Showing posts with label Selangor. Show all posts
Showing posts with label Selangor. Show all posts

Wednesday, December 3, 2014

ADUN PAS, Umno tolak tuntutan timb speaker 2

ADUN PAS dan Umno menolak tuntutan yang dikemukakan oleh DAP untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker kedua bagi DUN Selangor.

ADUN Sabak Sallehen Mukhyi berkata tiada keperluan melantik seorang lagi timbalan speaker kerana jawatan speaker daripada DAP dan timbalannya daripada PAS, sudah memadai.

"Keperluan timbalan speaker ini hanya untuk waktu bersidang sahaja. Yang sedia ada cukup efektif dah. Jadi, untuk seorang lagi timbalan speaker tak perlu.

"Daripada guna duit itu untuk bayar (gaji) timbalan speaker, lebih baik disalurkan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas sesi sidang DUN bagi sesi pagi tamat.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias pula berkata, tindakan DAP menuntut jawatan timbalan speaker menunjukkan parti itu tamak kuasa.

Beliau yang juga ADUN Sungai Burong turut mempersoalkan keperluan mewujudkan jawatan itu memandangkan terdapat ahli DAP - Hannah Yeoh - yang telah menjadi speaker sekaligus membazir wang rakyat.

"Saya nak nyatakan bahawa DAP ini tamak kuasa. Dah ada speaker daripada DAP, nak pula timbalan speaker. Apa lagi dia nak?

"Saya rasa tak perlu (jawatan timbalan speaker kedua). Sebab jika tidak, kuranglah tugas mereka (speaker dan timbalan speaker) sebab nanti akan dibahagi tiga, malah membazirkan wang rakyat," katanya.

Isu ini timbul selepas Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyuarakan hasrat untuk melobi jawatan timbalan speaker kedua selepas PAS memenangi jawatan itu melalui undi rahsia yang dijalankan di DUN minggu lalu.

Tony berkata, pihaknya menuntut jawatan itu berdasarkan kesetiaan DAP kepada Pakatan Rakyat semasa krisis menteri besar berlaku.

Sementara itu Exco Pendidikan Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata perkara berhubung pertambahan jawatan timbalan speaker tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

ADUN Seri Setia itu juga berkata buat masa ini, beliau menyokong jika mengekalkan kuota jawatan yang sedia ada tanpa perlu menambah seorang lagi timbalan speaker.

"Isu itu tidak timbul sebab setakat ini kita tidak ada berbincang untuk perkara itu (jawatan timbalan speaker kedua) diadakan. Buat masa ini kita kekalkan apa yang ada pada hari ini iaitu satu timbalan speaker sahaja.

"Sistem sekarang sudah terbaik. Jadi, pada saya untuk masa sekarang tidak ada keperluan untuk tambah," kata ketua AMK PKR.

-mk

Friday, November 14, 2014

S'gor serah kembali Bible yang dirampas

Setelah hampir setahun, kerajaan Selangor akhirnya menyerahkan kembali kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis pagi ini kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat pengerusinya Datuk Bolly Lapok menemui Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penyerahan itu turut disaksikan Menteri Besar Azmin Ali yang berpakaian baju Melayu warna kelabu lengkap bersampin dan bersongkok.

Bolly turut ditemani Setiausaha Agung ACS Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Dr Herman Shastri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sementara itu, sambil mengucapkan syukur dan penghargaan kepada baginda dan semua pihak yang terlibat kerana telah mencapai penyelesaian yang baik dalam isu Bible menerusi usaha ikhlas dan menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.

"Seperti yang saya katakan beberapa kali sejak memegang jawatan menteri besar, pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.

"Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya telah berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

"Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia telah menjadi realiti," katanya dalam satu kenyataan.

Memetik sepotong ayat al-Quran dan pandangan ulama Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyaran supaya menjadi masyarakat dan negara yang adil, Azmin berkata penyerahan kitab Bible itu sebagai "pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan" yang dituntut dalam Islam.

Tegasnya, semua pihak perlu menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri itu dan sentimen pelampau, provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

"Islam adalah rahmatan lil alamin - rahmat untuk semua manusia, dan pentadbiran saya akan terus menyebarkan ajaran Islam dan mempamerkan Selangor sebagai teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan," katanya.

Pada 2 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) bagi membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

-mk

Monday, November 10, 2014

Khalid Ibrahim kembali bersama PAS?

Selepas dua bulan menghilang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka bakal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Taski, bersempena namanya dengan bantuan PAS di kawasan Bandar Tun Razak bagi melaksanakan program "Sajian Rakyat" yang dirancangnya.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat antara ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bersama PAS yang dijalankan minggu lalu Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur berhubung penubuhan NGO tersebut.


"Khalid akan bergerak menggunakan NGO dan beliau meminta bantuan PAS Bandar Tun Razak untuk melaksanakannya," kata Roslan Baharom (gambar), 59, kepada The Malaysian Insider.

Roslan yang ditemui ketika tinjauan di kawasan Parlimen yang dimenangi Khalid dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan kebenaran cawangan parti Islam dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu Khalid.

Roslan, yang merupakan wakil masyarakat dari Zon C di Bandar Tun Razak berkata, tindakan PAS dan Khalid bergerak atas nama NGO itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya krisis antara PKR dan PAS, selepas Khalid dipecat sebagai anggota PKR pada 9 Ogos lalu.

"Kita bergerak menggunakan nama NGO, bukan mewakili parti," kata pesara kakitangan awam itu.

Beliau berkata, antara rancangan Taski adalah menganjurkan Sajian Rakyat seminggu sekali dengan peruntukan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan Khalid untuk setiap program.

"Kita belum membuat keputusan. Kalau seminggu sekali kami tidak sanggup, kami ada program sendiri juga," kata Roslan.

"Tetapi itu peruntukan daripada Khalid sendiri," katanya.

Lokasi pertama Sajian Rakyat juga katanya dijangka akan dilakukan di kawasan perumahan Flat Paya Permai.

"Mesyuarat sudah dijalankan beberapa kali dan saya sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhan NGO itu," katanya.

Turut difahamkan, Taski bakal digerakkan 15 individu yang pernah bekerja bersama-sama Khalid ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.

Mereka termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Faekah Husin, yang kini merupakan pegawai khas Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata Khalid masih lagi ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu.

Khalid dipecat sebagai ahli PKR apabila enggan melepaskan jawatan menteri besar Selangor, apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menggantikan beliau dengan isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Krisis berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan PAS dengan PKR dan DAP apabila parti Islam itu enggan mencalonkan Dr Wan Azizah sedangkan PKR dan DAP bersepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal.

PAS sebaliknya menurut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengkehendaki PR menghantar lebih daripada dua nama untuk baginda pertimbangkan sebagai menteri besar bagi menggantikan Khalid.

Krisis berkenaan tamat apabila Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR dilantik menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

"Beliau (Khalid) juga dijangka bakal membuka pusat khidmat rakyat tidak lama lagi di Bandar Tun Razak," kata Roslan.

Faekah dilaporkan berkata, Sajian Rakyat akan bermula minggu hadapan sebagai usaha Khalid mendekati komuniti dan rakyat di kawasannya dan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Malah, Faekah juga menolak khabar angin yang mengatakan Khalid akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

-tmi

Saturday, October 25, 2014

Umno Selangor salahkan Cina bila kalah

Umno Selangor menyalahkan kaum Cina yang menyebabkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) merudum di negeri itu, mengatakan mereka di sebalik satu gerakan menyebarkan kebencian terhadap gabungan parti pemerintah itu.

Mengulas hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, kaum Cina ekstrem dalam menyokong Pakatan Rakyat (PR).

“Saya melihat satu gerakan yang dibuat mereka untuk membenci BN. Saya lihat kaum Cina begitu membenci BN.

“Keputusan dua kali PRU menunjukkan kaum Cina tidak mengundi BN. Jika kaum ini masih di takuk lama, barangkali saya setuju dengan keputusan mereka (UMcedel),” katanya kepada The Malaysian Insider.

Hasil kajian UMcedel yang diadakan tiga hari selepas Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor bulan lepas menunjukkan sokongan terhadap PR di Selangor melonjak kepada 43% manakala sokongan kepada BN menjunam kepada 20%.

Sementara itu, 28% responden tidak menaruh keyakinan kepada BN dan PR manakala 9% lagi enggan menjawab soalan kajian itu.

Kajian yang dilakukan UMcedel pada Mei tahun ini pula mencatatkan sokongan PR di Selangor lebih rendah, iaitu sekadar 35% manakala sokongan BN pula mencatatkan 25%.

Shukur berkata, kaum Cina yang selama ini mahu PR mentadbir Selangor, tidak seperti kaum Melayu dan India sudah mula beransur-ansur menyokong BN.

Katanya, hasil kajian UMcedel itu lebih menggambarkan sokongan kaum Cina kepada PR di Selangor, dan ia tidak boleh diterjemahkan kepada sokongan pengundi secara umum.

“Pandangan saya, hari ini yang nyata tidak menyokong kita. Satu kaum yang begitu yakin dan sengaja, menjadikan kita bukan pilihan mereka. Kaum itu saja yang begitu ekstrem memberi sokongan kepada parti pembangkang.

"Kita melihat keputusan undi PRU13 di mana peti undi satu kaum, kaum itu saja, yang begitu teruk tidak menyokong kita.

"Jika kajian itu dibuat kepada kaum itu, mungkinlah apa yang dilihat hari ini. Kita yakin Melayu dan India mula kembali kepada BN. Dengan apa yang kita laksanakan hari ini, kita mendapat sambutan daripada orang Melayu dan India,” katanya.

Pandangan Shukur itu turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan yang melihat kaum Melayu dan India mula menyokong BN di Selangor.

Katanya, Umno Selangor kini bekerja keras bagi memastikan bilangan perbezaan kerusi di DUN antara BN dan PR dapat dikurangkan.

“PRU lepas, sokongan Melayu meningkat, cuma undi Cina yang kita tidak dapat. Di kawasan saya, sokongan India bertambah. Sejak apa yang berlaku ini, kita lihat sokongan Melayu ada peningkatan.

“Kita sedang berusaha. Kita cuba sedaya upaya merampas semula. Walaupun kita dengar ada yang kata, tidak boleh hendak rampas, tetapi untuk menaikkan jumlah Adun BN memang boleh,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo pula berkata, berdasarkan hasil kajian UMcedel, 28% yang tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak masih boleh diusahakan untuk kembali kepada BN.

Katanya, jika Umno dapat memenuhi kehendak kumpulan ini, tidak mustahil BN dapat melakukan perubahan menjelang PRU14 akan datang.

“Rakyat yang atas pagar itu sebenarnya sedang tunggu dan lihat apa yang Umno akan lakukan. Andai kata kita bawa idea yang memenuhi kehendak mereka, 28% ini mampu beralih kepada BN.

“Kita perlu perincikan siapakah 28% itu? Daripada jumlah itu, kita perlu tanya apa yang mereka perlu. Kita kena ikut kehendak itu.

“Andai kata Umno lebih menonjolkan idea atau rancangan baru yang boleh memenuhi kehendak rakyat, saya yakin, kita boleh ambil kesempatan itu,” katanya yang turut melihat krisis menteri besar Selangor oleh PR boleh dijadikan peluang Umno.

Bagaimanapun, Ismail yang juga merupakan bekas Adun Lembah Jaya berkata, tidak semua kehendak pengundi boleh dipenuhi.

Katanya, apa sahaja yang diinginkan pengundi di Selangor mesti tidak bertentangan dengan aspirasi orang Melayu di negeri itu.

“Saya sentiasa bertanya kehendak pengundi kerana jika kita dapat penuhi 50% pun kita sudah dianggap berjaya. Andai kata kita mahu tunaikan, ia mesti tidak menjejaskan kepercayaan orang Melayu terhadap Umno dan BN.

Mungkin sesetengah yang mereka kehendaki akan merugikan Melayu, yang itu kita tidak akan tunaikan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Shukur berkata UMcedel berhak membentangkan hasil kajian mereka, namun Umno Selangor akan tetap bekerja keras seperti biasa.

Beliau yang juga Adun Kuang berkata segalanya diserahkan kepada pengundi di Selangor bagi menghakimi prestasi BN dan PR di negeri itu.

“Bagi kami, popular atau tidak, kami terus bekerja seperti biasa. Kami akan berusaha meyakinkan rakyat supaya rakyat memberi kepercayaan kepada kita di masa akan datang.

“Rakyat boleh menilai apa yang kita kerjakan, pada masa sama rakyat boleh menilai apa yang dilakukan kerajaan PR di Selangor,” katanya. –TMI

Thursday, October 23, 2014

Bertaubatlah : Mangsa rogol insaf selepas hamil

SABAK BERNAM - “Bayangkan saya hamil sewaktu saya tingkatan tiga, macam mana saya nak rahsiakannya daripada ibu bapa sedangkan perut makin membesar,” kata Suriyani (bukan nama sebenar), 21.

Suriyani yang kini menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkata, peristiwa lima tahun lalu itu masih segar di ingatan setelah disahkan hamil selepas dirogol seorang lelaki tidak dikenali di sebuah jirat Cina.

Menurutnya, kejadian itu menjadi titik hitam dalam hidupnya selepas dia bersama rakan-rakannya berhibur sambil meneguk minuman keras sebelum dia dipelawa seorang lelaki menaiki sebuah kereta.

“Saya tak sedar apa yang berlaku waktu tu kerana mabuk, sebaik sedar saya dah berada di kubur Cina. Ketika itu rasa dunia ini kelam selepas dirogol dan dibiarkan di kubur,” katanya kepada Sinar Harian.

Suriyani memberitahu, sebulan selepas kejadian itu, dia mula merasakan perubahan pada dirinya akibat sering kali ke tandas kerana mengalami muntah yang teruk terutama ketika sedang belajar di dalam kelas.

“Saya merahsiakan kehamilan ini hingga kandungan berusia sembilan bulan sebelum seorang guru kaunseling menegur saya dan meminta saya berdiri sambil menyuruh saya memegang perut.

“Saya hanya menangis dan memberitahu saya mengandung sembilan bulan sebelum dia membawa saya berjumpa dengan pengetua yang baru dua hari melapor diri di sekolah berkenaan,” katanya.

Menurut anak bongsu dari tujuh beradik itu, ibu bapanya hanya mengetahui dia hamil setelah dia dimasukkan ke sebuah hospital kerajaan pada 13 Mac 2010 dan selamat melahirkan seorang bayi lelaki dua hari selepas itu.

“Memang ibu bapa saya amat kecewa selepas mengetahui saya lahirkan anak luar nikah, tapi apa boleh buat, nasi dah jadi bubur, cuma mereka tak putus-putus beri perangsang kepada saya untuk teruskan hidup,” katanya.

Bagaimanapun, sikapnya yang suka berfoya-foya dengan rakan-rakan masih diteruskan selepas habis berpantang hinggalah dia terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan pindah ke sebuah sekolah baharu.

“Saya mula pergi kelab malam dan minum arak sejak tingkatan satu lagi. Semuanya kerana pengaruh rakan-rakan. Saya rasa segala tekanan hilang setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bersekolah selama dua minggu di sekolah baharu sebelum dia dibawa ibu bapanya menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan Sabak Bernam.

“Pada mulanya memang saya tak nak datang ke sini kerana tak bebas, tapi selepas tinggal beberapa minggu, saya rasa seronok dan jiwa semakin tenang selain tekad untuk berubah,” katanya.

Selepas keluar dari pusat perlindungan wanita itu, Suriyani kemudiannya belajar di sebuah sekolah aliran agama swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setahun lewat daripada rakan-rakan seusianya.

“Saya insaf dan bergaul dengan rakan-rakan yang baik di sekolah agama dan kemudiannya menyambung pengajian di sebuah IPT di Melaka dan berhenti sebelum menyambung pengajian peringkat asasi dan ijazah di kolej sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya dapat menerima dirinya, malah anak yang dilahirkannya itu yang kini berusia lima tahun dijaga baik kakak sulungnya.

“Saya berharap walaupun anak saya bukan anak sah taraf, dia boleh jadi pemimpin yang baik suatu hari nanti.

“Saya sebenarnya malu dengan diri sendiri bagaimana nak bagi tahu dia adalah anak saya, sedangkan dia menganggap saya makciknya, saya harap dia dapat memaafkan kesalahan yang saya lakukan,” katanya.

-sinar harian

Saturday, October 18, 2014

Benarkah Azmin tandatangan surat letak jawatan?

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menafikan bahawa PKR telah memaksanya supaya menandatangani surat peletakan jawatan tidak bertarikh sebelum memegang jawatan itu.

"Takde, takde, itu tak benar," katanya kepada pemberita di Masjid Kg Raja Uda, Klang hari ini.

Beliau diminta mengulas komen di Malaysia Today apa yang didakwa emel antara Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam emel itu, Rafizi didakwa mencadangkan Azmin menandatangani surat peletakan jawatan tidak bertarikh untuk membolehkan parti itu menggunakannya jika beliau tidak mematuhi arahan.

Azmin juga menafikan bahawa Rafizi telah dilantik sebagai setiausaha agung PKR untuk "mengawal beliau".

"Tidak, itu keputusan parti," katanya. -mk

Sunday, October 12, 2014

2 ADUN PAS digantung keahlian

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS digantung keahlian ekoran menyokong Presiden PKR Datuk Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar.

ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin digantung keahlian selama setahun berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (bawah).

Mustafa berkata, keputusan itu dibuat setelah dibincangkan dalam mesyuarat Pusat PAS hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia, kata Mustafa, dibuat berdasarkan fasal 82(6) Perlembagaan PAS.

“Dan keputusan itu telah diambil tadi, yang memutuskan bahawa keduanya digantung selama satu tahun,” katanya.

Kedua-dua ADUN itu boleh merayu secara bertulis terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura dalam tempoh 15 hari.

Shaari dan Hasnul sebelum ini menyatakan sokongan, termasuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Azizah sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tindakan itu mendatangkan kemarahan beberapa pemimpin dalam PAS kerana ia dibuat sebelum parti itu membuat pendiriannya.

Istana Selangor bagaimanapun akhirnya memilih Azmin Ali sebagai pengganti Khalid.

-mk

Tuesday, October 7, 2014

Umno kritik MB Selangor kerana iklan Oktoberfest

Umno Selangor melahirkan rasa kesal dan terkilan terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang meluluskan permohonan pemasangan papan iklan pesta arak 'Oktoberfest'.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan memasang iklan pesta arak itu di beberapa lokasi sekitar daerah Shah Alam itu dilihat tidak bersesuaian dengan persekitaran setempat.

"Waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, iklan-iklan seperti ini tidak dibenarkan, sekarang ini iklan-iklan ini dilihat berdiri megah di sekitar Shah Alam.

"Bagaimana perkara ini boleh dibenarkan...Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin (Ali) sepatutnya peka dengan apa yag berlaku depan mata, jangan asyik nak cari kesalahan menteri besar (Selangor) sebelum ini sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Korban Perdana 2014 peringkat Parlimen Tanjong Karang di sini, hari ini.

Beliau berkata, Azmin perlu mengambil langkah segera bagi membendung perkara itu supaya bandaraya Shah Alam tidak lagi dicemari dengan pelbagai iklan arak.

'Oktoberfest' atau festival arak yang dianjurkan syarikat Carlsberg Malaysia itu telah bermula sejak 24 Sept lepas, di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Time Square Hotel.

Kemuncak pesta tersebut pula akan diadakan pada 10 hingga 12 Okt ini di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Terdahulu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyertai penduduk kawasan parlimen itu melaksanakan ibadah korban membabitkan 23 ekor lembu sempena Aidiladha semalam. - Bernama

Isteri dipukul kerana baju Melayu

Subang Jaya: Hanya kerana terlupa memasukkan baju Melayu untuk menyambut hari raya Aidiladha di kampung, seorang lelaki tergamak memaki hamun dan membelasah isterinya di kediaman mereka di Putra Height, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa berusia 30-an pada mulanya mengemas beg pakaian mereka sekeluarga, namun terlupa memasukkan baju Melayu yang tersimpan di dalam almari.
Menurut sumber, lelaki itu yang menyedari hal itu bertanya kepada mangsa menyebabkan wanita itu meminta maaf kerana terlupa.

“Suspek yang tidak dapat menerima permohonan maaf isterinya menghamburkan kata-kata kesat sehingga berlaku pertengkaran.


“Pertengkaran itu bertukar ganas apabila suspek gagal mengawal kemarahannya dan menumbuk muka mangsa,” katanya.


Sumber berkata, dia turut menendang perut dan menyepak mangsa beberapa kali menyebabkan isterinya itu mengerang kesakitan.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Putra Height untuk tindakan selanjutnya.

-mymetro

Monday, October 6, 2014

Sampai bila PR mahu bercakaran?

SHAH ALAM – Pas disifatkan silap besar sekiranya meneruskan niat untuk bercakaran dengan parti sekutunya dalam PR, PKR dan DAP.

Pemerhati politik menyifatkan, ketiga-tiga parti itu harus mengakui bahawa mereka saling memerlukan antara satu sama lain bagi membentuk kuasa yang lebih kuat untuk mengalahkan musuh politik, BN.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, Pas tidak seharusnya meneruskan percakaran dengan rakan komponennya demi tidak menjejaskan kepercayaan pengundi kepada pakatan itu dalam pilihan raya akan datang.

“Jika Pas keluar PR, memang DAP dan PKR akan terjejas. PR akan mempunyai kekuatan yang sendiri tapi tidak sama dengan adanya Pas di dalam itu.

“Jadi, mereka ini saling memerlukan dan melengkapi. Justeru Pas, saya percaya akhirnya akan sampai kepada kewarasan dan kebijaksanaannya untuk kekal dalam PR,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila parti-parti itu akan menghentam antara satu sama lain dan terus memburukkan keadaan.

“Sampai bila mereka harus saling menghentam? Pas hentam DAP atau PKR dan mereka pula menghentam Pas, ini tidak akan menyelesaikan masalah tapi akan memburukkan keadaan.

“Ia akan menjejaskan bukan saja reputasi Pas tapi kesemua parti komponen PR. Seterusnya merugikan kesemua pihak dalam PR itu.

“Jadi, yang menerima padahnya ialah PR, sebagai satu pakatan. Bukan saja untuk sekarang tapi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, luahan perasaan berapi Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang pada sidang Muktamar Pas yang lalu seolah-olah membuka laluan kepada pimpinan lain untuk turut bersuara.

“Saya lihat ulasan yang diberi Presiden Pas semacam memberi lampu hijau kepada pimpinan Pas yang lain untuk bersuara, bukan dia (Abdul Hadi) saja.

“Nampaknya, kalau begini keadaannya, saya rasa jangka hayat Pas dalam PR mungkin tidak lama,” katanya.

Menurutnya, keputusan Pas yang akhirnya tampil bersuara itu ekoran timbul rasa muak dengan tekanan demi tekanan yang dibuat parti rakannya itu ditambah dengan isu pelantikan Menteri Besar Selangor.

“Saya rasa begitu (pimpinan Pas sudah muak dengan tekanan PKR dan DAP). Mereka dah muak dengan pelbagai...dah bosan kerana tidak ada pembaharuan ataupun tidak ada penyelesaian pun.

“Mereka hanya menyuarakan rasa tidak puas hati tapi penyelesaian tidak ada. Sepatutnya mereka ini kena duduk berbincang.

“Tapi saya difahamkan, pimpinan PR ini tidak bersemuka. Jadi susah juga untuk selesaikan masalah ini.

“Mereka ini hanya menyatakan rasa tak puas hati ini melalui media untuk melepaskan rasa itu,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi membidas pihak yang ‘mencuri’ dua Adun Pas bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Abdul Hadi mendakwa terdapat 'broker' dan 'barua' yang mencuri dua Adun Pas itu untuk menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR itu untuk jawatan tersebut.

Sementara, pimpinan Pas seperti AJK Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasrudin Hassan serta Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki lantang mengkritik DAP dan PKR termasuk mendakwa parti itu menjadi mangsa buli parti komponen PR.

-sinar harian

Sunday, October 5, 2014

MB Selangor baru 'terjah' lori sampah

Dari longkang sehingga lori sampah, tiada apa-apa terlalu remeh buat Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali - sekurang-kurangnya itulah imej yang tergambar melalui publisiti yang menggelarkan beliau sebagai Jokowi Malaysia.

Dengan telefon pintar yang setiasa tersedia, penyokong Azmin telah membanjiri media sosial dengan gambar beliau yang kelihatan seperti tidak kisah untuk mengotorkan kemeja putih lengan pendeknya sewaktu turun padang.

Gambarnya sewaktu memanjat lori sampah pagi semalam mengingatkan kita kepada sidang media di tapak pembuangan sampah oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang meningkat popular dalam politik secara sekelip mata.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dikenali ramai dengan gaya 'blusukan' (istilah Indonesia untuk turun padang) sejak beliau berkempen untuk jawatan gabenor Jakarta lagi sebelum menang pemilihan presiden Indonesia.

Namun, Azmin menggunakan istilah "terjah', istilah dengan rujukan budaya popular yang biasanya merujuk kepada situasi apabila selebriti didatangi wartawan dan jurugambar secara mengejut.

Istilah itu diguna Azmin sewaktu membalas twit seorang penyokongnya yang menghantar imej beliau memanjat lori sampah ke laman blog mikro Twitter.

-mk

Friday, October 3, 2014

MCA dakwa Azmin masih dikawal oleh Anwar

MCA menyatakan rasa kecewa kerana Menteri Besar Azmn Ali didakwa masih dikawal oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Azmin nampaknya masih dikawal jauh oleh Anwar,” kata pengerusi publisiti MCA Wilayah Persekutuan, Lau Chin Kok dalam satu kenyataan semalam.

Lau merujuk kepada tindakan Azmin yang mengekalkan Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri, yang dianggapnya “meletakkan Selangor dalam tangan kotor Anwar”.

Pejabat penasihat ekonomi ditutup pada hari terakhir perkhidmatan Tan
Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar pada 22 September lalu

Lau (kiri) mendakwa Khalid dipaksa berundur kerana enggan beralah kepada Anwar dalam isu penstruktruran semula industri air Selangor.

"Rakyat perlu diingatkan bahawa krisis air yang berlaku di Selangor tidak lain lagi disebabkan oleh halangan Pakatan Rakyat dalam pembinaan Langat 2," katanya.

Katanya, MCA berharap Azmin akan menunjukkan ketahanan dalam menjaga kebajikan rakyat “tanpa rasa takut dan pilih kasih”.

Beliau juga menyeru agar anggota exco PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pendidikan untuk memberi layanan adil kepada semua sekolah di negeri itu.

"Ini termasuk memberi geran berjadual kpeada sekolah Cina tepat pada waktunya,” tambah Lau.

-mk

Sunday, September 28, 2014

Khalid : Sila siasat saya jika salah

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kesemua perjanjian yang ditandatanganinya.

Tegas Khalid, SPRM juga dialukan untuk menyiasat perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor dan Pembangunan di Canal City.

“Saya mengalu-alukan semua pihak termasuk SPRM untuk menyemak dan menyiasat semua perjanjian yang ditandatangani semasa saya menjadi Datuk Menteri Besar Selangor.

“Ini termasuk perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor dan perjanjian pembangunan di Canal City. Peguam saya akan keluarkan kenyataan penuh berhubung hal ini,” tulisnya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata Rabu ini beliau dan Exco Kerajaan Negeri yang baru akan mengadakan mesyuarat yang pertama.

“Saya dan rakan-rakan Exco daripada Pakatan Rakyat (PR) akan meneruskan usaha ini dan insyaallah hari Rabu ini kita akan adakan mesyuarat yang pertama untuk meneliti 4 perkara yang disebut oleh Anwar.

“4 perkara tersebut adalah mengenai, isu elaun gaji Menteri Besar, KIDEX, masalah air dan penjualan tanah,” katanya dalam satu sidang media selepas pertemuannya dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

-fmt

Saturday, September 27, 2014

Benarkah Pemimpin PAS ada kepentingan di GLC S’gor melalui Khalid?

Ahli Badan Perhubungan PAS Selangor, Ir. Izham Hashim malam semalam mendedahkan bahawa pemimpin tertentu di parti itu tidak mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digantikan sebagai menteri besar Selangor kerana ada kepentingan peribadi.

Beliau berkata demikian di dalam satu forum bertajuk "PAS, Ke Mana Selepas Muktamar?" anjuran Lensa Anak Muda Malaysia di ibukota malam tadi.

Tanpa menamakan pemimpin kanan PAS itu, katanya, individu berkenaan ada ikatan emosi dengan Khalid.

Meskipun tanpa menyebut nama, namun yang nyata kritikan beliau terhadap pemimpin kanan parti tersebut mengesahkan spekulasi sebelum ini bahawa wujudkan kepentingan peribadi pemimpin kanan berkenaan tentang mengapa beliau beriya-iya mempertahankan Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor sehingga mengeluarkan perkataan BROKER dan BARUA di dalam ucapan penggulungannya di muktamar baru-baru ini.

Dengan menyebut nama Raja Idris sebagai orang yang disifatkan sebagai "MB Kedua", Raja Idris merupakan orang yang dipercayai oleh Khalid Ibrahim dan merupakan orang yang rapat dengan Presiden PAS.

(Blog ini pernah mendedahkan kisah ini di dalam entri bertajuk: Gambar Ini Untuk Kite-kite Aje....?)

Sebelum itu, Izham yang juga Yang Dipertua PAS Kelana Jaya juga menyelar tindakan pemimpin kanan berkenaan yang tidak menghadiri mensyuarat Pakatan Rakyat tetapi kemudian membuat keputusannya sendiri.

Beliau menyatakan jika pemimpin kanan berkenaan betul-betul mengamalkan semangat setiakawan, tidak berlaku apa yang dinamakan kemelut MB Selangor sejak beberapa bulan yang lalu.

Walaubagaimana pun beliau tidak menafikan ada hikmah apabila berlaku hal sedemikian. Ia mendedahkan beberapa perkara terutama tentang (pemimpin) PAS yang bermasalah.

Sementara itu, di dalam wacana yang sama, Ustaz Ridwan Abu Bakar yang terkenal dengan insiden Unit AMal merampas mikrofonnya di muktamar yang lalu kerana menegur perwakilan Wilayah yang membaca doa laknat, menyatakan PAS perlu reform, perlukan tajdid pemikrian jika mahu ke arus perdana.

Beliau turut mendedahkan perlunya definisi "ulama" itu diperbetulkan kerana menurut beliau, kini terdapat banyak kategori yang dipanggil "ustaz', namun yang diperlukan oleh kita sekarang ialah "gerakan pemikiran".

Dengan mengambil contoh ulama-ulama di Mooroko, ulama di sana telah berjaya melepaskan diri dari istilah-istilah haraki seperti wala, tsiqah dan sebagainya menjadi kelompok yang menawarkan pemikiran yang pemikiran itu diambil dari Al-Quran dan Sunnah Nabi.

"PAS jika kita nak bawa ke depan, perlu tajdid, perlu reform..", tegasnya.

-gb

Thursday, September 25, 2014

Apakah Exco Selangor kekal PAS 4, DAP 3, PKR 3?

Komposisi ahli majlis mesyuarat kerajaan (Exco) bagi setiap parti Pakatan Rakyat (PR) kekal dan tidak berubah, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu berkata PAS akan kekal mendapat 4 kerusi exco, manakala DAP ‎dan PKR masing-masing 3.

"Komposisi kekal. Nama yang dikemukakan semuanya diterima Sultan. Tidak ada satu pun yang ditolak," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di Shah Alam hari ini.

Timbalan presiden PKR itu bagaimanapun enggan mendedahkan 10 exco terbabit, sebaliknya akan mengumumkan esok semasa majlis angkat sumpah.

"10 orang, komposisi kekal, esok saya akan umumkan.

"Saya bersyukur kerana Tuanku perkenan senarai yang saya persembahkan kepada Tuanku," katanya.

Azmin dilihat tiba di pintu masuk utama kira-kira pukul 2.40 petang dan meninggalkan perkarangan istana pukul 4.10 petang tadi.

Pelantikan barisan exco baru menimbulkan pertikaian apabila Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin semalam mencadangkan kepada Azmin supaya mengurangkan kerusi PAS.

Katanya PAS hanya layak diberikan "kerusi saguhati" kerana tidak menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon menteri besar yang menjadi pilihan PKR dan DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga menambah lagi kemelut apabila menyifatkan empat exco PAS yang enggan meletak jawatan dan terus mentadbir negeri bersama bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengkhianat.

Namun bekas exco Agama Sallehen Mukhyi membidas Lim yang tidak memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan menyifatkan kenyataan ketua menteri itu ada kepentingan untuk mempertahankan kerajaan Pulau Pinang.

Selepas mempertahankan kemenangan PR di Selangor bagi penggal kedua, 10 exco yang dilantik adalah Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatirau, Ean Yong Hian Wah, Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Sallehen, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, dan Dr Daroyah Alwi.

Namun enam exco PKR dan DAP dipecat Khalid pada 12 Ogos lalu selepas didapati melanggar ikrar 10 Akujanji apabila mengeluarkan kenyataan mahu mengehadkan kuasa pemutus menteri besar dalam mesyuarat. –TMI

Azmin mungkin akan tumbang seperti Khalid?

Seorang penganalisis politik menjangka bahawa menteri besar Selangor yang baharu, Azmin Ali tidak akan mampu bertahan lama di kerusi itu kerana tidak mendapat sokongan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Laporan Sinar Harian menyebut, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Azmi Hassan meramalkan Azmin mungkin berdepan undi tidak percaya apabila sidang DUN bersidang pada November ini.

Jelasnya, majoriti ADUN Pakatan memusatkan sokongan pada presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Jadi dengan situasi semalam (kelmarin), walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan Azmin sebagai menteri besar baharu, saya yakin Wan Azizah atau ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan duduk diam.

"Mungkin boleh bertahan hingga November saja dan bila sidang DUN diadakan, kemungkinan besar ADUN akan membuat undi tidak percaya terhadap Azmin.

"Jika senario ini berlaku, Pakatan Rakyat juga harus disalahkan kerana suka membuat onar di Selangor," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada Selasa lalu dan beliau dijangka mengumumkan senarai exconya hari ini.

-mk

Wednesday, September 24, 2014

Empat Exco Selangor dari PAS letak jawatan

SHAH ALAM - Empat Exco Pas yang bersama dan menyokong pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan serta-merta semalam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bagi pihak empat Exco, mereka akan menurut amalan perlu meletak jawatan bersama Abdul Khalid dan ia merupakan amalan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Empat Exco Pas meletak jawatan serta-merta sebab kita dilantik bersama dengan Abdul Khalid, jadi bila beliau letak jawatan, kita semua pun perlu letak jawatan, ini memang amalan dalam kerajaan dan Exco baharu akan dilantik oleh menteri besar baharu.

"Kita juga mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang diberi semua pihak selama ini, " katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau dalam pada itu berkata Pas Selangor sebenarnya menjadi penyelamat utama dalam krisis menteri besar hingga berjaya mengelakkan berlakunya pilihan raya negeri.

"Empat Exco Pas yang terus kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid sebenarnya membawa semangat dan prinsip PR sepanjang tempoh krisis berlaku.

"Empat orang Exco ini pada hakikatnya menjadi penyelamat dan menghalang dari berlakunya pilihan raya negeri kerana kita tetap kekal mendengar arahan Pas Pusat dan terus bersama kerajaan menteri besar (kini bekas), sekali gus menyelamatkan kerajaan negeri.

"Mereka juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan jika ada Adun Umno dibawa masuk ke dalam kerajaan.

"Akhirnya, kemelut menteri besar ini sudah berakhir dan saya bersyukur ia berakhir dengan baik," katanya.

Beliau merujuk empat Exco Pas yang meletak jawatan itu melibatkan Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan beliau sendiri yang kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid.

Semalam, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid di Istana Alam Shah.

Iskandar turut menzahirkan kesediaan Pas dalam bekerjasama dengan Mohamed Azmin dan yakin mampu bekerja dengan baik demi kebajikan dan kemajuan rakyat.

Sementara itu, Sallehen berkata, beliau tiada masalah jika bukan lagi Exco dan menyifatkan semua Adun Pas yang lain juga mempunyai kredibiliti masing-masing terpilih untuk menggantikannya.

“Saya seronok kalau nama saya digugurkan. Kuasa memilih barisan Exco adalah terletak pada menteri besar dan ia terpulang sama ada Azmin ingin mengekalkan empat Exco Pas yang lama atau melantik yang baharu.

“Cuma dalam parti saya rasa masih akan tetap mengekalkan Exco yang sedia ada sebab masing-masing sudah ada perancangan dan elok untuk meneruskannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar, di Istana Alam Shah, semalam.

Sementara itu beliau menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai jahil dan tidak memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat kenyataan mendakwa empat Exco Pas sebagai ‘pengkhianat’ kerana tidak meletak jawatan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

-sinar harian

Senarai nama exco Selangor akan dipersembah esok

Menteri besar Selangor yang baru dilantik semalam Azmin Ali akan menghadap sultan esok untuk menghantar nama barisan Exco barunya.

Azmin berkata pertemuan sedang diadakan bersama wakil PKR, DAP dan PAS hari ini dan bakal dibawa kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

"Sekarang saya sedang teliti barisan exco baru seperti yang saya katakan semalam dan disusuli dengan pertemuan kedua (dengan parti) petang ini,

"Hari khamis saya akan menghadap Tuanku dan majlis angkat sumpah akan diadakan pada hari jumaat,"kata beliau ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, pentadbiran seorang menteri besar haruslah mempunyai sekurang-kurangnya empat Exco untuk mentadbir.

Sebelum ini sepuluh Exco dilantik dengan pecahan empat dari PAS dan masing-masing tiga dari PKR dan DAP.

Azmin bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada akan melantik Exco asal yang dilantik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.

Azmin hari ini secara rasmi memulakan tugasnya jam 7.57 pagi ini

Beliau yang tiba di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada jam 7.50 pagi, disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi dan kakitangan pejabat menteri besar sebelum diberikan taklimat ringkas mmengenai tugas beliau sebagai menteri besar ke-15 Selangor.

Azmin kemudiannya menghadiri majlis ta'ruf bersama pegawai kanan dan ketua jabatan kerajaan di bilik gerakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.-mk

MB Baru Selangor Uji Kelangsungan Pakatan Rakyat

SAMA ada Pakatan Rakyat berada di ambang kemusnahan atau sedang memasuki zaman baru, bergantung kepada reaksinya terhadap pelantikan Mohd Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor hari ini.Yang pasti beliau bukanlah pilihan sukarela Parti Keadilan Rakyat. Beliau lebih berupa kehendak Istana.

PKR terpaksa merestui pencalonan beliau di saat-saat akhir setelah segala usaha “memaksa” Istana menerima Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal tidak berhasil.

Kalau PKR boleh bertolak-ansur dan menerima ketentuan ini dengan kewarasan (wisdom), Mohd Azmin boleh menjadi MB tanpa gangguan dan boleh membuktikan sama ada beliau mampu atau tidak mentadbir Selangor yang telah mengorbankan banyak MB.

Tetapi kalau PKR masih berkeras dan berdendam, besar kemungkinan Mohd Azmin akan menjadi seorang lagi MB Selangor yang dilanda sial dan Pakatan Rakyat menjadi semakin tidak relevan kepada rakyat Selangor.

PKR dan penyokong fanatik Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengganggu gugat kedudukan Mohd Azmin seperti yang mereka lakukan terhadap Abdul Khalid Ibrahim dalam masa beberapa bulan terakhir ini.

Harapan Mohd Azmin satu saja – keakraban dan taat setia beliau yang begitu lama dan tidak berbelah bahagi terhadap Anwar. Beliau begitu sabar dan pasrah dikutuk, dicaci dan dimaki hamun semata-mata kerana taat dan setia kepada Anwar.

Selama 16 tahun Anwar di dalam Umno dan sepanjang Mohd Azmin menjadi pegawai peribadinya, saya telah melihat dan mendengar sendiri bagaimana Mohd Azmin difitnah, dicaci dan dimaki kerana kesetiaannya. Namun beliau tetap setia.


Azmin, 50 tahun dan isterinya Shamsidar Taharin
Kalau PKR masih berkeras mahu memaksakan kehendaknya ke atas semua pihak, khususnya pengundi Selangor, semata-mata kerana mahukan dinasti Anwar, saya rasa pengundi dan rakyat jelata Selangor perlu menimbang semula sokongan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Drama dan lawak politik Selangor di bawah PR tidak lagi lucu. Sejak tercetusnya krisis MB Selangor, parti-parti PR nampak seakan-akan orang mabuk todi dan gian ganja.

Ia juga menguji kebijaksanaan dan keberkesanan Anwar sebagai ketua atas nama (de facto) PR. Kalau PKR, PAS dan DAP masih berasa bertanggungjawab terhadap pengundi yang memilih mereka dan pembayar cukai yang memberi upah kepada mereka maka mereka perlulah berhenti membuat lawak. Jenaka mereka tidak lucu lagi.

Dan PAS yang calar-balar terkena ledakan dalaman PKR dan dicaci cerca oleh DAP perlulah memikirkan semula bentuk perkongsiannya dengan dua parti liberal itu.

Sangat hodoh dan memalukan apabila PAS bercakaran sesama sendiri umpama ayam jantan dalam serkap semata-mata kerana acahan PKR dan DAP.

Sebagai parti berideologikan Islam dan tertua di kalangan parti-parti PR, PAS tidak sepatutnya membiarkan dirinya diperalatkan.

Wallahuaklam.

-A Kadir Jasin

Tuesday, September 23, 2014

Siapa yang akan dilantik Exco Selangor?

GOMBAK - Segala perbincangan mengenai barisan baharu Exco Selangor hanya akan mula dibincangkan pada petang ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui media berkata, kedudukan wajah baharu itu akan ditentukan melalui perbincangan tersebut.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan berlaku rombakan.

Ditanya kedudukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam barisan Exco tersebut, katanya, beliau tidak boleh memberi bayangan ke atas apa yang bakal terjadi.

"Segala keputusan akan tertakluk dalam pertemuan nanti dan keputusan mengenai kedudukan Exco akan diselesai sepenuhnya menjelang Jumaat ini," katanya.

-sinar harian