Friday, September 26, 2014

Pangkalan Kubor : Apakah PAS Akan Ditalkinkan selamanya?

Kemenangan BN dalam pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi.

BN mendapat 9,961 undi manakala PAS mendapat 7,326 undi. Calon Bebas pula mendapat 38 undi. BN menang dengan majoriti 2,635 undi

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Walaupun pada hari kempen, kedua-dua parti dilihat hebat berperang poster dan kain rentang, namun ia bukan kayu ukur yang akan menentukan kemenangan mana-mana pihak.

Melihat kepada kesungguhan jentera BN daripada pimpinan tertinggi hingga akar umbinya yang turun padang untuk berkempen, keputusan itu tidak memeranjatkan.

Bahkan, kerja kuat yang ditunjukkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak putus-putus mengunjungi Pengkalan Kubor, akhirnya berbayar dengan kemenangan besar apabila majoriti undi BN bertambah hampir 1,000 undi.

Tidak dapat dinafikan juga, strategi yang digunakan oleh pengarah pilihannya, Datuk Seri Mustapa Mohamad berhasil. Malah, dengan pemilihan calon yang mempunyai perwatakan warak, juga dilihat mampu menarik perhatian pengundi.

Strategi BN yang menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam isu-isu yang dibangkitkan PAS juga dilihat berjaya apabila mereka lebih banyak menjawab segala dakwaan yang dilemparkan PAS berbanding mencetuskan sebarang isu atau provokasi.

Malah, pilihan raya kecil kali ini juga merupakan antara yang paling tenang berbanding dengan yang lain. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga hanya menerima tiga laporan berhubung kesalahan semasa tempoh berkempen serta tiada kekecohan atau pergaduhan yang berlaku sepanjang PRK berlangsung.

Malah, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil ini, ternyata penduduk setempat tidak begitu ambil peduli tentang isu royalti minyak Kelantan yang selama ini menjadi modal PAS untuk berkempen.

Isu-isu berkaitan agama serta menggunakan ketokohan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dilihat kurang berhasil.

Adakah ini mencerminkan kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebelum ini mengenai masa depan parti itu di Kelantan?

PAS juga dilihat tidak berani untuk 'menyentuh' pengundi masyarakat Siam walaupun mereka merupakan pengundi kedua terbesar selepas pengundi Melayu iaitu sebanyak 6.81 peratus.

Berbeza dengan BN di mana mereka sentiasa 'menyajikan' masyarakat Siam dengan pelbagai aktiviti.

Melihat kepada perkara ini, mungkin PAS selepas ini perlu mengubah atau menyesuaikan strategi mereka mendekati pengundi bukan Islam.

Selain itu, walaupun PAS menafikan ketiadaan pimpinan Pakatan serta masalah dalaman parti sebagai punca utama kekalahan, namun perkara itu tidak dapat menutup kepincangan yang berlaku apabila parti itu turut kalah di peti undi yang sebelum ini dimenangi mereka di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Bata.

Malah, jumlah pengundi di beberapa kawasan PDM yang dimenangi PAS sebelum ini juga merosot.

PAS mendakwa, kemerosotan undi itu berpunca daripada pengundi luar yang tidak pulang untuk mengundi. Namun dengan jumlah pengundi luar sekitar 2,000 ia masih tidak dapat memberi penjelasan sebenar tentang kemerosotan sokongan dan kalah peti undi Telaga Bata.

Walaupun PAS seringkali menafikan wujudnya masalah dalaman, namun kekurangan undi si beberapa kawasan peti undi, sedikit sebanyak memberitahu adanya pihak yang tidak keluar mengundi atau dalam erti kata lainnya 'memboikot' pilihan raya kecil berkenaan.

Ini dapat dilihat apabila wujudnya cakap-cakap yang mengatakan terdapat pemimpin tertinggi parti yang berasal dari negeri berkenaan kurang kelihatan sepanjang PRK Pengkalan Kubor ini berlangsung. Bagaimanapun, ketika ditanya perkara itu segera dinafikan PAS.

Justeru, selepas 12 hari berkempen dan BN mengekalkan kerusi itu dengan tambahan majoriti, maka di mana silapnya PAS?
Adakah ia disebabkan kurang sokongan rakan sekutu daripada Pakatan atau masalah dalaman parti yang menjadi punca kekalahan?

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.