Saturday, August 23, 2014

UMNO Bersiap Awal Serang PRK Pengkalan Kubor

Umno Kelantan diminta tidak mengambil mudah pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekalipun kawasan itu dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak tiga penggal lepas.


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah berbincang dengan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan persiapan awal itu bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN.

"Segala persiapan untuk menghadapi PRK Pengkalan Kubor perlu dibuat lebih awal kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Pengkalan Chepa 2014 hari ini.

Ahmad berkata beliau mewakili Umno merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China Rabu lepas.

Jenazah Allahyarham Zahidi dibawa pulang dari Guangzhou hari ini dan dijangka tiba di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat pada malam ini.

"Kami rakamkan ucapan terima kasih di atas jasa-jasa Allahyarham selama ini di peringkat negeri terutamanya kerana Allahyarham merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Pengganti beliau (Zahidi) ada tanggungjawab yang besar dan buat masa ini mesyuarat berkenaan calon masih belum dibuat," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohamad Mahmud berkata pihaknya akan menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selepas menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub. – Bernama,

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.