LONDON - Pasukan bola sepak England dikecam hebat kelmarin setelah dibelasah Jerman 4-1 dalam pusingan kalah mati yang menyaksikan mereka pulang awal dari Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Kecaman itu dibuat walaupun tindakan pengadil dari Uruguay, Jorge Larrionda turut dikritik peminat bola sepak England kerana tidak mengiktiraf gol jaringan Frank Lampard semasa Jerman mendahului 2-1 di sebuah stadium di Afrika Selatan kelmarin.
Sorakan gamat peminat-peminat setia yang mengiringi pasukan England bertukar menjadi maki hamun dan cacian selepas pasukan digelar Tiga Singa itu tewas 4-1 di Bloemfontein, Afrika Selatan.
"Mereka (pemain-pemain England) bermain macam sampah," kata seorang pelajar, Charlie Menage.
Pelajar berusia 21 tahun dari Leeds itu berang dengan kekalahan England kerana dia telah membelanjakan banyak wang dengan membeli tiket penerbangan ke Afrika Selatan bagi memberikan sokongan kepada anak buah Fabio Capello itu.
Para peminat England menganggap jurulatih dari Itali itu 'makan gaji buta' kerana gagal membawa kegemilangan kepada pasukan mereka walaupun dia dibayar gaji £6 juta (RM29.1 juta).
"Saya membayar £5,000 (RM24,290) untuk datang ke Afrika Selatan tetapi anda menampilkan pasukan yang tidak berguna," kata seorang peminat England ketika Capello menghadiri satu sidang media selepas perlawanan memalukan itu.
"Anda patut malu untuk menggelar diri anda sebagai seorang jurulatih," tambahnya.
Pada perlawanan tersebut, England mempamerkan prestasi yang mengecewakan negara mereka sekali gus menyebabkan peminat mendesak supaya Capello meletak jawatan.
Namun, Persatuan Bola Sepak England terpaksa membayar ganti rugi berjumlah £12 juta (RM58.2 juta) seperti yang terkandung dalam kontrak sebelum ini jika mahu memecat Capello. Sementara itu, penyokong-penyokong yang memenuhi pub dan kelab malam di seluruh Britain untuk menonton perlawanan penting itu tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka.
Peminat-peminat setia pasukan Tiga Singa itu mengalir air mata berikutan Jerman akhirnya dapat membalas dendam kekalahan 5-1 di tangan England pada perlawanan kelayakan Piala Dunia di Munich, sembilan tahun lalu.
"Pasukan kali ini tidak layak memakai jersi England. Saya pernah melihat pasukan bawah 12 tahun bermain jauh lebih baik," kata seorang jurutera, Francis Killeen.
Kemarahan jurutera berusia 45 tahun itu dikongsi seorang suri rumah, Julie Botham yang menganggap pasukan England tidak tahu bermain bola sepak walaupun dibarisi beberapa pemain handalan seperti Steven Gerard, Frank Lampard, Wayne Rooney, John Terry dan Jermain Defoe yang menerima gaji antara termahal dalam Liga Perdana Inggeris.
Gerard yang merupakan ketua pasukan England dan bintang Liverpool, diintai seteru mereka, Chelsea yang menawarkan bayaran £30 juta (RM145.5 juta) bagi mendapatkan pemain tengah itu pada musim liga depan manakala Lampard yang bermain untuk Chelsea dibeli dengan yuran perpindahan £11 juta (RM53.4 juta) dari West Ham United pada 2001.
Rooney dibeli daripada pasukan Everton pada harga £25.6 juta (RM14.2 juta) pada musim panas 2004 untuk menyertai Manchester United.
Bayaran mahal itu dianggap tidak setimpal dengan prestasi mereka di Piala Dunia.
Liga sama bagaimanapun, menampilkan beberapa bintang antarabangsa yang menyerlah pada Piala Dunia kali ini seperti penyerang Sepanyol, Fernando Torres, pemain hadapan Ivory Coast, Didier Drogba dan penyerang Argentina, Carlos Tevez.
Di beberapa tempat di Britain, pergaduhan turut tercetus ekoran sejumlah peminat tidak dapat membendung kemarahan mereka dengan seorang peminat ditahan polis.
Di Newcastle, peminat-peminat membaling botol selepas Jerman menjaringkan gol ketiga kelmarin.
"Saya memiliki bendera St. George (bendera pasukan England) yang besar di rumah. Saya akan membuang salib merah pada bendera itu dan membiarkannya menjadi bendera putih kerana kami telah menyerah kalah kepada Jerman," kata seorang pemuda selepas kekalahan England, Phil Hoyle, 35.
Sementara itu, seorang peminat Jerman turut terlibat dalam pergaduhan kecil dengan beberapa peminat England di Dataran Leicester, London semasa menonton perlawanan itu.
Pergaduhan kecil juga berlaku melibatkan beberapa peminat England di sebuah pub di Melbourne, Australia. - Agensi
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.