HARAPKAN laba, bala yang datang. Begitulah nasib yang dialami oleh puluhan pelabur apabila dianggarkan lebih RM100 ribu wang pelaburan mereka lesap begitu sahaja setelah sebuah syarikat swasta yang mengusahakan projek tanaman cili fertigasi tutup dan kakitangannya pula tidak dapat dikesan sejak awal Mei lepas.
Berikutan itu, pelabur bukan saja berputih mata tetapi ada yang sudah jatuh ditimpa tangga, apabila terpaksa menanggung beban hutang kerana terdapat beberapa peserta yang meminjam wang daripada pelbagai pihak semata-mata untuk menyertai pelaburan yang kononnya bakal mendatangkan keuntungan.
Seorang pengadu yang berasal dari daerah Penampang, Jeremy Khoo Brand, 30, mendakwa bahawa program berkelompok pertanian sistem fertigasi cili padi/cili besar (merah) yang diusahakan sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta yang terletak di daerah itu telah menipu para peserta program terbabit.
Katanya, “Saya tidak pasti apa yang sedang berlaku tetapi syarikat itu sudah di tutup dan saya rasa amat tertipu dengan pihak pengurusan syarikat. Justeru saya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pada 15 Mei lepas.”
“Kami tidak menyangka hal yang dijangka membawa keuntungan bakal merugikan kami… Kami buat semua prosuder yang ditetapkan termasuk menandatangani kontrak dan membuat bayaran mengikut plot tanaman yang dipohon, namun ini pula yang berlaku,” ujarnya dengan nada sedih.
Jeremy turut memaklumkan bahawa kelompoknya yang berjumlah 11 orang, empat daripadanya melabur untuk dua plot, dan selebihnya masing-masing 1 plot tanaman.
“Bayangkanlah berapa kerugian yang kami alami kerana 1 plot tanaman (500 pokok) ialah RM4500, dan untuk kelompok kami saja anggaran wang lesap lebih dari RM 60ribu,” katanya sambil menambah ada juga kelompok lain yang turut mengalami nasib seperti mereka.
Syarikat yang kononnya, mengelolakan pertanian cili secara fertigasi sebagai perniagaan utama turut melaksanakan kursus-kursus intensif kepada peserta persendirian. Malah liputan meluas melalui iklan yang dipaparkan di dada akhbar tempatan menyebabkan para peserta tidak menyangka hal buruk bakal berlaku.
“Keadaan ini membuatkan saya tertekan… Saya meminta agar mana-mana pihak yang ada autoriti dalam hal ini dapat tampil membantu kami seadanya,” ujarnya yang mengharap syarikat berkenaan mendapat hukuman setimpal.
Seorang lagi pengadu dari Sandakan turut memaklumkan kepada Actionline bahawa mereka turut mengalami nasib yang sama.
Pengadu yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Yvonne berkata, mereka mengikuti mengikuti program ini sempena seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat melibatkan diri dalam bidang pertanian di samping menambah pendapatan sampingan. Malangnya lain pula kejadiannya.
“Ketua kumpulan kami cuba menghubungi syarikat tersebut yang berada di penampang namun tidak ada respon – paling mengejutkan lagi syarikat itu sudah di tutup. Kami cuba hubungi penama yang diiklankan namun nombor mereka juga sudah tidak ada dalam perkhidmatan. Malah kesemua website mereka yang dulunya aktif kini sudah rosak,” katanya yang akhirnya menyedari beliau dan peserta lain telah ditipu.
Tambahnya lagi, “walaupun saya hanya mengeluarkan wang RM4500 untuk satu plot tanaman, namun ada di antara peserta kelompok yang melabur untuk dua plot…. Paling menyedihkan ialah, ada kalangan peserta yang membuat pinjaman untuk menyertai program ini turut berputih mata,” katanya sambil menambah anggaran kerugian yang dialami lebih daripada RM 80 ribu.
Yvonne juga memaklumkan bahawa ketua kelompok mereka telah membuat aduan polis berhubung penipuan itu. Manakala Salim yang berasal dari Putatan turut kesal dengan keadaan yang menimpa dirinya serta rakan-rakan yang lain.
Katanya, “Saya geram dengan keadaan ini. Bukan saja wang lesap tetapi hasil cili juga terbiar begitu saja kerana tidak ada pembeli.”
“Syarikat ini berdaftar secara sah, namun kami masih juga tertipu. Jadi saya harap agar selepas ini tidak ada lagi penipuan sebegini berlaku kerana ia amat menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap syarikat-syarikat swasta yang menjalankan aktiviti seperti ini walaupun berdaftar secara sah,” tegasnya lagi sambil mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk membantu mereka.
* ActionLine menghubungi Pejabat Pendaftar Syarikat Cawangan Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung Syarikat yang didakwa menipu oleh peserta program, dan ActionLine dimaklumkan bahawa pihak mereka sedia maklum akan hal tersebut dan sedang membuat siasatan untuk tindakan lanjut.
Federal Agricultural Marketing Authority (FAMA) ketika dihubungi turut mengakui maklum akan hal tersebut setelah pihak mereka menerima aduan sedemikian daripada para petani.
Katanya, “Pihak kami hanya boleh menasihatkan agar para petani lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan pelaburan sebegini. Pihak kami tidak mempunya autoriti untuk mengesahkan syarikat tersebut benar atau tidak, namun kami hanya boleh memberi khidmat nasihat kepada para petani. Jadi keputusan akhir untuk membuat pelaburan itu adalah di tangan petani sendiri.”
“Walau bagaimanapun, jika petani ingin membuat pelaburan pastikan perjanjian adalah legally binding bagi memudahkan para petani menuntut hak mereka sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini,” tambahnya lagi sambil menekankan bahawa para petani harus lebih bijak dan berwaspada.
FAMA turut memaklumkan akan berusaha membantu seadanya bagi meringankan beban petani yang masih tertanya-tanya akan perkara yang perlu dibuat terhadap hasil tuaian cili mereka.
“Sekiranya pihak petani atau pengguna ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemasaran segera cili padi yang telah ditanam sila hubungi Cik Shahiida Musa (Pengurus Operasi FAMA Sabah) ditalian 088- 225741 /088-225742,” katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika dihubungi pula memaklumkan mereka tidak mempunyai autoriti dalam hal yang melibatkan perniagaan dan hanya mengesyorkan agar para pengadu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. -NST
Tuesday, June 8, 2010
Harapkan laba, bala yang datang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Kesian... Tidak mustahil jugalah dorang tertipu dengan hal ni bah.
ReplyDeleteYa la syarikat tu dah berdaftar sah, dapat liputan meluas media g. Lain cerita la kalau penipuan sms. Ni sah ikut undang2...
Saya betul2 mahu tahu penjelasan dari pendaftar syarikat oo...
Macam tak percaya pula hal ni tak boleh dikesan cepat... hairan...
Betul somboi. Rakyat perlu lebih hati2, percaya pada diri sendiri ja - yang lain tu tak payah peduli. hehehe
ReplyDeleteSokong 2718. Syarikat swasta patut dipantau bagi mengelakkan kes penipuan sebegini terus berlaku. Selalu dengar cerita tempat lain, kali ni di Sabah pula. aduuuii...
ReplyDeleteKalau yg kaya tu takpalah, kalau yg sampai pinjam duit utk join tu yg kesian...
Harap2 ada lah penyelesaian hal ni.
Betul samanda. syarikat ni patut dikenakan tindakan supaya jadi pengajaran. jangan biarkan hal ni senyap begitu saja. Kalaupun mangsa tak dapat duit dorang balik, sekurang-kurangnya puas hati juga kalau penipu tu dapat balasan.
ReplyDeleteSyukur juga ni FAMA sedia hulur bantuan at least kurang juga beban petani atau mangsa yg terlibat.
ReplyDeletehhmm, bikin takut dunia sekkarang ni, telampau advance @ kreatif sampai buat penipuan secara halal (kunun legally binding, rupan-rupanya....)
The unethical businessman and the cheated investors are both to be blamed. If you look through past news, the same kind of tactics have been exposed time after time, but the people still falls victim for it.
ReplyDelete