Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Monday, December 5, 2016

Orang Asli beri amaran kepada PAS dan UMNO

Sepucuk surat bertulisan tangan yang didakwa cetusan luahan Orang Asli di Kelantan selepas dirinya dibebaskan daripada penahanan selepas membuat sekatan menghalang pembalakan di Gua Musang, semalam sedang disebarkan di laman sosial, khususnya di Facebook.

Bagaimanapun, surat yang bertarikh 1 Disember itu tidak mempunyai nama.


Kelmarin 47 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah selepas tahanan reman antara dua dan tiga hari.

Berikut transkrip penuh surat itu yang juga dimuat naik di laman Facebook PSM.

1 Disember 2016

"Kamu marah bila kami panggil wilayah kami sebagai tanah adat. Tapi kamu tolak permohonan kami walau tanah TOL pun!

Walau kami dah duduk situ zaman sebelum orang putih. Kubur kami usia ribu tahun.

Kalau kamu luluskan tol, kami panggil tanah kami tanah tol, lulus geran, kami panggil tanah kami bergeran! Kamu kata cadangan dah lulus. Belas tahun kami dengar alasan itu.

Kenapa tak warta? Kenapa tak buat? Guna alasan kampung lain yang luluskah?

Guna penghulu tanpa kampung yang dapat gaji kerajaankah?

Berpuluh lagi kampung kami susah sangatkah nak susun semula?

Wartakan, bagi geran. Kalau tuntutan kami tidak tepat, betulkanlah, berundinglah, takut jubah kotorkah?

Kamu suruh patuh undang-undang tapi undang-undang kamu yang buat. Undang-undang kamu lindungi siapa? Syarikat Singapurakah? Syarikat Taiwankah?

Jangan jual agama pada kami.

Tuhan kamu bukan Allah tapi kapitalisme.

Kamu yang tentukan siapa yang boleh tanam sayur siapa tak boleh, siapa boleh tebang pokok, siapa tak boleh.

Kalau potong tangan hudud pun, kamu yang tentukan siapa kena, siapa terlepas, siapa pencuri, siapa bukan?

Jangan bawa cerita nabi pada kami. Kenapa kamu tidak susah macam nabi?

Kamu susahkan orang lain pula. Cuba kamu hidup 24 jam di tempat kami. Minum air kami yang kamu kotorkan.

Buat susu bayi kamu guna sungai kami yang kamu cemarkan racun itu. Basuh baju keluarga kamu. Takut nyamuk, takut pacat, atau takut racun?

-mk

Sunday, September 28, 2014

Rogol kekasih dipenjara tujuh tahun

KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh ladang kerana kesalahan merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, dia dihukum penjara tujun tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Sauti Abdullah, 20, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Krai tersebut didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 11 bulan di rumahnya di Bukit Sireh, Kuala Krai, antara jam 4.30 pagi hingga 5 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada awal pagi hari sama dan membawanya pulang ke rumah di alamat berkenaan.

Tibanya di rumah, tertuduh membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan beberapa kali merogolnya sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah itu.

Bapa mangsa yang menyedari kehilangan anaknya kemudian mencari mangsa sebelum mangsa pulang ke rumah pada jam 5 petang dan memberitahu bapanya dia dirogol oleh tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam, Mohamad Asyraf Zakaria merayu bagi pihak anak guamnya itu supaya mahkamah memutuskan hukuman ringan dengan alasan tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih.

Katanya, insiden itu juga berlaku tanpa perancangan atau paksaan.

“Tertuduh ikhlas menginsafi kesalahan yang dilakukan. Kesalahan ini juga adalah kesalahan pertamanya dan dia masih muda. Hukuman penjara lama juga tidak akan dapat menghalang pasangan kekasih lain daripada membuat kesalahan,” katanya.

Alasan peguam berkenaan bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari yang memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi menyampaikan mesej kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan seperti itu.

“Mangsa hanya berumur 14 tahun, manakala tertuduh pula 20 tahun. Apa yang tidak dirancang, sedangkan mangsa diambil daripadanya rumah pada jam 4 pagi dan pulang hanya pada jam 5 petang.

“Mereka pasangan kekasih dengan perbezaan umur enam tahun. Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa atas nama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

-sinar harian

Friday, September 26, 2014

BN Parti Penyogok Pengundi Selamanya?

PENGKALAN KUBOR: Pengarah Jentera PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau redha dengan kekalahan calon PAS dalam PRK kali ini.

Tambah beliau masalah dalaman yang berlaku dan ketidakhadiran Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bukan masalah utama punca kekalahan PAS di Pengkalan Kubor.

“Bagi DAP, mereka tidak datang mungkin mempunyai sebab-sebab yang tertentu, kerana faktor jumlah pengundi cina tidak ramai.

“Kita akan kaji polemik dalaman yang berlaku kita akan lihat semasa ‘post mortem’ nanti,” katanya.

Jelas beliau soal masalah dalaman parti tidak timbul kerana kebanyakkan semua wakil turun membantu calon PAS baik diperingkat bawah mahupun peringkat tinggi.

“Semua jentera turun dan bersungguh-sungguh membantu calon PAS untuk menang dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka,
“Memang tidak dinafikan perasaan sedih itu memang ada tetapi saya sebagi Pengarah PRK redha dengan ujian yang diberikan apa yang penting kita sudah usaha, berdoa dan ikhtiar, bagi saya setiap yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah,” ujar beliau.

Sementara itu calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera yang banyak membantu serta pengundi yang menyokong PAS,

“Setiap yang berlaku pasti ada kebaikannya, Insyallah sekiranya saya terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk menjadi penyelia DUN, saya akan terus berkhidmat untuk rakyat di sini walaupun saya tewas,” ujar Wan Rosdi dengan hati yang tenang.

Dalam PRK ini Wan Rosdi tewas kepada calon BN yang mendapat undi sebanyak 9,961 manakala beliau mendapat undi 7,326 dan calon bebas hanya mendapat undi sebanyak 38 undi.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi, lebih rendah daripada kadar 79.10 peratus pada PRU lepas.
Jelas Tuan Ibrahim lagi, faktor bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat juga salah satu punca kekalahan PAS.
“Kebanyakkan masyarakat disini terdiri daripada mereka yang miskin, mereka disogok dengan barang-barang dan lain-lain sebelum mengundi mahupun selepas mengundi.

“Dalam PRK ini memang kita tidak nafi sukar untuk kita menang kerana PRK kali ini diibarat pertandingan diantara Malaysia dengan negeri yang memaksa PAS berdepan dengan pelbagai pihak termasuklah agensi besar kerajaan,” katanya.

Disamping itu faktor PRK ini dijalankan pada hari bekerja juga antara faktor kekalahan PAS kerana kebanyakkan mereka yang tinggal di luar Kelantan tidak dapat pulang mengundi.

-FMT

Pangkalan Kubor : Apakah PAS Akan Ditalkinkan selamanya?

Kemenangan BN dalam pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya sudah dijangka sejak awal lagi.

BN mendapat 9,961 undi manakala PAS mendapat 7,326 undi. Calon Bebas pula mendapat 38 undi. BN menang dengan majoriti 2,635 undi

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Walaupun pada hari kempen, kedua-dua parti dilihat hebat berperang poster dan kain rentang, namun ia bukan kayu ukur yang akan menentukan kemenangan mana-mana pihak.

Melihat kepada kesungguhan jentera BN daripada pimpinan tertinggi hingga akar umbinya yang turun padang untuk berkempen, keputusan itu tidak memeranjatkan.

Bahkan, kerja kuat yang ditunjukkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak putus-putus mengunjungi Pengkalan Kubor, akhirnya berbayar dengan kemenangan besar apabila majoriti undi BN bertambah hampir 1,000 undi.

Tidak dapat dinafikan juga, strategi yang digunakan oleh pengarah pilihannya, Datuk Seri Mustapa Mohamad berhasil. Malah, dengan pemilihan calon yang mempunyai perwatakan warak, juga dilihat mampu menarik perhatian pengundi.

Strategi BN yang menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam isu-isu yang dibangkitkan PAS juga dilihat berjaya apabila mereka lebih banyak menjawab segala dakwaan yang dilemparkan PAS berbanding mencetuskan sebarang isu atau provokasi.

Malah, pilihan raya kecil kali ini juga merupakan antara yang paling tenang berbanding dengan yang lain. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga hanya menerima tiga laporan berhubung kesalahan semasa tempoh berkempen serta tiada kekecohan atau pergaduhan yang berlaku sepanjang PRK berlangsung.

Malah, berdasarkan keputusan pilihan raya kecil ini, ternyata penduduk setempat tidak begitu ambil peduli tentang isu royalti minyak Kelantan yang selama ini menjadi modal PAS untuk berkempen.

Isu-isu berkaitan agama serta menggunakan ketokohan bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dilihat kurang berhasil.

Adakah ini mencerminkan kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebelum ini mengenai masa depan parti itu di Kelantan?

PAS juga dilihat tidak berani untuk 'menyentuh' pengundi masyarakat Siam walaupun mereka merupakan pengundi kedua terbesar selepas pengundi Melayu iaitu sebanyak 6.81 peratus.

Berbeza dengan BN di mana mereka sentiasa 'menyajikan' masyarakat Siam dengan pelbagai aktiviti.

Melihat kepada perkara ini, mungkin PAS selepas ini perlu mengubah atau menyesuaikan strategi mereka mendekati pengundi bukan Islam.

Selain itu, walaupun PAS menafikan ketiadaan pimpinan Pakatan serta masalah dalaman parti sebagai punca utama kekalahan, namun perkara itu tidak dapat menutup kepincangan yang berlaku apabila parti itu turut kalah di peti undi yang sebelum ini dimenangi mereka di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Bata.

Malah, jumlah pengundi di beberapa kawasan PDM yang dimenangi PAS sebelum ini juga merosot.

PAS mendakwa, kemerosotan undi itu berpunca daripada pengundi luar yang tidak pulang untuk mengundi. Namun dengan jumlah pengundi luar sekitar 2,000 ia masih tidak dapat memberi penjelasan sebenar tentang kemerosotan sokongan dan kalah peti undi Telaga Bata.

Walaupun PAS seringkali menafikan wujudnya masalah dalaman, namun kekurangan undi si beberapa kawasan peti undi, sedikit sebanyak memberitahu adanya pihak yang tidak keluar mengundi atau dalam erti kata lainnya 'memboikot' pilihan raya kecil berkenaan.

Ini dapat dilihat apabila wujudnya cakap-cakap yang mengatakan terdapat pemimpin tertinggi parti yang berasal dari negeri berkenaan kurang kelihatan sepanjang PRK Pengkalan Kubor ini berlangsung. Bagaimanapun, ketika ditanya perkara itu segera dinafikan PAS.

Justeru, selepas 12 hari berkempen dan BN mengekalkan kerusi itu dengan tambahan majoriti, maka di mana silapnya PAS?
Adakah ia disebabkan kurang sokongan rakan sekutu daripada Pakatan atau masalah dalaman parti yang menjadi punca kekalahan?

-mk

Thursday, September 25, 2014

Pemuda BN perang mulut dengan polis

PENGKALAN KUBOR: Satu pergaduhan mulut telah berlaku di hadapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kedai Geting.

Pergaduhan mulut tersebut berlaku di antara anggota polis yang bertugas dan pemuda Barisan Nasional (BN).

Pergaduhan didakwa berpunca apabila pihak polis menegur pemuda tersebut kerana tidak memakai topi keledar sewaktu menaiki motosikal.

Walaubagaimanapun, pergaduhan mulut tersebut berjaya dikawal oleh pihak PDM dan juga pihak polis.

Sebelum ini, kawasan daerah mengundi Geting antara ‘hotspot’ tumpuan. Oleh yang demikian, kelihatan puluhan pihak polis ditempatkan bagi mengawal keadaan.

-fmt

Pengundi hantu muncul di PRK Pangkalan Kubor

Pemuda PAS mendakwa berjaya menahan seorang pengundi hantu dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, hari ini.

Dalam kenyataannya, pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham), Noorazmir Zakaria mendakwa pengundi itu memiliki kad pengenalan dan pasport Malaysia, namun mereka mengesyaki dia bukan warganegara Malaysia.

"Keraguan semakin memuncak apabila ketika disoal peguam Juham, pengundi tersebut langsung tidak tahu nombor kad pengenalan beliau, umur beliau dan alamat beliau di Pengkalan Kubor.

"Malah yang lebih aneh adalah pengundi tersebut juga tidak tahu nama DUN tempat beliau mengundi ini dan nama tempat UPU (unit peti undi) beliau mengundi.

"Namun, pengundi tersebut mengaku bahawa beliau memangkah calon BN," kenyataan Noorazmir dipetik.

Menurutnya lagi, pengundi meragukan itu ditangkap di pusat mengundi Bendang Pak Yong oleh anggota jentera pilihan raya PAS sebelum peguam Juham memeriksa kad pengenalannya dan menyoalnya.

"Berdasarkan rekod di dalam pasport beliau, beliau kerap berulang-alik ke Thailand.

"Apabila ditanya, beliau mengesahkan keluarga beliau menetap di Thailand dan kali pertama beliau mengundi adalah ketika pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini," katanya.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor berlangsung hari ini selepas tempoh kempen selama 12 hari.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary.

Ia diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Dalam PRU ke-13 tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

-mk

Pengkalan Kubor: Pengundian bermula hari ini

Sebanyak 11 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan sebanyak 23,929 orang pengundi biasa menunaikan tanggungjawab mereka.

Kesemua pusat mengundi itu akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

Calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim mengundi di Sekolah kebangsaan Bendang Pak Yong pada jam 8.03 pagi.

Manakala calon BN Mat Razi Mat Ail mengundi di Sekolah Kebangsaan Simpangan pada jam 8.30pagi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 54 peratus atau 12,945 pemilih telah keluar mengundi sehingga pukul 12 tengahari.

Sementara itu, Bernama melaporkan, penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa.

Pengundian awal pada 21 September lepas, menyaksikan sebanyak 96.3 peratus atau 105 orang daripada 109 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Terdapat 45 saluran mengundi bagi PRK itu membabitkan 11 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Meheliah Geting, Sekolah Kebangsaan Geting (1).

Sekolah Kebangsaan Simpangan, Maktab Rendah Sains MARA Tumpat, Sekolah Kebangsaan Bunohan, Sekolah Kebangsaan Sri Neting, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa' Yong, Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geting.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus, iaitu kurang daripada lebih 80 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Abdul Aziz juga menjangkakan keputusan PRK DUN Pengkalan Kubor itu dapat diumumkan kira-kira, 9 malam ini.

Sementara itu,
pengundi dinasihat supaya keluar awal mengundi berikutan cuaca diramal elok pada sebelah pagi ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

-mk

Wednesday, September 24, 2014

Rogol kekasih, penganggur dijel 12 tahun

Padah buat seorang penganggur akibat tiga kali merogol kekasihnya, tahun lalu, dia dihukum penjara 12 tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, siang tadi.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas remaja berusia 19 tahun dari Kampung Kedondong, di sini, itu mengaku salah.

Tertuduh, Mohamad Wirayat Saiin mengaku merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dua bulan di Kampung Bukit Mara, Banggu, di sini.

Kejadian pertama berlaku pada jam 11.30 malam, 30 September, manakala kejadian kedua berlaku pada jam 1 pagi dan 6.30 petang, 1 Oktober, ketiga-tiganya pada tahun 2013.

Pada prosiding semalam, peguam bela, Mohd Yusof Yaakub merayu bagi pihak anak guamnya supaya hukuman paling minimun dikenakan.

“Kejadian berlaku atas dasar suka sama suka dan laporan sosial juga mengambarkan tertuduh sebagai seorang yang tidak matang,” katanya.

Rayuan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berikutan kesalahan serius yang dilakukan.

-sinar harian

Monday, September 22, 2014

'Broker & Barua' serangan terbaru terhadap PAS di Pangkalan Kubor

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau dan menurunkan kain rentang yang memaparkan tulisan "broker dan barua".

Beliau bimbang kain rentang dan poster provokasi dan tidak berkaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor dikhuatiri akan menimbulkan sentimen yang tidak baik di kalangan pengundi di kawasan itu.

Antara tulisan kain rentang itu bertulis: "Kito jange sokong parti hok ado brokar dan barua".

"Kain rentang yang provokasi ini, kita harap pihak SPR boleh pantau dan dapat laksanakan tanggungjawab dan tugas bagi pastikan tidak ada kain rentang yang menimbulkan sentimen tidak baik di kalangan pengundi.

"Kita jangka tiga hari terakhir ini mungkin cuaca politik lebih panas dari biasa," katanya yang pengarah PRK itu dalam sidang media di markas PAS DUN itu hari ini.

Beberapa kawasan di Pengkalan Kubor turut dinaikan kain rentang antara lain memaparkan wajah ADUN Salor Datuk Husam Musa dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Kain rentang itu antara lain memaparkan petikan kata-kata dua tokoh itu yang mengkritik kerajaan negeri dan PAS

Kain rentang itu bertulis: "Haron Din kecewa keputusan Majlis Syura PAS diperlekeh oleh golongan pro Anwar", "Bukan rahsia lagi kepimpinan ulama diserang bertubi-tubi. Orang jual kacang, orang jual cendol pun sudah tahu".

Sebelum ini juga, PAS dan NGO pro-royalti 'R' menggantung beberapa kain rentang mengenai isu royalti minyak antaranya bertulis "Undi calon untuk royalti, tolak pengkhianatan rakyat Kelantan".

Malah terdapat juga papan tanda daripada Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri yang bertulis "Royalti perjanjian sama, jarak lebih dekat, royalti tak dapat".

Bagi membalas serangan itu, BN turut menaikkan satu papan tanda besar bagi menangkis dakwaan PAS.

Papan tanda itu bertulis "RM12 bilion fitnah besar PAS. Tetapi demi rakyat, mulai tahun depan wang ehsan akan disalurkan 50% kepada Majlis Agama Islam Kelantan dan 50% disalur terus kepada rakyat Kelantan".

-Mk

Sunday, September 21, 2014

Pangkalan Kubor : Perang royalti antara BN - PAS

Isu royalti minyak Kelantan kembali hangat apabila BN dilihat mula membalas 'serangan' daripada PAS.

Sebelum ini, PAS dan NGO yang menuntut royalti minyak R menggantung beberapa kain rentang mengenai isu royalti minyak antaranya bertulis "Undi calon untuk royalti, tolak pengkhianatan rakyat Kelantan".

Malah terdapat juga papan tanda daripada pihak urus setia penerangan kerajaan negeri yang bertulis "Royalti perjanjian sama, jarak lebih dekat, royalti tak dapat".

Terdapat satu gambar peta yang menunjukkan perbezaan jarak antara tempat pendaratan gas asli di Songkla, Thailand dan Kota Bharu. Papan iklan itu juga bertulis "Royalti: Kelantan terus dianiaya".

Kain rentang dan papan tanda itu diletakkan di sepanjang jalan raya antara Bunohan, Jong Bakar dan Getil.

Bagi membalas serangan itu, BN semalam menaikkan satu papan tanda besar bagi menangkis dakwaan PAS.

Papan tanda itu bertulis "RM12 bilion fitnah besar PAS. Tetapi demi rakyat, mulai tahun depan wang ehsan akan disalurkan 50% kepada Majlis Agama Islam Kelantan dan 50% disalur terus kepada rakyat Kelantan".

Papan tanda daripada BN itu turut memetik ayat al-Quran daripada surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh.

BN meletakkan papan tanda tersebut di dua tempat iaitu di hadapan Wat Machimmaram, Jong Bakar dan di jalan Cabang Tiga berdekatan pusat operasi BN.

Isu royalti minyak Kelantan menjadi antara isu hangat sempena PRK Pengkalan Kubor.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mencabar kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti bahawa kerajaan pusat “berhutang” bayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Katanya, BN bersedia untuk menjawab isu berkenaan sekiranya ia timbul dalam kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Bagaimanapun, PAS sebelum ini pernah meminta Umno tidak memainkan isu royalti minyak semasa PRK Pengkalan Kubor. Ia berikutan kes tersebut masih di mahkamah.

Tetapi pemimpin jentera parti itu, Mohamad Zaki Ibrahim berkata, PAS tetap akan membangkitkan isu royalti minyak dalam kempen pilihan raya kecil tersebut walau BN kelihatan tidak berminat untuk mengetengahkan isu berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ogos 2012 mengundang PAS untuk menyertai satu jawatankuasa untuk membincangkan mengenai bayaran royalti minyak pada Kelantan.

Pada masa itu, pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menguar-uarkan bahawa perkara itu boleh diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13, yang diadakan pada 5 Mei tahun lalu.

Pentadbiran Kelantan bagaimanapun hanya mampu menyatakan kekecewaan kerana wakil mereka masih belum mendapat apa-apa berita berhubung mesyuarat jawatankuasa tersebut.

Usaha Kelantan untuk mendapatkan hasil minyak tersebut dijalankan melalui injuksi interlocutari ke atas Petronas untuk menghalang syarikat petroleum tersebut daripada membayar royalti kepada kerajaan persekutuan atau ejennya.

Dalam permohonan tersebut, kerajaan Kelantan mengemukakan alasan bahawa hasil tersebut sepatutnya diperolehi kerajaan negeri.

Negeri di tangga kedua paling miskin di Malaysia itu sehingga kini kekal bawah pentadbiran PAS.

-mk

Papan iklan ‘RM12 billion’, fitnah siapa sebenarnya?

PENGKALAN KUBOR: Penasihat Operasi PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan terhadap Barisan Nasional (BN) berhubung tindakan mereka menaikkan papan iklan royalti.

BN telah menggunakan bahan iklan tersebut sebagai modal mereka untuk memancing undi.

Papan iklan tersebut mula dinaikkan di kawasan PRK dengan tulisan ‘RM12 billion fitnah besar PAS’.

Beliau berkata , papan iklan tersebut merupakan agenda BN untuk melakukan provokasi kepada PAS dan menjadikan modal berkempen.

“Mereka sudah kekeringan modal untuk dimainkan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat untuk bersama mereka,

“Pihak SPR di minta supaya mengambil tindakan menurunkan papan iklan tersebut kerana ini bercanggah dengan undang-undang,” jelas Takiyuddin.
Takiyuddin berkata, perkara ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana kes tersebut masih lagi dalam perbicaraan mahkamah.

PAS sebelum ini meminta kerajaan membayar royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak RM12 bilion.

-FMT

Friday, September 19, 2014

Pangkalan Kubor : PAS kata BN parti pelawok

PAS menyifatkan parti BN bukanlah parti ‘underdog’ tetapi sebuah parti pelawok (pembohong).

BN sudah tiga kali memenangi DUN N.01 Pengkalan Kubor dan mereka tidak boleh lagi digelar ‘underdog’ kata Pengarah Operasi PAS Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

“Bukan mereka yang ‘underdog’ tetap kita (PAS) yang layak digelar ‘underdog’ kerana BN hampir tiga penggal memerintah DUN ini dan dengan majoriti sebanyak 1,700 lebih pada PRU lepas,” katanya.

Pada masa yang sama beliau menganggap BN ini sebuah parti yang ‘pelawok’ (pembohong) kepada rakyat kerana mereka selalu menyusahkan rakyat.
“Memang syarat mereka untuk menjadi ahli BN, rakyat mestilah seorang yang pembohong ,” jelas Wan Rahim.

Sikap BN dari dulu lagi memang suka membohongi rakyat dan mereka terus membohongi rakyat dalam kempen PRK kali ini.

PAS pernah bekerjasama dengan Umno menerusi Semangat 46, tetapi ditipu oleh Umno, dengan pengalaman itu PAS tetap beranggapan BN sebuah parti yang menipu rakyat.

-FMT

Thursday, September 18, 2014

Pangkalan Kubor : Nik Aziz lawan tetap lawan

PENGKALAN KUBOR: Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap turun padang berkempen melawan Umno dalam PRK N.01 Pengkalan Kubor.
“Walaupun beliau berada dalam keadaan yang uzur, semangat untuk melawan Umno dan BN tetap tinggi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.”

Pengarah Operasi PRK N.01 Pengkalan Kubor, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, walaupun beliau uzur dan sering kali keluar masuk hospital, beliau tetap berkempen bagi memastikan BN tewas dalam PRK ini.

“Beliau membuat keputusan untuk tidak hadir ke Muktamar PAS di Parit Raja bagi meneruskan kempen beliau di PRK ,” kata Wan Rahim
“Kehadiran Nik Aziz berkempen dalam PRK bukan kehendak atau permintaan daripada jentera pilihanraya tetapi diatas kemahuan beliau sendiri,” jelas Wan Rahim semasa mengadakan sidang media harian PAS pagi tadi.

Soal memaksa beliau untuk hadir bagi memancing undi tidak timbul kerana itu atas kehendak beliau sendiri untuk melawan BN.

Sepanjang tempoh berkempen Nik Aziz sudah lima kali hadir untuk sama-sama berkempen dan akan menghadiri ceramah perdana yang dijadualkan malam esok bersama pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. -FMT

Saturday, September 13, 2014

DAP tak datang, mampukah PAS menawan Pangkalan Kubor?

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, isu dalaman Pakatan Rakyat dan kemelut yang berlaku di Selangor tidak akan menggugat kempen dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Malah, ketiadaan pemimpin utama termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari penamaan calon pagi ini juga bukan bermakna parti itu kini bermasalah.



"Tak jadi isu. Tak jadi masalah. Presiden akan datang, petang ini. Kami pun sekarang sibuk dengan muktamar yang akan berlangsung di Johor," katanya ringkas.

Katanya, PAS juga tiada masalah dengan tindakan pemimpin DAP yang tidak muncul memberi sokongan kepada calon mereka hari ini.

Mohamad berkata, tidak ramai pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada kaum Cina.

Bagaimanapun, katanya, wakil daripada DAP akan hadir semasa tempoh berkempen nanti.

"Dari PKR ramai yang datang. Di sini orang bukan Melayu tak ramai. Jadi mereka (DAP) tak datang. Mungkin akan datang pada kempen hari yang lain," katanya lagi.

Beliau ditemui pemberita mengiringi calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim ke pusat penamaan calon DUN Pengkalan Kubor di pejabat tanah dan jajahan Tumpat.

Difahamkan, Hadi akan turut menyampaikan ceramah di markas PAS di Simpangan, Pengkalan Kubor pada malam ini bersama Mohamad dan juga ketua penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Anwar, Wan Azizah datang kemudian

Sementara itu, Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, ketidakhadiran ketua umum PKR dan presiden semasa penamaan calon sudah menjadi kebiasaan.

Katanya, pemimpin yang bertanggungjawab untuk hadir setiap kali penamaan calon ialah Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, beliau dan Tian Chua hadir sebagai wakil PKR pada pagi ini.

Shamsul Iskandar juga memberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan hadir semasa tempoh berkempen pilihan raya kecil itu.

"Biasanya timbalan yang akan hadir. Oleh sebab sekarang baru lepas pemilihan maka belum lagi ada penstrukturan untuk siapa yang akan jadi pengarah pilihan raya.

Sebab itu kami buat keputusan saya dan Tian Chua turun hari ini mewakili kepimpinan. (Masa) kempen nanti kita akan bawa presiden dan Datuk Seri Anwar, paling tidak pun sehari," katanya.

-mk

Friday, September 12, 2014

BN pilih calon ‘luar kotak’ bagi Pengkalan Kubor

Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil sikap 'pemikiran di luar kotak' apabila memilih Mat Razi Mat Ail sebagai calonnya kerana beliau tidak tersenarai langsung dalam nama calon dicadangkan Umno Bahagian Tumpat, manurut Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel).

Mengikut kajian UMcedel terhadap pilihan raya kecil Pengkalan Kubur yang dikeluarkan semalam, calon BN yang paling popular di kalangan pengundi di situ ialah Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki.

Asraf, pengerusi Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) adalah anak bekas Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Dasuki Ahmad.

Sejak 6 bulan lalu, nama beliau disebut-sebut bakal menjadi calon menteri besar Kelantan jika Umno berjaya mengambil alih kuasa di negeri itu daripada PAS.

Mengikut kajian UMcedel yang diperolehi The Malaysian Insider, Asraf mendapat sokongan tertinggi di kalangan pengundi Pengkalan Kubor untuk dipilih sebagai calon.

Beliau mendapat 35% sokongan, iaitu yang tertinggi, daripada 507 sampel pengundi Pengkalan Kubor yang ditemubual UMcedel pada 29 Ogos lalu.

Menurut kajian itu, UMcedel mendapat 5 nama calon yang berpotensi untuk dipilih BN bagi pilihan raya kecil di situ selepas kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.

Pilihan kedua ialah Timbalan Ketua Bahagian Umno Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz yang mendapat 29% sokongan manakala tempat ketiga Rozidi Mohamad (16%) dan keempat Datuk Wan Johani Wan Hussin (9%).

"Nampaknya Umno melepaskan peluang untuk memperkenalkan calon menteri besarnya ketika semua mata tertumpu kepada Pengkalan Kubor," kata seorang pemimpin Umno yang enggan dikenali ketika mengulas perkara ini.

Nama Mat Razi, penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Tumpat diumumkan sebagai calon BN Pengkalang Kubor oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menurut kajian UMcedel itu, calon Pakatan Rakyat (PR) yang paling popular ialah Wan Rosdi Wan Ibrahim, penyelia DUN Pengkalang Kubor sekarang yang mendapat 28% sokongan.

Ia diikuti Che Ibrahim Mohamad (bekas kadi Kelantan) dan Rofien Hasan yang masing-masing mendapat 16% sokongan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor diadakan pada 25 September manakala penamaan calon pada 13 September.

PKR yang sebelum ini meletakkan calonnya bertanding bagi DUN itu dalam pilihan raya umum lalu menyerahkan kepada PAS untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK kali ini.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai pengarah PRK Pengkalan Kubor manakala pengarah operasinya diserahkan kepada Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, veteran pilihan raya PAS.

-tmi

Tuesday, September 9, 2014

PKR beri Pengkalan Kubor pada PAS

PKR memberi laluan kepada PAS bertanding dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor yang sebelum ini ditandingi PKR.



"PKR memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor.

"Ini mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan.

Menurut Azizah, keputusan itu dibuat untuk "berhadapan dengan Umno BN secara berkesan, utuh dan sepakat".

Pengumuman ini dibuat sehari sebelum BN dijangka mengumumkan calon mereka di Tumpat, esok.

Wakil rakyat sebelum ini, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN mati akibat kanser hati, 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 13 September manakala pilihan raya kecil pada 25 September.

-mk

Friday, August 29, 2014

DUN Pangkalan Kubor, PAS cuba buat hal?

GUA MUSANG – Pas berhasrat untuk meletakkan calonnya bertanding di kerusi Dun Pengkalan Kubor pada PRK nanti kerana yakin dapat merampas semula kerusi tersebut daripada BN.



Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun secara dasarnya kerusi itu milik PKR yang bertanding pada PRU13 lalu, namun Pas ada peluang kemenangan.

Beliau juga menyifatkan kerusi itu yang diberi kepada PKR pada PRU13 hanya sebagai pinjaman sahaja dan Pas boleh mengambil semula untuk mempertahan kerusi tersebut berikutan memiliki sokongan kuat daripada akar umbi.

“Kerusi itu memang milik Pas sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU13 lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kota Sejahtera Chiku, semalam.

Kerusi Dun Pengkalan Kubur kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, kerana penyakit kanser.

Allahyarham Noor Zahidi yang mewakili BN menghembuskan nafas terakhir ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di China seminggu yang lalu.

Sementara itu, Mohd Amar memberitahu, hasrat itu bukannya keputusan Pas sahaja kerana perkara ia akan dibincangkan bersama PKR bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengelak timbul isu yang kurang menyenangkan bagi kedua-dua parti gabungan itu.

“Kita lihat ada peluang untuk kita menang dan ia juga akan dilihat kepada calon yang bakal dipilih nanti kerana soal calon belum kita dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

-sinar harian

Monday, August 25, 2014

Pengkalan Kubor milik PKR

PAS tidak perlu berbincang untuk meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor kerana secara dasarnya kerusi itu milik PKR, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Ali.

"Setakat ini di peringkat pusat kita tidak membuat sebarang perbincangan (mengenai kemungkinan PAS akan meletakkan calon) kerana kita telah sedia maklum dan anggap ia sebagai kerusi PKR.



"Di mana dasarnya ia adalah kerusi PKR, melainkan PKR tidak ingin bertanding, jadi peranan kita (PAS) adalah sekadar membantu," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Harian itu juga melaporkan Mustafa sebagai berkata, PAS mengambil pendirian tidak campur tangan mengenai persediaan PRK berkenaan, sebaliknya menunggu arahan daripada PAS Kelantan.

"Kita mungkin akan pergi sebagai pembantu dan akan mendengar apa yang akan dibuat di peringkat negeri kerana kita sedia maklum Kelantan adalah negeri yang kita (PAS) perintah, jadi tiada masalah," katanya lagi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian Noor Zahidi, 57, yang meninggal dunia akibat kanser hati.

Sebelum ini, Dewan Muslimat PAS meminta PKR menyerahkan semula kerusi DUN Pengkalan Kubor untuk memberi laluan kepada parti itu bertanding dalam pilihan raya kecil itu kelak.

Bagaimanapun, bekas calon PKR DUN tersebut, Saharun Ibrahim menyalahkan "parti sahabat" PKR di Kelantan yang didakwanya menyebabkan mereka tewas dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu. -MK

Saturday, August 23, 2014

UMNO Bersiap Awal Serang PRK Pengkalan Kubor

Umno Kelantan diminta tidak mengambil mudah pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekalipun kawasan itu dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak tiga penggal lepas.


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah berbincang dengan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan persiapan awal itu bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN.

"Segala persiapan untuk menghadapi PRK Pengkalan Kubor perlu dibuat lebih awal kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Pengkalan Chepa 2014 hari ini.

Ahmad berkata beliau mewakili Umno merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China Rabu lepas.

Jenazah Allahyarham Zahidi dibawa pulang dari Guangzhou hari ini dan dijangka tiba di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat pada malam ini.

"Kami rakamkan ucapan terima kasih di atas jasa-jasa Allahyarham selama ini di peringkat negeri terutamanya kerana Allahyarham merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Pengganti beliau (Zahidi) ada tanggungjawab yang besar dan buat masa ini mesyuarat berkenaan calon masih belum dibuat," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohamad Mahmud berkata pihaknya akan menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selepas menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub. – Bernama,

Friday, August 22, 2014

PKR yakin ambil alih DUN Pengkalan Kubor?

PKR yakin mampu mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan dan parti itu sudah mengadakan perbincangan ringkas dengan PAS berhubung perkara itu, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.



Azmin berkata, beliau bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dan memaklumkan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat.

"Sekarang kita bersiap sedia untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

"Saya menghubungi pengerusi PKR Kelantan untuk melihat prestasi kita dalam dua pilihan raya lepas," katanya, pada sidang media selepas merasmikan Kongres Pemuda PKR ke-10 di Shah Alam, hari ini.

Katanya, PKR yakin menewaskan Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi tersebut memandangkan 2 DUN dalam kerusi Parlimen Tumpat itu dimenangi PAS.

"Kita boleh ambil semula kerusi Pengkalan Kubor," katanya.

Kerusi berkenaan ditandingi PKR dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

Azmin bagaimanapun berkata, parti itu masih belum memutuskan calon mereka.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin meminta PKR mempertimbangkan calon daripada sayap parti itu bertanding di PRK tersebut.

"Kita minta calon Pemuda PKR untuk DUN Pengkalan Kubor," kata Shamsul. – tmi