Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

Monday, January 28, 2019

BUNG MOKTAR BIMBANG KERJASAMA DENGAN PAS..?


Membangkitkan perseteruan panjang antara Umno dan PAS, Bung Moktar Radin menggesa pendekatan berhati-hati dalam soal kerjasama antara dua parti itu.

Beliau yang merupakan pengerusi Umno Sabah berkata parti itu sendiri perlu bersikap memilih dalam menentukan isu yang memerlukan kerjasama dengan PAS.

"Kedua-dua parti perlu berhati-hati kerana telah bermusuh sejak sekian lama. Tidak mudah untuk menggerakkan dua parti ini atas satu platform. Ia memerlukan komunikasi dan had tertentu.

"Kita perlu berwaspada kerana di lapangan anggota Umno dan PAS telah berlawan sejak sekian lama. Kini bukan saja Umno telah dikalahkan, tetapi PAS dan Umno menjadi pembangkang, dan masing-masing ada politik sendiri," katanya seperti dipetik Malay Mail.

Ketika Umno masih menjadi kerajaan, kedua-dua parti sudah bekerjasama dan berdiri di pentas sama terutama dalam isu melibatkan Melayu dan Islam, misalnya isu Palestin dan Rohingya.

Selepas PRU ke-14, PAS memberi laluan dan membantu kempen Umno dan BN dalam empat PRK. Ia akhirnya membuahkan hasil apabila BN menang di PRK Cameron Highlands minggu lalu.

Pemimpin kedua-dua parti juga membayangkan kerjasama yang lebih kukuh menjelang PRK DUN Semenyih yang dijadual berlangsung pada 2 Mac ini.

Dalam pada itu, Bung berkata Umno Sabah mempunyai autonomi sendiri dan bebas memilih untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

Katanya, keadaan politik di Semenanjung berbeza dengan Sabah dan Sarawak, di mana PAS tidak mempunyai pengaruh yang besar.

Wednesday, January 14, 2015

Pemimpin serangan Lahad Datu Agbimuddin Kiram meninggal dunia

Agbimuddin Kiram yang mengetuai militan bersenjata dari selatan Filipina untuk menceroboh Lahad Datu, Sabah pada Februari 2013, dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung di Simunul, Tawi-Tawi, semalam, lapor portal berita Rappler.com.

Portal berita Filipina itu mengatakan Agbimuddin meninggal dunia akibat serangan jantung di kampung halamannya Pulau Tawi-Tawi pada Selasa.

Abangnya, “Sultan Jamalul Kiram” meninggal dunia enam bulan selepas pencerobohan Lahad Datu di Manila juga kerana sakit jantung.

Menurut laporan Rappler.com, selain polis, tiga sumber yang berbeza mengesahkan Agbimuddin atau nama lainnya Datu Puing meninggal dunia di rumahnya di bandar Simunal Tawi-Tawi.

Agbimuddin adalah individu yang bertanggungjawab melatih ratusan “tentera diraja Sulu”, di Tubig Simunul, sebelum kira-kira 200 daripada mereka menyerang Sabah atas alasan itu tanah warisan Kesultanan Sulu.

Pencerobohan diketuai Agbimuddin, manakala timbalannya adalah bekas pegawai kanan dalam pasukan tentera Filipina Jeneral Musa Abdulla yang kemudiannya terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia.

Sepanjang pencerobohan pengganas Sulu yang berlarutan hampir dua bulan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia. – TMI

Saturday, December 6, 2014

Isu IC palsu di Sabah terus jadi persoalan?

Kartel penghasilan kad pengenalan palsu secara tersusun atau berstruktur tidak lagi wujud di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kegiatan kartel yang mungkin wujud dahulu itu, dapat dibanteras hasil tindakan proaktif dan naziran ketat yang dilaksana kementerian dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, katanya, orang ramai diminta memaklumkan kepada kementerian sekiranya mempunyai maklumat kegiatan kartel sedemikian masih wujud serta individu yang menjalankan kegiatan tersebut.

"Jika masih ada individu yang terlibat, kami mahu orang ramai memaklumkan kepada kementerian atau JPN untuk tindakan pemantauan dan perundangan dapat segera dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi
peringkat kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) berhubung 'projek IC' yang dibentang Rabu lepas.

Laporan RCI itu mendapati pengeluaran kad pengenalan (IC) biru secara haram kepada pendatang asing di Sabah adalah didorong faktor kewangan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika membentangkan laporan RCI itu berkata tidak ada dalam hasil siasatan suruhanjaya itu menunjukkan pengeluaran IC kepada pendatang asing dibuat atas kepentingan politik, khususnya
atas nama 'Projek IC'.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata susulan laporan RCI itu, kementeriannya akan mengambil tindakan dengan melakukan naziran terhadap jabatan yang terlibat dengan RCI iaitu JPN dan Jabatan Imigresen khususnya di Sabah, supaya permasalahan dalaman yang dahulunya berlaku, tidak berulang.

Selain itu, katanya pemegang kad pengenalan hijau akan dinilai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menentukan kedudukan mereka berdasarkan kepada syor yang akan diteliti jawatankuasa tetap RCI yang dipengerusikan oleh beliau bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

RCI dalam laporannya turut mengesyorkan sebuah jawatankuasa tetap mengenai PATI ditubuhkan yang akan melaporkan kepada jemaah menteri Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

Pada masa sama, sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga akan ditubuhkan.

RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 antara lain diberi kuasa menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberi kad pengenalan atau kewarganegaraan.

Mengulas mengenai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan JPN, Ahmad Zahid berkata JPN tidak lagi mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak yang tiada kerakyatan, khususnya di Sabah.

Sebaliknya, menurut beliau, JPN hanya memberi dokumen rekod kelahiran dengan menggunakan warna sijil yang berbeza.

"Ciri-ciri keselamatan MyKad juga ditingkatkan. JPN juga menjalankan pemantauan serta siasatan yang dibuat oleh pegawai penguatkuasaan berpakaian biasa bukan pakaian seragam," katanya.

-Bernama

Tuesday, December 2, 2014

Laporan RCI 'Projek IC' pada Rabu

Laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah yang dinanti-nantikan akhirnya dilapor akan dikeluarkan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa (kiri) berkata laporan itu akan diumumkan dalam sebuah acara bersama media di Kompleks Tabung Haji di negeri itu, lapor The Star.

Perdana menteri sebelum ini mengumumkan bahawa laporan itu akan diumumkan pada awal Disember, walaupun terdapat desakan supaya ia dikeluarkan semasa sidang parlimen baru-baru ini.

Maklumat berhubung pengeluaran laporan itu didedahkan oleh pemberitahuan Kementerian Penerangan pada Isnin, menurut laporan itu.

Cadangan oleh laporan itu akan dikaji oleh panel diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Tan Sri Pairin Kitingan. -mk

Tuesday, November 25, 2014

Benarkah Sabah masih tidak selamat?

Menegaskan Sabah tidak selamat, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilapor berkata beliau tidak akan pergi ke negeri di bawah bayu itu tanpa pengawal peribadi.

“Tanpa pengawal peribadi, saya tak akan pergi ke timur Sabah,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinchew Daily, edisi atas talian.

Malah, walaupun bawah perlindungan pengawal peribadi, beliau berkata tidak akan dapat tidur nyenyak ketika melawat negeri di Pulau Borneo itu.

Katanya, kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menunjukkan bahawa tempat itu tidak selamat.

Beliau juga dilaporkan berkata lebih baik bersikap jujur terhadap perkara itu daripada menyembunyikannya.

Katanya, selain mempromosikan pelancongan, beliau juga bertanggungjawab memastikan keselamatan pelancong di Malaysia.

“Saya hanya akan bercakap benar, walaupun di parlimen. Sesetengah orang tidak gembira tetapi itu utusan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata.

-mk

Saturday, November 22, 2014

Masalah bekalan ikan di Sabah berkurang

KOTA KINABALU: Bekalan ikan di sekitar Kota Kinabalu dijangka terjejas berikutan tindakan para pemilik bot nelayan menghentikan operasi.

Persatuan Pemilik Bot Penangkap Ikan Kota Kinabalu (KKFBOA) menjelaskan, tindakan menghentikan operasi berikutan tekanan yuran yang tinggi dan mengelak kerugian yang lebih besar.

Pengerusinya, Simon Hung berkata, keputusan menghentikan operasi itu dibuat baru-baru ini dalam mesyuarat tergempar dan menggesa kerajaan campur tangan.

Beliau mendakwa, para pemilik terpaksa membayar yuran kira-kira RM1,800 sebulan selepas Pemasaran Perikanan Sabah (Safma) melantik sebuah syarikat persendirian untuk mengutip pelbagai yuran.

Tambahnya, selain pelbagai caj yang dikenakan, pengusaha dan pemilik bot juga berdepan dengan peningkatan harga diesel daripada RM1 kepada RM1.25 kemudian bertambah RM1.45 dan sekarang RM1.65 seliter dalam tempoh dua tahun.

“Harga diesel meningkat sehingga 65 peratus sejak dua tahun yang lalu dan ini merangkumi 60 peratus kos operasi kami. Selepas mengambil kira kos terbabit, ahli-ahli persatuan memutuskan untuk menghentikan operasi bagi mengelak kerugian,” katanya dalam suatu kenyataan.

Sehubungan itu, Hung menjangkakan bahawa bekalan ikan pada bulan-bulan akan datang akan berkurangan dengan Disember merupakan musim rendah bagi kegiatan menangkap ikan.

Beliau juga menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta pihak berkuasa SAFMA Sdn Bhd untuk meneliti masalah ini termasuk mengenakan bayaran yang sama dikenakan terhadap jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kami menggunakan jeti itu selama 30 tahun dan ianya satu-satunya jeti yang ada di Kota Kinabalu. Kami sebenarnya tidak menentang pembayaran itu tetapi hanya jika kadarnya sama seperti yang dikenakan ke atas LKIM,” katanya menambah caj yang dikenaan juga sentiasa turun naik tanpa rundingan terlebih dahulu dibuat dengan pengusaha bot.

-fmt