Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun bakal bertanding mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Chew, 50, adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas senator.
Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, dipercayai bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi Ahli DUN Selangor yang seterusnya menjadi menteri besar di negeri itu.
Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pemimpin parti komponen BN lain.
Muhyiddin berkata BN mengambil keputusan untuk bertanding di Kajang dan memilih Chew sebagai calon setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara pemimpin parti komponen BN.
Katanya, pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih Chew kerana beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan, berpengalaman luas dalam bidang politik serta berjiwa rakyat.
"Kita perlu atur strategi kerana kita sedar lawan yang bertanding juga akan menggunakan 'platform' kerajaan untuk menimbulkan pelbagai isu nasional.
"Pada PRK Kajang ini juga kita dapat menjelaskan perjuangan BN dengan lebih jelas kepada rakyat Kajang mengenai apakah sebenarnya makna demokrasi yang cuba dimanipulasi oleh segelintir individu," katanya di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.
PRK Kajang dijangka menyaksikan pertandingan banyak penjuru setelah bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, senator Datuk S Nallakaruppan, peguam Yuktes Vijay dan penyanyi retro Herman Tino bakal bertanding di kerusi itu.
Pada pilihan raya umum lalu, penyandang kerusi DUN Kajang, Lee menewaskan calon BN Lee Ban Seng dengan majoriti 6,824 undi.
Awal bulan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRK Kajang pada 23 Mac manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 11 Mac.
Seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK kali ini, melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita.
Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mengumumkan hasil kajian mereka bahawa lebih separuh pengundi Kajang bersetuju pilihan raya kecil itu perlu diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.
Dalam kajian yang dijalankan itu, Umcedel mendapati pengundi di Kajang berpendapat PRK pada 23 Mac ini bukanlah pembaziran apabila majoriti responden iaitu 53% berpendapat sedemikian dengan kaum India mewakili 60%, Cina (54%) dan Melayu (50%).
Seramai 576 responden yang merupakan pengundi di Kajang menyertai kajian itu yang diadakan hujung minggu lalu membabitkan semua 16 kawasan daerah mengundi.
Antara isu lain yang turut dikaji Umcedel adalah kesan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada sokongan terhadap BN dan isu kenaikan harga barang yang menambahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat. – TMI
Saturday, February 22, 2014
Chew Mei Fun lawan Anwar di Kajang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.