaitu Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid. -FMT

MH370: Waris berang disuruh tonton TV

Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya menghubungi mereka di saat akhir untuk memaklumkan berkenaan sidang media kes tersebut hari ini.

Salah seorang daripadanya, Lim Wee Hoon berkata, beliau dihubungi oleh MAS pada kira-kira jam 2.40 petang ini dan diminta untuk mengikuti siaran langsung sidang media di televisyen.

"Mereka fikir saya boleh ada TV di hadapan saya sepanjang masa,” katanya kepada pemberita yang hadir ke sidang media tersebut.

Walaupun ia merupakan acara untuk petugas media, sekurang-kurangnya tujuh orang waris penumpang hadir ke kawasan acara tersebut dan mengambil tempat duduk di kalangan petugas media.

Mereka mendakwa mendengar desas desus mengenai sidang media tersebut sejak Selasa malam lalu.

Siaran tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang dan kemudiannya dibatalkan pada saat akhir petang ini disebabkan kehadiran waris tersebut.

-mk