Tuesday, September 2, 2014

Saman saja siapa yang bersalah?

Penangkapan 154 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) termasuk warga emas dan wanita adalah menyalahi undang-undang kerana PPS adalah organisasi yang belum diharamkan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap polis kerana penahanan tidak sah, demikian kata beberapa orang peguam.



Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata bahawa pihak berkuasa sepatutnya melalui proses yang perlu di dalam mewartakan PPS sebagai sebuah organisasi haram seperti yang mereka lakukan terhadap Hindraf pada tahun 2008 - sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap organisasi berkenaan, lapor The MalayMail.

Paulsen berkata sehingga hal ini (pewartaan PPS sebagai sebuah organisasi haram) dilakukan, sebarang tangkapan terhadap mana-mana anggota PPS adalah salah di sisi undang-undang.

"Penangkapan yang dilakukan tempohari begitu meragukan kerana menjadi ahli organisasi yang tidak berdaftar bukan merupakan satu kesalahan," katanya.

Paulsen memberitahu bahawa mereka yang ditahan boleh didakwa di bawah Akta Pertubuhan setelah PPS diwartakan sebagai haram. "Buat masa ini, ia kelihatan seperti tangkapan dan penahanan yang dilakukan bermotifkan politik," katanya.

Peguam bebas yang terkenal, Syahredzan Johan juga mempersoalkan tangkapan tersebut, dengan menyatakan bahawa PPS yang tidak berdaftar tidak secara automatik menjadikan ia menyalahi undang-undang.

"Kecuali jika permohonan telah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dan telah ditolak, maka pertubuhan itu hanya boleh menjadi salah di sisi undang-undang melalui satu perintah dari menteri.

"Di sini, tidak ada satu pun keadaan di atas yang boleh dikaitkan dengan PPS maka jelas ia bukan satu pertubuhan haram, "katanya.

Syahredzan berkata polis mungkin boleh menangkap ahli-ahli PPS jika mereka telah secara peribadi terlibat dalam jenayah, tetapi bukan semata-mata untuk dikaitkan dengan PPS.

Tambahnya menangkap ahli PPS semata-mata kerana terlibat dengan pertubuhan berkenaan, ia adalah seperti di luar bidangkuasa pihak polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang dan mendedahkan mereka untuk disaman..

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan menyifatkan tangkapan pada pagi Hari Merdeka itu sebagai "penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis".

"Tidak perlu berkonfrontasi dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan (Rakyat).

"Ia hanya akan mengesahkan persepsi umum bahawa instrumen kerajaan kini berkhidmat untuk kepentingan politik BN," katanya dalam satu mesej teks.

Beliau juga berkata, tangkapan boleh dicabar di mahkamah, katanya kepada wartawan.

Pagi 31 Ogos, kira-kira 200 anggota PPS dilaporkan telah ditangkap selepas mengambil bahagian dalam perarakan Merdeka di Georgetown, Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudian mengesahkan bahawa ahli-ahli 154 Penang unit rondaan sukarela (PPS) telah ditangkap kerana mengabaikan perintah untuk menghentikan menyertai aktiviti pertubuhan "haram".

Katanya, beliau sebelum ini telah memberi amaran tentang akibat yang perlu dihadapi jika terus menyertai pertubuhan berkenaan.

Khalid juga berkata anggota PPS telah didakwa melanggar undang-undang dan dikatakan telah mencabar polis dan perintahnya dengan meneruskan aktiviti mereka seperti biasa.

PPS menjadi pusat kontroversi selepas seorang lelaki berusia 51 tahun mendakwa beberapa ahli-ahli PPS telah menyerang beliau.

Ini telah menyebabkan kemarahan kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan mendesak spaya unit itu dibubarkan manakala kumpulan hak Melayu Perkasa juga membuat laporan polis menggesa pihak polis untuk menyiasat aktiviti pasukan tersebut.

Khalid kemudiannya mengisytiharkan kumpulan itu menyalahi undang-undang dan berkata polis sedang menyiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertindak balas dengan mengumumkan saluran bantuan undang-undang kepada mana-mana ahli-ahli PPS yang ditahan sepanjang tempoh mereka berkhidmat dengan PPS.

PPS telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada Mei 2011 untuk membantu orang awam dalam pelbagai keadaan termasuk mengarahkan lalu lintas, masa bencana dan untuk membuat rondaan di jalan-jalan sebagai langkah pencegahan terhadap jenayah.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 9,000 ahli-ahli PPS di negeri ini dan ahli-ahli semua telah menjalani pelbagai kursus yang termasuk bantuan kecemasan dan pengurusan bencana.

-gb

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.