Saturday, February 22, 2014

Chew Mei Fun lawan Anwar di Kajang

Chew Mei Fun dijangka mampu memberi saingan sengit kepada Anwar Ibrahim dalam PRK DUN Kajang. - Gambar The Malaysian Insider.Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun bakal bertanding mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chew, 50, adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas senator.

Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, dipercayai bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi Ahli DUN Selangor yang seterusnya menjadi menteri besar di negeri itu.

Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pemimpin parti komponen BN lain.

Muhyiddin berkata BN mengambil keputusan untuk bertanding di Kajang dan memilih Chew sebagai calon setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara pemimpin parti komponen BN.

Katanya, pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih Chew kerana beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan, berpengalaman luas dalam bidang politik serta berjiwa rakyat.

"Kita perlu atur strategi kerana kita sedar lawan yang bertanding juga akan menggunakan 'platform' kerajaan untuk menimbulkan pelbagai isu nasional.

"Pada PRK Kajang ini juga kita dapat menjelaskan perjuangan BN dengan lebih jelas kepada rakyat Kajang mengenai apakah sebenarnya makna demokrasi yang cuba dimanipulasi oleh segelintir individu," katanya di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

PRK Kajang dijangka menyaksikan pertandingan banyak penjuru setelah bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, senator Datuk S Nallakaruppan, peguam Yuktes Vijay dan penyanyi retro Herman Tino bakal bertanding di kerusi itu.

Pada pilihan raya umum lalu, penyandang kerusi DUN Kajang, Lee menewaskan calon BN Lee Ban Seng dengan majoriti 6,824 undi.

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRK Kajang pada 23 Mac manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 11 Mac.

Seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK kali ini, melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mengumumkan hasil kajian mereka bahawa lebih separuh pengundi Kajang bersetuju pilihan raya kecil itu perlu diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.

Dalam kajian yang dijalankan itu, Umcedel mendapati pengundi di Kajang berpendapat PRK pada 23 Mac ini bukanlah pembaziran apabila majoriti responden iaitu 53% berpendapat sedemikian dengan kaum India mewakili 60%, Cina (54%) dan Melayu (50%).

Seramai 576 responden yang merupakan pengundi di Kajang menyertai kajian itu yang diadakan hujung minggu lalu membabitkan semua 16 kawasan daerah mengundi.

Antara isu lain yang turut dikaji Umcedel adalah kesan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada sokongan terhadap BN dan isu kenaikan harga barang yang menambahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat. – TMI

Penulis Cantik Peluk Islam Setelah Cuba Kenakan Jilbab

Lebih kurang setahun, Carissa D. Lamkahouan mempelajari agama Islam meliputi prinsip-prinsip dan ciri-cirinya. “Saya sebagai seorang perempuan sangat tertarik terhadap isu-isu yang berkaitan dengan perempuan. Dari ketertarikan itulah saya mulai mengenal jilbab yang menjadi identiti seorang muslimah,” kata gadis berasal Amerika Syarikat ini.

Entah ada angin apa yang menembus ke dalam jiwanya, sehingga Carissa begitu terpesona dan tertarik terhadap perempuan yang mengenakan jilbab. Dan alhasil ia pun tertarik dengan agama islam. Ia sering melakukan pengajian Islam, rajin pergi ke kedai buku, meneliti rujukan Islam dalam versi bahasa Inggeris, mempelajari Al-Qur’an dan hadith, serta kisah-kisah Rasulullah beserta para sahabatnya.

Suatu hari Carissa menemukan jilbab pada barisan jubah di sebuah kedai. Kemudian tiba-tiba ada sebuah hasrat ingin mencuba jilbab tersebut. Saat pertama kali mengenakan jilbab, Carissa merasa ada sesuatu yang aneh terlekat di kepalanya.

“Sekilas saya menatap diri saya dari cermin. Terus terang saja diri saya ini sangat terkejut ketika melihat kain hijau yang menempel di kepala saya ketika itu. Saya mengamati diri saya sebagai orang asing yang seperti dilahir kembali. Ada stereotif negatif dalam bayangan wanita berjilbab seperti digambarkan oleh media,” ungkapnya.

Tetapi, perasaan tersebut tidak berlangsung lama. Perempuan cantik ini seketika kembali ke alam rasionalnya. “Saya membeli jilbab ini hanya untuk di gunakan pada saat mengunjungi masjid saja!” tegasnya dalam hati.

Carissa memang hanya mengenakan jilbabnya pada saat mengunjungi masjid-masjid untuk mempelajari Islam lebih.

“Ketika ini, saya menyadari bahwa dengan membeli jilbab pada waktu itu adalah awal dari turunnya hidayah Allah kepada saya,” tuturnya.

Bulan berganti bulan. Namun, penulis berkulit putih ini belum benar-benar memakai jilbab itu sesuai dengan apa yang telah ia rencanakan. Kerana, ia tidak terlalu suka dengan warna dan model jilbab yang dibelinya. Sehingga, Carissa pun kembali ke kedai buku untuk membeli jilbab dengan model dan warna yang ia sukai.

Semenjak hari itu, Carissa menyempatkan untuk memakai jilbabnya pada beberapa kesempatan. Seperti saat berkunjung ke gerai makanan halal, ketika pergi ke kedai buku, dan pada kesempatan-kesempatan lainnya. Sehingga sampailah pada suatu malam, Carissa pergi bersama suaminya dengan mengenakan jilbab. Dan dari sini lah terjadi perubahan yang besar.

“Saya merasa sangat aman dan nyaman saat mengenakan jilbab. Saya seolah terlindungi dari pandangan-pandangan laki-laki yang nakal dan suka menggoda,” jelasnya.

Seiring dengan berjalannya waktu, Carissa mulai terbiasa memakai jilbab dan semakin dalam mempelajari agama Islam. Hingga akhirnya, Carissa D. Lamkahouan mengucapkan dua kalimah syahadat.

Kini Carissa mengenakan jilbab dengan sebab ibadah kepada Allah SWT. Ia merasa memiliki martabat dan kemuliaan yang luar biasa sangat mengenakan jilbab. Ia tak takut lagi di goda oleh laki-laki dan merasa terlindung dari sengatan sinar matahari, kerana jilbab adalah mahkota terindahnya. -alibahasa dari islampos

Umno pecat ahli sabotaj parti PRU13

Lembaga Disiplin Umno memecat lima ahlinya selepas didapati bersalah melakukan sabotaj parti sendiri semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei tahun lalu.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan laporan individu terbabit didapati melanggar tatatertib parti termasuk membantu kempen calon pembangkang termasuk berceramah di pentas parti lawan.

Lima individu terbabit ahli Umno Bahagian Kuala Pilah Baharim Abdullah; Abdul Muhsin Sharif dan Mohd Amri Che Aat (Tasek Gelugor), Hasan Bahari Mat Isa (Jempol), serta Zulkifli Zakaria ( Bachok).

“Kita sudah meneliti laporan Jawatankuasa Lembaga Disiplin dan mereka yang terlibat sudah dimaklumkan tindakannya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Umno di sini petang tadi.

Bagaimanapun menurut Najib, lima individu terbabit masih diberi ruang mengemukakan rayuan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, ditanya pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mui Fun sebagai calon BN di Kajang, Najib menyifatkannya sebagai calon bukan pilihan (underdog) namun berikrar akan memberi sokongan penuh.

“Kali ini kami akan bertanding sebagai calon ‘underdog’.

“BN akan bekerja keras untuk pastikan kami memperoleh keputusan yang terbaik,” katanya.

Dia Kembali Ke Rahmatullah Dengan Wajah Tersenyum



Pasir Mas: “Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini.

“Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya.

Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh. -HM

BN akan kerja dua kali ganda untuk menang di Kajang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bekerja dua kali ganda membantu calonnya Datin Paduka Chew Mei Fun bertanding di Kajang menentang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami akan menyokong dan mendoakan yang terbaik untuknya. Kami juga akan berusaha sebaik mungkin meskipun dianggap bukan calon pilihan.

"Namun BN akan berusaha lebih keras memastikan keputusan yang lebih baik," kata Najib dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur hari ini.

BN hari ini mengumumkan Chew sebagai calon bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang pada 23 Mac ini.

Menurut Najib, meskipun dianggap 'underdog' di kerusi Kajang, usaha gigih BN akan dapat memastikan keputusan yang lebih baik dicapai.

Presiden Umno itu turut mengumumkan laporan jawatankuasa disiplin parti memecat lima ahlinya yang melakukan sabotaj semasa pilihan raya umum lalu, iaitu empat daripada bahagian dan satu daripada cawangan.

Katanya, rayuan dibenarkan tetapi mempunyai tempoh tertentu dan mereka yang dipecat telah dimaklumkan berhubung perkara berkenaan.

“Ada yang menjadi penceramah dan sebagainya yang telah diteliti oleh lembaga disiplin, namun mereka yang bertanding (dalam pilihan raya) tidak dibenar membuat rayuan.

“Mereka yang terlibat adalah Baharim Abdullah dari Kuala Pilah, Abdul Muhsin Sharif dari Tasek Gelugor, Mohd Amri Che Aat dari Tasek Gelugor, Hasan Bahari Mat Isa dari Jempol dan Zulkifli Zakaria dari Bachok,” katanya.

Najib (gambar) berkata pendirian parti jelas sebagaimana yang pernah disebutkan dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas bahawa ia berpegang teguh kepada akidah dan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASJ).

“Justeru sebarang kefahaman atau ideologi yang bertentangan dengan ASJ ditolak sama sekali termasuk usaha perlekeh dan remehkan hadis Nabi Muhammad yang merupakan hukum sumber syariah kedua tertinggi selepas Al-Quran and sejajar prinsip ASJ,” katanya.

Berhubung isu krisis air yang sedang melanda negara, Najib berkata kerajaan sedang memantau situasi semasa dan perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan kelak.

Katanya, kerajaan bersedia untuk melakukan pembenihan awan sekiranya berdepan dengan situasi yang mengizinkan seperti kewujudan awan yang sesuai.

“Dari segi kerohanian, kita buat solat hajat seperti mana hari ini semua masjid lakukan hari ini. Kita sarankan secara sukarela penjimatan air. Kalau tak perlu, kurangkan,” katanya.

Najib berkata Kabinet akan membincangkan isu itu dengan lebih lanjut pada Rabu ini dan darurat krisis air hanya akan diumumkan jika paras air sampai ke tahap kritikal. - TMI

4 cabaran baru politik tahun 2014

POLITIK Malaysia terus berkocak, sungguhpun PRU13 pada 5 Mei 2013 telah melabuh tirainya. Ini kerana pertentangan asas dalam masyarakat tidak dileraikan sepenuhnya. Politik dan ekonomi Malaysia terperangkap dalam formula yang sudah ketinggalan zaman sejak krisis ekonomi pada tahun 1997 dan kes pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Kepincangan dalam sistem kita terus melonggok, menunggu masanya untuk meledak.

Padahal pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003 dan pengambilalihan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri membuka satu peluang untuk reformasi dalaman Barisan Nasional ketika itu. Dato’ Seri Najib Razak pula mengemukakan Model Ekonomi Baru setelah mengambil-alih tampuk kuasa pemerintahan pada April 2009.

Kedua-dua pembaharuan dalaman ini berakhir dengan kegagalan – seandainya kita meninjau hasilnya sekarang.

Masalahnya, impak daripada siri perhimpunan Bersih, PRU12 (8 Mac 2008) dan PRU13 (5 Mei 2013) gagal menamatkan sistem autoritarian ini sepenuhnya.

Lantas perkembangan Malaysia terus terbantut, seolah-olah tergantung di situ sahaja. Namun saya menjangkakan situasi ini akan terkesan dengan beberapa perkembangan politik pada tahun 2014. Sama ada perubahan struktur mampu mengambil tempat dalam pergolakan ini, ia sebenarnya bergantung kepada sejauh manakah usaha yang kita curahkan.

Pertamanya, PRK Dun Kajang. PRK Kajang adalah percaturan strategi Pakatan Rakyat untuk menyerang – sebagai langkah membebaskan diri daripada kebuntuan selepas PRU13.

Dalam politik kita tidak sekadar mengawal dengan membalas serangan musuh secara pasif, tetapi mengambil langkah terlebih dahulu sebelum pihak lawan. Saya berharap Anwar Ibrahim membuka langkah baru ke arah Putrajaya dengan menawan Dun Kajang.

Seandainya Anwar menguasai Selangor, beliau mampu mengimbangi kuasa Umno-BN dengan kerajaan negeri Selangor, khususnya pada tahun 2014 yang menyaksikan kenaikan harga barangan, dan rungutan yang dijangka melambak apabila memasuki tahun 2015 – dengan pelaksanaan GST ( Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Mungkin ramai yang memperlekehkan andaian sedemikian, tetapi melihat kepada kenaikan kadar tol yang ditangguhkan setahun selepas PRK Kajang mengambil tempat, kita akan sedar sejauh manakah kesannya jika Anwar menerajui kerajaan negeri Selangor.

Kedua, perubahan di negeri Sarawak. Pengumuman Taib Mahmud untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri setelah 33 tahun berkuasa bakal mendatangkan impak yang besar terhadap senario politik.

Nampaknya beliau tidak jauh daripada jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Kerusi Dun Balingian milikan Taib Mahmud bakal dikosongkan untuk pilihan raya kecil susulan daripada peletakan jawatannya.

Kita perlu berdepan dengan kemungkinan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan sebelum Hari Gawai pada Jun 2014 untuk menyelesaikan masalah pengganti Taib sebagai Ketua Menteri.

Jikapun PRN tidak diadakan tahun ini, kebarangkaliannya tetap tinggi untuk Sarawak mengadakan PRN sebelum pelaksanaan GST pada tahun 2015. GST bakal mencetus inflasi sepenuhnya, sekurangkurangnya dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun – selepas dilaksanakan. Dari segi percaturan politik, BN Sarawak dijangka tidak akan menunggu sehingga tarikh luput penggal kerajaan ini pada tahun 2016.

Ketiga, rombakan Kabinet. Rombakan Kabinet hanya menunggu masanya selepas parti komponen BN mengadakan pemilihan parti masing-masing.

Apakah kesannya terhadap Umno, atau lebih tepat, apakah kita bakal menyaksikan retakan dalaman yang semakin ketara?

Seandainya Umno tidak meletakkan lebih pemimpin yang muda, terbuka, dan teknokrat, maka ia mungkin menjurus kepada keadaan di mana BN semakin konservatif, atau semakin ke kanan dari segi ideologinya.

Jikalau situasinya begini, maka parti komponen BN yang lain seperti MCA gagal menemui ruangnya, atau melanjutkan kelangsungannya dalam politik berbilang kaum pada hari ini. Peletakan jawatan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) oleh P Waythamoorthy, Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia baru-baru ini, memalapkan lagi harapan MCA untuk meyakinkan masyarakat Cina dalam isu menyertai Kabinet.

Keempat, desakan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad.

Pentadbiran Najib semakin mengundang rungutan rakyat, khususnya dalam isu pengendalian kenaikan harga barangan. Nampaknya puak Mahathir mula mencatur langkah untuk mendesak agar Najib berundur.

Seandainya puak Mahathir kembali semula ke pusat kuasa kerajaan, ia semestinya igauan untuk perkembangan ekonomi dan demokrasi politik Malaysia.

Persoalannya, sama ada Najib bersedia untuk membalas serangan Mahathir, apabila didesak sehingga ke sudut.

Dan seandainya Najib mengambil keputusan untuk menentang Mahathir secara terbuka, maka pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum menjadi kemungkinan. Ia seolah-olah sesuatu yang jauh jika dilihat dari sekarang – tetapi siapa berani menolak kemungkinannya?

-Liew Chin Tong ialah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@ liewchintong.com

Orang Kajang setuju Anwar jadi MB?

Sejak kerusi DUN Kajang kosong, pemimpin BN secara konsisten mengkritik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membazirkan dana dengan memaksa diadakan pilihan raya kecil.

Bagaimanapun, kebanyakan pengundi Kajang yang ditinjau pendapat mereka dalam satu kajiselidik oleh sebuah badan pemikir bulan ini, tidak bersetuju.

Mereka merasakan adalah munasabah pilihan raya kecil diadakan untuk membuka laluan kepada Anwar untuk menjadi menteri besar Selangor .

Pusat Demokrasi dan Pilihan raya Universiti (Umcedel) mendapati 59 peratus daripada 576 orang yang ditemubual berkata "ya" apabila ditanya soalan 'adakah munasabah pilihan raya kecil Kajang diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi MB Selangor'.

Keputusan itu konsisten secara menyeluruh di kalangan semua kaum, latar belakang pendidikan dan kumpulan pendapatan.

Begitu juga, kebanyakan yang ditinjau berkata pilihan raya kecil itu adalah munasabah (56 peratus), tidak membazirkan wang (53 peratus) dan perlu diadakan untuk menyelesaikan isu-isu dalaman PKR Selangor (42 peratus).

Nampaknya bersetuju dengan mesej kempen PKR, separuh daripada mereka yang ditinjau berkata pilihan raya kecil diperlukan untuk "menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor".

Pengundi juga tidak bersetuju bahawa PAS tidak bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menyokong PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Membentangkan hasil tinjauan itu di UM, Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Redzuan Othman berkata ini menunjukkan bahawa sentimen akar umbi bercanggah dengan apa yang dilaporkan dalam media arus perdana.

Sebagai contoh, katanya, Sinar Harian memberikan liputan luas kepada pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Anwar tidak layak untuk menjadi menteri besar

Katanya, ini mungkin disebabkan oleh penembusan internet yang tinggi di Kajang dengan internet menjadi sumber maklumat untuk mereka yang ditinjau.

Dua puluh lima peratus berkata mereka menerima maklumat dari Internet - tertinggi di kalangan semua media.

Bagaimanapun, 25 peratus orang Melayu yang ditinjau berkata, mereka bergantung kepada berita televisyen untuk maklumat - yang tertinggi di kalangan semua kaum.

Redzuan berkata berdasarkan majoriti kemenangan bekas penyandang kerusi DUN Kajang, Lee Chin Cheh yang hampir 7,000, maka adalah adil untuk mengatakan bahawa kerusi itu "selamat" untuk PKR. -mk

Karpal bersalah hasutan terhadap Sultan Perak

Mahkamah Tinggi memutuskan pengerusi DAP Karpal Singh bersalah membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Azlan Shah dalam isu pertukaran menteri besar Mohammad Nizar Jamaluddin lima tahun lalu.

Keputusan dalam kes panjang itu disampaikan oleh Hakim Azman Abdullah.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman setelah peguam Karpal Singh, Gobind Singh Deo yang juga anaknya, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak berapa sihat dan memerlukan masa untuk menyediakan mitigasi.

Karpal, 74, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya. Jika hukuman itu dijatuhkan, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimennya.

Bercakap kepada media, MP Gelugor Bukit itu berkata beliau akan merayu terhadap sabitan itu dalam tempoh dua minggu.

"Kami menerima keputusan mahkamah pada peringkat ini dan saya akan merayu," katanya.

Sambil memandang penasihat DAP, Karpal tersenyum dan berkata: "Ini bukan kali pertama saya disabitkan".

Galeri awam sebelum itu penuh dengan penyokong DAP yang memakai baju-T, manakala mereka yang tidak dapat tempat duduk diminta oleh bailif menunggu di luar. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Azman, dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan, berkata mahkamah telah mengambil kira keterangan Karpal Singh yang mengambil masa selama tujuh hari, dan seorang lagi saksi pembelaan, tetapi keterangan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata mahkamah juga telah mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya setelah dia dilepaskan dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Karpal Singh didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Sebaik sahaja keputusan hari ini, Karpal Singh memberitahu pemberita beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan membuat rayuan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.

Pada prosiding hari ini, selain semua anggota keluarga, para pemimpin utama Pakatan Rakyat turut hadir memberi sokongan kepada Karpal Singh, yang juga merupakan anggota Parlimen Bukit Gelugor.

Pihak pendakwaan hari ini diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin. -mk

Wednesday, February 19, 2014

Bergemanya Sorakan Bernada Islam Di Liga Perdana Inggeris

Serangkai sorakan bertali arus dilaungkan peminat di United Kingdom, ditujukan kepada insan yang sama tetapi berbeza tempat dan juga ketika.

“Demba Ba scored since 15 Ramadhan” laung penyokong Newcastle United di St. James Park melihat Demba Ba gembira meraikan jaringan ketika sedang berpuasa.

“He prays 5 times a day’ adalah ungkapan daripada sorakan khas untuk Demba Ba di Stamford Bridge ketika permainannya bersama Chelsea.

Mungkin terasa janggal kenapa perkara ini berlaku, bagaimana masyarakat di United Kingdom yang majoritinya bukan Islam menitikberatkan puasa dan solat dalam rangkap sorakan mereka seolah-olah mereka juga menjalankan kewajipan yang sama. Inilah yang kita nyatakan sebagai pengaruh.

Pengaruh cara hidup,adab,ketetapan beragama dan prinsip yang di bawa oleh pemain muslim sehingga masyarakat di sana turut mengetahuinya. Demba Ba merupakan salah seorang pemain yang boleh disandarkan untuk menjadi penyudah terbaik, biarpun tiada penampilan utama dalam pasukan Chelsea tetapi beliau tetap memainkan peranan dalam pelan jangka masa panjang Mourinho (Pengurus Chelsea).

Dalam artikel sebelum ini pastinya isu ketegasan pemain kelahiran Senegal ini dalam setiap situasi yang melibatkan hukum agama Islam dan prinsipnya menjadi hala tuju utama dan wajar untuk di contohi. Tapi kali ini kita bawakan lebih dekat pengaruh pemain muslim seperti Demba Ba mahupun pemain lain dan kesannya terhadap faktor persekitaran seperti Ultras (penyokong), pengurus antarabangsa, staf dan masyarakat mahupun penduduk setempat.

Ultras pastinya pemain kedua belas dalam setiap pasukan itulah perumpamaan yang selalu diungkapkan. Kini segalanya terbukti dengan wujudnya ‘chant’ atau ungkapan sorakan yang mengandungi unsur ibadah agama Islam yang ditujukan kepada pemain muslim seperti Demba Ba tidak kira ketika, tempat mahupun situasi.

Kepentingan ibadah yang ditonjolkan oleh Demba Ba membawa ingatan kepada penyokong mahupun peminatnya bahawa ibadah yang dilakukannya penting dalam kehidupan pemain muslim tersebut dan wajar diterapkan dalam bait-bait sorakan mereka. Ini membawa pengaruh yang positif kepada penyokong tentang agama Islam dan umatnya.


Alan Pardew contoh pengurus prihatin dan berpengalaman menguruskan pemain Muslim.

Bagi menyentuh faktor pengurusan, pemilikan dan pengaruh pemain muslim, kita mengambil contoh Alan Pardew (Pengurus Newcastle United) mengakui secara peribadi bahawa beliau mengambil kira kepentingan lapan orang pemain muslim yang menyertai pasukannya dan amat menghormati pendirian mereka setelah menimba pengalaman menguruskan pemain muslim seperti Demba Ba untuk musim dan kempen sebelumnya.

Ketika era Roberto Mancini sebagai pengurus kelab berbelanja besar Manchester City, bilangan pemain muda muslim yang direkrut bertambah seperti Abdul Razak dan Karim Rekik. Pemain-pemain ini kebanyakannya dipinjam ke kelab luar bagi memperoleh pengalaman dan mengembangkan bakat mereka.

Faktor pemilik saham terbesar di Manchester City yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mansour juga memainkan peranan kerana semenjak pengambilan beliau isu keselesaan pemain muslim The Citizens lebih terjamin dan diambil kira.

Darsley Park Outdoor pusat latihan Newcastle United yang dilengkapi musolla.

Terbinanya surau di Direct Sports Arena (Newcastle United), penyediaan makanan ruji halal seperti ayam yang disembelih kepada semua pemain di Marseyside (Liverpool) demi menjamin kesihatan pemain muslim dan pemain-pemain yang lain, pemberian waktu untuk mengerjakan solat oleh kelab The Gunners (Arsenal), memberi gambaran jelas tentang hubung kait antara kepentingan pemain muslim dan pihak pengurusan kelab berpengaruh di liga Perdana Barclays.

Pegawai atau staf pasukan juga merupakan watak penting bagi perjalanan sesebuah pasukan begitu juga pasukan besar di liga Perdana Barclays. Tidak dinafikan ada juga antara pegawai mahupun staf yang berkhidmat untuk kelab-kelab ini beragama Islam. Sikap hormat terhadap larangan dalam agama bukan sahaja berlaku atau berinteraksi antara pemain malah pegawai dan staf kelab.

Pemain-pemain Liverpool menanggalkan jersi perlawanan yang terkena pancutan Champagne ketika meraikan kejohanan sebelum masuk ke bilik persalinan bagi menghormati seorang pegawai atau doktor muslim yang bertugas. Sikap ini wajar dicontohi dan diteladani oleh masyarakat yang prejudis terhadap Islam atau umat Islam sendiri sebagai peringatan menghormati agama lain.

Cara sambutan jaringan berbeza diamalkan oleh Demba Ba dan Papiss Cisse sewaktu bersama di Newcaslte United.

  Terbiasnya pengaruh pemain muslim kita teruskan lagi dengan adegan atau sambutan jaringan yang biasa dilakukan pemain muslim di liga Perdana Barclays, seperti bersujud. Cara sambutan gol ini kerap dilakukan oleh Demba Ba dan rakan sepasukannya Papiss Cisse yang juga beragama Islam ketika di Newcastle United, yang akhirnya di contohi oleh kanak-kanak di kejiranan St. James Park atau Newcastle United ketika bermain futsal.

Mungkin bagi kanak-kanak ini mereka tidak tahu tujuan sujud itu dilakukan atau makna di sebalik tindakan tersebut tetapi jelas mempamerkan pengaruh budaya muslim dalam masyarakat di sekitarnya.

Pengaruh agama Islam yang dibawa oleh pemain-pemain muslim memberikan satu skop pandangan baharu terhadap Islam bagi masyarakat bukan Islam. Biarpun pengaruhnya tidaklah terlampau besar atau meluas tetapi tetap boleh di banggakan. Dengan pembawaan pengaruh budaya Islam dan interaksi dengan persekitaran yang baik, pastinya hilanglah sikap prejudis terhadap agama Islam,sikap anti-Islam dan sebagainya.

Tidak kita nafikan ini adalah antara permulaan dakwah secara dasar dan pemberian pandangan positif yang kita mahu sebagai muslim sejati. Sukan membawa banyak fadhilat di samping kesihatan fizikal,rohani dan keharmonian sejagat. Majulah sukan bersama syiar Islam, Insya Allah. saiful islam/HD

Kata ‘rasis’ Umno-BN punca sentimen keluar Malaysia?

Datuk Seri Wilfred Bumburing (gambar) menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai punca wujud sentimen penduduk Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia.

Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu mendakwa parti pemerintah tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia Timur dengan kenyataan-kenyataan berbentuk ugutan.

"Pemimpin Umno-BN perlu disalahkan atas kekecewaan rakyat Sabah dan Sarawak kerana sikap mereka yang sering mengusir rakyat keluar dari Malaysia jika tidak berpuas hati dengan kerajaan," kata Bumburing dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengecam kenyataan pemimpin Umno yang mengatakan Malaysia eksklusif untuk orang Melayu sahaja seolah-olah rakyat di Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia.

"Terdapat juga kenyataan mengatakan Malaysia hanya untuk orang Melayu.

"Jadi tidak bolehlah menyalahkan pihak yang mempunyai sentimen untuk keluar dari Malaysia kerana mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Baru-baru ini, seorang ahli akademik mendedahkan wujud peningkatan kecenderungan luar biasa bagi penduduk Sabah dan Sarawak untuk meninggalkan Malaysia.

Profesor Universiti Monash Malaysia, Profesor Dr James Chin berkata ia kerana berasa negara berusia 50 tahun ini tidak memberi sebarang faedah kepada mereka.

Wilfred bagaimanapun berkata cadangan meninggalkan Malaysia bukan suatu langkah baik waktu ini memandangkan Sabah masih berdepan dengan masalah pendatang asing tanpa izin.

"Idea berpisah dengan Malaysia bukan pilihan terbaik dan tidak praktikal ketika ini.

"Tuntutan kerajaan Sulu ke atas Sabah masih lagi timbul dan terdapat juga banyak pendatang tanpa izin di Sabah yang menjadi 'ancaman dalaman' dalam negeri," kata pengasas parti Angkatan Perubahan Sabah tersebut menjelaskan risiko yang bakal dihadapi Sabah jika berpisah dari Malaysia.

Bumburing juga mendesak kerajaan pusat supaya mengagihkan hasil bumi yang disumbangkan oleh negeri Timur secara lebih adil, memandangkan pembangunan di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan jauh.

"Rakyat Sabah dan Sarawak sudah sedar mereka masih ketinggalan daripada penduduk semenanjung dan tidak menerima pulangan yang adil daripada untung alam semula jadi khususnya minyak," katanya lagi.

Di samping itu, Bumburing turut menggesa kerajaan pusat supaya membanteras dan mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan esktrem perkauman terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Malaysia sering digambarkan sebagai negara sederhana, tetapi sekarang wujud kumpulan ekstrem agama dan perkauman yang banyak memalukan negara," katanya lagi.

"Kerajaan perlu tangani isu penting, isu yang menyebabkan tekanan kaum dan agama ini mesti ditangani segera."

Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia, namun Singapura tersingkir pada 1965.

Ketika ini hampir 25% kerusi Parlimen terletak di Malaysia Timur.

Sabah dan Sarawak dianggap sebagai "deposit tetap" parti pemerintah BN. – TMI