Friday, November 1, 2013

Bekas pegawai polis saman peguam negara, polis RM128.5 juta

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff (gambar) hari ini memfailkan saman berjumlah RM128.5 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara, kerajaan Malaysia dan sembilan yang lain atas dakwaan mendakwanya secara salah.

Ramli, 61, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di Kuala Lumpur melalui Tetuan Vin Partnership.

Dalam pernyataan tuntutannya beliau menamakan Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai-pegawai polis sebagai defendan.

Ramli mendakwa defendan dengan niat jahat dan tanpa sebab munasabah menyiasat dan menuduhnya di mahkamah terhadap empat pertuduhan mengikut SPRM dan satu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

Beliau mendakwa antara Julai 2009 dan Ogos 2010, beliau telah dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.

Bekas pegawai polis itu berkata akibat pendakwaan terhadapnya itu, beliau telah mengalami kecederaan dari segi reputasi, kerjayanya dan mengalami kesusahan, kesulitan dan kerugian.

Beliau menuntut ganti rugi khas, am, teruk, teladan dan faedah kos yang kesemuanya berjumlah RM128.5 juta. – Bernama

Ada Rencana Untuk Membunuh Mursi Menjelang 4 Nov?

Tuduhan demi tuduhan telah dirancang. Tanpa ada bukti di pengadilan pun, Presiden Mursi telah meringkuk di penjara sejak kudeta dimulai tanggal 30 Jun 2013.

Mursi telah dijauhkan dari keluarga, jamaah, teman dekat, bahkan penasihat kepresidenan dan pasukan pengamatan presiden yang selama ini setia mendampinginya.

Kini, tarikh pengadilan Mursi telah diputuskan; 4 November 2013. Menurut Amr Faraj, beliau meramalkan sekurang-kurangnya akan ada empat senario:

1. Mursi tidak dihadirkan, namun disidang dalam pengadilan in absentia.

2. Mursi tetap dihadirkan dan didakwa dengan tuduhan-tuduhan yang ringan, agar menenangkan suasana dan pada prinsipnya tetap menahan Mursi di penjara.

3. Mursi dihadirkan di pengadilan. Kemudian akan dibuat rekayasa kekacauan, hingga Mursi “terbunuh” untuk kemudian akan dituduhkan kepada para pemuda antikudeta dan pro konstitusional.

4. Mursi dihadirkan di pengadilan, namun semua akses media dan masyarakat ditutup. Sehingga keputusan pengadilan akan dikeluarkan secara sembunyi-sembunyi, tanpa diketahui publik.

Sementara ini, tuduhan kepada Mursi adalah; menghasut pembantaian di Istana Ittihadiyah 5 Disember 2012. Manakah yang terjadi? Ataukah tarikh 4 November awal keajaiban itu datang? -sumber asal: islamedia

Benarkah GST tidak bebankan rakyat?

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini meyakinkan hadirin bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat dan menyifatkannya sebagai kaedah penyusunan semula sistem percukaian negara.

Khatib berkata, dengan pelaksanaan GST, sistem percukaian negara juga akan dapat diurus tadbir dengan lebih berkesan, saksama dan efisien selain dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih.

“GST dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah pada setiap peringkat rangkaian pengedaran semua barang dan perkhidmatan, termasuk yang diimport melainkan yang dikecualikan oleh kerajaan. Kaedah percukaian ini dilaksanakan di beberapa buah negara luar.

“Mimbar yakin pemerintah dalam usaha mengurus bajet kali ini akan melaksanakannya berdasarkan semangat Islam yang berpandukan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat selain tidak memudaratkan.

“Amalan berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan Allah di atas setiap kesalahan seperti memonopoli kekayaan, melakukan penyelewengan, menzalimi atau perkara yang merugikan pihak tertentu,” katanya dalam khutbah hari ini bertajuk “Memperteguh Ekonomi Ummah”.

Mimbar turut menyeru semua pihak bersama-sama berusaha dalam menjayakan bajet kali ini dengan memberi kerjasama serius dan teratur.

Katanya, usaha itu dapat dilakukan dengan memastikan urus tadbir terbaik dalam perkhidmatan serta mengelak berlakunya ketirisan dan penyelewengan.

“Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah wahai umat Islam sekalian bahawa tanggungjawab memperteguh ekonomi ummah ini adalah amanah Allah dan akan diperhitungkan di akhirat nanti.

“Yakinlah bahawa penguasaan ekonomi umat Islam adalah tuntutan dan keutamaan dalam Islam dan inilah yang sedang diperjuangkan oleh pemerintah negara.

“Ingatlah, sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi dan martabat umat yang akibatnya akan memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain,” katanya.

Khatib turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas pembentangan bajet yang disifatkan mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, langkah pengurusan kewangan secara berhemah membuktikan penghargaan kepada pemerintah selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

“Mimbar yakin pemerintah yang bertanggunjawab akan sentiasa memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana dengan mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat secara berterusan.

“Inilah masanya umat Islam perlu bertindak penuh keberanian bagi menyahut seruan pemerintah terutama berpaksikan kepada agenda memperkasakan ekonomi umat Islam.

“Janganlah kerana mengharapkan bulan dan bintang jatuh ke riba dan terpesona dengan bayangan palsu yang diciptakan oleh pihak musuh. Jangan mempersendakan usaha murni kerajaan yang sedang berjuang bagi membela dan mengangkat martabat ummah,” katanya.

Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat lalu mengumumkan pengenalan GST bermula April 2015 dan mencadangkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan pengurusan fiskal bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

Bagi mengatasi kesan GST, kerajaan akan menyediakan bantuan sebanyak RM300 di bawah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan kadar cukai pendapatan yang lebih rendah sebanyak 1% hingga 3% yang akan membolehkan 300,000 pembayar cukai tidak lagi perlu membayar cukai.

Najib berkata, GST akan dikuatkuasakan 17 bulan dari sekarang dengan kadar enam peratus itu antara yang paling rendah dalam kalangan negara Asean.

Katanya, GST tidak akan dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air paip. Ia juga tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk pelanggan domestik.

Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan, tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada GST. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih turut dikecualikan daripada GST. – TMI

Setiap hari 60 orang bankrap

Sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31%, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Katanya, kumpulan kedua tertinggi ialah berumur 45 hingga 54 tahun sebanyak
26.49%, 25 hingga 34 tahun 20.09% serta 55 tahun dan ke atas 11.77%.

"Sehingga September (tahun ini sahaja) sebanyak 16,306 orang diisytiharkan bankrap dan jumlah kes tersebut terus meningkat setiap tahun. Dari 2007 hingga September tahun ini pula, seramai 116,488 orang diisytiharkan bankrap," katanya.

Nancy berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sijil pelepasan kebankrapan kepada 30 orang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Rohana Abd Malek.

Katanya, sejak MdI ditubuhkan pada 1924 hingga September tahun ini, sebanyak 251,209 orang disahkan bankrap, dan daripada jumlah tersebut hanya 28% sahaja telah mendapatkan khidmat nasihat MdI bagi meneruskan pentadbiran kes, manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Mengikut statistik MdI, seramai 13,238 orang dikategorikan bankrap pada 2007, diikuti 13,855 orang pada 2008; 16,228 orang 2009; 18,119 orang 2010; 19,167 orang 2011; dan 19,575 orang pada 2012, dengan mereka yang menceburi sektor swasta dan berniaga menunjukkan peratusan tertinggi.

Dalam tempoh masa tersebut (2007-2013), kaum Melayu dan Cina merupakan kumpulan terbesar menjadi bankrap iaitu masing-masing mencatatkan 45.1% (52,535 orang) dan 32.97% (38,407 orang), berbanding India 12.63% (14,710 orang) dan lain-lain sebanyak 9.3% (10,836 orang).

Sementara bagi kategori pula (2007-2013), sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14%); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62%); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.5% ); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes (12.39%).

Statistik MdI juga menunjukkan bahawa hutang kad kredit hanya 4,875 kes (4.18%) bagi tempoh masa tersebut.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kebankrapan bukan penghujung hidup sebaliknya ia boleh menjadi pelindung apabila seseorang gagal untuk membayar hutangnya kepada pemiutang atas pelbagai faktor.

Katanya, di negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, masyarakat menjadikan kebankrapan sebagai pelindung dengan memfailkan permohonan kebankrapan dan membuat penstrukturan semula hutang.

"Budaya inilah yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat kita. Kita tidak mahu rakyat yang hanya tahu berhutang tetapi akhirnya lari daripada tanggungjwab pinjaman yang telah dibuat.

"Bagi Januari hingga September sahaja, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahkamah.

"Daripada jumlah tersebut 99.2% (27,210 kes) petisyen kebankrapan dibuat oleh pemiutang, manakala 221 kes (0.8%) sahaja petisyen kebankrapan dipohon penghutang sendiri," katanya.

Bagi mereka yang mengalami bebanan hutang dan kesukaran membayar balik jumlah hutang yang tinggi, katanya kerajaan di bawah Bank Negara telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang berperanan dalam pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan pengurusan kredit.

Selain itu katanya, undang-undang kebankrapan sedia ada juga sedang dalam proses pembaharuan agar tidak ramai lagi yang menjadi mangsa kebankrapan. – Bernama,

M’sia Negara Berhutang Paling Tinggi Di Asia Tenggara?

Bajet 2014 dilihat masih kekal sebagai bajet defisit, 16 tahun berturut – turut semenjak krisis kewangan Asia berlaku ekoran amalan dan pelaksanaan dasar fikal ekonomi.

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali berkata, disiplin fiskal yang lemah menyebabkan hutang negara terus meningkat daripada 36% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1998 kepada 54.7% (jangkaan) pada tahun 2014.

Ini berdasarkan laporan Maybank Berhad bahawa hutang negara bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM 541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM 578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK.

”Ini adalah rekod yang tertinggi di Asia Tenggara,” katanya semasa ucapan perbahasan Bajet 2014 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, dalam tempoh 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, Malaysia mengalami defisit fiskal selama 49 tahun dan hanya menikmati lebihan kewangan selama 5 tahun berturut-turut (tahun 1993-1998), iaitu ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menajdi Menteri Kewangan.

“Negara hari ini tidak mempunyai ‘fiscal space’ untuk berbelanja kerana hutang negara yang terlalu besar dan ianya juga tidak mempunyai ‘political will’ untuk memerangi rasuah dan menangani masalah ketirisan dan salahguna kuasa,” katanya.

Menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Timbalan Presiden PKR itu berkata, pihaknya menyokong sistem percukaian yang dilihatnya telus sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan pendapatan daripada hasil sumber petroleum dan gas.

Malah GST juga dilihatnya boleh menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja.

Bagaimanapun, tegasnya rakyat Malaysia hari ini masih belum bersedia untuk perlaksanaan GSTkerana lebih 40% rakyat berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 2,500 sebulan; 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.

Hal ini menurut Azmin bertambah serius apabila Bajet 2014 memotong RM 7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat yang akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa membeli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah (inflasi).

“Persoalannya adakah kerajaan telah meneliti impak sosio ekonomi rakyat dengan perlaksanaan GST dan pemotongan subsidi rakyat?

“Penganalisis ekonomi mengunjurkan tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan.

“Jika perlaksanaan GST ini konsisten dengan langkah pemotongan subsidi yang diumumkan, maka dijangkakan kadar inflasi akan terus meningkat sehingga kadar 5% pada tahun 2015,” katanya.

Sementara itu, katanya langkah kerajaan menarik balik RM 551.25 juta subsidi gula dan subsidi minyak masak bernilai RM 505.4 juta akan terus membebankan rakyat.

“Kerajaan wajar memberikan perhatian di atas tuntutan Pakatan Rakyat supaya memecahkan monopoli industri gula.

“Belanjawan negara bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan hasil negara tetapi menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan mengambil langkah proaktif untuk membanteras ketirisan dan amalan rasuah,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Nada

Berbeza nada dengan rakan seperjuangannya yang lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.

Bagaimanapun menurut anggota Parlimen Gombak itu, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana lebih 40 peratus rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.

“Sudah pasti, jika dilaksanakan GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam pelaksanaan sistem percukaian itu, perhatian tidak sewajarnya diberi kepada golongan miskin tegar samata-mata, tetapi juga kepada golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk pekerja muda, pasangan yang baharu berkahwin dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.

Hutang

Malah, katanya, FOMCA melaporkan sejumlah 47 peratus pekerja muda di negara ini dibebani jumlah hutang yang begitu serius, manakala Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30 peratus daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.

Azmin turut menyarankan satu reformasi sistem percukaian yang bersifat meluas dan komprehensif digubal segera bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara.

Azmin dalam hujahnya berkata dalam pelaksanaan GST, kerajaan perlu memperbetul falsafah dan matlamatnya agar menjurus kepada menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros berbelanja.

“Pendek kata, GST bertujuan untuk mengagihkan semula atau mempelbagai, dan bukan meningkatkan bebanan cukai…bukannya berobjektifkan memperoleh pendapatan RM27 bilion,” katanya.

Katanya kerajaan perlu belajar daripada negara maju di mana negara terbabit hanya mula melaksanakan GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan juga turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban. -FMT

Sg Limau: Adakah ‘Kekal’ atau ‘Berani Hijrah’?

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.20 Sungai Limau kini sudah pun memasuki ke fasa terakhir kempen yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian pada Isnin, 4 November 2013.

Pengundi DUN Sungai Limau ini berjumlah seramai 27,222 orang dengan komposisi mengikut kaum iaitu 93 peratus ialah pengundi Melayu, 6.7 peratus pengundi Cina, 0.6 peratus pengundi India dan selebihnya kaum-kaum lain. DUN Sungai Limau ini terletak di bawah Parlimen Jerai yang telah berjaya ditawan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu melalui calonnya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun juga dikuasai BN.

Kerusi DUN Sungai Limau ini boleh dikategorikan sebagai kubu kuat PAS kerana penyandangnya sebelum ini, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut semenjak tahun 1995 yang pada ketika itu dikenali dengan nama DUN Sala. Melihatkan majoriti yang dimenangi setiap kali pilihanraya tersebut, ia ada turun naiknya bermula pada PRU 1995 dengan majoriti hanya 196 undi, PRU 1999 dengan majoriti meningkat kepada 2621 undi, PRU 2004 dengan majoriti menurun kepada 1080 undi, PRU 2008 dengan majoriti 3212 undi dan yang terkini PRU 2013 dengan majoriti 2774 undi.

Menyorot kembali keputusan PRU 13 yang lalu, daripada keseluruhan 57 saluran mengundi, PAS berjaya memenangi 39 saluran manakala BN menang di 18 saluran mengundi biasa dan undi pos. PAS berjaya menguasai 14 Pusat Daerah Mengundi manakala BN berjaya berkubu di 5 Pusat Daerah Mengundi iaitu Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kecil dan Dulang Besar. Hal ini dapat dilihat dengan pencapaian BN memenangi kesemua saluran di kelima-lima pusat daerah mengundi tersebut. BN turut memenangi dua saluran pengundi muda di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, dan empat saluran pengundi tua iaitu di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat.


Nama dan jasa Almarhum Ustaz Azizan begitu dekat dengan jiwa sanubari pengundi di DUN ini sehinggakan aura Almarhum Ustaz diulang sebut dan mendominasi tema dalam kempen PRK ini. Calon PAS, Ustaz Azam Abd Samat telah berjanji untuk meneruskan legasi Almarhum Ustaz Azizan, cuma yang agak pelik dalam PRK ini parti BN juga turut tumpang sekaki menggunakan imej Almarhum Ustaz dalam kempen mereka. BN begitu bermurah hati mencetak banner membuat seruan pengundi menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz.

DUN ini berlatarbelakangkan majoriti pengundinya adalah petani dan nelayan yang begitu mementingkan aspek keagamaan. Hal ini dapat dilihat, apabila di pihak PAS menurunkan calon yang berpendidikan agama manakala calon BN, Dr Sohaimi Lazim menetapkan agenda utama beliau ialah membangunkan modal insan dan pendidikan.

Sungguhpun calon BN tersebut mempunyai kelebihan daripada sudut taraf pendidikan kerana berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik namun, ia bukanlah indikator utama pengundi dalam membuat pilihan. Pengundi di kawasan luar bandar biasanya lebih cenderung untuk memilih calon yang mesra, prihatin, mudah didekati dan rajin turun ke lapangan bersama rakyat.

Secara amnya, suasana kempen dalam PRK ini agak tenang dan tidak banyak berlaku insiden yang tegang. Hal ini mungkin atas faktor suasana dan budaya setempat yang mementingkan ‘politik damai’ berbanding ‘politik serang’. Bahkan, menurut laporan BERNAMA perang poster juga suram dalam PRK tersebut , berbeza dengan kebiasaan semasa pilihanraya umum dan pilihanraya kecil di tempat lain.

Hanya satu sahaja yang sama iaitu BN terus menggunakan senjata tradisinya setiap kali pilihanraya iaitu taburan wang, bantuan dan janji pembangunan kepada pengundi.Sebagai buktinya, disenaraikan di sini bantuan yang BN telah umumkan iaitu peruntukan kepada Madrasah Mazahirul Ulum (RM400,000), peruntukan kepada Sekolah Menengah Agama Nahdzah (RM3 Juta), peruntukan kepada 12 sekolah lain (RM 1.2 Juta), Insentif Program Bantuan Azam Tani Mara (RM802,700), bantuan zakat Agrobank (RM19,700), pinjaman TEKUN (RM30,000), peruntukan Masjid Simpang Empat (RM 300,000), sumbangan kepada badan persatuan guru-guru KAFA dan 33 masjid lain (RM 118,000), bantuan baiki rumah (RM1 Juta), pemberian cermin mata (RM 1.18 Juta), peruntukan kepada jeti perikanan (RM 500,000), peruntukan untuk tukun tiruan (RM 2.5 Juta) dan peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM 2 Juta). BN juga turut memberikan sumbangan dalam bentuk anak pokok, baja, anak ayam, buku agama, surah Yassin, set pembesar suara, minyak masak Saji dan sabun mandi keluaran Felda. Apabila dikira kesemua ini ia berjumlah RM 13.07 Juta. Bayangkan betapa besarnya kos perbelanjaan peruntukan kerajaan yang digunakan oleh BN. Ini belum lagi dicampur dengan kos lain seperti terbitan bahan kempen, sewaan tempat dan penganjuran program. Harus diingat wang yang digunakan ini bukanlah wang parti tetapi ia adalah wang rakyat yang diuruskan oleh kerajaan.

BN juga terus tanpa segan silu memperalatkan kementerian dan agensi kerajaan termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan lain-lain.

Antara isu kontroversi pada PRK kali ini ialah kenyataan TPM, Tan Sri Muhyidin Yassin yang cuba menjustifikasikan kenaikan harga gula dengan penyakit kencing manis yang dihadapi oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan. Tindakan sebegini sememangnya menjadi modal terbaik untuk PAS menyerang kembali BN kerana sanggup menghina insan yang sudah tiada di alam ini demi mendapatkan undi. Adakah TPM terlupa bahawa pengundi DUN ini begitu menyayangi Almarhum.? Gara-gara tersilap tekan ‘button’ ini, semalam TPM cuba membuat ‘control damage’ dengan memohon maaf kepada keluarga Almarhum.

Namun, di peringkat PAS juga ada isu yang hangat yang boleh mencalar imej parti dan calon iaitu wujudnya ‘gambar palsu’ calon bersama Almarhum Ustaz dalam risalah profil calon. Setelah isu tersebut didedahkan pada muka depan akhbar Sinar Harian,lantas pihak tertinggi jentera pilihanraya mengakui bahawa kesilapan itu kerana terlepas pandang, tidaklah disengajakan serta siasatan akan dibuat terhadap pereka grafik yang memuatkan gambar tersebut.

Isu lain yang menjadi ‘peluru’ bagi kempen PAS ialah tindakan kerajaan BN yang menaikkan harga gula dan cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Bajet 2014 yang baru dibentangkan juga tidak banyak mempunyai faktor ‘wow’ untuk menarik pengundi maka PAS berkelebihan untuk menerangkan isu tersebut agar pengundi tidak terpedaya dengan janji manis BN setiap kali berlakunya pilihanraya.

Di samping itu, keberkesanan strategi menganjurkan ceramah adalah penting untuk dinilai kembali oleh PAS. Hal ini kerana kita perlu mengakui bahawa strategi pergi bertemu secara terus dan ‘personal touch’ oleh calon kepada pengundi adalah lebih baik dan berkesan berbanding kita mengharapkan pengundi untuk datang mendengar celoteh barisan penceramah. Lebih malang lagi, jika kita membuat jangkaan sokongan dengan berpandukan bilangan mereka yang hadir ke ceramah tersebut. Bukan kesemua yang mendengar itu adalah pengundi DUN tersebut dan mungkin yang menjadi peramai majlis itu ialah petugas parti kita sendiri dan orang luar yang ingin bersua muka dengan tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat.


Di pihak jentera perlu terus giat menyusun strategi yang bersifat lebih mesra dan terus kepada pengundi di samping memperingatkan para tukang kempen agar menjadi ‘a good listener’ untuk mendengar isi luahan hati pengundi. Pendekatan sebegini pasti lebih menyentuh hati sanubari pengundi untuk tertarik kepada calon kita berbanding pendekatan yang bersifat menyerang dan mengutuk pihak lawan. Perbanyakkanlah menerang daripada menyerang kerana adat Melayu begitu mementingkan budaya saling menghormati dan sopan-santun. Begitu juga perihalnya dengan pengundi muda dan wanita. Mereka ini adalah sasaran utama yang perlu diberikan perhatian khusus kerana majoriti pengundi adalah dalam kelompok ini.

Akhir sekali, PAS Kedah wajar mengambil peluang PRK Dun Sungai Limau ini sebagai medan untuk merapatkan kembali saf perjuangan serta menutup kisah duka lama konflik dalaman yang wajar dijadikan iktibar apabila kita diberikan amanah berkuasa. Pepatah Melayu ada menyebut, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” mengingatkan peri-pentingnya kesepaduan dalam organisasi untuk bukan sahaja menang tetapi mengisi dan mempertahankan kemenangan yang jauh lebih mencabar.

Buat para pengundi DUN Sungai Limau, kita yakin akan kebijaksanaan mereka untuk terus ‘Kekal’ dengan memilih calon PAS. Mereka tidak mudah terpedaya dengan slogan ‘Berani Hijrah’ yang digunakan BN kerana hijrah itu ke arah yang lebih baik dan bukan berubah ke arah yang lebih buruk. Bak kata Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa pengundi DUN Sungai Limau akan buktikan bahawa mereka akan menjadi “ikan yang cerdik dengan hanya mengambil umpan dan tidak memakan joran sekali”.


Oleh Syed Ahmad Fadhli
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS.

Manifesto PR Sampah, Kenapa Menciplaknya?

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas manifesto Pakatan Rakyat, meskipun Barisan Nasional sendiri menciplak idea yang terkandung dalam manifesto berkenaan, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan manifesto PR sebagai “sampah” dan “tidak berpijak di bumi yang nyata” dengan mendakwa hanya 15 peratus janji ditunaikan pada 2008.

“Ini sikap yang cukup memalukan apatah lagi ungkapan tersebut dibuat dalam dewan yang mulia dan ditonton secara ‘live’ oleh rakyat melalui internet dan televisyen di rumah.

“Peliknya, jika beliau menganggap manifesto itu sebagai sampah, kenapa Umno BN tetap menciplak beberapa isi kandungannya seperti janji menurunkan harga kereta?” soal Pengerusi KEADILAN Perak itu ketika dihubungi.

Pakatan Rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu menunjukkan bukti sekurang-kurangnya sembilan perkara diciplak oleh BN daripada manifesto Pakatan Rakyat.

Antaranya memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak dan menurunkan harga kereta secara berperingkat.

Malah baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat lebih awal kerana bimbang ia diciplak BN.

Mengulas lanjut, Muhammad Nur berkata, sebagai pemimpin kanan negara, Zahid sewajarnya menjadikan dirinya contoh kepada rakyat dan bukan menunjukkan sikap emosional.

“Tetapi apa yang berlaku ialah Zahid lebih gemar melepaskan kemarahan dengan memberikan label-label negatif terhadap pihak lawan dan ini sekaligus menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan rakyat,” ujarnya. -KD

Kontrak tenaga RM600 juta untuk keluarga Taib Mahmud didedah

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) sekali lagi mencuri perhatian apabila satu lagi tuduhan yang dibawakan oleh Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan keluarganya mendapat faedah daripada projek kerajaan.



Syarikat yang mempunyai hubung kait dengan keluarga Abdul Taib telah dianugerahkan sebuah kontrak bernilai RM618.6 juta bagi membangunkan saluran empangan Sarawak Energy dimiliki kerajaan negeri mendapat kritikan kumpulan alam sekitar yang berpengkalan di Switzerland.

BMF sebelum ini lantang dalam kritikan terhadap polisi etnik di Sarawak berkata anak sulung Abdul Taib, Mahmud Abu Bekir adalah pengerusi Sarawak Cable Berhad (SCB) yang merupakan anak syarikat memperoleh kontrak tersebut.

"Menurut dokumen milik syarikat, Mahmud merupakan pengerusi SCB dan pemegang saham kedua terbesar dengan 33% (21% secara langsung dan 12% tidak langsung)," kata BMF.

Media semalam melaporkan, anak syarikat SCB, Trenergy Infrastructure Sdn Bhd telah menerima surat pelantikan dua projek pembekalan elektrik 500kV yang melintasi Mapai ke Lachau dan Lachau ke Tondong.

"Dua projek itu dijangka menyumbang kepada pendapatan bersih Kumpulan Sarawak Cable bagi tahun berakhir 31 Disember 2014 dan 2015," seperti dilaporkan SCB.

Empangan yang merupakan satu daripada 11 empangan yang dirancang pembinaannya oleh kerajaan negeri bakal menyaksikan 20,000 etnik Kenyah, Kayan dan Penan akan dipindahkan.

Penduduk kampung telah menjalankan bantahan dan sekatan di sekitar kawasan Empangan Baram bagi menghalang pekerja Sarawak Energy memasuki kawasan tersebut.

"Penduduk kampung berjaya menghalang pekerja Sarawak Energy dari melakukan kerja tinjauan di Empangan Baram," menurut Straumann.

Media turut memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata keadaan di sana semakin tegang dan tiada sebarang petanda melihatkan penduduk kampung untuk beralah.

Beliau melahirkan kebimbangan masalah itu akan bertukar kepada konfrontasi dan menggesa tindakan segera perlu dilakukan.

"Hentikan kerja pembinaan sehingga notis lanjut dikeluarkan. Jangan menentang penduduk kampung. Biarkan kami yang menyelesaikan masalah ini," katanya yang merujuk kerja menebuk batu di antara Long Naah dan Long Kesseh kira-kira 200 kilometer dari bandar Miri.

Beliau turut meminta Sarawak Energy, kakitangan pejabat tanah dan Jabatan Ukur Tanah meninggalkan kawasan itu dengan kadar segera. – TMI

Artis ke Sungai Limau bantu kempen BN



Beberapa orang artis dan seniwati seperti Norlia Ghani, pelawak Abon, penyanyi Hail Amir, serta pelakon Aznah Hamid yang turun berkempen untuk BN.

Norlia Ghani yang popular memeran watak Joyah dalam siri Opah tidak lama dahulu bertindak sebagai jurucakap artis ini menjelaskan program mereka ini dinamakan 'Ziarah Syukur'.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua program ini diadakan selepas pilihan raya umum lalu.

"Kalau boleh kita nak semua rakyat faham yang mana satu yang kita nak pilih sebab kita ada hak untuk mengundi dan memilih.

"Kalau kita pilih salah, susahlah kita nanti," katanya yang memakai baju-T berwarna pink dengan tulisan "Pilihlah BN".

Menurutnya lagi, di sebelah pagi mereka telah berkunjung pasar untuk berkempen dan di sebelah petang nanti mereka akan bersama orang ramai dalam acara sukan bendang seperti menangkap itik, menangkap ikan keli serta berlari dalam bendang.

Selain beliau, artis-artis lain yang turun berkempen adalah pelawak AR Badol, Abon, Aznah Hamid, Nadia AF, serta Datuk Mustapha Maarof.

Ziarah ini kata Norlia lagi, dilakukan dengan sokongan Anggota Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. -MK

BN Ada 2 Calon Di N20 Sungai Limau?

PAS hari ini mendakwa Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan pilihan raya dalam kempen mereka di Sungai Limau apabila menggunakan bahan poster selain calon yang bertanding.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas jentera BN yang terdesak sehingga terpaksa memasang poster Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gambaran seorang calon pada pilihan raya kecil kali ini.

"Adakah BN menghantar dua orang calon sebab saya tengok ada dua poster calon N20, Dr Sohaimi dan Datuk Mukhriz.

"Kain rentang dan poster yang diletak menunjukkan bahawa seolah-olah adalah Mukhriz," kata Naib Presiden PAS itu yang mempersoalkan corak berkempen sedemikian oleh pemimpin BN.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut menuduh BN cuba mengelirukan pengundi Sungai Limau apabila meletakkan poster sedemikian.

"Saya tak tahu jika ia bertujuan untuk mengelirukan pengundi.

"Jadi, mereka gunakan populariti Mukhriz," katanya.

Mahfuz kemudiaan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, sama ada ia melanggar Akta Peraturan Pilihan Raya ataupun tidak.

"Saya minta SPR berikan penjelasan.

"SPR harus tampil beri kenyataan, salah ataupun tidak," tegas beliau lagi.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.

Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi. -TMI