Saturday, October 25, 2014

Umno Selangor salahkan Cina bila kalah

Umno Selangor menyalahkan kaum Cina yang menyebabkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) merudum di negeri itu, mengatakan mereka di sebalik satu gerakan menyebarkan kebencian terhadap gabungan parti pemerintah itu.

Mengulas hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, kaum Cina ekstrem dalam menyokong Pakatan Rakyat (PR).

“Saya melihat satu gerakan yang dibuat mereka untuk membenci BN. Saya lihat kaum Cina begitu membenci BN.

“Keputusan dua kali PRU menunjukkan kaum Cina tidak mengundi BN. Jika kaum ini masih di takuk lama, barangkali saya setuju dengan keputusan mereka (UMcedel),” katanya kepada The Malaysian Insider.

Hasil kajian UMcedel yang diadakan tiga hari selepas Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor bulan lepas menunjukkan sokongan terhadap PR di Selangor melonjak kepada 43% manakala sokongan kepada BN menjunam kepada 20%.

Sementara itu, 28% responden tidak menaruh keyakinan kepada BN dan PR manakala 9% lagi enggan menjawab soalan kajian itu.

Kajian yang dilakukan UMcedel pada Mei tahun ini pula mencatatkan sokongan PR di Selangor lebih rendah, iaitu sekadar 35% manakala sokongan BN pula mencatatkan 25%.

Shukur berkata, kaum Cina yang selama ini mahu PR mentadbir Selangor, tidak seperti kaum Melayu dan India sudah mula beransur-ansur menyokong BN.

Katanya, hasil kajian UMcedel itu lebih menggambarkan sokongan kaum Cina kepada PR di Selangor, dan ia tidak boleh diterjemahkan kepada sokongan pengundi secara umum.

“Pandangan saya, hari ini yang nyata tidak menyokong kita. Satu kaum yang begitu yakin dan sengaja, menjadikan kita bukan pilihan mereka. Kaum itu saja yang begitu ekstrem memberi sokongan kepada parti pembangkang.

"Kita melihat keputusan undi PRU13 di mana peti undi satu kaum, kaum itu saja, yang begitu teruk tidak menyokong kita.

"Jika kajian itu dibuat kepada kaum itu, mungkinlah apa yang dilihat hari ini. Kita yakin Melayu dan India mula kembali kepada BN. Dengan apa yang kita laksanakan hari ini, kita mendapat sambutan daripada orang Melayu dan India,” katanya.

Pandangan Shukur itu turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan yang melihat kaum Melayu dan India mula menyokong BN di Selangor.

Katanya, Umno Selangor kini bekerja keras bagi memastikan bilangan perbezaan kerusi di DUN antara BN dan PR dapat dikurangkan.

“PRU lepas, sokongan Melayu meningkat, cuma undi Cina yang kita tidak dapat. Di kawasan saya, sokongan India bertambah. Sejak apa yang berlaku ini, kita lihat sokongan Melayu ada peningkatan.

“Kita sedang berusaha. Kita cuba sedaya upaya merampas semula. Walaupun kita dengar ada yang kata, tidak boleh hendak rampas, tetapi untuk menaikkan jumlah Adun BN memang boleh,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo pula berkata, berdasarkan hasil kajian UMcedel, 28% yang tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak masih boleh diusahakan untuk kembali kepada BN.

Katanya, jika Umno dapat memenuhi kehendak kumpulan ini, tidak mustahil BN dapat melakukan perubahan menjelang PRU14 akan datang.

“Rakyat yang atas pagar itu sebenarnya sedang tunggu dan lihat apa yang Umno akan lakukan. Andai kata kita bawa idea yang memenuhi kehendak mereka, 28% ini mampu beralih kepada BN.

“Kita perlu perincikan siapakah 28% itu? Daripada jumlah itu, kita perlu tanya apa yang mereka perlu. Kita kena ikut kehendak itu.

“Andai kata Umno lebih menonjolkan idea atau rancangan baru yang boleh memenuhi kehendak rakyat, saya yakin, kita boleh ambil kesempatan itu,” katanya yang turut melihat krisis menteri besar Selangor oleh PR boleh dijadikan peluang Umno.

Bagaimanapun, Ismail yang juga merupakan bekas Adun Lembah Jaya berkata, tidak semua kehendak pengundi boleh dipenuhi.

Katanya, apa sahaja yang diinginkan pengundi di Selangor mesti tidak bertentangan dengan aspirasi orang Melayu di negeri itu.

“Saya sentiasa bertanya kehendak pengundi kerana jika kita dapat penuhi 50% pun kita sudah dianggap berjaya. Andai kata kita mahu tunaikan, ia mesti tidak menjejaskan kepercayaan orang Melayu terhadap Umno dan BN.

Mungkin sesetengah yang mereka kehendaki akan merugikan Melayu, yang itu kita tidak akan tunaikan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Shukur berkata UMcedel berhak membentangkan hasil kajian mereka, namun Umno Selangor akan tetap bekerja keras seperti biasa.

Beliau yang juga Adun Kuang berkata segalanya diserahkan kepada pengundi di Selangor bagi menghakimi prestasi BN dan PR di negeri itu.

“Bagi kami, popular atau tidak, kami terus bekerja seperti biasa. Kami akan berusaha meyakinkan rakyat supaya rakyat memberi kepercayaan kepada kita di masa akan datang.

“Rakyat boleh menilai apa yang kita kerjakan, pada masa sama rakyat boleh menilai apa yang dilakukan kerajaan PR di Selangor,” katanya. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.