Saturday, September 6, 2014

Orang Sabah bukan orang Melayu?

Definisi Melayu dalam konteks Melayu mengikut Perlembagaan Malaysia, Perkara 160 (2) mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu juga bertutur menggunakan bahasa Melayu

Beberapa minggu kebelakangan ini, Sabah riuh dengan cakap-cakap berkenaan soal entiti Melayu khususnya dari ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Sabah.

Masidi Manjun mengeluarkan kenyataan untuk menjustifikasikan definisi Melayu dengan bertegas bahawa semua bangsa di Sabah layak menjadi ahli UMNO kerana berada dalam rumpun Melayu.

Pada zaman Kesultanan Melaka, dikatakan bahawa Bahasa Melayu itu pernah menjadi ‘lingua franca’ iaitu bahasa perhubungan utama di Kepulauan Melayu.
Oleh itu, umumnya bolehlah dikatakan bahawa Melayu itu sebenarnya ialah BAHASA dan BUKAN BANGSA.

Daripada sedikit sejarah asal usul Melayu ini, saya ingin bertanya kepada Masidi Manjun, bahawa rumpun Melayu yang beliau rujuk ini berdasarkan definisi yang mana?

Saya yakin bahawa definisi Melayu yang beliau sebutkan itu tentulah dalam konteks Melayu mengikut Perlembagaan Malaysia, Perkara 160 (2), orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Namun jika mengambilkira definisi ini, sudah tentu ahli UMNO di Sabah tidak layak menjadi ahli apatah lagi bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Walau bagaimanapun, dalam Perlembagaan UMNO Fasal 4 (4.2) Ahli Biasa ialah warganegara Malaysia berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berumur 18 tahun ke atas.

Justeru golongan Bumiputera di Sabah ini boleh menjadi ahli UMNO.
Maka adalah tidak wajar untuk mengklasifikasikannya sebagai Melayu secara rambang.

Satu persoalan pula yang ingin saya sentuh ialah definisi Bumiputera.
Jika kita merujuk Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan Perlembagaan Sabah, tidak wujud perkataan BUMIPUTERA.

Bagi maksud definisi pribumi atau orang asal, istilah yang digunakan ialah NATIVE iaitu sebutan dalam bahasa Inggeris. Menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, terjemahan NATIVE ialah anak kelahiran atau orang asal.

Apabila menyentuh tentang ORANG ASAL, ada baiknya kita merujuk Report on the Census of Population,North Borneo yang diambil pada 10.08.1960 yang dikeluarkan dalam Report of The Commission of Enquiry, North Borneo and Sarawak, 1962 iaitu data kependudukan Sabah sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

Bangsa utama ketika itu ialah Dusun, Murut dan Bajau termasuk Illanun.
Manakala orang asal terdiri daripada Brunei, Kedayan, Orang Sunge, Bisayah, Sulu, Tidong dan Sino-Native.

Lantaran itu, bagaimanakah istilah BUMIPUTERA ini boleh wujud dan atas justifikasi apa BUMIPUTERA ini diwujudkan?

Siapakah pula yang tergolong dalam BUMIPUTERA ini sekiranya ia tidak mengambilkira makna NATIVE?

Sebagai menteri yang turut bertanggungjawab dalam soal kebudayaan Sabah, saya menggesa Masidi Manjun agar tidak mengelirukan rakyat Sabah dengan definisi yang kabur semata-mata untuk menjustifikasikan keberadaan UMNO di Sabah.

Beliau berhak mempertahankan parti yang diwakilinya tetapi jangan sampai mengikis identiti orang Sabah khususnya NATIVE dari segi kebanggaan bangsa dan kebudayaan.

-FMT
Hasmin Azroy Abdullah adalah Presiden Institut Pemikir Muda Sabah (IPMS) merangkap Ketua 1 Gerakan Solidariti Belia Borneo (GSBB)
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Orang Sabah bukan orang Melayu? "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx