PENGERUSI Biro Publisiti dan Penerangan BN, Dato’ Ahmad Maslan berkata, parti itu bercadang mewujudkan unit tentera siber, ‘Blue Wave Army’ (BWA) dalam usaha melawan serangan daripada ‘Red Bean Army (RBA)’.
RBA adalah sebuah rangkaian siber yang tercetus daripada khayalan para pemimpin BN selepas kecewa kerana ditolak oleh majoriti pengundi Cina dalam PRU13 lalu.
Hakikatnya tidak wujud pun apa yang dikatakan RBA.
Menurut Ahmad, BWA akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.
Penubuhan unit seperti itu bukan baharu bagi Umno atau BN.
Pasca PRU12 di mana buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, parti pemerintah tua itu telah menubuhkan pelbagai unit siber pro BN dengan mendapat peruntukan besar menggunakan dana kerajaan.
PM Dato’ Seri Najib Razak sekurang-kurangnya sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan tentera sibernya untuk melancarkan serangan propaganda dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat sebelum PRU13 lalu. Sebahagian mereka dibekalkan dengan elaun dan gajet ICT. Walaupun mereka menggelarkan diri sebagai pahlawan siber, penggiat alam maya lebih senang memanggil mereka sebagai macai.
Ribuan macai yang hanya menggunakan akaun Facebook atau Twitter hanya diberi imbuhan sekali-sekala. Manakala macai pada tahap yang lebih atas, biasanya pengendali laman web atau blog akan mendapat elaun tetap yang lumayan. Mereka dilatih untuk melakukan kerja jahat di bidang propaganda secara berkesan melalui kursus-kursus profesional.
Perkara ini didedahkan kepada saya oleh seorang bekas macai yang mungkin telah insaf daripada kegiatan songsang mereka suatu masa dahulu. Para macai yang bertebaran seluruh negara ini pula tidaklah berada di bawah satu kumpulan tetapi pelbagai kumpulan.
Saya sangat yakin bahawa dana yang digunakan untuk menyara para macai ini adalah daripada duit kerajaan. Maksudnya duit daripada poket rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.
Pelik, takkanlah Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan Umno tidak tahu mengenai kegiatan macai mereka bekerja sepenuh masa di alam siber, tiba-tiba mengumumkan pula untuk menubuhkan BWA. Atau pengumuman itu bertujuan menagih dana daripada Najib supaya terus dapat membaham duit rakyat demi kepentingan para macai BN.
Dalam situasi media-media utama dalam negara dikongkong sepenuhnya oleh BN, sepatutnya mereka tidak perlu khuatir sebarang maklumat daripada pihak pembangkang. Malaysia menduduki tangga ke-147 dalam dunia dari aspek kebebasan akhbar. Apa nak dikhuatirkan apabila 100 peratus media elektronik bukan siber dalam negara adalah pengampu BN dan anti-Pakatan Rakyat?
Mutakhir ini BN terpaksa menerima hakikat bahawa media elektronik (radio dan televisyen) sudah tidak berupaya menjadi agen propaganda mereka yang berkesan. Perkembangan terbaru MH370 memberi pukulan maut terhadap integriti para pemimpin kerajaan Malaysia dalam penyampaian maklumat. Bayangkan kaji selidik oleh penyelidik profesional Merdeka Center terhadap rakyat Malaysia sendiri menunjukkan 54 peratus yakin kerajaan BN menyembunyikan maklumat mengenai kejadian sebenar kehilangan MH370, hanya 26 peratus yang percaya kerajaan bercakap benar.
Saban hari media-media utama negara menjalankan propaganda dengan baik sekali bagi menunjukkan bahawa kerajaan bertindak betul dan bercakap benar, walhal majoriti rakyat tidak mempercayainya sebaliknya menganggap kerajaan berbohong. Dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat ini banyak tersebar di alam siber.
Penyebar maklumat tak semestinya profesional tetapi apabila terdapat kalangan yang berjaya mengemukakan bukti meyakinkan bahawa kerajaan tidak bercakap benar maka maklumat itu dikongsi dengan pantas oleh para pemilik akaun alam siber.
Bukan sahaja isu MH370 tetapi pelbagai isu lain seperti Panda RM25 juta, kangkong, dakwaan salah laku Rosmah Mansor TPM Muhyiddin Yassin dan sebagainya tersebar dengan pantas di alam maya
Bilangan pengguna internet di Malaysia kini menghampiri 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012.
Menurut laporan Kementerian Kewangan kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.
Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan surat khabar dengan penggunaan internet yang meluas untuk rangkaian sosial. Nah, masakan BN tidak ‘pening kepala’ kerana bencana yang paling besar bagi BN ialah apabila rakyat mendapat maklumat yang betul.
Cadangan BN untuk menggunakan atau lebih tepat lagi, membesarkan penggunaan macai tidak harus dipandang sepi oleh Pakatan kerana mereka boleh menyalahgunakan duit rakyat untuk menyediakan peruntukan ke arah itu.
Pahlawan maya penyokong Pakatan sudah terlalu ramai di alam siber. Mereka bekerja de ngan sukarela. Pihak berkenaan dalam Pakatan cuma perlu mantapkan dengan sentuhan dan pengemblengan, supaya gerak kerja mereka lebih berkesan maka insya-Allah, BWA ciptaan Ahmad Maslan akan lenyap macam MH370.
Oleh ZULKIFLI YAHAYA (DD)
Monday, April 21, 2014
Rakyat tolak media utama, BN nak guna macai?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.