Wednesday, January 2, 2013

Benarkah Polis Lindungi Penjenayah?

PEGUAM Bela Tetuan Aisah Ahmad & Company mendedahkan di Majlis Sidang Akhbar Tertutup mengenai kes penipuan yang membabitkan 3 orang iaitu Ismail Tarandan, Abdullah Japar dan Isterinya Rugayah Ahmad yang kini masih lagi bebas; walaupun kes ini sudah dilaporkan kepada pihak Polis dengan cukup bukti tetapi, tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

Menurut Aisah, pihak Polis terlalu sukar untuk menangkap Abdullah Japar dan Ismail Tarandan walaupun cukup bukti yang kukuh untuk membolehkan pihak polis mendakwa dan menangkap kepada kedua-dua orang yang terlibat kes penipuan tanah iaitu menuntut waris orang yang masih hidup.
Memandangkan kes ini banyak melibatkan orang tertentu terutamanya para pegawai kanan kerajaan dan dua tiga orang pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), maka tugas pendakwa agak sukar.

Aisah agak hairan kenapa pihak polis sukar untuk menangkap Abdullah Japar dan Ismail Tarandan; walaupun terang-terang membuat penipuan dan membabitkan orang kenamaaan kerajaan.

"Kenapa pihak polis tidak juga membuat tangkapan terhadap Rugayah Ahmad, isteri kepada Abdullah Japar yang cukup bukti, tetapi masih bebas,” tanya Aisah.

Berikut fakta daripada Dalam Mahkamah Rendah Syariah Sandakan Permohonan No SS – 12- 1990 Dalam Perkara: Harta Pusaka Simati Noraini Binti Nahar Kad Pengenalan H.0612474 “Afidavit Bagi Permohonan Membahagi Harta Pusaka.”

Saya Rugayah binti Ahmad KPT 660223-12-5200 bersumpah dan berikrar dengan Nama Allah menyatakan bahawa:-

1. Saya adalah ketua Pemohon dalam permohonan ini, tinggal menetap di alamat Kg Forest PPM 274 Elopura, Sandakan bertindak sebagai Pemohon dalam permohonan ini.

2. Simati Noraini binti Nahar KP: H0612474 telah meninggal dunia di Sandakan (sedangkan Noraini masih Hidup)

3. Pada saat kematian Simati masih memiliki secara sah harta-harta berikut ini yang masih belum di berikan kepada waris-waris yang berhak iaitu:

4. Tanah NT No: 093091859 di Koyah A Kinabatangan (Rugayah binti Ahmad Kpt: 660223-12-5200

5. Simati tidak mempunyai waris-waris lain

6. Semasa hidup, Simati tidak ada berwasiat

7. Semasa hidup, Simati tidak ada berhutang

8. Saya dengan ini memohon supaya harta-harta Simati sebagaimana dinyatakan dalam perenggan 3 dibahagikan mengikut: Permohonan seperti di bawah ini iaitu kepada:-

Rugayah binti Ahmad KPT 660223-12-5200

9. Saya membuat permohonan pembahagian seperti yang dinyatakan dalam perenggan 11 diatas adalah berdasarkan alasan berikut:

PENAMA DI ATAS ADALAH ANAK KANDUNG SIMATI TIADA BANTAHAN DARI MANA-MANA PIHAK.

10.Dokumen-dokumen berikut yang masing-masing ditanda dengan, dilengkapi sebagai menyokong permohonan ini iaitu

13.1 Salinan Permohonan Tanah Kerajaan

13.2 Salinan KP Pemohon.

Kata Aisah, Inilah antara fakta kes yang disebutkan di dalam Mahkamah Rendah Syariah oleh Rugayah Ahmad. Persoalannya, macam mana Rugayah mengaku dia anak kandung kepada Noraini Nahar; sedangkan kalau diperhatikan dengan terperinci dan diteliti lihat nombor Kad Pengenalan Rugayah Ahmad 660223-12-5200 dan sementara nombor Kad Pengenalan Noraini Nahar ialah 641116-12-5324 perbezaan umur antara Noraini dengan Rugayah Cuma tua 2 tahun sahaja.

" Logikkah baru berusia 2 tahun sudah menjadi ibu kepada Rugayah? Nampaknya Rugayah belum begitu cekap untuk menjalankan kegiatan penipuan secara professional perlu ambil kursus lagi untuk mendapatkan sijil penipuan,” tambah Aisah.

Kata Aisah, bagi pihak 400 pemilik tanah yang menjadi mangsa penipuan dan peguam kepada mereka yang terbabit merayu kepada Ketua Polis Daerah Sandakan agar mengambil tindakan segera terhadap Rugayah Ahmad yang cukup bukti.

"Jika pihak polis masih meragui mengenai kes ini, saya sedia dipanggil bila-bila masa saja untuk mengemukakan segala- bukti-bukti kukuh kerana semua dokumen ada dalam simpanan saya," ujar Aisah.

Sebagai peguambela kepada 400 orang, sekiranya polis Sandakan tidak mengambil sebarang tindakan membuat tangkapan kepada Rugayah dalam tempoh 10 hari dari sekarang; Aisah tidak mempunyai pilihan, melainkan pergi ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis di Bukit Aman bahawa pentadbiran Polis Sandakan terlalu lemah dan seterusnya juga membuat aduan kepada Suruhanjaya Intergriti Penguatkuasan Malaysia (SIPM) agar mereka camputangan kes yang semakin parah.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI (sabahkini)

Bekas KSU Ditahan Bersama 36 GRO?



Seorang bekas ketua setiausaha sebuah kementerian yang sudah bersara dan bergelar Datuk serta seorang rakannya yang juga berstatus sama ditahan bersama 36 pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah pusat karaoke di Bukit Bintang, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 7 malam itu, kedua-dua VIP terbabit berhibur dan dipercayai dalam keadaan mabuk.

Menurut sumber, ‘Datuk’ terbabit yang berusia lewat 50-an berlagak sombong dan mendakwa kebal daripada undang-undang.

“Datuk terbabit tidak gentar dengan kesalahan syariah yang dilakukannya, malah mencabar penguatkuasa Jawi untuk mengambil tindakan.

“Semua GRO disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan kerana mengingkari pihak berkuasa agama manakala kedua-dua VIP terbabit disiasat kerana bersubahat.

“Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan sempena sambutan tahun baru, puluhan pengunjung remaja Islam yang asyik berpesta arak di sebuah disko terkemuka, di sini, nekad melompat dari tingkat atas disko berkenaan kerana takut diperiksa polis dan pihak berkuasa agama, awal pagi semalam.

Ada antara mereka cedera dan luka di anggota badan akibat terjatuh. Remaja berusia 18 hingga 25 tahun itu meneguk arak dan berpesta ketika serbuan.

Malah, terdapat pengunjung merempuh pintu hadapan dan melepaskan diri. Operasi dijalankan 60 anggota dan pegawai diketuai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama polis D7 KL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jam 2 pagi semalam. -HM

UMNO tidak mampu bertahan lagi?

Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Najib dan Rosmah untuk memberikan jawapan kepada semua tuduhan keatas beliau dan isteri oleh Deepak melalui Harakahdaily atau TV PAS. Nampaknya media perdana tidak mahu membuat liputan ke atas isu yang amat serius itu. Isu yang dibangkitkan terhadap Najib suami isteri oleh Deepak ini bukannya isu yang kecil. Ia merupakan isu yang sangat besar kerana ia menjatuhkan imej negara dan rakyat keseluruhannya di mata dunia.

'Bagi saya tawaran Tuan Ibrahim itu sangat baik dan elok di ambil perhatian oleh Najib suami isteri. Isu yang di lemparkan oleh Deepak ini terlalu berat dan ia sepatutnya mendapat pembelaan dari pimpinan UMNO yang lain, khususnya dari Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan kepada Najib. Sepatutnya semua ahli-ahli jemaah kabinet memberikan kenyataan sokongan kepada Najib tetapi tidak kedengaran perkara itu berlaku dan nampaknya Najib terpaksa berperang sendirian dalam isu ini.

Semua pimpinan UMNO dalam Kabinet mesti faham yang mereka juga mesti berhenti jika apa yang di tuduh terhadap Najib itu ternyata benar. Mereka (menteri-menteri) adalah lantikan Perdana Menteri dan jika Perdana Menteri terpaksa berhenti mereka juga mesti berhenti. Ini adalah amalan moral demokrasi yang sebenarnya.

Hanya Zahid Hamidi yang cuba untuk membantu tetapi Zahid membantu Najib dengan cara yang sangat tidak beretika dan bersalahan dengan moral politik dan etika kepimpinan dengan menggunakan harta rakyat dan LTAT serta Kementerian yang beliau ketuai ini. Hasilnya isu bertambah besar dan tidak ada jalan yang lain yang mampu di lakukan oleh Najib lagi selain dari berfikir untuk meletakkan jawatan dengan semua ahli-ahli jemaah kabinet beliau. Adalah tidak patut lagi barisan kabinet yang ada pada hari ini kekal kerana keadaan sudah terlalu buruk dan tidak wajar terus kekal mentadbir kerajaan.

Jika Najib dan keseluruhan kepimpinan serius untuk menjaga UMNO itu maka itu sahajalah jalan yang sesuai untuk dilakukan oleh Perdana Menteri itu. Jika Najib masih mahu mempertahankan politik beliau sahaja maka keseluruhan UMNO dan beliau sendiri akan menghadapi kecenderungan untuk di tewaskan oleh rakyat dalam pilihanraya kali ini. Najib sepatutnya dengan pantas memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk menyelesaikan isu ini dengan semua ahli-ahli MKT berhenti dan membiarkan ahli-ahli dan perwakilan untuk menentukan kepimpinan baru dalam UMNO itu.

Masalah yang di hadapi oleh UMNO kian hari kian dalam dan tidak nampak kecenderungan untuk parti itu pulih kembali. Najib sudah terlalu terbeban dengan masalah dan beliau pun tidak mendapat sokongan dari kabinet beliau sendiri. Semuanya sedang melukah di tempat yang genting dan sempit. Ramai yang sedang menimba di air yang keruh di dalam UMNO dan nampaknya semakin hari semakin sah UMNO akan tamat usianya melainkan kesemua kepimpinan itu di tukar untuk membawa imej dan aura yang baru.

Tetapi keberangkalian untuk Najib berhenti adalah jauh dari jangkaan kerana jika hijab sudah tertutup tidak ada apa dan sesuatu pun mampu untuk membukanya kembali melainkan dengan kehendak Maha Pencipta. UMNO nampaknya semakin hari semakin banyak isu-isu kotor yang menyelubunginya dan tidak ada kemungkinan untuknya pulih kembali.

Tetapi ia tidak mengapa kerana Pakatan Rakyat mampu untuk mengambil alih tanggungjawab besar terhadap negara ini. PAS boleh menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang kesemuanya beragama Islam dan jika orang Melayu melakukan perubahan seperti ini maka mudah bagi rakyat untuk mencari penyelesaiannya.

Rakan-rakan kita kaum Cina sudah lama membuat keputusan untuk tidak bersama BN lagi. Jika orang Melayu memberikan sokongan terhadap PAS, PKR dan DAP maka pertukaran ini akan berlaku dengan ‘decisive' seterusnya membawa politik dan aura yang baru dalam kepimpinan negara dan kerajaan selepas itu.

Perubahan itu memang perkara biasa dalam mana-mana demokrasi dan jika ia berlaku di sini , ia merupakan satu kejadian yang pertama kali kita alami dan akan melengkapkan proses demokrasi itu untuk kepentingan rakyat semua kaum di negara ini.

Oleh Aspan Alias

Garis panduan SPR kongkong pemerhati p'raya

Garis panduan untuk pemerhati pilihan raya yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk larangan bercakap kepada media tanpa kebenaran SPR, akan menghalang mereka daripada menjalankan tugasnya, kata Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution (kiri) berkata sekretariat Pakatan bermesyuarat hari ini untuk meneliti garis panduan tersebut, dan memutuskan untuk mengemukakan bantahan kepada SPR.

Katanya, garis panduan itu melarang pemerhati pilihan raya daripada memantau proses pengiraan undi, rakaman "penipuan pilihan raya" tanpa persetujuan pegawai SPR, dan bercakap kepada media.

azlanIa juga melarang pemerhati daripada mendedahkan maklumat kepada
mana-mana pihak ketiga tanpa persetujuan SPR, berkomunikasi dengan ejen mengundi dan ejen mengira undi serta kakitangan SPR, serta daripada hadir di pusat mengundi.

"Selain itu, SPR hanya membenarkan maksimum tiga pemerhati pilihan raya dalam sesebuah kawasan parlimen," kata Saifuddin kepada pemberita di ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu menyifatkan garis panduan tersebut sebagai satu sekatan yang tidak adil kepada enam kumpulan pemantauan pilihan raya.

"Ini mencerminkan bahawa SPR tidak mempunyai rancangan untuk menjalankan pilihan raya umum yang telus dan adil," katanya, sambil menambah bahawa Pakatan akan meminta SPR meminda syarat-syarat tersebut.

Pakatan akan pantau 'kerusi panas'


Menurut Saifuddin, enam kumpulan yang dilantik oleh SPR sebagai pemerhati rasmi di Semenanjung ialah Transparency International-Malaysia, Merdeka Centre, Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Pusat bagi Kajian Dasar Awam, Majlis Belia Malaysia dan Persatuan bagi Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Proham dan Institut Nasional bagi Demokrasi dan Integriti Pilihan Raya telah menolak tawaran itu.

Selain Majlis Belia Malaysia, empat kumpulan lain masih berunding dengan SPR mengenai sekatan tersebut.

Saifuddin juga berkata bahawa Pakatan akan memantau secara intensif 'kerusi-kerusi panas'.

Ia membabitkan kawasan pilihan raya yang ditandingi pemimpin tinggi Pakatan, kawasan dengan kenaikan mendadak jumlah pengundi, kawasan pilihan raya yang terbabit dalam membeli undi dan bermasalah dalam pilihan raya sebelumnya, dan kawasan di mana majoriti undi dalam pilihan raya lalu di bawah tiga peratus daripada keseluruhan undi.

"... jika tiada kawal selia dan pemantauan di kawasan pengundian ini, mungkin berlaku penipuan, yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya," katanya. -MK

Kes Wanita Bersuami Dua

Perbuatan wanita lewat 30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain, terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak berkuasa.

Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan.

Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.

“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.

“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.

“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.

Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.

“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.

“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.

“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya. -SHbr>

Tuesday, January 1, 2013

BR1M 2.0 dibayar mulai Februari

Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) akan dilaksanakan bermula Februari depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ketua isi rumah yang tercicir dari senarai penerima BR1M yang lepas atau belum pernah memohon masih berpeluang berbuat demikian.

Beliau berkata sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 (BR1M) telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga).

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya.

Tahun lepas, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

- Bernama

PBS Lumpuh Di Batu Sapi?

KETUA Umum Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat beberapa sebab mengapa sejak kebelakangan ini ramai di kalangan ahli-ahli parti komponen BN/UMNO meninggalkan parti masing-masing kemudian mereka menyertai parti pakatan rakyat khususnya Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kerana mereka sudah hilang keperpayaan langsung dan muak terhadap pucuk pimpinan BN/UMNO untuk terus menjadi tampuk pemerintahan di negara ini khususnya di Sabah.

Ini jelas kata Anwar kemasukan beramai-ramai ahli-ahli parti komponen BN khususnya PBS kawasan Sekong yang membabitkan 15 cawangan dan melibatkan seramai 400 orang termasuk 200 ahli-ahli UMNO cawangan Kampung Tinosa kawasan Libaran menunjukkan mereka telah menolak perjuangan UMNO/BN yang tidak jelas banyak janji-janji dilafazkan oleh wakil-wakil rakyat tetapi tidak pernah ditetapi.

Katanya lagi, beberapa cawangan PBS dan UMNO yang keluar dan menyertai parti Pakatan Rakyat ialah iaitu PBS cawangan Shing Kee di ketuai Dalius Lusius Lobinting; cawangan Bangsawan Osman Jambu; Pemuda Bahagian Karamunting Suhardi Awang; Wanita bahagian PBS Faridah Selamat; PBS Karamunting Baru Atang Usop; PBS Cawangan Kg Segaliud Kalana Hj Basah; PBS Cawangan Kg Gas, Imam Abdul Rahman Asan; PBS Cawangan Kg Gas Tengah Nasib Jaapar dan Cawangan UMNO Kampung Tinosa II Manguna Hamzah.

Anwar berkata demikian sejurus selepas merasmikan Konvensyen KeAdilan Rakyat Gabungan Cabatan Parlimen Libaran dan Batu Sapi dan majlis Penyerahan Borang-Borang Keahlian kemasukan ke PKR yang dilangsungkan di Dewan SM Yu Yuan Sandakan petang kelmarin.

Katanya, rakyat sudah bosan dengan janji-janji manis para pemimpin BN/UMNO yang banyak menabur janji tetapi yang ditunaikan tidak sampai 40 peratus itupun hanya kroni-kroni mereka sahaja yang mendapat keistimewaan, yang selebihnya telah dianak tirikan.

“Seperkara lagi saya ingin tegaskan, sesiapa saja diletakan calon; sama ada di kawasan luar Bandar dan kawasan Bandar; sama ada daripada PKR, DAP, PAS dan SAPP yang bertanding pada PRU 13 nanti; semua anggota parti PR, wajib saling bantu membantu untuk mempastikan calon-calon daripada pembangkang memperoleh kejayaan dan merampas semua kerusi milik BN/UMNO,” tegasnya.

Program yang dimulakan dari jam 1.30 dan berakhir jam 5.40 petang telah dihadiri seramai 4,000 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR, DAP, PAS dan SAPP.

Turut Hadir ialah Tan Seri Ibrahim Ninuddin, Zuraidah Kamaruddin Ketua Wanita KeAdilan Malaysia dan Ketua Sri Kandi Cabang Semporna Nazmahwati Walli.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
(sabahkini)

Skandal Kereta Labuan Di Sabah

MULAI 1 Jan 2013, semua pemilik kenderaan di Labuan yang dikehendaki membuat deklarasi kenderaan masing-masing melalui borang Kastam K1 setahun sekali sebelum keluar dari Labuan.

Sistem ini telah dilaksanakan semula oleh KDRM dengan alasan ada pemilik kenderaan tidak membawa balik kenderaan mereka setelah habis tempoh 90 hari (dalam setahun). Jika tiada deklarasi dan bon; maka Jabatan Kastam tidak dapat menghadapkan pemilik kenderaan ke mahkamah. Kami mewakili Unit Pencari Kebenaran Rakyat ingin bertanya kepada KDRM;

Pertama : Kastam telah melantik agen perkapalan S & V Services untuk mengisytiharkan semua kenderaan yang hendak keluar dari Labuan dengan bayaran sebanyak RM100 untuk sebuah kereta.

Kami hendak bertanya KDRM, kenapa rakyat perlu berurusan dengan agen yang dilantik oleh KDRM? Adakah pegawai atasan kastam mempunyai agenda tersendiri seperti bekas Ketua Pengarah?

Bukankah semua pemilik kenderaan sebelum keluar dari pulau bebas cukai ada mengisi borang perakuan yang disediakan oleh KDRM Labuan sebelum dimasukkan ke dalam komputer KDRM.

Bukankah semua pemilik kenderaan perlu fotokopi kad kenderaan bersama Kad pengenalan dan tandatangan borang Maklumat Kenderaan dan Pemilik sebelum kastam mengeluarkan Kad e VIS (E21A)?

Adakah Sistem komputer KDRM Labuan masih lagi dalam tahun 80-an? Bukankah dengan satu klik, sudah tahu kenderaan mana yang tidak balik ke Labuan selepas habis tempoh?

Kami tidak berniat untuk memfitnah KDRM, tetapi maklumat yang kita terima daripada orang awam dan atas risikan Unit Pencari Kebenaran, kenyataan yang kami paparkan di artikal ini adalah benar.

Kedua ; Kereta yang tidak balik ke Labuan selepas habis tempoh; kebanyakannya kereta mewah dan pemiliknya semua kebanyakan kawan rapat atau ada hubungan dengan pegawai KDRM.

Kami juga mendapat maklumat ada sebuah kereta mewah dimiliki oleh seorang penyeludup terbesar di Kota Kinabalu yang tidak membayar cukai dan sudah bertahun kenderaan tersebut berada di Sabah.

Namun tiada tindakan dari cawangan pencegah kerana difahamkan semua pegawai di Kota Kinabalu sampai ibu pejabat di Putrajaya dalam 'pay roll' KING Penyeludupan Sabah ini.

Sebenarnya, penyelewengan di KDRM berhubung kes kenderaan Labuan yang dibawa keluar tetapi tidak balik ke Labuan kerana pemilik kenderaan hanya perlu membayar RM250 hingga RM350 kepada pegawai KDRM untuk cop Kad e-VIS untuk 2 hari setiap 3 bulan.

Kenderaan tersebut sudah berada di Sabah 90 hari atau lebih. Kenderaan berkenaan tidak perlu dihantar balik ke Labuan kerana mereka hanya perlu serahkan kad -eVIS kepada Ejen Perkapalan.

Daripada maklumat yang kami terima ialah agen yang kini dilantik oleh KDRM untuk berurusan dengan KDRM untuk di cop 3 atau 5 hari bagi setiap 3 bulan. Inilah cara pegawai KDRM cari makan pegawai KDRM dan akhirnya rakyat yang disusahkan.

Adakah logik RM100 untuk deklarasi sebuah kereta dengan pihak KDRM? Bukankah agen sekarang semua guna sistem komputer yang sudah link dengan kastam? Bukankah caj yang dikenakan agen lebih mahal dari tambang feri untuk mengangkut kenderaan ke Labuan. Tambang tiket sebuah kereta untuk pulang balik ke Sabah hanya seratus sahaja. Dalam Budget 2013, Kerajaan beri subsidi 50% untuk tambang feri bagi mengurangkan beban penduduk di Labuan.

Persoalan di sini ialah salah siapa? Rakyat atau Pegawai Kastam? Siapa yang merosakkan sistem kerajaan yang sedia ada?

Cuba pembaca Sabahkini.net tengok di Sabah dan Sarawak tentang rokok dan minuman keras yang dijual di kedai kopi dan pusat hiburan. Bukan semuanya 80% tidak bayar cukai. Ibu pejabat kastam ambil Labuan sebagai Kambing Hitam dan sebenarnya semua rokok dan minuman keras masuk terus ke Pelabuhan Sepanggar Bay dan Gudang Berlesen di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Di Sarawak pula, rokok dan minuman keras masuk di pelabuhan Sibu, Bintulu dan Kuching dan kemudian ditarik keluar dengan mengisytiharkan sebagai barang tidak bercukai. Di Semenanjung pun sama juga masuk 'Bonded Warehouse' dan guna 'tax stamp' palsu yang dijual sekeping RM0.30 sen kepada sindiket penyeludup.

Kontena yang bersusun susun di pelabuhan dan gudang berlesen di Sabah dan Sarawak untuk ditarik keluar, tidak termasuk seperti Imported Jubin, Barangan Elektrik, Sayap Ayam (Tiada AP)

Yang hebat sekali ialah menjual minyak diesel subsidi oleh bot pembekal di perairan Labuan. Pernahkah pihak berkuasa seperti kastam tangkap?

Ketiga ; macam mana dengan kes Bekas Ketua Pengarah Kastam, Dato' Seri Khalid? Sekarang Timbalan Ketua Pengarah KDRM pun orang Sarawak dan patutlah aktiviti kroni penyeludpan mereka di Sarawak dan Sabah berjalan dengan lancar menggunakan pelabuahan dan gudang berlesen.

Untuk makluman SPRM. Sila pantau di semua pelabuhan dan lokasi gudang berlesen tersebut di atas kerana kastam yang bersubahat dengan sindiket penyeludupan dan juga sindiket mengunakan 'tax stamp palsu' kastam di KL.

Nanti kami akan salurkan maklumat 'A' terus ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Kepada semua Pengarah & Pegawai Pihak berkuasa jabatan kerajaan Malaysia. Insaflah kerana baki pahala anda tidak mencukupi untuk anda ke syurga. Sila tambah nilai amalan anda sebelum tarikh hayat anda luput.

Marilah kita bersama-sama membongkarkan kegiatan salah gunakuasa dan rasuah di jabatan KDRM kepada SPRM.kita akan bongkarkan satu demi satu dari bekas Ketua Pengarah hingga terkini di artikal kami akan datang.

Salam Hormat.

UNIT PENCARI KEBENARAN RAKYAT.

2013 Tahun Penamat Pemerintahan BN

Rakyat Malaysia, khususnya pendokong Pakatan Rakyat menyambut tahun baru 2013, dengan iltizam untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional dari tampuk pemerintahan.

Semangat yang tinggi di kalangan pendokong Pakatan Rakyat ditonjolkan dengan begitu ketara sepanjang 2012, aktif menganjurkan program dan perhimpunan.

Semua program dan perhimpunan yang dianjurkan mendapat sambutan hebat dari kalangan rakyat, dengan satu tekad dan matlamat untuk memperkasakan gerakan menawan Putrajaya.

Selepas kejayaan penganjuran Bersih yang menggunakan tema kuning, PAS mencipta Himpunan Hijau, gerakan menyelamatkan rakyat dari Lynas juga bertemakan warna hijau.

Manakala gerakan anak-anak Felda mencipta gelombang Oren untuk menyelamatkan tanah dan peneroka Felda dari penindasan serta kezaliman Umno-BN.

Bagi melengkapkan gerakan untuk menumbangkan BN, rakyat Kelantan mencipta gelombang merah bagi menuntut bayaran royalti Petroleum yang dirompak BN bertahun-tahun lamanya.

Kesemua gerakan ini, yang dicetuskan sepanjang tahun, mendapat dokongan padu dari rakyat pelbagai kaum dan agama.

Tidak ada yang terkecuali. Dari Perlis hingga ke Johor, ke Sabah dan Sarawak, malah sehinggakan rakyat di luar negara, begitu berani mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menolak BN.

Fenomena inilah sebenarnya yang amat ditakuti BN. Apa jua propaganda, apa jua usaha untuk mengekang kebangkitan rakyat, berterusan gagal.

Kebangkitan rakyat ini cukup memberi kesan, sehinggakan Perdana Menteri bersikap 'acuh tidak acuh', 'sekejap yakin sekejap tidak' untuk membubarkan Parlimen, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13.

Apa pun dolak-dalik PM yang juga Presiden Umno, walaupun kuasa membubarkan Parlimen hak mutlak PM, namun, satu hakikat yang tidak boleh dielak, 8 Mac 2013 ini, mahu tidak mahu, usia kerajaan BN akan tamat.

Selepas tempoh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya ada 60 hari untuk melaksanakan PRU. Ini bermakna, jangka hayat kerajaan BN, hanya tinggal 5 bulan sahaja.

Dalam tempoh sekarang ini, sehingga beberapa bulan akan datang, merupakan tempoh yang amat kritikal buat BN, iaitu suatu keadaan yang menentukan antara 'hidup dengan mati.'

Pada saat ini, Pakatan Rakyat berada di landasan kesepaduan yang terbaik untuk berhadapan dengan BN. Pakatan Rakyat sudah menjadi alternatif yang diterima rakyat, untuk menjadi kerajaan.

Rakyat Malaysia, yang cerdik dan matang, sudah melihat negara-negara jiran dan seluruh dunia, di mana kepercayaan diberikan kepada golongan 'pembangkang' untuk menjadi kerajaan.

Satu demi satu kerajaan ditumbangkan. Digantikan dengan kerajaan baru, tanpa rasa ragu, tanpa rasa takut oleh rakyat yang berani mencetus perubahan.

Kita percaya 'trend' inilah yang akan melanda negara kita. Iaitu, rakyat tidak ragu lagi untuk menurunkan Umno-BN dari tampuk kuasa, untuk digantikan dengan Pakatan Rakyat.

Fahaman bahawa hanya Umno-BN sahaja yang mampu memerintah sudah terkubur. Walaupun BN menjajanya, walaupun BN mencanang slogan itu siang dan malam, mereka tidak sesekali dapat mengubah komitmen rakyat untuk menolak mereka.

2013 adalah tahun untuk menumbangkan BN. 2013 adalah tahun untuk menamatkan hegemoni mereka. Dan pada tahun 2013 ini, rakyat akan mendapat kerajaan baru, iaitu Pakatan Rakyat.

Hidup Pakatan Rakyat, hancur BN!

Editorial Harakah

K'jaan jemput mufti tampil bersama Hadi di TV

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PAS itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Rais juga berharap Hadi akan menarik balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.

"Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.

Rais menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.

Malaysia harus dibantu tanpa mengira latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.

"Kita perlu bersatu dalam konteks di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan kita," katanya.

Di Putrajaya, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Menurut Ahmad tindakan Presiden PAS itu yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

"Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam Killiney Putrajaya di Putrajaya, hari ini.

Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan.

"Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

- Bernama