Thursday, September 11, 2014

Krisis identiti di kalangan ahli & pemimpin dalam PAS?

Entah bagaimana, tindakan PAS yang pada asalnya seakan mahu memberi wejangan kepada PKR dalam isu menteri besar Selangor, kini berbidas kembali kepada parti Islam tersebut.Pergolakan dalaman PAS kini kelihatan lebih bilau berbanding PKR. Ini situasi yang agak pelik bagi penulis.

Tetapi kita tinggalkan dulu masalah atau krisis tersebut kerana ia bukan maudu’ perbincangan sebenar yang ingin penulis sampaikan. Ribut di dalam cawan antara golongan profesional dan ulama kian kuat sehingga tempias ke sekitarnya.

Golongan profesional di dalam PAS ini punya banyak gelar lain seperti ‘Erdogan’, ‘Anwaris’ malah ada juga gelaran yang agak melampau seperti gelaran ‘parasit’ dan ‘munafik haraki’.
Bagi penulis, semua gelaran tersebut adalah tidak wajar kerana yang nyatanya mereka semua, profesional mahupun ulama adalah golongan Islamis kendatipun wujud perbezaan pemikiran dan strategi politik.

Malah gelaran ‘ulama’ tidak harus hanya didominasi golongan ilmuan agama saja.

Memetik kembali kata-kata allahyarham Ustaz Yusuf Rawa yang dicatatkan Datuk Kamaruddin Jaafar melalui penulisan bertajuk “Memperingati Yusuf Rawa” diungkapkan:

“Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan memadukan ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing-masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisme yang memisahkan ilmu syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan”.

Kata-kata ini bagi penulis adalah ‘batu tanda’ bagi konsep kepimpinan ulama yang sebenarnya turut mengiktiraf golongan ilmuan Islam yang bukan datang daripada aliran agama. Ini sangat jelas.

Masalah perbezaan pemikiran ini memang wujud walau berkali-kali dinafikan pemimpin PAS.

PAS mempunyai nilai sentimental pada penulis, kerana umum beranggapan PAS adalah penerus kepada Hizbul Muslimin yang suatu masa dulu berpusat di Semanggol berhampiran kampung halaman penulis.

Atas dasar tersebutlah penulis secara ‘bona fide’ atau berniat baik berpendapat PAS seharusnya menegaskan apakah PAS mahu bergerak sebagai Amal Siyasi atau Haraki Islami?

Selagi PAS tidak mahu menegaskan untuk bergerak sebagai Amal Siyasi (parti politik) atau Haraki Islami (Gerakan Islam), maka bagi penulis, PAS akan terus berada dalam krisis identiti kerana wujud perbezaan pemikiran yang meruncing.

Perbezaan pemikiran yang wujud dalam PAS itu sendiri bukan sekadar antara profesional atau ulama, ia sebenarnya lebih mendalam daripada itu.

Pertentangan pemikiran ini sebenarnya melibatkan pemikiran atau adicita yang dinamakan sebagai Islamisme dan Pasca-Islamisme ramai pengkaji.

Jika dilihat secara umum, golongan agamawan yang dinamakan sebagai ulama di dalam PAS sebenarnya adalah pendukung kepada konsep Islamisme.

Manakala golongan intelektual yang dinamakan sebagai profesional di dalam PAS pula adalah pendukung konsep Pasca-Islamisme.

Bagi penulis, kedua-dua kelompok ini mendukung cita-cita Islam tetapi berbeza cara dan strategi.

Bagi golongan pendukung Islamisme atau adakala dinamakan sebagai fahaman Islam politik, mereka mengutamakan perlaksanaan syariat seperti undang-undang hudud menerusi suatu konsep yang dinamakan sebagai ‘Negara Islam’.

Pendukung aliran Pasca-Islamisme pula, mereka ini muncul setelah konsep Islam politik yang dibawa Islamisme itu dianggap sebagai gagal.

Islamis aliran Pasca-Islamisme pula lebih menitikberatkan soal urus tadbir kerajaan yang baik, kedaulatan undang-undang, tataurus ekonomi dan kewangan yang baik, kemajmukan masyarakat serta pentadbiran negara demokratik.

Antara contoh model organisasi pendukung Pasca-Islamisme yang berjaya ialah Parti An-Nahda (Renaissance Party) di Tunisia dan Parti AKP (Justice and Development Party) di Turki.

Kedua-dua parti tersebut malah menerima perlembagaan negara yang sekular atau dalam erti kata yang sebenar mereka menerima konsep negara sekular ala Anglo-Amerika.

Mereka menegaskan syariat Islam akan terbentuk melalui evolusi budaya dalam masyarakat dan bukannya melalui kekuasaan politik semata-mata. Rashid Al-Ghannusi, pemimpin Parti An-Nahda pernah mengungkapkan:

“Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya. Dinamika ini berlangsung sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama kepada isu tersebut.”

Tetapi keadaan ini sudah tentu sukar untuk diterima pendukung konsep Islamisme.

Konsep Islamisme bagi penulis, cuma sesuai untuk digerakkan sebagai gerakan Islam yang menyentuh soal sosial, politik secara umum dan soal pendidikan dan bukannya ikut campur di dalam perebutan kuasa seperti parti politik.

Di sini penulis tidak menentang penglibatan ulama di dalam politik, tetapi seharusnya ulama ikut campur dalam urusan politik umum dan bukannya urusan politik dan perebutan kekuasaan melainkan dia arif, boleh dikritik dan layak dalam perihal tersebut.

Oleh kerana itu kita dapat melihat Ikhwan Muslimin di Mesir menubuhkan sayap politiknya iaitu Parti FJP (Freedom And Justice Party), malah Parti An-Nahda di Tunisia itu sendiri punya hubungan dengan gerakan Ikhwan Muslimin.

Mengapa Ikhwan Muslimin secara langsung tidak mahu ikut campur dalam politik kekuasaan?

Atau lebih baik saja gerakan Islam yang mendukung konsep Islamisme itu bergerak seperti gerakan Muhammadiyyah di Indonesia yang menumpukan usaha mereka dalam urusan sosial dan pendidikan.

Manakala dalam urusan politik pula, terpulanglah kepada ahlinya mahu menyertai parti apa pun. Yang pentingnya Muhammadiyah menerapkan nilai pemikiran Islami dalam minda ahlinya.

Oleh itu suatu penegasan harus dibuat oleh PAS, sama ada mahu bergerak sebagai gerakan Islam (haraki Islami) yang teguh mempertahankan prinsip perlaksanaan syariat melalui pendidikan dan dakwah atau mahu bergerak sebagai parti politik (amal siyasi) yang menegakkan nilai Islam secara umum dalam kerangka perlembagaan negara.

Allahyarham Ustaz Fathi Yakan, seorang mujahid dakwah yang merupakan figura penting dalam gerakan Islam di dalam bukunya bertajuk “Ihzaruu AIDS Al-Haraki” (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki) mengingatkan beberapa perkara penting antaranya;

1. Perkaderan dan keanggotaan berdasarkan kuantiti sebagai keutamaan.

2. Isti’jal (Tergesa-gesa)

3. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran.

Ketiga-tiga pernyataan di atas adalah antara penyakit dalam Haraki Islam. Oleh itu golongan pendukung Islamisme dalam PAS sangat berani kehilangan kerusi dan undi semata-mata untuk mempertahankan prinsip mereka.

Tetapi dalam politik kepartian dan kekuasaan, sudah tentunya kuantiti yang menjadi keutamaan tanpa menolak kepentingan kualiti. Malah dalam penakrifan yang lebih luas, sesuatu parti itu memerlukan undi yang banyak serta keahlian yang ramai.

Cuma penulis agak pelik apabila PAS tidak menerima ahli daripada kalangan fahaman Syiah tetapi menerima pula ahli yang berlainan agama untuk duduk di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Golongan Islamisme dalam PAS juga tidak tergesa-gesa untuk mencapai kekuasaan. Oleh itu mereka berhati-hati untuk menentukan sesuatu keputusan serta berhati-hati dengan sesuatu yang diperjuangkan.

Tetapi bukankah di dalam politik itu, ia adalah isu mengenai kekuasaan dan perebutan kekuasaan, maka segala peluang yang ada harus pantas direbut asalkan caranya tidak melanggar undang-undang.

Golongan Islamisme dalam PAS juga dilihat tidak begitu terpengaruh dengan unsur luar daripada syariat seperti politik kekuasaan, ekonomi dan lain-lain aspek untuk menjaga keaslian perjuangan mereka.

Sedangkan dalam politik kekuasaan, isu urus tadbir kerajaan yang baik, tataurus ekonomi yang baik serta lain-lain aspek menjadi keutamaan untuk meraih keyakinan rakyat.

Oleh itu, dalam krisis menteri besar Selangor, kita dapat melihat pendukung Islamisme dalam PAS mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan hujah tiada sebarang alasan syarie untuk memecatnya.

Manakala golongan pendukung Pasca-Islamisme kelihatan lebih progresif kerana tidak melihatnya daripada sudut syarie semata-mata tetapi melihatnya daripada sudut dan hujah pentadbiran yang kurang demokratik, tidak melaksanakan manifesto, pentadbiran kurang berkesan dan sebagainya.

Oleh itu bagi penulis, PAS harus menegaskan identiti mereka. Atau sekurang-kurangnya bergerak seperti Ikhwan Muslimin yang kemudiannya menubuhkan sayap politik lain yang mesti dijamin kuasa autonominya tersendiri dalam beberapa hal.

Bagi penulis ini adalah cara terbaik untuk menangani perselisihan pemikiran dalam PAS.

Jika tidak, kedua-dua golongan ini harus terpisah, seperti terpisahnya Erdogan daripada (allahyarham) Erbakan.

-Rizuan Abdul Hamid (DD)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.