Sarjana terkemuka Islam Dr Yusuf Al-Qaradawi menzahirkan perasaan terharu terhadap keprihatinan antarabangsa, termasuk Malaysia, yang menyatakan bantahan terhadap notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghubungi presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa itu malam tadi.
“Alhamdulillah, Sheikh Yusuf tetap bersemangat dan sekelumit pun tidak tergugat dengan gangguan ini,” kata Anwar.
Dalam kenyataannya tengah malam tadi, Anwar (kiri) juga merakamkan dukacitanya terhadap kezaliman Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di Mesir yang mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ulama muktabar.
“Justeru saya menggesa Interpol menarik balik notis merah yang telah dikeluarkan ke atas Sheikh Yusuf kerana jelas sekali tindakan tersebut tidak berasas dan hanya memperlihatkan Interpol diperalat oleh diktator yang zalim,” kata Anwar.
Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Yusuf selepas dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan Mesir.
Malaysia patut gasak Interpol
Menurut laman webnya, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.
Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.
Langkah itu dilihat bakal mencetuskan perasaan tidak puas hati besar-besaran di hampir kesemua dunia Islam.
Sementara itu, mewakili Pakatan Rakyat, Anwar menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia mengambil pendirian serta ketetapan tegas membantah tindakan itu.
Lebih-lebih lagi, katanya, Yusuf pernah dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa pada 2009 serta dianugerahi ijazah kehormat Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 1996.
“Sumbangan beliau dalam dunia Islam tiada taranya, maka sewajarnya Malaysia selaku model negara Islam mendepani inisiatif mengasak Interpol agar bersikap profesional ke atas Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ketimbang menjadi alat sang penguasa desperado,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.