Friday, November 1, 2013

Manifesto PR Sampah, Kenapa Menciplaknya?

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas manifesto Pakatan Rakyat, meskipun Barisan Nasional sendiri menciplak idea yang terkandung dalam manifesto berkenaan, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan manifesto PR sebagai “sampah” dan “tidak berpijak di bumi yang nyata” dengan mendakwa hanya 15 peratus janji ditunaikan pada 2008.

“Ini sikap yang cukup memalukan apatah lagi ungkapan tersebut dibuat dalam dewan yang mulia dan ditonton secara ‘live’ oleh rakyat melalui internet dan televisyen di rumah.

“Peliknya, jika beliau menganggap manifesto itu sebagai sampah, kenapa Umno BN tetap menciplak beberapa isi kandungannya seperti janji menurunkan harga kereta?” soal Pengerusi KEADILAN Perak itu ketika dihubungi.

Pakatan Rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu menunjukkan bukti sekurang-kurangnya sembilan perkara diciplak oleh BN daripada manifesto Pakatan Rakyat.

Antaranya memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak dan menurunkan harga kereta secara berperingkat.

Malah baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat lebih awal kerana bimbang ia diciplak BN.

Mengulas lanjut, Muhammad Nur berkata, sebagai pemimpin kanan negara, Zahid sewajarnya menjadikan dirinya contoh kepada rakyat dan bukan menunjukkan sikap emosional.

“Tetapi apa yang berlaku ialah Zahid lebih gemar melepaskan kemarahan dengan memberikan label-label negatif terhadap pihak lawan dan ini sekaligus menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan rakyat,” ujarnya. -KD

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.