JOHANNESBURG - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) setakat ini masih menyalahkan sistem pengangkutan awam dan kegagalan pemegang tiket korporat sebagai punca banyak stadium tidak dipenuhi penonton pada beberapa perlawanan awal Piala Dunia 2010, lapor sebuah akhbar semalam.
Keadaan memalukan itu dapat dilihat semasa majlis pembukaan rasmi pada Jumaat lalu diikuti dengan perlawanan pertama antara pasukan tuan rumah, Afrika Selatan bertemu Mexico di Stadium Soccer City di sini.
Kurang dua pertiga tempat duduk di stadium tersebut yang diisi manakala penonton didakwa terlewat memasuki kawasan stadium kerana terperangkap dalam kesesakan teruk jalan raya selain masalah jualan tiket.
Masalah stadium tidak dipenuhi turut berlaku ketika perlawanan antara Korea Selatan dengan Greece di Pretoria pada Sabtu lalu termasuk melibatkan pasukan Algeria bertemu Slovenia di Polokwane kelmarin.
Perlawanan antara Ghana dengan Serbia di Pretoria kelmarin turut mengalami masalah sama.
Pemandangan banyak tempat duduk masih tidak diduduki penonton turut dilihat pada empat perlawanan yang diisytiharkan FIFA sebagai tiket sudah habis dijual selain harga di bawah nilai seperti pertemuan antara pasukan England dengan Amerika Syarikat pada minggu lalu.
Menurut FIFA, kegagalan skim jualan pukal yang diperkenalkan pada awal tahun ini untuk menghabiskan tiket yang belum dijual bagi perlawanan kurang menarik selain isu pengangkutan menjadi punca masalah itu. - Agensi
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.