Monday, April 21, 2014

Tukar MB: Tiga nama dalam senarai teratas?

Selepas isu dua Menteri Besar BN bakal ditukar, dispekulasikan Mingguan Malaysia (Utusan) semalam, beberapa blog tampil membuat andaian negeri manakah yang akan berlaku pertukaran itu.

Dalam beberapa blog pro Umno, beberapa negeri disebut sebagai 'paling berisiko' untuk ditukar dengan menteri besar yang baru.

"Paling berisiko akan diganti ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang berada dalam senarai atas pertukaran menteri besar sejak sebelum pilihan raya lalu.

"Selain itu, Menteri Besar Terengganu dan Ketua Menteri Sabah juga mungkin berhadapan risiko digantikan berikutan masalah dalaman negeri yang tidak berkesudahan.

"Namun mungkin juga kejutan akan berlaku di utara Semenanjung Malaysia, Perlis," tulis blog mykmu.net yang buat telahan.

Isu pertukaran menteri besar diulas dalam satu tulisan Bisik-bisik Awang Selamat di akhbar Umno itu semalam.

Tanpa menamakan nama mana-mana menteri besar yang dimaksudkan, tulisan dalam akhbar itu turut mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti.

Umno kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut – Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, ketua menteri Umno turut mengetuai pentadbiran di dua negeri, Melaka dan Sabah.

Hadis Palsu Telaga Barahut : Ustaz Dr. Zulkifli Tunjuk Sumber Rujukan

Ini adalah hujah dan penjelasan yang Wardina cari-cari sangat hingga sanggup mengatakan "SAYA RISAU MASYARAKAT KITA DISOGOK DENGAN SUMBER CERITA TANPA RUJUKAN" tetapi tidak tahulah siapa yang di merujuk sampai berani sangat membangkitkan isu ini di media sosial, seolah-olah Ustaz Don menjadi seorang penyebar hadis palsu pulak. Dan di bawah hujah Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri:


PENJELASAN RINGKAS ISU KISAH TELAGA BARAHUT.

*Baca sehingga tamat. Sebelum kesimpulan disertakan 7 qaul berkenaan tempat roh berada setelah keluar daripada jasad. Pendapat yg ditarjihkan Ibn Qayyim itu adalah pendapat yang diterima pakai.

a) HADIS, ATHAR DAN PANDANGAN ULAMA' BERHUBUNG TELAGA BARAHUT
1. HADIS
• Daripada Ibn Abbas R.Anhuma Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ، فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ، وَشِفَاءٌ مِنَ السَّقَمِ، وَاللَّهِ مَا عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءٌ شَرٌّ مِنْ مَاءِ بِئْرٍ بِوَادِي بَرْهُوتَ، كَرِجْلِ الْـجَرَادِ مِنَ الْـهَوَامِّ، يُصْبِحُ يَتَدَفَّقُ وَيُمْسِي لَا بِلَالَ بِهَا
Maksudnya: “Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam zam, padanya makanan daripada segala makanan, dan penawar bagi segala penyakit, dan seburuk-buruk air di muka bumi air di lembah Barahut berhampiran qubah Hadramaut seperti kaki belalang daripada serangga jadilah ia membuak-buak pada waktu pagi dan pada waktu petang tanpa sebarang basahan.” [1]

• Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasululalh SAW pernah bersabda:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا حَضَرَهُ الْمَوْتُ، حَضَرَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ، فَإِذَا قُبِضَتْ نَفْسُهُ، جُعِلَتْ فِي حَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ، فَيُنْطَلَقُ بِهَا إِلَى بَابِ السَّمَاءِ، فَيَقُولُونَ: مَا وَجَدْنَا رِيحًا أَطْيَبَ مِنْ هَذِهِ، فَيُقَالَ: دَعُوهُ يَسْتَرِيحُ، فَإِنَّهُ كَانَ فِي غُمٍّ، فَيُسْأَلُ: مَا فَعَلَ فُلَانٌ؟ مَا فَعَلَ فُلَانٌ؟ مَا فَعَلَتْ فُلَانَةُ؟ وَأَمَّا الْكَافِرُ، فَإِذَا قُبِضَتْ نَفْسُهُ، وَذَهَبَ بِهَا إِلَى بَابِ الْأَرْضِ، يَقُولُ خَزَنَةُ الْأَرْضِ، مَا وَجَدْنَا رِيحًا أَنْتُنَ مِنْ هَذِهِ، فَتَبْلُغُ بِهَا إِلَى الْأَرْضِ السُّفْلَى
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman apabila datang waktu kematian nescaya datang Malaikat rahmat. Apabila diambil nyawanya, maka dijadikan pada sutera putih yang di bawa dengannya ke pintu langit dan mereka berkata: Kami tidak dapati bau yang lebih harum daripada ini. Maka dikatakan: tinggalkanlahnya untuk dia beristirehat, maka sesungguhnya dia berada dalam keadaan dukacita. Lantas ditanya apa yang dilakukan oleh si fulan? Apa pula yang dilakukan oleh si fulan? Apa pula yang dilakukan oleh si fulanah? Adapun orang kafir apabila diambil nyawanya dan dibawa dengannya ke pintu bumi, lalu berkata penjaga bumi: “Kami tidak dapati bau yang lebih busuk daripada ini, sehingga sampai kepada perut bumi yang terkebawah.” [2]

• Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ فِيهَا أَرْوَاحَ الْكفَّار وَالْمـُنَافِقِينَ وَهِي بِئْرٌ عَادِيِةٌ قَدِيْمَةٌ عَمِيْقَةٌ فِي فَلَاةٍ وَوَادٍ مُظْلِمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada telaga Barahut terdapat roh-roh orang kafir dan Munafiq, ia merupakan telaga yang berbahaya, dalam, lama pada tempat yang jauh dan wadi (lembah) yang gelap.” [3]

2. ATHAR
• Saidina Ali RA berkata:
اَبْغَضُ الْبِقَاع إِلَى الله تَعَالَى وَادي بَرَهُوْتَ بِحَضْرَ مَوْتَ فِيهِ بِئْر مَاؤُهُ أَسْوَدُ مُنْتِنٌ تَأْوِى إِلَيْهِ أَرْوَاحُ الْكفَّارِ
Maksudnya: “Tempat yang paling dibenci Allah ialah wadi (lembah) Barahut di Hadramaut. Padanya telaga air hitam busuk dan menjadi himpunan perut orang kafir.”

• Diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Najad daripada Ali Bin Abi Talib RA, katanya:
خَيْرُ وَادِي النَّاسِ وَادَي مَكَّةَ، وَشَرُّ وَادِي النَّاسِ وَادِي الأَحْقَافِ، وَادٍ بِحَضْرَمَوْت يُقَالُ لَهُ: بَرَهُوْت فِيهِ أَرْوَاحُ الكُفَّارِ
Maksudnya: “Sebaik-baik lembah kepada manusia ialah lembah Mekah, dan seburuk-buruk lembah manusia ialah lembah Ahqaf, iaitu lembah di Hadramaut, dikatakan dengan nama Barahut di mana terdapat padanya ruh-ruh orang kafir.” [4]

• Riwayat Ali bin Abi Thalib berkata:
خَيْرُ وَادِيَيْنِ فِي النَّاسِ وَادِي مَكة وَوَادِي اِرَم بِأِرْضِ الِهنْدِ، وَشَرُّ وَادِيَيْن ِفي النَّاسِ وَادِي الأَحْقَاف وَوَادِ بِحَضْرَمَوْت يُدْعَى بَرَهُوْت يُلْقَى فِيْهِ أَرْوَاحُ الْكُفَّارِ
Maksudnya: “Sebaik-baik dua wadi bagi manusia ialah, wadi Mekah dan Iram di bumi India. Seburuk-buruk dua wadi bagi manusia ialah wadi Ahqaf dan wadi Hadramaut yang dikenali sebagai Barahut, dicampak baginya roh orang kafir.” [5]

• Berkata Qatadah: Seorang lelaki menceritakan kepadaku, daripada Sa’id Ibn Musayyib daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, katanya:
أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ تُجْمَعُ بِالْجـَابِيَتَيْنِ وَأَرْوَاحُ الْكُفَّارِ تُجْمَعُ بِبَرَهُوْتِ: سَبْخَةِ بِحَضْرَ مَوْت
Maksudnya: “Arwah-arwah orang Mu’min akan dikumpulkan di al-Jabiyataini dan arwah-arwah orang kafir akan dihimpunkan di telaga Barahut (satu kawasan berhampiran di Hadramaut).” [6]

• Berkata Abu Hatim RA: Khabar ini diriwayatkan oleh Mu’az bin Hisyam daripada ayahnya daripada Qatadah daripada Qasamah bin Zuhair daripada Abi Hurairah secara marfu’
اَلْـجَابِيَتَانِ بِالْيَمَنِ وَبَرَهُوْتُ مِنْ نَاحِيَةِ الْيَمَنِ
Maksudnya: “Al-Jabiyatan di Yaman dan Barahut daripada pihak Yaman.” [7]

• Daripada Sa’id Bin Musayyib, katanya:
أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ بِأَرْضِ الجَابِيَةِ، وَأَرْوَاحُ الكُفَّارُ بِسَبْخَةِ حَضْرَمَوْت
Maksudnya: “Arwah-arwah orang mukmin di tanah al-Jabiah dan arwah-arwah orang kuffar di sabkhah di Hadramaut.” [8]

3. PANDANGAN ULAMA'

Ramai ulama mengemukakan pandangan dan kisah berkenaan telaga Barahut, antaranya:

• Al-Asmu’ie berkata riwayat seorang lelaki Hadrami menyebut:
أنا نجد من ناحية برهوت رائحة منتنة فظيعة جدا فيأتينا الخبر أن عظيما من عظماء الكفار مات
Maksudnya: “Sesungguhnya kami dapati di satu sudut telaga Barahut bau yang sangat busuk. Kemudian datang khabar kepada kami bahawa seorang pembesar kafir mati di situ. Dan kami dapatinya bau tersebut memang dari situ.” [9]

• Al-Zamakhsyari berkata: “Barahut ialah telaga di Yaman, dikatakan bahawa padanya ditempatkan ruh-ruh orang kafir, dan dinamakan negeri yang terletaknya telaga itu ialah Yaman.”

• Dihikayatkan seorang lelaki tidur berhampiran wadi Barahut dan berkata:
كُنْتُ أَسْمَعُ طُوْلَ اللَيْلِ يَا دَوْمَة. يَا دَوْمَةَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِبَعْضِ أَهْلِ العِلْمِ فَقَالَ: إِنَّ المَلَكَ المُوَكِّلَ بِأَرْوَاحِ الكُفَّارِ إِسْمُهُ دَوْمَه
Maksudnya: “Aku mendengar sepanjang malam sebutan “Ya Daumah”. Lalu aku bertanya kepada ahli ilmu. Dia menjawab: “Sesungguhnya Malaikat yang diwakilkan untuk roh-roh orang-orang kafir namanya Daumah.”
Cerita yang hampir sama diriwayatkan oleh Abban bin Taghlib. [10]

• Imam Syafie telah menyebut dalam mazhabnya:
إنَّ المَاءَ المَكْرُوْهَ ثَمَانِيَةُ أَنْوَاعِ: اَلـْمُشَمَّسُ، وَشَدِيْدُ الحَرَارَةِ، وَشَدِيْدُ الْبُرُوْدَةِ، وَمَاءُ دِيَارِ ثَمُوْدَ إِلَّا بِئْرُ النَاقَةِ، وَمَاءُ دِيَارِ قَوْمِ لُوْط، وَمَاءُ بِئْرِ بَرَهُوْت، وَمَاءُ أَرْضِ بَابِل، وَمَاءُ بِئْرِ ذَرْوَان
Maksudnya: “Sesungguhnya air yang makruh digunakan ada 8 jenis, antaranya: Air Musyammas, air yang sangat panas, air yang sangat sejuk, air dari perkampungan Thamud kecuali telaga Naqah, air perkampungan kaum Lut, air telaga Barahut, air bumi Babil dan air telaga Zarwan.”

• Sufian berkata: “kami telah bertanya penduduk Hadramaut, lantas mereka menjawab: “Tidak ada seorang yang mampu untuk tidur di kawasan tersebut pada waktu malam.” [11]

• Al-A’masy pernah berkata: “Adalah Mujahid tidak akan mendengar perkara yang pelik kecuali beliau pergi ke situ dan melihatnya sendiri. Beliau pernah pergi ke telaga Barahut di Hadramaut dan pergi ke Babil…… " [12]

• Abu Muhammad Abdullah bin Muslim al-Dainuri yang masyhur dengan gelaran Ibn Qutaibah berkata: “Semua ruh ahli neraka ditelaga di kawasan Hadramaut dikenali sebagai Barahut.” [13]

• Ibn Uyainah berkata: “Telah dikhabarkan kepadaku seorang lelaki berada pada waktu petang berhampiran telaga Barahut, katanya: “Seolah-olah padanya terdapat suara-suara yang bertelingkah dan aku tanya penduduk Hadramaut tentang itu, mereka menjawab: “Tidak mampu seseorang berada di situ pada waktu petang. [14]

• Dalam Kitab al-Mustathraf fi Kulli Fanni al-Mustazraf oleh Syihabuddin Muhammad Bin Ahmad al-Absyihi hlm, 420, seperti berikut: “Telaga Barahut terletak di Hadramaut dimana Nabi SAW bersabda: “Ia adalah himpunan roh orang kafir.” [15]

TARJIH
Selepas melihat pendapat ulama, saya lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan ruh orang yang beriman di Jabiyah dan orang kafir di Barahut. Hal ini, dikuatkan oleh pendapat Ibn Qayyim yang menolak pandangan Ibn Hazm yang berpendapat ini adalah sumber daripada Syiah Rafidhah. Sebenarnya bukan begitu bahkan telah disebut oleh ramai dikalangan sahabat dan tabien dalam kalangan ahli Sunnah. Inilah juga pendapat Ibn Mandah yang menyebut riwayat ramai para sahabat dan para tabi'en.

*************
b) KISAH TELAGA BARAHUT

Cerita yang diambil oleh Sahib al-Fadhilah Ustaz Don daripada saya ialah seperti berikut:

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki yang telah menuju ke Baitullah al-Haram (Kaabah) untuk menunaikan haji. Setelah tiba di Kota Mekah, lalu dia menyimpan wang sebanyak 1000 dinar pada seorang yang jujur dan berakhlak mulia. Kemudian orang kaya itu menuju ke Arafah untuk berwukuf di sana.

Setelah selesai dari wukuf dan amalan hajinya yang lain, dia kembali ke Mekah dan mendatangi rumah orang yang dititipkan wangnya dahulu itu, maka didapatinya orang itu sudah mati. Orang kaya tersebut lalu bertanya hal itu kepada keluarganya tentang wang yang disimpan pada orang itu dan keluarganya menjawab: Kami tidak tahu apa pun tentang simpanan itu.

Akhirnya orang kaya itu bertanya kepada seorang ulama di Mekah dengan memberitahu tentang keadaannya dan wangnya yang disimpan kepada orang yang jujur itu. Ulama itu menjawab: Nanti di tengah malam, pergilah engkau ke perigi Zamzam, dan lihat ke dalamnya. Kemudian panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk dalam penghuni syurga, maka dia akan menjawab panggilanmu.
Maka orang kaya itu pergilah menuju ke perigi Zamzam pada waktu malam, lalu memanggil nama orang itu, sekali dan dua kali, dan seterusnya, namun tidak ada yang menjawab panggilan itu. Pada keesokannya, orang kaya itu menemui sekali lagi ulama Mekah itu, serta menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi.

Mendengar khabar itu, ulama itu terus mengucapkan kalimah istirja’ iaitu innalillahi wainna ilaihi raji'un. Aku khuatir bahawa temanmu itu, jangan-jangan dia tidak termasuk penghuni syurga. Sekarang cuba kamu pergi ke Yaman, di sana ada satu perigi Barhut namanya, yang pernah dikatakan orang bahawa perigi itu adalah mulut neraka Jahannam. Lalu datanglah dia di malam hari, serta panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk penghuni neraka, maka dia akan menjawab panggilanmu itu, dan tanyakanlah kepadanya tentang wangmu itu, di mana?

Maka pergilah orang kaya itu menuju ke Yaman, lalu bertanya kepada orang tentang tempat beradanya perigi Barhut itu. Akhirnya dia ditunjukkan orang tempatnya. Pada malamnya, dia datang ke perigi Barhut itu, lalu memanggil nama orang yang pernah menerima barang simpanannya itu. Maka dengan serta merta orang itu menjawab. Orang kaya itu bertanya: Di manakah engkau simpankan wang emas (dinar) aku itu? Orang itu menjawab: Aku telah menyimpannya di suatu tempat di rumahku. Dan aku tidak percaya kepada sesiapapun, sekalipun anakku sendiri. Sekarang pergilah engkau ke tempat ini dan itu, dan galilah di situ, nescaya engkau akan menemui wang dinarmu itu.

Kemudian orang kaya itu bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau berada di sini, sedangkan engkau orang baik, dan kami semua bersangka baik terhadapmu? Maka orang itu menjawab: Aku mempunyai seorang saudara perempuan yang miskin, dan aku tidak mempedulikannya dan bertanyakan hal keadaannya serta tidak merasa kasihan kepadanya, maka kerana itulah Allah telah menyeksaku di sini dan menempatkanku di neraka jahannam.

Untuk membenarkan cerita ini, disebutkan di dalam sebuah hadis. Nabi SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْـجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim.” [16]

SUMBER KISAH INI
Saya akan menyebut isu ini secara poin untuk memudahkan kefahaman.

1. Kisah ini diambil daripada kitab al-Kabai'r oleh Imam al-Zahabi dan memuatkannya dalam buku Lu’lu’ lil Mukminin (Permata Buat Orang Beriman), kitab himpunan hadis jilid pertama yang saya susun.

2. Saya begitu yakin kepada al-Imam al-Zahabi yang banyak mengkaryakan sirah Rasulullah dan sejarah Islam melalui beberapa bukunya seperti Tarikh al-Islami dan juga Siyar ‘a’lam al-Nubala’. Saya telah menyebut biografi Syeikhul Muhaddithin Imam al-Zahabi secara ringkas di dalam buku 'Telaga Barahut dan Persoalannya' untuk sama-sama difahami oleh pembaca yang mana beliau merupakan Tuan Guru dan ulama yang amat terkenal dalam bidang hadis, sejarah, dan lain-lain berdasarkan pujian tokoh-tokoh ulama silam, seperti Ibn Kathir dan lain-lain.

3. Kisah yang hampir sama telah diceritakan oleh Umar bin Sulaiman, katanya: “Telah mati serorang lelaki di kalangan yahudi, sedangkan beliau pernah menyimpan barangan bagi seorang Islam. Orang Yahudi tersebut mempunyai seorang anak yang beragama Islam, dan dia tidak mengetahuo di mana diletakkan barang simpanan tersebut, lalu bertanya kepada Syu’aib al-Jubbai, kemudian katanya: “Pergilah kamu ke telaga Barahut, jika kamu datang pada hari sabtu maka tujulah kepadanya sehingga sampai berhampiran mata air telaga di sana Kemudian serulah nama ayahmu, nescaya ia akan menjawab panggilanmu. Ketika itu tanyalah daripada apa yang kamu mahu dan lelaki tersebut melakukan suruhan Syeikh Syu’aib itu dengan pergi ke mata air seterusnya menyeru nama abahnya dua kali atau tiga kali. Selepas itu abahnya menjawab dan dia bertanya: “Dimanakah barang simpanan si fulan itu? Jawab abahnya: “Dibawah bendul pintu, maka angkatlah.” Cerita ini telah disebut dalam buku Bi’ru Barahut Rehlah Istiksyafiyah, Geografiyah al-Sunnah al-Nabawiyyah karya Dr. Anmar bin Yahya al-Jufri.

4. Ulama Islam bermazhab Syafie yang terkenal Imam Ibn Hajar al-Haitami juga telah menyebut cerita yang sama seperti ini dalam kitabnya yang masyhur al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair.

ULASAN SAYA
Mungkin ada sebahagian asatizah yang menggunakan hujah berdasar kepada pengtahqiq kitab al-Kabair iaitu Sayyid Ibrahim dan Sayyid al-Arabi, antara lain berpendapat: "Dimulakan kisah ini dengan kenyatan pengarang (Imam al-Zahabi) dengan perkataan Hukiya (حكي) yang memberi maksud dihikayatkan. Di dalam bahasa istilah ulama Sighah Mabni lil Majhul merupakan Sighah Tamrid (sakit dan dhaif) yakni tidak kuat dan dia termasuk daripada riwayat yang batil yang tidak wajib disebutnya sekalipun dalam bab Mau’izah (nasihat) kerana ia menafikan aqidah sahih dan akal yang sejahtera."

• Saya secara peribadi boleh menerima kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Zahabi kerana ia bukanlah hadis tetapi penceritaan yang diterima daripada yang terdahulu.

• Disebut dengan perkataan hukiya (حكي) yang memberi maksud 'dihikayatkan' menunjukkan betapa Imam al-Zahabi begitu mencermati dalam menyampaikan maklumat supaya statusnya bukanlah menjadi hujah qat’i tetapi lebih kepada mau’izah (peringatan) semata-mata. Justeru, tidak ada masalah untuk mengambil kisah ini sebagai peringatan dengan syarat tidak menjadikannya sebagai dalil.

• Cukuplah dengan penukilan daripada ramai ulama, seperti Imam Ibn Hajar al-Haitami dan pujian para ulama terhadap kitab al-Kabair, membuatkan kita thiqah dengan Imam al-Zahabi.
[ADMIN]

DI MANA ROH SELEPAS KELUAR DARIPADA JASAD?

Antara pendapat ulama ialah:

Pertama: Jumhur ulama berpendapat ruh orang yang beriman berada dalam tembolok burung dalam syurga yang bebas berterbangan. Ini berdasarkan beberapa riwayat hadis, Antaranya, Abdullah Bin Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:
أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً
Maksudnya: “Semua ruh para syuhada’ berada dalam tembolok burung-burung hijau, mereka bebas berterbangan dalam syurga mengikut kemahuan kemudian bertenggek di pelita-pelita (قنديل), maka Tuhan mereka melihat dan memerhatikan mereka.”
Riwayat Muslim dalam sahihnya (3/1502) dan al-Tayalisi dalam Musnadnya (1/38)

Kedua: Sebahagian sahabat dan tabien berpendapat: Semua ruh orang yang beriman berada di sisi Allah dan mereka tidak membincangkan lebih daripada itu, mereka berhujahkan hadis riwayat Ibn Umar R.Anhuma daripada Nabi SAW:
الْأَرْوَاح عِنْد الله فِي السَّمَاء
Maksudnya: “Semua ruh berada di sisi Allah di langit.”
Riwayat Sa’id Bin Mansur dalam al-Sunan dan al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur hlm (314)

Ketiga: Sebahagian daripada sahabat dan tabien berpendapat bahawa semua ruh dihimpun di satu tempat di bumi, maka ruh orang yang beriman di simpan berhampiran Jabiyah, ruh orang kafir di telaga Barahut. Ada pendapat di Jordan dan ada pendapat di antara langit dan bumi. Mereka berhujahkan dengan dua hadis:

• Abdullah bin Amr R.Anhuma menyebut:
إن أَرْوَاح الْمـُؤمنِينَ تجمع بالْـجَابِيَة وأرواح الْكفَّار تجمع ببئر برهوت
Maksudnya: “Sesungguhnya semua ruh orang yang beriman dihimpunkan di Jabiyah dan semua ruh orang kafir dihimpunkan di telaga Barahut.”
Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya (7/283), al-Haithami dalam Mawarid al-Zam’an (1/187), al-Dailami dalam al-Firdaus (1/418) dan Ibn Qayyim menyebutnya dalam kitab al-Ruh hlm (146)

• Daripada Ali berkata:
أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ بِبِئْرِ زَمْزَم، وَأَرْوَاحُ الكُفَّارِ بِبِئْرِ بَرَهُوْتِ
Maksudnya: “Semua ruh orang yang beriman dihimpun di telaga zam zam dan semua ruh orang kafir dihimpun di telaga Barahut.”
Riwayat Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Qayyim menyebutnya dalam al-Ruh hlm (146)

Keempat: Sebahagian ulama berpendapat, bahawa ruh orang yang beriman dalam syurga dan ruh orang kafir dalam neraka. Mereka berhujah dengan hadis Ummu Mubassyir Binti al-Bara R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ نَسَمَةَ المُؤمنِ تَسَرَحُ في الجنَّةِ حَيثُ شاءَتْ، ونَسمةُ الكافِرِ في سِجِّينٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya jiwa orang yang beriman bebas pergi mari dalam syurga mengikut kehendaknya, sedangkan ruh orang kafir berada dalam Sijjin.”
Riwayat Ibn Majah (1449), al-Tabarani dalam al-Kabir (19/65), al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (2/329) dan al-Baihaqi (153) dengan sanad yang hasan

Kelima: Sebahagian ulama berpendapat bahawa ruh orang yang beriman berada di sebelah kanan nabi Adam dan ruh orang yang kafir berada di sebelah kirinya, mereka berhujahkan hadis Isra’ Mi’raj.

Muhammad Bin Nasr al-Marwazi berkata: “Sesungguhnya Ishaq bin Rahawaih berkata: “Di atas dasar inilah telah ijma’ ahli ilmu.”
Ibn Hazm berkata: “Inilah pendapat semua ahli ilmu.” Lihat al-Fasl fi al-Milali wa Ahwa' al-Nihali oleh Ibn Hazm (4/590).

Keenam: Sebahagian ulama berpendapat: “Sesungguhnya semua ruh orang yang beriman dan kafir berada dalam kubur kecuali ruh para syuhada’, mereka dimasukkan ke dalam syurga.” Inilah yang dihikayatkan oleh Ibn Hazm daripada kebanyakan ahli hadis.

Ketujuh: Sebahagian ulama berpendapat: “Sesungguhnya ruh orang yang beriman berada dalam Illiyyin dan ruh orang kafir berada dalam Sijjin.” Inilah yang ditarjihkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang disebut oleh Imam al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur hlm (325).

Berdasarkan kepada tujuh pendapat di atas, imam al-Qurtubi lebih cenderung kepada pendapat bahawa ruh orang yang mati syahid dalam syurga dan bukan ruh orang lain. Pendapat seperti ini juga telah dipilih oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.

PENUTUP

Saya tidaklah mahu polemik ini lebih kepada perselisihan pendapat dan mengikut emosi tanpa bertunjangkan ilmu dan juga kefahaman yang sebenar. Justeru kami menerbitkan buku 'Telaga Barahut dan Persoalannya' sebagai mengulas secara langsung apa yang dikatakan oleh al-Fadhil Ustaz Don berdasarkan hujahan dan rujukan kitab.

Buku ini bukanlah ingin menyebelahi mana-mana pihak, tetapi hanyalah ingin memberi penjelasan dan pencerahan dengan lebih terperinci. Penulis berterima kasih kepada Sahib al-Fadhilah Ustaz Don yang juga telah berkerjasama dalam memberi penjelasan berkaitan isu ini mengikut cara dan kefahaman masing-masing.

Bagi mendapat penjelasan lanjut, boleh mendapatkan buku 'Telaga Barahut dan Persoalannya' terbitan Pustaka Cahaya Kasturi di Pesta Buku Antarabangsa KL 2014 pada 24 April - 4 Mei ini. Boleh bertemu saya dan sahabat2 PCK di booth G05-G06. Wallahua'lam.

___________________

NOTA KAKI

[1] Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir (11167) dan al-Ausat (3912, 8219), dan al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Mukhtar (2/114/67). Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawaid (3/289): “Rijalnya thiqah”. Dan dihasankan oleh al-Albani dalam Sahihnya (1056) dan Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1161) dan Sahih al-Jami’ (3322). Dan berkata Ibn Hajar. Rawi-rawinya adalah perawi yang thiqah dan pada sebahagian mereka dipertikaikan, akan tetapi dikuatkan dengan mutaba’at (sokongan dan dokongan daripada riwayat yang lain)

[2] Riwayat al-Nasaie (11924), Ibn Hibban dalam sahihnya (3294) dan al-Albani dalam Ta’liq al-Targhib menyatakan sahih dan Syeikh Syu’aib al-Arnaut berkata: Sanadnya sahih mengikut syarat Syaikhan (Bukhari Muslim).

[3] Hadis ini disebut oleh al-Qazwaini dalam al-Nur al-Safir ‘an Akhbar al-Qarn al-‘Asyir oleh Muhyiddin Abd al-Qadir al-‘Aidrusi

[4] Disebut oleh al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur hlm (232) dan diriwayatkan daripada Ali RA semisal dengannya dengan lafaz yang banyak, dan diriwayatkan oleh Abd Razzaq dalam al-Musannif (9118), al-Azraqi dalam Akhbar Mekah (40/2), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (1/468) dan selainnya. Dan lihat dalam Ahwal al-Kubur oleh Ibn Rajab hlm (118) daripada banyak riwayat. Dan dikeluarkan oleh Ibn Asakir dalam Tarikhnya (2/344-345) daripada jalur Ibn Abi Dunya secara mauquf kepada Sa’id Bin Musayyib.

[5] Lihat Tafsir al-Qurtubi hlm 190

[6] Lihat Mukhtasar Tarikh Dimasyq 1/285 oleh Ibn Manzur

[7] Lihat Mukhtasar Tarikh Dimasyq 1/285 oleh Ibn Manzur

[8] Lihat Mukhtasar Tarikh Dimasyq 1/285 oleh Ibn Manzur

[9] Lihat Ibn Qutaibah dalam Gharib al-Hadis 1/357, dan dinukilkan juga oleh Yakut al-Hamawi dalam Mu’jam al-Buldan 2/321. Lihat juga dalam al-Nur al-Safir ‘an Akhbar al-Qarn al-‘Asyir oleh Muhyiddin Abd al-Qadir al-‘Aidrusi hlm (64)

[10] Lihat Ibn Qayyim dalam al-Ruh hlm 277. Ibn Rajab dalam al-Ahwal hlm 118, al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur 236-237 dan al-Qazwaini dalam Aja’ib al-Buldan daripadanya dinukilkan oleh al-‘Aidrusi sebagaimana disebut dalam al-Nur al-Safir hlm 64.

[11] Ini dikeluarkan oleh Ibn Mandah sebagaimana dihikayatkan oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Ruh hlm 277dan al-Suyuti hlm 237.

[12] lihat al-Zahabi dalam al-Siyar 20/456.

[13] Lihat kitab Ta’bir al-Ru’ya oleh Ibn Qutaibah.

[14] Lihat Gharib al-Hadis 1/357.

[15] Hadis ini hampir sama diriwayatkan oleh al-Tabarani dengan sanad yang hasan.

[16] Riwayat Muslim (2556) dan Abu Daud (45)

SPR : Kerusi Bkt Gelugor Ditentukan Khamis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Khamis ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 11 pagi ini berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan diikuti sidang media oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, katanya dalam kenyataan hari ini.

Karpal Singh, 74, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadi mendiang, Michael Cornelius.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN, Teh Beng Yeam.

- Bernama

Tayar MH192 Terbakar, Pesawat Mendarat Cemas

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH192 dalam perjalanan ke Bangalore, India yang terpaksa berpatah balik kerana berdepan masalah kerosakan gear selepas tayarnya terbakar selamat melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.56 pagi tadi.

MAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jam 3.18 pagi tadi berkata, syarikat tersebut mengesahkan punca kerosakan adalah kerana tayar di bahagian kanan utama gear pendaratan pesawat terbakar semasa berlepas.

"Kawalan Udara Trafik Kuala Lumpur memberi amaran kepada kapten juruterbang selepas serpihan tayar ditemui di landasan.

"Pusat Operasi Kawalan Malaysia Airlines (OCC) kemudiannya dihubungi pada jam 10.25 malam. Atas dasar keselamatan, pesawat itu diarahkan untuk berpatah balik," kata kenyataan itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dikerahkan ke KLIA sejurus selepas juruterbang diarahkan berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan.

Berita mengenai MH192 berlegar-legar di udara mula tersebar luas di media sosial dan disahkan oleh MAS dalam satu kenyataan rasmi.

"Malaysia Airlines mengesahkan pesawat MH192 yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam ke Bangalore, India berpatah balik ke Kuala Lumpur.

"Pesawat itu mengalami masalah gear sebelah kanan tidak berfungsi dan dijangka melakukan pendapatan kecemasan kira-kira jam 2 pagi ini," kata MAS dalam kenyataan pertamanya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan reaksi kelegaan berhubung insiden tersebut.

"Semua penumpang selamat, Alhamdullilah apa pun saya kini bersiap-siap untuk turun ke (KLIA)," katanya di akaun Twitter @HishammuddinH20.

Pesawat MH192 jenis B737-800 berlepas dari KLIA pada 10.09 malam dan sepatutnya mendarat di Bangalore kira-kira jam 11.32 malam pada hari sama.

MAS melakukan penjadualan semula penerbangan itu yang akan berlepas dari KLIA pada 3.30 petang ini dan dijangka sampai ke Bangalore pada jam 5 petang hari ini.

Pesawat MH192 kelihatan di KLIA apabila berjaya mendarat dengan selamat awal pagi tadi

selepas terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum melakukan pendaratan kecemasan. Pesawat MH192 kelihatan di KLIA apabila berjaya mendarat dengan selamat awal pagi tadi selepas terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum melakukan pendaratan kecemasan.

Pesawat MH192 membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal dan mereka kini ditempatkan di hotel berdekatan dengan KLIA. Kerosakan pesawat MAS bukan kali pertama dilaporkan sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Semasa operasi mencari dan menyelamat MH370 sedang giat dilakukan, pada 24 Mac, pesawat MH066 yang terbang dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan terpaksa membuat lencongan ke Hong kong disebabkan masalah generator tidak berfungsi.

Tiga hari sebelum itu, pesawat MH114 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu terlanggar sekumpulan burung ketika berada berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.

Selepas mendarat, pesawat itu diperiksa oleh jurutera bertugas dan didapati lampu pesawat itu pecah. -TMI

Rakyat tolak media utama, BN nak guna macai?

PENGERUSI Biro Publisiti dan Penerangan BN, Dato’ Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, ‘Blue Wave Army’ (BWA) dalam usaha melawan serangan daripada ‘Red Bean Army (RBA)’.

RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus daripada khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majoriti pengundi Cina dalam PRU13 lalu.

Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.

Menurut Ahmad, BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN.

Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.

PM Dato’ Seri Najib Razak sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber, penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.

Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus profesional.

Perkara ini didedahkan kepada saya oleh seorang bekas macai yang mungkin telah insaf daripada kegiatan songsang mereka suatu masa dahulu. Para macai yang bertebaran seluruh negara ini pula tidaklah berada di bawah satu kumpulan tetapi pelbagai kumpulan.

Saya sangat yakin bahawa dana yang digunakan untuk menyara para macai ini adalah daripada duit kerajaan. Maksudnya duit daripada poket rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Pelik, takkanlah Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan Umno tidak tahu mengenai kegiatan macai mereka bekerja sepenuh masa di alam siber, tiba-tiba mengumumkan pula untuk menubuhkan BWA. Atau pengumuman itu bertujuan menagih dana daripada Najib supaya terus dapat membaham duit rakyat demi kepentingan para macai BN.

Dalam situasi media-media utama dalam negara dikongkong sepenuhnya oleh BN, sepatutnya mereka tidak perlu khuatir sebarang maklumat daripada pihak pembangkang. Malaysia menduduki tangga ke-147 dalam dunia dari aspek kebebasan akhbar. Apa nak dikhuatirkan apabila 100 peratus media elektronik bukan siber dalam negara adalah pengampu BN dan anti-Pakatan Rakyat?

Mutakhir ini BN terpaksa menerima hakikat bahawa media elektronik (radio dan televisyen) sudah tidak berupaya menjadi agen propaganda mereka yang berkesan. Perkembangan terbaru MH370 memberi pukulan maut terhadap integriti para pemimpin kerajaan Malaysia dalam penyampaian maklumat. Bayangkan kaji selidik oleh penyelidik profesional Merdeka Center terhadap rakyat Malaysia sendiri menunjukkan 54 peratus yakin kerajaan BN menyembunyikan maklumat mengenai kejadian sebenar kehilangan MH370, hanya 26 peratus yang percaya kerajaan bercakap benar.

Saban hari media-media utama negara menjalankan propaganda dengan baik sekali bagi menunjukkan bahawa kerajaan bertindak betul dan bercakap benar, walhal majoriti rakyat tidak mempercayainya sebaliknya menganggap kerajaan berbohong. Dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat ini banyak tersebar di alam siber.

Penyebar maklumat tak semestinya profesional tetapi apabila terdapat kalangan yang berjaya mengemukakan bukti meyakinkan bahawa kerajaan tidak bercakap benar maka maklumat itu dikongsi dengan pantas oleh para pemilik akaun alam siber.

Bukan sahaja isu MH370 tetapi pelbagai isu lain seperti Panda RM25 juta, kangkong, dakwaan salah laku Rosmah Mansor TPM Muhyiddin Yassin dan sebagainya tersebar dengan pantas di alam maya

Bilangan pengguna internet di Malaysia kini menghampiri 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.

Menurut laporan Kementerian Kewangan kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.

Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan surat khabar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial. Nah, masakan BN tidak ‘pening kepala’ kerana bencana yang paling besar bagi BN ialah apabila rakyat mendapat maklumat yang betul.

Cadangan BN untuk menggunakan atau lebih tepat lagi, membesarkan penggunaan macai tidak harus dipandang sepi oleh Pakatan kerana mereka boleh menyalahgunakan duit rakyat untuk menyediakan peruntukan ke arah itu.

Pahlawan maya penyokong Pakatan sudah terlalu ramai di alam siber. Mereka bekerja de ngan sukarela. Pihak berkenaan dalam Pakatan cuma perlu mantapkan dengan sentuhan dan pengemblengan, supaya gerak kerja mereka lebih berkesan maka insya-Allah, BWA ciptaan Ahmad Maslan akan lenyap macam MH370.

Oleh ZULKIFLI YAHAYA (DD)

PM terpalit 'salah guna' geran R&D RM100j?

PKR mendakwa terdapat campur tangan perdana menteri dalam pemberian geran penyelidikan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) RM100 juta untuk sebuah projek komersial.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, campur tangan Datuk Seri Najib Razak itu membayangkan penganugerahannya tidak mengikuti prosedur, seperti dinyatakan.

Dakwanya, berdasarkan surat surat kelulusan dari Menteri Mosti Datuk Dr Ewon Ebin kepada sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui di Pahang, terang-terangan menunjukkan geran R&D diluluskan dengan arahan perdana menteri.

“Lebih dari itu, pemberian geran kepada syarikat ini adalah bagi sebuah projek komersial yang melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta diberikan kepada satu syarikat sahaja,” katanya.

Rafizi berkata, amalan itu bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D bawah MOSTI bahawa ia harus diberikan bagi projek bawah RM2 juta dan bukan untuk projek komersial.

The Malay Mail Online semalam melaporkan Timbalan Menteri Mosti Datuk Abu Bakar Mohamad Diah sebagai berkata, kementerian tidak menguruskan secara langsung pemberian geran itu tetapi dibuat melalui jawatankuasa bebas.

Rafizi dalam sidang medianya hari ini turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak memberi pinjaman mudah kepada syarikat tersebut, dan bukannya geran.

"Stim sebagai satu produk bukan perkara baru. Sepatutnya, untuk projek komersial seperti ini, pembiayaan seharusnya diperolehi daripada bank, walaupun ia satu projek berkepentingan negara," katanya.

Dalam kenyatannyam, beliau turut mempersoalkan sekiranya firma lain dalam industri berkenaan juga layak mendapat geran sebesar itu.

“Jika syarikat ini diberikan geran sedemikian rupa besarnya iaitu RM100 juta, apakah MOSTI bersedia mengumumkan bahawa syarikat-syarikat lain yang mengusahakan projek komersial seumpama itu atau terlibat di dalam industri teknologi juga boleh memohon geran untuk membiayai projek-projek mereka?” soalnya.

'Mungkin tak perlu bayar balik'

Beliau juga berkata, oleh kerana RM100 diberikan dalam bentuk geran, maka syarikat itu mungkin tidak perlu membayar balik satu sen pun kepada kerajaan.

Katanyam beliau menunggu penjelasan Najib (kiri) dan Dr Ewon dan mendakwa mempunyai “dokumen-dokumen lain yang lebih lengkap”.

Syarikat swasta yang menerima geran itu sudah terlibat dengan perniagaan lebih sedekad lalu, menurut laman webnya.

Dinyatakan juga, syarikat itu mensasarkan menjadi syarikat bertaraf dunia dalam bidang kimia dan tenaga boleh diperbaharui.

Malaysiakini sudah menghubungi jurucakap syarikat di Pahang yang mengesahkan mereka sudah membina loji dandang di Terengganu dan ia hampir siap.

Nama syarikat itu tidak dinyatakan buat masa ini sementara menunggu jawapan daripada pengarahnya.

Rafizi berkata beliau tidak tahu sekiranya dana berkenaan sudah disalurkan, dan berjanji untuk membuat pendedahan selanjutnya dalam minggu ini.

"Buat masa ini, biarlah rakyat umum meneliti sama ada stim layak mendapat loji RM100 juta,” katanya.


-MK

Bantah GST Tetap Di Dataran Merdeka

Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Dataran Merdeka kini dalam proses pengubahsuaian, himpunan bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetap akan dijalankan, kata Mohamad Sabu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (kiri) dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bercakap kepada media di luar Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 21 April, 2014.

Timbalan presiden PAS itu berkata, himpunan pada 1 Mei itu akan tetap berlangsung di Dataran Merdeka namun tidak menganggu kawasan pengubahsuaian.

“Bahagian ubah suai, biar diubah suai. (Kita buat) di bahagian tak diubah suai. Bahagian kosong.

“Setakat ni begitulah,” katanya menjawab pertanyaan wartawan yang inginkan kepastian berhubung lokasi perhimpunan itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengesahkan kerja naik taraf Dataran Merdeka hanya dapat disiapkan menjelang Jun tahun ini.

Katanya, projek naik taraf yang melibatkan bahagian padang bernilai RM3.8 juta, ditutup bagi proses penanaman semula rumput di kawasan itu.

Ahmad Phesal berkata, kerja naik taraf merangkumi 21 proses kerja termasuk sistem saliran air permukaan dan saliran bawah tanah, pemulihan dan penggiatan semula tanah atas, penanaman benih, pembinaan sistem pengairan automatik dan pembekalan sistem pelapik rumput.

Mohamad berkata hasil perbincangan bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad menunjukkan hasil yang positif dan mereka saling bertukar pandangan.

Katanya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan memulakan perarakan dari KLCC menuju ke Dataran Merdeka dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) akan berada di sekitar Kuala Lumpur.

“Perbincangan berjalan lancar dan insya-Allah kami daripada PR mengerahkan ahli dan para penyokong untuk bersama-sama dengan NGO yang menjadi penganjur kepada perhimpunan.

“Kita harap semua akhbar dan blog memberi hebahan tentang perhimpunan ini untuk kita menentang GST, rasuah dan penyelewengan yang menyebabkan rakyat menanggung bebab akibat ketirisan sehingga kerajaaan terpaksa memperkenalkan GST untuk mencari dana atas kekurangan pendapatan mereka,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang.

Ketika ditanya, adakah apa-apa persiapan yang dilakukan pihak PR, Mohamad berkata: “Tiada persiapan apa-apa. Datang berkumpul, dengar ucapan dan bersurai.

Bulan lalu, jurucakap jawatankuasa penganjur perhimpunan bantah GST, S Arutchelvan dan beberapa pemimpin lain mengadakan rundingan bersama pihak polis.

Antara NGO yang akan turut sama memberi sokongan dalam perhimpunan ini adalah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) dan beberapa pertubuhan lain. -- TMI

Bomoh 1Malaysia Di Gua Tempurung, Mana JAKIM, Mana Jabatan Agama?

Selepas dikecam hebat ekoran kemunculan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ritual ‘Seru Mayat Untuk Timbul’, Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengadakan ritual ‘menghalau puaka’ di KM306.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung.

Kawasan tersebut menjadi tumpuan oleh kerana menjadi lokasi kemalangan yang meragut nyawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, 73 dan pembantunya, Michael Cornelius apabila kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki berlanggar dengan lori Mitsubishi Canter.

Gambar ritual Ibrahim yang tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter mengakibatkan pelayar laman sosial sekali lagi bangkit mengecam tindakan berkenaan.

Rata-rata rakyat Malaysia mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap beliau daripada terus mengadakan kegiatan yang disifatkan salah disisi agama.

Namun sejak kehadiran beliau yang membuat ritual mencari MH370 dikecam rakyat Malaysia dan media antarabangsa, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam.

Keadaan ini dilihat seolah-olah beliau mendapat ‘perlindungan khas’ pihak tertentu.

Hal Ini kerana Mesyuarat Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 22-23 November 2004 memutuskan rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan akidah kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat dan penipuan

Memetik paparan blog Anak-anak Negeri Sembilan, Raja Bomoh berkenaan mendakwa kematian Karpal Singh baru-baru ini berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung yang banyak berkeliaran di kawasan tersebut.

Katanya, kawasan sekitar laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam. - Selangorkini

Kenapa Polis tidak kawal orang ramai di majlis pengebumian Karpal?

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan mengkaji masalah yang timbul sehingga polis tidak muncul untuk mengawal kehadiran orang ramai di majlis pengebumian MP Bukit Gelugor Karpal Singh semalam.



“Kami berharap orang ramai dapat memaafkan dan tidak mempedulikan masalah yang timbul semasa pengebumian itu. Polis tidak muncul seperti dirancang untuk mengawal orang ramai di luar Dewan Sri Pinang,” kata Lim dalam kenyataannya.

“Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasi punca polis tidak muncul seperti dirancang, dan seterusnya mengatasi kelemahan yang mungkin menyulitkan orang ramai,” katanya.




Lim mendakwa seramai 25,000 orang hadir di majlis penghormatan peringkat negeri itu.

"Kehadiran begitu ramai orang itu tidak disangka. Kami ingin memohon maaf kepada semua yang datang dari jauh tertapi tidak berpeluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh.

Lim turut memuji seramai 3,000 penunggang motosikal yang mengiringi keranda Karpal untuk pengebumian.



Katanya, penghormatan dari golongan berkenaan amat bermakna kepada Karpal kerana ia menunjukkan rakyat biasa menyanjungi MP tersebut. Menurut Lim, pengebumian tersebut “mungkin yang terbesar dalam sejarah Pulau Pinang” lapor Malaysiakini di SINI

Sunday, April 20, 2014

Obama tak jumpa Anwar bila lawat Malaysia

Tidak ada sebarang jadual pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila presiden Amerika Barack Obama melawat Malaysia pada 26 April depan.

Penasihat keselamatan negara Amerika, Susan Rice berkata, tiada sebarang perancangan seperti itu walaupun mungkin ada pertemuan dengan pegawai peringkat rendah, lapor AFP.

"Saya rasa presiden mungkin tidak ada pertemuan itu (dengan Anwar) - mungkin ada tugasan lain di peringkat lain," Susan dipetik sebagai berkata.

Lawatan Obama dibuat selepas lebih sebulan Anwar disabit oleh
Mahkamah Rayuan atas tuduhan liwat dan dihukum lima tahun penjara.

Anwar kini mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan.

Beberapa tokoh terkemuka AS mengkritik kerajaan Malaysia apabila Anwar dibicarakan atas tuduhan liwat buat kali kedua pada 2010.

Bekas Naib Presiden Amerika, AL Gore dan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolfowitz menyifatkannya sebagai tuduhan yang 'direka'.

Bagaimanapun, pentadbiran Obama nampaknya membisu berkaitan perkara itu dan lebih menumpukan kepada usaha mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan Malaysia.

Lawatan Obama ke Malaysia akan menjadi yang pertama oleh Presiden Amerika dalam tempoh hampir setengah abad.

Semasa lawatan itu, Obama dijangka mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta menghadiri majlis makan malam negara.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin muda dari Asia Tenggara dan bertemu dengan wakil-wakil masyarakat sivil di Kuala Lumpur. -MK