Wednesday, December 3, 2014

ADUN PAS, Umno tolak tuntutan timb speaker 2

ADUN PAS dan Umno menolak tuntutan yang dikemukakan oleh DAP untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker kedua bagi DUN Selangor.

ADUN Sabak Sallehen Mukhyi berkata tiada keperluan melantik seorang lagi timbalan speaker kerana jawatan speaker daripada DAP dan timbalannya daripada PAS, sudah memadai.

"Keperluan timbalan speaker ini hanya untuk waktu bersidang sahaja. Yang sedia ada cukup efektif dah. Jadi, untuk seorang lagi timbalan speaker tak perlu.

"Daripada guna duit itu untuk bayar (gaji) timbalan speaker, lebih baik disalurkan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas sesi sidang DUN bagi sesi pagi tamat.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias pula berkata, tindakan DAP menuntut jawatan timbalan speaker menunjukkan parti itu tamak kuasa.

Beliau yang juga ADUN Sungai Burong turut mempersoalkan keperluan mewujudkan jawatan itu memandangkan terdapat ahli DAP - Hannah Yeoh - yang telah menjadi speaker sekaligus membazir wang rakyat.

"Saya nak nyatakan bahawa DAP ini tamak kuasa. Dah ada speaker daripada DAP, nak pula timbalan speaker. Apa lagi dia nak?

"Saya rasa tak perlu (jawatan timbalan speaker kedua). Sebab jika tidak, kuranglah tugas mereka (speaker dan timbalan speaker) sebab nanti akan dibahagi tiga, malah membazirkan wang rakyat," katanya.

Isu ini timbul selepas Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyuarakan hasrat untuk melobi jawatan timbalan speaker kedua selepas PAS memenangi jawatan itu melalui undi rahsia yang dijalankan di DUN minggu lalu.

Tony berkata, pihaknya menuntut jawatan itu berdasarkan kesetiaan DAP kepada Pakatan Rakyat semasa krisis menteri besar berlaku.

Sementara itu Exco Pendidikan Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata perkara berhubung pertambahan jawatan timbalan speaker tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

ADUN Seri Setia itu juga berkata buat masa ini, beliau menyokong jika mengekalkan kuota jawatan yang sedia ada tanpa perlu menambah seorang lagi timbalan speaker.

"Isu itu tidak timbul sebab setakat ini kita tidak ada berbincang untuk perkara itu (jawatan timbalan speaker kedua) diadakan. Buat masa ini kita kekalkan apa yang ada pada hari ini iaitu satu timbalan speaker sahaja.

"Sistem sekarang sudah terbaik. Jadi, pada saya untuk masa sekarang tidak ada keperluan untuk tambah," kata ketua AMK PKR.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.