Monday, January 28, 2019
BUNG MOKTAR BIMBANG KERJASAMA DENGAN PAS..?
Membangkitkan perseteruan panjang antara Umno dan PAS, Bung Moktar Radin menggesa pendekatan berhati-hati dalam soal kerjasama antara dua parti itu.
Beliau yang merupakan pengerusi Umno Sabah berkata parti itu sendiri perlu bersikap memilih dalam menentukan isu yang memerlukan kerjasama dengan PAS.
"Kedua-dua parti perlu berhati-hati kerana telah bermusuh sejak sekian lama. Tidak mudah untuk menggerakkan dua parti ini atas satu platform. Ia memerlukan komunikasi dan had tertentu.
"Kita perlu berwaspada kerana di lapangan anggota Umno dan PAS telah berlawan sejak sekian lama. Kini bukan saja Umno telah dikalahkan, tetapi PAS dan Umno menjadi pembangkang, dan masing-masing ada politik sendiri," katanya seperti dipetik Malay Mail.
Ketika Umno masih menjadi kerajaan, kedua-dua parti sudah bekerjasama dan berdiri di pentas sama terutama dalam isu melibatkan Melayu dan Islam, misalnya isu Palestin dan Rohingya.
Selepas PRU ke-14, PAS memberi laluan dan membantu kempen Umno dan BN dalam empat PRK. Ia akhirnya membuahkan hasil apabila BN menang di PRK Cameron Highlands minggu lalu.
Pemimpin kedua-dua parti juga membayangkan kerjasama yang lebih kukuh menjelang PRK DUN Semenyih yang dijadual berlangsung pada 2 Mac ini.
Dalam pada itu, Bung berkata Umno Sabah mempunyai autonomi sendiri dan bebas memilih untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.
Katanya, keadaan politik di Semenanjung berbeza dengan Sabah dan Sarawak, di mana PAS tidak mempunyai pengaruh yang besar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.