Saturday, February 22, 2014

4 cabaran baru politik tahun 2014

POLITIK Malaysia terus berkocak, sungguhpun PRU13 pada 5 Mei 2013 telah melabuh tirainya. Ini kerana pertentangan asas dalam masyarakat tidak dileraikan sepenuhnya. Politik dan ekonomi Malaysia terperangkap dalam formula yang sudah ketinggalan zaman sejak krisis ekonomi pada tahun 1997 dan kes pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Kepincangan dalam sistem kita terus melonggok, menunggu masanya untuk meledak.

Padahal pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober 2003 dan pengambilalihan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri membuka satu peluang untuk reformasi dalaman Barisan Nasional ketika itu. Dato’ Seri Najib Razak pula mengemukakan Model Ekonomi Baru setelah mengambil-alih tampuk kuasa pemerintahan pada April 2009.

Kedua-dua pembaharuan dalaman ini berakhir dengan kegagalan – seandainya kita meninjau hasilnya sekarang.

Masalahnya, impak daripada siri perhimpunan Bersih, PRU12 (8 Mac 2008) dan PRU13 (5 Mei 2013) gagal menamatkan sistem autoritarian ini sepenuhnya.

Lantas perkembangan Malaysia terus terbantut, seolah-olah tergantung di situ sahaja. Namun saya menjangkakan situasi ini akan terkesan dengan beberapa perkembangan politik pada tahun 2014. Sama ada perubahan struktur mampu mengambil tempat dalam pergolakan ini, ia sebenarnya bergantung kepada sejauh manakah usaha yang kita curahkan.

Pertamanya, PRK Dun Kajang. PRK Kajang adalah percaturan strategi Pakatan Rakyat untuk menyerang – sebagai langkah membebaskan diri daripada kebuntuan selepas PRU13.

Dalam politik kita tidak sekadar mengawal dengan membalas serangan musuh secara pasif, tetapi mengambil langkah terlebih dahulu sebelum pihak lawan. Saya berharap Anwar Ibrahim membuka langkah baru ke arah Putrajaya dengan menawan Dun Kajang.

Seandainya Anwar menguasai Selangor, beliau mampu mengimbangi kuasa Umno-BN dengan kerajaan negeri Selangor, khususnya pada tahun 2014 yang menyaksikan kenaikan harga barangan, dan rungutan yang dijangka melambak apabila memasuki tahun 2015 – dengan pelaksanaan GST ( Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Mungkin ramai yang memperlekehkan andaian sedemikian, tetapi melihat kepada kenaikan kadar tol yang ditangguhkan setahun selepas PRK Kajang mengambil tempat, kita akan sedar sejauh manakah kesannya jika Anwar menerajui kerajaan negeri Selangor.

Kedua, perubahan di negeri Sarawak. Pengumuman Taib Mahmud untuk berundur daripada jawatan Ketua Menteri setelah 33 tahun berkuasa bakal mendatangkan impak yang besar terhadap senario politik.

Nampaknya beliau tidak jauh daripada jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Kerusi Dun Balingian milikan Taib Mahmud bakal dikosongkan untuk pilihan raya kecil susulan daripada peletakan jawatannya.

Kita perlu berdepan dengan kemungkinan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan sebelum Hari Gawai pada Jun 2014 untuk menyelesaikan masalah pengganti Taib sebagai Ketua Menteri.

Jikapun PRN tidak diadakan tahun ini, kebarangkaliannya tetap tinggi untuk Sarawak mengadakan PRN sebelum pelaksanaan GST pada tahun 2015. GST bakal mencetus inflasi sepenuhnya, sekurangkurangnya dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun – selepas dilaksanakan. Dari segi percaturan politik, BN Sarawak dijangka tidak akan menunggu sehingga tarikh luput penggal kerajaan ini pada tahun 2016.

Ketiga, rombakan Kabinet. Rombakan Kabinet hanya menunggu masanya selepas parti komponen BN mengadakan pemilihan parti masing-masing.

Apakah kesannya terhadap Umno, atau lebih tepat, apakah kita bakal menyaksikan retakan dalaman yang semakin ketara?

Seandainya Umno tidak meletakkan lebih pemimpin yang muda, terbuka, dan teknokrat, maka ia mungkin menjurus kepada keadaan di mana BN semakin konservatif, atau semakin ke kanan dari segi ideologinya.

Jikalau situasinya begini, maka parti komponen BN yang lain seperti MCA gagal menemui ruangnya, atau melanjutkan kelangsungannya dalam politik berbilang kaum pada hari ini. Peletakan jawatan selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) oleh P Waythamoorthy, Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia baru-baru ini, memalapkan lagi harapan MCA untuk meyakinkan masyarakat Cina dalam isu menyertai Kabinet.

Keempat, desakan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad.

Pentadbiran Najib semakin mengundang rungutan rakyat, khususnya dalam isu pengendalian kenaikan harga barangan. Nampaknya puak Mahathir mula mencatur langkah untuk mendesak agar Najib berundur.

Seandainya puak Mahathir kembali semula ke pusat kuasa kerajaan, ia semestinya igauan untuk perkembangan ekonomi dan demokrasi politik Malaysia.

Persoalannya, sama ada Najib bersedia untuk membalas serangan Mahathir, apabila didesak sehingga ke sudut.

Dan seandainya Najib mengambil keputusan untuk menentang Mahathir secara terbuka, maka pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum menjadi kemungkinan. Ia seolah-olah sesuatu yang jauh jika dilihat dari sekarang – tetapi siapa berani menolak kemungkinannya?

-Liew Chin Tong ialah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@ liewchintong.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.