Monday, April 21, 2014

PM terpalit 'salah guna' geran R&D RM100j?

PKR mendakwa terdapat campur tangan perdana menteri dalam pemberian geran penyelidikan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) RM100 juta untuk sebuah projek komersial.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, campur tangan Datuk Seri Najib Razak itu membayangkan penganugerahannya tidak mengikuti prosedur, seperti dinyatakan.

Dakwanya, berdasarkan surat surat kelulusan dari Menteri Mosti Datuk Dr Ewon Ebin kepada sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui di Pahang, terang-terangan menunjukkan geran R&D diluluskan dengan arahan perdana menteri.

“Lebih dari itu, pemberian geran kepada syarikat ini adalah bagi sebuah projek komersial yang melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta diberikan kepada satu syarikat sahaja,” katanya.

Rafizi berkata, amalan itu bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D bawah MOSTI bahawa ia harus diberikan bagi projek bawah RM2 juta dan bukan untuk projek komersial.

The Malay Mail Online semalam melaporkan Timbalan Menteri Mosti Datuk Abu Bakar Mohamad Diah sebagai berkata, kementerian tidak menguruskan secara langsung pemberian geran itu tetapi dibuat melalui jawatankuasa bebas.

Rafizi dalam sidang medianya hari ini turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak memberi pinjaman mudah kepada syarikat tersebut, dan bukannya geran.

"Stim sebagai satu produk bukan perkara baru. Sepatutnya, untuk projek komersial seperti ini, pembiayaan seharusnya diperolehi daripada bank, walaupun ia satu projek berkepentingan negara," katanya.

Dalam kenyatannyam, beliau turut mempersoalkan sekiranya firma lain dalam industri berkenaan juga layak mendapat geran sebesar itu.

“Jika syarikat ini diberikan geran sedemikian rupa besarnya iaitu RM100 juta, apakah MOSTI bersedia mengumumkan bahawa syarikat-syarikat lain yang mengusahakan projek komersial seumpama itu atau terlibat di dalam industri teknologi juga boleh memohon geran untuk membiayai projek-projek mereka?” soalnya.

'Mungkin tak perlu bayar balik'

Beliau juga berkata, oleh kerana RM100 diberikan dalam bentuk geran, maka syarikat itu mungkin tidak perlu membayar balik satu sen pun kepada kerajaan.

Katanyam beliau menunggu penjelasan Najib (kiri) dan Dr Ewon dan mendakwa mempunyai “dokumen-dokumen lain yang lebih lengkap”.

Syarikat swasta yang menerima geran itu sudah terlibat dengan perniagaan lebih sedekad lalu, menurut laman webnya.

Dinyatakan juga, syarikat itu mensasarkan menjadi syarikat bertaraf dunia dalam bidang kimia dan tenaga boleh diperbaharui.

Malaysiakini sudah menghubungi jurucakap syarikat di Pahang yang mengesahkan mereka sudah membina loji dandang di Terengganu dan ia hampir siap.

Nama syarikat itu tidak dinyatakan buat masa ini sementara menunggu jawapan daripada pengarahnya.

Rafizi berkata beliau tidak tahu sekiranya dana berkenaan sudah disalurkan, dan berjanji untuk membuat pendedahan selanjutnya dalam minggu ini.

"Buat masa ini, biarlah rakyat umum meneliti sama ada stim layak mendapat loji RM100 juta,” katanya.


-MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.