Thursday, November 24, 2016

Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?







Dalil-dalil yang melarang


إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلاَ تَصُومُوا
“Jika telah sampai kepada separuh Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa.” (HR. at-Tirmizi no. 738 dan Abu Daud no. 2337)
Dalam lafaz lain,
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ
“Jika telah separuh bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga tibanya Ramadhan.” (HR. Ibnu Majah no. 1651)
Dalam lafaz yang lain lagi,
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ
“Jika telah masuk separuh bulan Sya’ban, maka tahanlah diri daripada berpuasa hingga tibanya bulan Ramadhan.” (HR. Ahmad)
Penilaian ulama’ hadis.


Ulama’-ulama’ yang mensahihkan hadis-hadis
ini ialah: At-Tirmizi, Ibnu Hibban, Al-Hakim, At-Tahawi, dan Ibnu
‘Abdil Barr. Di antara ulama terkemudian yang mensahihkannya adalah
Syaikh Al-Albani rahimahullah.
Ulama’-ulama’ yang menolak hadis
di atas pula dan menganggap ia mungkar ialah: adalah ’Abdurrahman bin 
Mahdi, Imam Ahmad, Abu Zur’ah Ar-Rozi, dan Al-Atsrom.
Hadis-hadis di atas dianggap mungkar oleh mereka kerana ia
bertentangan dengan hadis larangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum
Ramadhan. Larangan tersebut menunjukkan bolehnya berpuasa selepas 15
Sya’ban.
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ
“Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari atau dua hari berpuasa.” (HR. Muslim no. 1082
Al-Atsrom berkata:“Hadis larangan berpuasa setelah separuh bulan
Sya’ban bertentangan dengan hadis lainnya. Ini kerana Nabi sallallahu
‘alaihi wa sallam sendiri berpuasa di bulan Sya’ban seluruhnya
(kebanyakan harinya) dan baginda melanjutkan dengan berpuasa di bulan
Ramadhan. Hadis di atas juga bertentangan dengan hadis yang melarang
berpuasa dua hari sebelum Ramadhan. Kesimpulannya, hadis tersebut adalah
hadis yang syadz, bertentangan dengan hadis yang lebih kuat.”
At-Tahawi menyatakan bahawa hadis larangan berpuasa setelah separuh
Sya’ban adalah hadis yang mansukh (sudah dihapus). Bahkan At-Tahawi
menceritakan bahawa telah ada ijma’ (kesepakatan ulama) untuk tidak
beramal dengan hadis tersebut. Dan kebanyakan ulama memang tidak
mengamalkan hadis tersebut.
Akan tetapi Imam Syafie dan ulama’-ulama’ mazhab Syafie serta
sebahagian ulama Hanbali yang terkemudia berpendapat bahawa larangan
berpuasa setelah separuh bulan Sya’ban adalah bagi orang yang tidak
memiliki kebiasaan berpuasa ketika itu. Jadi bagi yang memiliki
kebiasaan berpuasa (seperti puasa Isnin-Khamis), boleh berpuasa ketika
itu, menurut pendapat ini. (Lihat Lathoif Al Ma’arif, 244-245)
Pendapat yang tepat dalam masalah ini adalah tidak ada masalah
puasa setelah pertengahan Sya’ban kerana hadis larangan tersebut
termasuk hadis lemah, apatah lagi jika pelakunya memang biasa berpuasa.




Larangan berpuasa Satu atau Dua Hari Sebelum Ramadhan
Dari Abu Hurairah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari atau dua hari
berpuasa kecuali jika seseorang memiliki kebiasaan berpuasa, maka
berpuasalah.” (HR. Muslim no. 1082)
Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata, berpuasa di akhir bulan Sya’ban ada tiga bentuk:
Pertama, jika berniat dalam rangka berhati-hati dalam perhitungan
puasa Ramadhan sehingga dia berpuasa terlebih dahulu, maka seperti ini
jelas terlarang.
Kedua, jika berniat untuk berpuasa nazar atau mengqadha puasa
Ramadhan yang belum dikerjakan, atau membayar kafarah (tebusan), maka
kebanyakan ulama membolehkannya.
Ketiga, jika berniat berpuasa sunnah semata, maka ulama yang
mengatakan harus ada pemisah antara puasa Sya’ban dan Ramadhan melarang
hal ini walaupun itu mencocoki kebiasaan dia berpuasa, di antaranya
adalah Imam Hasan al-Basri.
Namun yang tepat dilihat apakah puasa tersebut adalah puasa yang
biasa dia lakukan ataukah tidak. Ini berdasarkan teks hadis di atas.
 Jadi jika satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kebiasaan dia
berpuasa –seperti puasa Isnin-Khamis-, maka itu dibolehkan. Namun jika
tidak, itulah yang terlarang. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam
Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dan Al-Auza’i. (Lihat Lathoif Al Ma’arif,
257-258)




Kenapa ada larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan?
Pertama, jika berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah
dalam rangka hati-hati, maka hal ini terlarang agar tidak menambah hari
berpuasa Ramadhan yang tidak dituntunkan.
Kedua, agar memisahkan antara puasa wajib dan puasa sunnah.
Memisahkan antara amalan yang wajib dan sunnah adalah sesuatu yang
disyariatkan. Sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang
menyambungkan solat wajib dengan solat sunnah tanpa diselangi dengan
salam atau zikir terlebih dahulu.(Lihat Lathoif Al Ma’arif, 258-259)
Tulisan asal Ustaz Muhammad Abdul Tuasikal.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.