Wednesday, November 9, 2016

Trump presiden baru Amerika

Calon Republikan, Donald Trump menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dengan memperolehi 276 undi manakala pencabarnya, Hilary Clinton dari parti Democrat hanya meraih 218 undi.

Memetik laporan AP, kerusi terakhir yang dimenang Trump adalah Winconsin yang memberinya 10 undi electoral.



Parti Republikan juga menyapu bersih kedua-dua dewan - iaitu Senat dan Kongres.

Dengan kemenangan itu, Trump menjadi presiden pertama Amerika yang bukan seorang ahli kongres atau senat.

Beliau sebelum ini adalah ahli perniagaan bergelar jutawan dan personaliti program realiti televisyen.
Kejayaan pada usia 70 tahun dengan kempen bertemakan 'Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi' juga membolehkan Trump menafikan hasrat Clinton untuk menjadi presiden wanita pertama Amerika.

Dilahirkan di bandaraya New York, Trump bukan personaliti yang asing bagi media seluruh dunia semenjak menerajui firma hartanah terkemuka, The Trump Organization dan dikatakan bernilai AS$3.7 bilion oleh Forbes and AS$3 billion oleh Bloomberg pada tahun ini.

Kemenangan bapa kepada lima orang anak menerusi tiga perkahwinan dan datuk kepada lapan orang cucu itu itu akan menarik perhatian dunia terutama Malaysia ekoran beberapa kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini.

Antaranya, Trump mencetuskan kontroversi setelah dilaporkan tidak menyokong perjanjian terbabit Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selain menggesa larangan terhadap orang Islam daripada memasuki AS.

Trump dilaporkan berkata, umat Islam perlu disekat secara menyeluruh daripada memasuki AS sehingga kerajaan dapat menyiasat keadaan (keganasan) yang sedang berlaku di negara itu.

Berdasarkan perkembangan tersebut, pasaran global telah menjadi kucar-kacir kerana para peniaga terkejut dengan keputusan semasa yang berlainan daripada jangkaan mereka.

"Para peniaga yang panik bergegas untuk mengampil semula pertaruhan sejak dua hari lalu di tengah-tengah ramalan Clinton akan menyapu ke kemenangan mudah.

"Niaga hadapan S&P 500 menjunam lebih daripada 4 peratus, manakala peso Mexico yang menjadi barometer persepsi pelabur undi Amerika turun paling teruk dalam tempoh lapan tahun," kata Bloomberg lagi.

Dolar AS jatuh berbanding Yen, Euro dan Franc Swiss ekoran perkembangan tersebut yang menyaksikan negeri-negeri Florida, North Carolina dan Ohio menunjukkan sokongan yang padu kepada calon Republikan itu.

Dolar AS jatuh sebanyak 3.5 peratus berbanding Yen yang merupakan penurunan urusniaga harian yang terbesar sejak United Kingdom memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah, 1.8 peratus berbanding Euro dan 2 peratus berbanding Franc Swiss.

Semalam, kajian projek akhir Reuters/Ipsos States of the Nation menyatakan Clinton mempunyai kira-kira 90 peratus peluang untuk menewaskan Trump.

Namun, ramalam tersebut ternyata melesat jika melihatkan perkembangan hari ini walaupun Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa kemajuan yang dimikmati oleh negara tersebut akan menjadi sia-sia terkebelakang jika Trump menang hari ini, memetik laporan Press Trust of India (PTI).
Obama dan Clinton adalah dari parti yang sama.

Sementara itu, Reuters melaporkan, kemenangan Trump di Florida, Virginia, Carolina Utara dan Ohio memberinya kelebihan awal untuk memperolehi 270 undi bagi menjadi kejayaan.

Clinton dilihat oleh pasaran kewangan sebagai lebih cenderung untuk memastikan kestabilan kewangan dan politik.

Di peringkat tempatan, Bernama melaporkan, Bursa Malaysia mengalami kerugian menyeluruh pada tengah hari, selari prestasi bursa serantau, diheret turun oleh minat pelabur yang lemah menjelang keputusan pemilihan Presiden AS, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan 1,648.34, susut 15.48 mata berbanding 1,693.82 pada penutupan Selasa, bergerak antara 1,640.85 dan 1,665.36 di sepanjang dagangan pagi.

Indeks dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,664.12.

Seorang peniaga berkata penurunan dalam indeks komposit disebabkan jualan saham wajaran tinggi utama, diketuai Maybank, yang susut 11 sen kepada RM7.84 dengan 2.03 juta saham didagangkan.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 835 berbanding 84 manakala 200 kaunter tidak berubah, 553 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM959.97 juta.

Indeks FBM Emas susut 125.66 mata kepada 11,573.08, Indeks FBMT100 turun 116.64 mata kepada 11,292.45 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 130.45 mata kepada 12,152.09.

FBM 70 turun 176.69 mata kepada 13,371.39 dan FBM Ace susut 85.13 mata kepada 4,872.82.
Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 25.72 mata kepada 3,130.27, Indeks Kewangan turun 125.55 mata kepada 14,329.35 manakala Indeks Perladangan susut 34.54 mata kepada 7,773.92.

-MK

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.