Friday, December 9, 2016

Dr M tak rugi jemputan ke istana dibatalkan



Siapakah yang akan kesipuan jika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri istiadat menandatangani sumpah jawatan yang di-pertuan agong di Istana Negara pada 13 Disember ini?

Datuk Seri Najib Razak atau Dr Mahathir?

Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Dr Mahathir hadir di upacara itu. Pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpukan perhatian kepada beliau untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

Ini akan meletakkan pemimpin BN, terutama perdana menteri dan menteri-menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan.

Tentunya pihak keselamatan tidak dapat melarang sesiapapun juga untuk menemui Dr Mahathir di majlis itu.

Dr Mahathir menerima undangan untuk hadir diupacara itu daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 10 November lalu, manakala maklumat pembatalan dari pihak yang sama diketahui pada 13 Disember.

Ini mendedahkan kesilapan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu kerana tidak memaklumkan lebih dahulu kepada Jabatan Perdana Menteri.

Pembatalan itu dibuat setelah Dr Mahathir menjawab akan hadir dan didakwa bukanlah bertujuan untuk memalukan beliau, tetapi untuk mengelakkan "kesipuan" yang akan dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak jika berlaku pertembungan dengan bekas perdana itu.

'Saya minta maaf'

Dalam hal ini tidak ada kerugian pada Dr Mahathir. Beliau tidak akan dipandang hina sekali pun ada sesiapa datang menemuinya, sebaliknya akan menimbulkan simpati lebih tinggi kerana umum melihat penghinaan yang sudah keterlauan dilakukan terhadapnya.

Maka itu sebelum meletusnya suasana "kesipuan" di majlis yang paling berkemuliaan dan berkedaulatan itu, tindakan tegas mesti diambil oleh Jabatan Perdana Menteri walaupun akan timbul anggapan buruk daripada rakyat bahawa "Istana Negara adalah milik Najib dan BN".

Hari ini Dr Mahathir mengesahkan menerima surat pembatalan undangan ke istiadat menandatangani sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 13 Disember depan.

Semalam, surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan itu tersebar meluas di Internet.

Ia menjelaskan pembatalan itu bagi “mengelak kesipuan (embarrassment)” kerana tiada kerusi untuk Dr Mahathir disediakan pada acara itu.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir mendedahkan beliau menerima undangan untuk hadir pada 10 November lalu.

Mengulas reaksi terhadap pembatalan undangan itu, Dr Mahathir berkata: “Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti,” katanya.

"Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan parti BN".

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu. Tulisan ini termuat dalam blognya, Zamkata

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.