Sunday, September 14, 2014

Benarkah GST boleh tarik ramai pelancong?

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Malaysia ekoran pelaksanaannya membolehkan pelancong menuntut bayaran balik melalui Skim Bayar Balik Pelancong (TRS).

Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr Mohamad Abdullah Hemdi berpendapat TRS adalah mekanisme penambahbaikan bagi industri pelancongan negara selain berupaya mempengaruhi peningkatan perbelanjaan pelancong asing di negara ini.



Katanya seperti Cukai Nilai Tambah (VAT) yang digunapakai di merata dunia, pelancong asing boleh mendapatkan bayaran balik daripada kerajaan melalui TRS apabila GST dilaksanakan.

"TRS hanya terpakai kepada barangan yang dibawa keluar oleh pelancong dari negara ini (Malaysia) namun bukan bagi perkhidmatan atau barangan yang dibeli atau digunakan di Malaysia seperti caj hotel, bil makanan dan lain-lain.

"Pelancong perlu memastikan invois cukai disertakan dengan resit pembelian untuk menyokong tuntutan pembayaran balik TRS. Skim ini hanya layak bagi pelancong yang menggunakan pengangkutan udara dan mereka mesti berbelanja sekurang-kurangnya RM300 termasuk cukai di kedai yang diluluskan," katanya kepada Bernama.

Berdaya saing

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian GST Tan Sim Kiat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia kini sedang dalam proses memilih ejen TRS, yang bertanggungjawab mengenal pasti kedai bayaran balik cukai bagi barangan dibeli pelancong.

Katanya ejen-ejen itu akan mengenal pasti kedai untuk membentuk perkongsian bersama bagi TRS menjelang pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

"Selepas kedai-kedai itu dikenal pasti, pelancong boleh pergi ke kedai berkenaan untuk membeli barangan bebas cukai. Apabila mereka membawa barangan bebas cukai itu keluar negara, mereka boleh menuntut bayaran balik, yang akan dibayar oleh ejen TRS," katanya ketika ditemui pada Persidangan GST Kebangsaan 2014, Julai lepas.

Mohamad Abdullah berkata harga barangan yang berkadar sifar (selepas TRS) akan menjadikan barangan di Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata promosi rebat cukai kepada pelancong dan proses tuntutan yang cekap akan membantu Malaysia menarik lebih ramai pelancong untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi membeli-belah.

"GST dalam masa sama akan dapat mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan bercorak pelancongan di Malaysia selain perkhidmatan pelancongan akan menjadi lebih kompetitif di pasaran antarabangsa.

"Walaupun kadar GST Malaysia berpatutan, kita perlu ingat bahawa negara-negara jiran juga mungkin akan cuba memperkukuhkan daya saing mereka dengan menurunkan kadar cukai dalam usaha menarik pelancong ke negara mereka," katanya.

Kadar selaras

Pensyarah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad berkata di Eropah, pelancong dibenarkan mendapat bayaran balik VAT ke atas pembelian barangan dan perkhidmatan tempatan.

Justeru, beliau berpendapat TRS mampu dilaksanakan dengan cekap jika semua pembelian dilakukan dengan resit dan invois yang mencatatkan kadar VAT atau GST.

"Semua peniaga dan pengusaha pelancongan dinasihatkan menjalankan perniagaan dengan mendaftar dan mendapatkan lesen GST bagi tujuan pelaksanaan sistem TRS ini," katanya.

Mengenai kadar GST Malaysia, Mohamad Abdullah berkata kadar enam peratus adalah yang terendah di antara negara-negara Asean dan ia berupaya memacu negara ke tahap lebih kompetitif.

Beliau berkata ketika ini pelancong perlu membayar kadar enam peratus untuk cukai perkhidmatan dan lima hingga 10 peratus untuk cukai jualan bagi kos penginapan di hotel, namun apabila GST dilaksanakan ia akan diselaraskan menjadi enam peratus sahaja.

"Apabila GST menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kadar cukai diselaraskan menjadi satu dan jauh lebih rendah berbanding sebelum ini. Kos perniagaan hotel akan berkurang selepas GST kerana hotel atau restoran tidak lagi perlu membayar cukai jualan bagi pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain.

"Sesetengah hotel dan restoran ketika ini mengenakan caj perkhidmatan dengan kadar 10 peratus yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan," katanya.

Namun, Mohamad Abdullah mengingatkan kadar enam peratus mungkin akan memberi kesan ke atas keuntungan pengusaha pelancongan, iaitu apabila kos tambahan dipindahkan kepada pelancong dan mengakibatkan harga perkhidmatan pelancongan meningkat.

"Namun, terdapat juga kemungkinan kos GST ini diserap oleh pengusaha pelancongan untuk kekal berdaya saing dengan pesaing mereka," katanya yang berpendapat bahawa industri pelancongan sangat sensitif kepada harga pasaran dan tertakluk kepada persaingan antarabangsa yang sengit.

Pemain industri

Menyentuh peranan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong apabila GST dilaksanakan, beliau berkata perkara utama yang perlu dipastikan ialah pengusaha pelancongan tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata penyampaian maklumat dalam pentadbiran GST serta pengurusan yang telus dan efektif akan menggalakkan industri pelancongan.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, katanya perlu bekerjasama dengan Jawatankuasa Pemantauan GST bagi memastikan pengusaha pelancongan tidak memanipulasi pelancong dengan maklumat GST yang tidak tepat.

"Saya menyokong usaha kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan GST bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST. Jawatankuasa ini perlu memastikan dasar, undang-undang dan garis panduan berkaitan dengan GST adalah tepat termasuk memantau pelaksanaan oleh agensi-agensi berkaitan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Hanapi berkata mereka yang terlibat dalam industri perlu bersedia dengan sistem perakaunan dan jualan yang sistematik dan teratur seperti invois dan resit.

"Mereka perlu pastikan tiada unsur penipuan ataupun cukai berganda. Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri juga perlu menjalankan tugas mereka dalam memantau supaya sebarang unsur penipuan dapat dibanteras," katanya.

- Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.