Tuesday, September 9, 2014

Guan Eng mohon ampun pada sultan Selangor

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng memohon ampun kepada sultan Selangor atas tindakan parti itu yang hanya mengemukakan nama presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai satu-satunya calon untuk jawatan menteri besar Selangor yang baru.



Satu kenyataan Lim hari ini menyebut, beliau memohon ampun kerana tindakan tersebut menyebabkan sultan berasa dukacita.

Jelasnya, keputusan untuk mengemukakan nama calon tunggal itu dibuat selepas rundingan dengan ketua umum PKR, yang juga suami kepada Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“...Ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013," katanya.

Tambahnya, keputusan itu juga berdasarkan sokongan bertulis daripada majoriti 30 daripada 56 ADUN Selangor kepada Wan Azizah.

Ia juga berdasarkan sepakat di antara parti Pakatan Rakyat bahawa calon MB baru itu dari parti PKR, katanya lagi.

Menurut Lim, DAP akan membincangkan dengan Anwar mengenai kandungan titah baginda, yang menetapkan agar parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama calon MB.

“DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku.

Sultan Selangor semalam menyatakan kemurkaannya pada PKR dan DAP kerana bertindak “derhaka” kerana enggan mengemukakan lebih daripada dua nama seperti yang dititahkan baginda pada 27 Ogos.

Hanya PAS yang akur dengan titah sultan Selangor dengan mengemukakan tiga nama kepada istana.

-mk
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Guan Eng mohon ampun pada sultan Selangor "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx