Thursday, March 25, 2010

Gangguan elektrik di Tawau gusarkan penduduk

TAWAU: Ketika Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyuarakan rasa tidak puas hatinya di Dewan Rakyat pada Selasa kerana Sabah dibekalkan generator terpakai, penduduk Tawau pula terus dibelenggu masalah gangguan bekalan elektrik.

Pada Selasa hingga ke pagi Rabu, beberapa tempat di Tawau mengalami gangguan sehingga empat kali dan ada antara gangguan berkenaan mengambil masa lebih tiga jam untuk pulih.

Di kawasan pusat komersial Ba Zhong umpamanya, gangguan bekalan berlaku sebanyak empat kali termasuk pagi kelmarin. Gangguan pertama pada Selasa berlaku pada waktu pagi tetapi pulih kemudiannya.

Pada 4 petang gangguan berlaku sekali lagi dan cuma pulih pada 8 malam, dan pada 11 malam pula, gangguan bekalan elektrik di Ba Zhong berlaku lagi.

“Keadaan ini memang amat dikesali kerana ia benar-benar mengganggu dan menjejaskan perniagaan kami. Banyak barangan makanan mentah yang kami simpan dalam peti sejuk rosak,” kata seorang peniaga restoran yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pengusaha telekomunikasi, yang cuma mahu dikenali sebagai Anthony, berkata perniagaannya terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku.

“Minggu lepas pelanggan meminta saya mengumpul data yang besar ke dalam cakera padat dan sudah hampir 98 peratus siap setelah lima hari diproses. Bagaimanapun disebabkan gangguan bekalan elektrik, semua data itu hilang dan saya terpaksa melakukan semula kerja itu,” katanya.

Anthony berharap supaya masalah bekalan elektrik yang sudah sekian lama berlaku di Tawau dapat diatasi sebaik-baiknya.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Sabah Electricity Sdn Bhd, Chendramata Sinteh, ketika dihubungi berkata gangguan bekalan elektrik beberapa kali berkenaan berpunca daripada masalah kabel bawah tanah.

“Ini tidak ada kaitan dengan set janakuasa tetapi adalah masalah kabel bawah tanah. Masalah ini sedang diatasi,” katanya. -NST

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.