Tuesday, March 30, 2010

MIC pertahan pendirian mahu Palanivel bertanding

"KUALA KUBU BHARU – Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu tetap mempertahankan cadangan mengetengahkan Datuk G Palanivel sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor akan datang.

Samy berkata, pendiriannya tidak akan berubah walaupun pelbagai spekulasi yang ditimbulkan beberapa pihak yang mahu memberikan laluan muka baru termasuk daripada UMNO.

Menurutnya, sudah menjadi resam dan adat menjelang pilihan raya ramai yang muncul menawarkan diri dan melobi untuk menjadi calon.

“Saya ada terima banyak SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada mereka yang berminat bertanding di sini, namun semua itu tidak mempengaruhi pendirian saya.

“Terpulang kepada mereka kerana itulah adat yang kita tahu menjelang hari penamaan calon dalam setiap pilihan raya. Ramai juga pemimpin dalam MIC ini yang cuba mempengaruhi saya sejak beberapa hari lalu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat

Jawatankuasa MIC Bahagian Hulu Selangor yang turut dihadiri Timbalannya, Palanivel di sini, semalam.

Samy berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 12 tengah hari ini bagi memutuskan calon pilihan yang layak bertanding di Hulu Selangor.

Ketika ditanya cadangan UMNO mahu meletakkan Tan Sri Muhammad Taib bertanding di sini, Samy mengambil pendirian berdiam diri.

“Pasal UMNO saya ‘no comment’. Biarlah apa juga mereka nak kata dan cadangkan. Yang penting jentera parti kami bersedia menghadapi pilihan raya ini semula.

“Saya arahkan jentera parti dari tiga sayap bekerja keras memenangi kerusi yang sudah terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-12 lalu,” katanya.

Menurutnya, terdapat 7,000 wanita dan 5,400 lelaki dari kaum India yang layak mengundi di sini akan diberikan perhatian serius agar terus memilih Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau perlu memberi peluang kepada Palanivel yang popular di Hulu Selangor sejak 1990 lalu bagi meraih undi yang baik daripada semua parti komponen BN.

“Saya tahu beliau (Palanivel) sudah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu. Kami yakin mampu menang dalam pilihan raya kali ini.

“Seperti rumah yang ada ‘anak dara’ ketika musim mengundi, ramai yang mahu menonjolkan orang tertentu untuk diterima semua di hati mereka,” katanya."

Oleh: BtJong (detikdaily)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.