Friday, April 2, 2010

PRK Hulu Selangor: BN vs PKR?

Calon ditimbang PKR kini dua kali ganda

Jumlah calon berpotensi untuk kerusi Parlimen Hulu Selangor yang sedang dipertimbangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bertambah dua kali ganda berbanding hanya sekitar lima orang disebut-sebutkan awal minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan pucuk kepimpinan dijangka menerima beberapa nama lagi sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang bersiap sedia untuk mengumumkan tarikh pilihan raya pagi ini.

Sumber memberitahu Biro Politik yang bermesyuarat malam kelmarin ada disebutkan bahawa ibu pejabat parti telah menerima sekitar 10 nama setakat semalam.

“Kami diberitahu sudah ada 10 nama yang dikemukakan oleh pelbagai pihak,” kata seorang anggota Biro Politik yang tidak mahu namanya didedahkan.

“Datuk Seri Anwar ada sepintas lalu menyebut bahawa sudah menerima nama-nama dengan memberitahu sebahagiannya nama-nama yang disebutkan oleh media,” katanya ketika dihubungi.

Nama yang disebut-sebutkan sebelum ini Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelana Jaya Syed Shahir Syed Mahmud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin, peguam N. Surendran dan anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim.

Satu nama lagi ialah Nashruddin Abdul Aziz yang merupakan Ketua PKR Cabang Hulu Selangor.

Tiga nama lain ialah naib ketuanya cabang itu Razali Mokhtar dan bendaharinya Datuk Dr Halili Rahmat.

Kini nama turut yang disebutkan Khalid Jafar.

Razali dan Halili merupakan kelahiran kawasan Hulu Selangor.

Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Sumber itu memberitahu mesyuarat malam tadi tidak membincangkan dengan terperinci aspek calon, sebaliknya akan dihalusi pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR Ahad ini.

“Kemudian ia akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh presiden parti dan diteliti bersama oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya.

Katanya, pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan sama ada mahu meletakkan calon tempatan ataupun calon peringkat nasional bagi mengharungi cabaran mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Ini dua aspek dipertimbangkan,” katanya.

SPR dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya termasuk hari penamaan calon dan pengundian hari ini.

Sumber itu menambah Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga ada membentangkan laporan awal persediaan menghadapi pilihan raya.

“Laporan lanjut akan dikemukakan Ahad ini,” kata sumber.

Kemudian Anwar dikatakan mengadakan pertemuan dengan beberapa calon yang berpotensi.

Pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Peluang memihak BN tawan semula Hulu Selangor?

Barisan Nasional (BN) rata-rata dipercayai boleh menguasai semula kubu kuatnya — kerusi Parlimen Hulu Selangor — jika meletakkan calon selain Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, demikian hasil tinjauan umum kendalian The Malaysian Insider baru-baru ini.

Malah, The Malaysian Insider juga mendapati pengundi-pengundi Melayu sedia menerima sesiapa sahaja calon BN dan akan mengundi wakil MIC, tetapi pengundi kalangan masyarakat India, yang mewakili 19 peratus daripada 60,000 pemilih berdaftar, tidak “gembira” idea agar Palanivel bertanding semula di Hulu Selangor meskipun MIC menamakan beliau.

Samy Vellu telah menamakan semula Palanivel atas dasar kedudukan nombor dua beliau dalam parti.

Setakat ini hanya satu nama yang telah diserahkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak oleh MIC.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil ini di Putrajaya, pagi ini.

Selain MIC, kerusi Hulu Selangor pernah ditandingi wakil MCA.

BN menganggap Hulu Selangor sebagai kubu kuat mereka dan tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya umum di kawasan tersebut.

“Saya rasa bukan Palanivel,” kata seorang pemilik kedai gunting rambut, A. Rao ketika ditemui di kawasan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 tetapi tewas pada Mac 2008 dengan perbezaan tipis 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, wakil Parti Keadilan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2004 beliau merupakan antara wakil rakyat mendapat undi terbanyak di Selangor.

Malangnya BN memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi tewas di peringkat Parlimen.

Pandangan Rao itu menunjukkan dia sebahagian daripada pengundi tempatan mengharapkan muka baru atas alasan bekas wakil rakyat itu jarang dilihat di kawasannya.

Kata Rao, kebanyakan pelanggannya sama ada pengundi India, Cina atau Melayu merupakan penyokong BN.

Sentimen beliau turut dikongsi oleh seorang lagi pemilih dari Kuala Kubu Bharu, M.K. Sekaran yang terlibat dalam perkhidmatan restoran.

Premisnya tidak jauh dari pusat perkhidmatan Palanivel tetapi pandangannya agak memeranjatkan walaupun timbalan presiden MIC itu terus-menerus turun kawasan meskipun tewas 8 Mac.

Ahli MIC itu telah mengundi di kawasan Hulu Selangor sejak tahun 1964 tetapi melahirkan kekecewaan dengan kepimpinan Palanivel.

Kekecewaan beliau lebih bersifat parti berbanding dengan masalah peringkat BN.

Sementara itu, seorang lagi pengundi S. Shanmugam bersetuju dengan pandangan kedua-dua pemilih tadi.

Katanya, dia bukan sahaja kecewa dengan Palanivel, malah dengan prestasi BN pada keseluruhannya.

“Saya telah mengundi dalam lima pilihan raya umum termasuk yang terakhir dua tahun lalu tetapi saya mendapati Pakatan Rakyat ada membawa lebih banyak perubahan dalam dua tahun lalu,” kata Shanmugam yang membayangkan dia sebenarnya merupakan penyokong “tegar” BN.

Bagaimanapun pengundi-pengundi Cina yang ditemui kebanyakannya belum membuat keputusan sama ada menyokong BN ataupun PR.

Eddy Shee, 36, dari Bukit Sentosa berkata BN kelihatan menikmati sokongan terbanyak tetapi tidak bermakna ia boleh menang.

“Itu bukan kesnya... rakyat akan mengundi calon yang boleh memberi jaminan akan membawa pembangunan di kawasan itu,” kata Shee yang menyediakan perkhidmatan pendawaian di ibu negara tetapi tinggal di Hulu Selangor.

Di Kuala Kubu Bharu, Cheng Ming Chee memberitahu komuniti Cina menyokong penuh kerajaan negeri kepimpinan PR.

Pemilik kedai telefon ini memberitahu penduduk Kampung Baru Asam Kumbang telah menerima kebenaran daripada kerajaan negeri untuk terus tinggal selama 60 tahun akan datang.

Kampung itu mempunyai lebih 400 rumah dengan lebih daripada dua pertiga telah menerima kelulusan kerajaan negeri.

“Selama ini MCA (yang menang kerusi Kuala Kubu Bharu) tidak melakukan apa-apa. Nampaknya ada perubahan di bawah kerajaan negeri,” kata Low Chee Keong, 53.

Adiknya, Low Chee Chuan, 46, yang memiliki kedai emas di Hulu Selangor memberitahu tiada masalah besar di Kuala Kubu Bharu dan gembira dengan kerajaan negeri.

“Tiada masalah. Saya boleh bersara di di sini,” katanya lagi.

Seramai 53.9 peratus daripada 60,000 pemilih di Hulu Selangor merupakan orang Melayu manakala pengundi Cina terdiri daripada 26.7 peratus manakala India dalam lingkungan 19 peratus dan lain-lain 0.41 peratus.

Sumber: MalaysiaInsider

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.