Tuesday, September 2, 2014

Hujan iringi jenazah mangsa MH17

Hujan tidak menghalang berlangsungnya istiadat penghormatan bagi sembilan jenazah mangsa tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang hari ini.



Cuaca mendung mengiringi pergerakan pesawat MH19 yang menerbangkan sembilan jenazah dari Amsterdam termasuk jenazah dua juruterbang pesawat malang MH17 yang terhempas di Ukraine pada 17 Julai, selain jenazah dua warga Belanda, ketika ia menuju ke kompleks Bunga Raya, KLIA.

Hujan mula turun sejurus pesawat itu berhenti sepenuhnya di landasan terbang pada 8.35 pagi, untuk istiadat dimulakan.

Keadaan cuaca hujan dan mendung itu menyelami suasana sedih dan sebak hadirin di kawasan kompleks itu termasuk waris mangsa dan warga syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang hadir lengkap beruniform.

Hujan mengiringi pergerakan setiap sembilan jenazah dari pesawat berkenaan yang diusung ke kenderaan jenazah yang menunggu, melibatkan lima keranda dan empat kendi berisi abu mayat.

Jenazah pertama yang diturunkan ialah juruterbang Kapten Wan Amran Wan Hussin diikuti penumpang Subashini J Retnam dan yang terakhir iaitu warga Belanda Fun Shun Po.

Istiadat itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib turut bertemu waris dan keluarga mangsa tragedi MH17 sebelum istiadat penghormatan itu bermula.

Waris-waris kelihatan menangis berpelukan dan cuba menenangkan antara satu sama lain semasa jenazah dibawa turun dari pesawat MH19 dan ketika kenderaan jenazah melakukan lintas lalu di hadapan mereka untuk meninggalkan kompleks.

Sebaik sahaja pintu kenderaan jenazah terakhir ditutup, hadirin di Kompleks Bunga Raya bertafakur selama seminit pada 8.58 pagi sebagai menghormati jenazah mangsa tragedi itu.

Pada istiadat itu, keranda warga Belanda Paul Goes dan kendi abu mendiang Fun Shun Po dilitupi dengan bendera Belanda.

Istiadat penghormatan kali ketiga ini turut melibatkan jenazah seorang kanak-kanak - Kaelamayajay Goes (21 bulan) - iaitu anak kepada pasangan Paul Goes dan Subashni J Retnam.

Fun dan isteri, Loh Yan Hwa yang juga terkorban dalam tragedi pada 17 Julai lepas, akan disemadi bersama di negara ini.

Istiadat penghormatan itu turut melibatkan juruterbang Kapten Eugene Choo Jin Leong, pembantu juruterbang - Muhamad Firdaus Abdul Rahim dan anak kapal Sanjid Singh Sandhu.

Sebanyak 350 anggota dari 12 Briged Infantri terlibat dalam istiadat di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini, yang disempurnakan dengan penuh adat istiadat ketenteraan.

Meskipun hujan, anggota tentera yang terlibat, petugas media serta hadirin tidak berganjak dari tempat masing-masing.

Jurugambar dan jurukamera yang berada di kawasan landasan didapati meneduhi dan menutup peralatan masing-masing menggunakan kain kanvas serta pakaian lounge suit mereka untuk merakamkan detik perjalanan istiadat berkenaan.

Pesawat Boeing 777-200, penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Namun, sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

- Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.