Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Monday, December 5, 2016

Orang Asli beri amaran kepada PAS dan UMNO

Sepucuk surat bertulisan tangan yang didakwa cetusan luahan Orang Asli di Kelantan selepas dirinya dibebaskan daripada penahanan selepas membuat sekatan menghalang pembalakan di Gua Musang, semalam sedang disebarkan di laman sosial, khususnya di Facebook.

Bagaimanapun, surat yang bertarikh 1 Disember itu tidak mempunyai nama.


Kelmarin 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah selepas tahanan reman antara dua dan tiga hari.

Berikut transkrip penuh surat itu yang juga dimuat naik di laman Facebook PSM.

1 Disember 2016

"Kamu marah bila kami panggil wilayah kami sebagai tanah adat. Tapi kamu tolak permohonan kami walau tanah TOL pun!

Walau kami dah duduk situ zaman sebelum orang putih. Kubur kami usia ribu tahun.

Kalau kamu luluskan tol, kami panggil tanah kami tanah tol, lulus geran, kami panggil tanah kami bergeran! Kamu kata cadangan dah lulus. Belas tahun kami dengar alasan itu.

Kenapa tak warta? Kenapa tak buat? Guna alasan kampung lain yang luluskah?

Guna penghulu tanpa kampung yang dapat gaji kerajaankah?

Berpuluh lagi kampung kami susah sangatkah nak susun semula?

Wartakan, bagi geran. Kalau tuntutan kami tidak tepat, betulkanlah, berundinglah, takut jubah kotorkah?

Kamu suruh patuh undang-undang tapi undang-undang kamu yang buat. Undang-undang kamu lindungi siapa? Syarikat Singapurakah? Syarikat Taiwankah?

Jangan jual agama pada kami.

Tuhan kamu bukan Allah tapi kapitalisme.

Kamu yang tentukan siapa yang boleh tanam sayur siapa tak boleh, siapa boleh tebang pokok, siapa tak boleh.

Kalau potong tangan hudud pun, kamu yang tentukan siapa kena, siapa terlepas, siapa pencuri, siapa bukan?

Jangan bawa cerita nabi pada kami. Kenapa kamu tidak susah macam nabi?

Kamu susahkan orang lain pula. Cuba kamu hidup 24 jam di tempat kami. Minum air kami yang kamu kotorkan.

Buat susu bayi kamu guna sungai kami yang kamu cemarkan racun itu. Basuh baju keluarga kamu. Takut nyamuk, takut pacat, atau takut racun?

-mk

Sunday, September 28, 2014

Rogol kekasih dipenjara tujuh tahun

KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh ladang kerana kesalahan merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, dia dihukum penjara tujun tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Sauti Abdullah, 20, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Krai tersebut didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 11 bulan di rumahnya di Bukit Sireh, Kuala Krai, antara jam 4.30 pagi hingga 5 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada awal pagi hari sama dan membawanya pulang ke rumah di alamat berkenaan.

Tibanya di rumah, tertuduh membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan beberapa kali merogolnya sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah itu.

Bapa mangsa yang menyedari kehilangan anaknya kemudian mencari mangsa sebelum mangsa pulang ke rumah pada jam 5 petang dan memberitahu bapanya dia dirogol oleh tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam, Mohamad Asyraf Zakaria merayu bagi pihak anak guamnya itu supaya mahkamah memutuskan hukuman ringan dengan alasan tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih.

Katanya, insiden itu juga berlaku tanpa perancangan atau paksaan.

“Tertuduh ikhlas menginsafi kesalahan yang dilakukan. Kesalahan ini juga adalah kesalahan pertamanya dan dia masih muda. Hukuman penjara lama juga tidak akan dapat menghalang pasangan kekasih lain daripada membuat kesalahan,” katanya.

Alasan peguam berkenaan bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari yang memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi menyampaikan mesej kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan seperti itu.

“Mangsa hanya berumur 14 tahun, manakala tertuduh pula 20 tahun. Apa yang tidak dirancang, sedangkan mangsa diambil daripadanya rumah pada jam 4 pagi dan pulang hanya pada jam 5 petang.

“Mereka pasangan kekasih dengan perbezaan umur enam tahun. Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa atas nama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

-sinar harian

Friday, September 26, 2014

BN Parti Penyogok Pengundi Selamanya?

PENGKALAN KUBOR: Pengarah Jentera PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau redha dengan kekalahan calon PAS dalam PRK kali ini.

Tambah beliau masalah dalaman yang berlaku dan ketidakhadiran Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bukan masalah utama punca kekalahan PAS di Pengkalan Kubor.

“Bagi DAP, mereka tidak datang mungkin mempunyai sebab-sebab yang tertentu, kerana faktor jumlah pengundi cina tidak ramai.

“Kita akan kaji polemik dalaman yang berlaku kita akan lihat semasa ‘post mortem’ nanti,” katanya.

Jelas beliau soal masalah dalaman parti tidak timbul kerana kebanyakkan semua wakil turun membantu calon PAS baik diperingkat bawah mahupun peringkat tinggi.

“Semua jentera turun dan bersungguh-sungguh membantu calon PAS untuk menang dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka,
“Memang tidak dinafikan perasaan sedih itu memang ada tetapi saya sebagi Pengarah PRK redha dengan ujian yang diberikan apa yang penting kita sudah usaha, berdoa dan ikhtiar, bagi saya setiap yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah,” ujar beliau.

Sementara itu calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera yang banyak membantu serta pengundi yang menyokong PAS,

“Setiap yang berlaku pasti ada kebaikannya, Insyallah sekiranya saya terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk menjadi penyelia DUN, saya akan terus berkhidmat untuk rakyat di sini walaupun saya tewas,” ujar Wan Rosdi dengan hati yang tenang.

Dalam PRK ini Wan Rosdi tewas kepada calon BN yang mendapat undi sebanyak 9,961 manakala beliau mendapat undi 7,326 dan calon bebas hanya mendapat undi sebanyak 38 undi.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi, lebih rendah daripada kadar 79.10 peratus pada PRU lepas.
Jelas Tuan Ibrahim lagi, faktor bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat juga salah satu punca kekalahan PAS.
“Kebanyakkan masyarakat disini terdiri daripada mereka yang miskin, mereka disogok dengan barang-barang dan lain-lain sebelum mengundi mahupun selepas mengundi.

“Dalam PRK ini memang kita tidak nafi sukar untuk kita menang kerana PRK kali ini diibarat pertandingan diantara Malaysia dengan negeri yang memaksa PAS berdepan dengan pelbagai pihak termasuklah agensi besar kerajaan,” katanya.

Disamping itu faktor PRK ini dijalankan pada hari bekerja juga antara faktor kekalahan PAS kerana kebanyakkan mereka yang tinggal di luar Kelantan tidak dapat pulang mengundi.

-FMT

Pangkalan Kubor : Apakah PAS Akan Ditalkinkan selamanya?

Kemenangan BN dalam pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi.

BN mendapat 9,961 undi manakala PAS mendapat 7,326 undi. Calon Bebas pula mendapat 38 undi. BN menang dengan majoriti 2,635 undi

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Walaupun pada hari kempen, kedua-dua parti dilihat hebat berperang poster dan kain rentang, namun ia bukan kayu ukur yang akan menentukan kemenangan mana-mana pihak.

Melihat kepada kesungguhan jentera BN daripada pimpinan tertinggi hingga akar umbinya yang turun padang untuk berkempen, keputusan itu tidak memeranjatkan.

Bahkan, kerja kuat yang ditunjukkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak putus-putus mengunjungi Pengkalan Kubor, akhirnya berbayar dengan kemenangan besar apabila majoriti undi BN bertambah hampir 1,000 undi.

Tidak dapat dinafikan juga, strategi yang digunakan oleh pengarah pilihannya, Datuk Seri Mustapa Mohamad berhasil. Malah, dengan pemilihan calon yang mempunyai perwatakan warak, juga dilihat mampu menarik perhatian pengundi.

Strategi BN yang menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam isu-isu yang dibangkitkan PAS juga dilihat berjaya apabila mereka lebih banyak menjawab segala dakwaan yang dilemparkan PAS berbanding mencetuskan sebarang isu atau provokasi.

Malah, pilihan raya kecil kali ini juga merupakan antara yang paling tenang berbanding dengan yang lain. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga hanya menerima tiga laporan berhubung kesalahan semasa tempoh berkempen serta tiada kekecohan atau pergaduhan yang berlaku sepanjang PRK berlangsung.

Malah, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil ini, ternyata penduduk setempat tidak begitu ambil peduli tentang isu royalti minyak Kelantan yang selama ini menjadi modal PAS untuk berkempen.

Isu-isu berkaitan agama serta menggunakan ketokohan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dilihat kurang berhasil.

Adakah ini mencerminkan kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebelum ini mengenai masa depan parti itu di Kelantan?

PAS juga dilihat tidak berani untuk 'menyentuh' pengundi masyarakat Siam walaupun mereka merupakan pengundi kedua terbesar selepas pengundi Melayu iaitu sebanyak 6.81 peratus.

Berbeza dengan BN di mana mereka sentiasa 'menyajikan' masyarakat Siam dengan pelbagai aktiviti.

Melihat kepada perkara ini, mungkin PAS selepas ini perlu mengubah atau menyesuaikan strategi mereka mendekati pengundi bukan Islam.

Selain itu, walaupun PAS menafikan ketiadaan pimpinan Pakatan serta masalah dalaman parti sebagai punca utama kekalahan, namun perkara itu tidak dapat menutup kepincangan yang berlaku apabila parti itu turut kalah di peti undi yang sebelum ini dimenangi mereka di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Bata.

Malah, jumlah pengundi di beberapa kawasan PDM yang dimenangi PAS sebelum ini juga merosot.

PAS mendakwa, kemerosotan undi itu berpunca daripada pengundi luar yang tidak pulang untuk mengundi. Namun dengan jumlah pengundi luar sekitar 2,000 ia masih tidak dapat memberi penjelasan sebenar tentang kemerosotan sokongan dan kalah peti undi Telaga Bata.

Walaupun PAS seringkali menafikan wujudnya masalah dalaman, namun kekurangan undi si beberapa kawasan peti undi, sedikit sebanyak memberitahu adanya pihak yang tidak keluar mengundi atau dalam erti kata lainnya 'memboikot' pilihan raya kecil berkenaan.

Ini dapat dilihat apabila wujudnya cakap-cakap yang mengatakan terdapat pemimpin tertinggi parti yang berasal dari negeri berkenaan kurang kelihatan sepanjang PRK Pengkalan Kubor ini berlangsung. Bagaimanapun, ketika ditanya perkara itu segera dinafikan PAS.

Justeru, selepas 12 hari berkempen dan BN mengekalkan kerusi itu dengan tambahan majoriti, maka di mana silapnya PAS?
Adakah ia disebabkan kurang sokongan rakan sekutu daripada Pakatan atau masalah dalaman parti yang menjadi punca kekalahan?

-mk

Thursday, September 25, 2014

Pemuda BN perang mulut dengan polis

PENGKALAN KUBOR: Satu pergaduhan mulut telah berlaku di hadapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kedai Geting.

Pergaduhan mulut tersebut berlaku di antara anggota polis yang bertugas dan pemuda Barisan Nasional (BN).

Pergaduhan didakwa berpunca apabila pihak polis menegur pemuda tersebut kerana tidak memakai topi keledar sewaktu menaiki motosikal.

Walaubagaimanapun, pergaduhan mulut tersebut berjaya dikawal oleh pihak PDM dan juga pihak polis.

Sebelum ini, kawasan daerah mengundi Geting antara ‘hotspot’ tumpuan. Oleh yang demikian, kelihatan puluhan pihak polis ditempatkan bagi mengawal keadaan.

-fmt

Pengundi hantu muncul di PRK Pangkalan Kubor

Pemuda PAS mendakwa berjaya menahan seorang pengundi hantu dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, hari ini.

Dalam kenyataannya, pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham), Noorazmir Zakaria mendakwa pengundi itu memiliki kad pengenalan dan pasport Malaysia, namun mereka mengesyaki dia bukan warganegara Malaysia.

"Keraguan semakin memuncak apabila ketika disoal peguam Juham, pengundi tersebut langsung tidak tahu nombor kad pengenalan beliau, umur beliau dan alamat beliau di Pengkalan Kubor.

"Malah yang lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu nama DUN tempat beliau mengundi ini dan nama tempat UPU (unit peti undi) beliau mengundi.

"Namun, pengundi tersebut mengaku bahawa beliau memangkah calon BN," kenyataan Noorazmir dipetik.

Menurutnya lagi, pengundi meragukan itu ditangkap di pusat mengundi Bendang Pak Yong oleh anggota jentera pilihan raya PAS sebelum peguam Juham memeriksa kad pengenalannya dan menyoalnya.

"Berdasarkan rekod di dalam pasport beliau, beliau kerap berulang-alik ke Thailand.

"Apabila ditanya, beliau mengesahkan keluarga beliau menetap di Thailand dan kali pertama beliau mengundi adalah ketika pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini," katanya.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor berlangsung hari ini selepas tempoh kempen selama 12 hari.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary.

Ia diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Dalam PRU ke-13 tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

-mk