Monday, May 31, 2010

HALAU SEMUA WARGA HARAM FILIPINA DI SABAH?

KERAJAAN Negeri Sabah disaran mengadakan operasi khas besar-besaran untuk menghalau keluar semua pendatang asing Filipina yang berasal daripada Tawi-Tawi, Bungao dan Selatan Filipina serta mereka yang telah mendapat kerakyatan secara haram; sebagai tindak balas terhadap ‘kecuaian’ kerajaan Filipina yang enggan membantu menyelesaikan ‘Krisis Tebusan’ dua rakyat Malaysia yang diculik di Terumbu Karang Sebangkat, Semporna pada 8 Februari 2010.


Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan membuat saranan demikian kerana kesal dengan ‘sikap acuh tidak acuh’ Kerajaan Filipina terutama Gabenor Tawi-Tawi, Sadikul Sahali Hadji Adalla; Rashidin Mat Bah serta semua Mayor di Selatan Filipina yang masih belum bertindak membebaskan mangsa culik sedangkan mereka mengetahui kedudukan penculik dan mangsa secara tepat.

“Kita harap semua Gabenor dan Mayor yang telah menggunakan isu penculikan ini sebagai tiket berkempen dalam pilihanraya Filipina Mei lalu agar benar-benar membantu membebaskan mangsa culik kerana telah begitu lama berada dalam tangan penculik,” ujar Jeffrey dalam satu kenyataan khas kepada Sabahkini.net.

Menurut Jeffrey, jaminan keselamatan di Sabah semakin tiris ekoran rasuah menjadi-jadi dalam pasukan keselamatan dan Kerajaan Negeri harus mencari alternatif untuk mempertahankan wilayahnya daripada diceroboh bukan sahaja oleh pendatang asing tanpa izin, malah oleh pegawai penguatkuasa yang mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa sebagai budaya kerja mereka.

Sehubungan itu, Jeffrey mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman campurtangan dan menguatkuasa undang-undang darurat dengan mengadakan gerakerja mengepam keluar semua pati dan mereka yang mempunyai rekod jenayah dan mendapat kerakyatan Sabah secara tidak sah; apatah lagi Ketua Penculik, Ben Abdul Taraji @ Ahmad Taraji dan kumpulannya memiliki kad pengenalan Malaysia melalui pintu belakang.

“Kerajaan perlu bertindak drastik dan melakukan saringan lebih ketat bagi memastikan kejadian ini tidak berulang; apatah lagi selepas penculikan Sipadan dan Pandanan pada 2000 dilakukan oleh mereka yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan kini dilakukan oleh spesis yang sama,” ujar Jeffrey dengan nada kesal kerana Kerajaan Sabah seolah-olah sudah kehilangan kuasa untuk menjaga kedaulatan tanah leluhur dan rakyatnya.

Kedua-dua mangsa kata Jeffrey, Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau begitu menderita berada dalam tahanan penculik dan keluarganya sudah puas merayu ehsan Kerajaan Malaysia dan Filipina, namun kes ini berlarutan begitu lama dan peluang mangsa diselamatkan semakin tipis sekalipun peluang terbuka luas.

Jeffrey turut kesal dengan ‘tindakan biadap’ pihak tertentu dalam pihak berkuasa Malaysia yang menghantar golongan peninjau secara haram sehingga tiga daripada 20 orang telah diberkas pihak berkuasa Filipina; menjadikan usaha membebaskan mangsa culik semakin rumit.

“Kita harap agar pihak berkuasa tidak mengganggu rundingan yang dilakukan oleh wakil sah yang dilantik kerajaan Malaysia dengan menghantar kumpulan lain untuk mengganggu proses perundingan dan ‘menculik keluar’ dua mangsa berkenaan secara senyap-senyap untuk menutup kelemahan kerajaan,” ujar Jeffrey yang enggan menamakan pihak berkenaan sekalipun beliau tahu siapa yang terlibat.

Kehadiran terlalu ramai pendatang asing di Sabah membuktikan Kerajaan Persekutuan gagal menjaga keamanan dan kedaulatan Sabah sekalipun menubuhkan dan mempunyai pasukan keselamatan; namun mudah dibolosi pendatang tanpa izin yang menyelinap masuk ke koloni setinggan yang menjadi sarang jenayah dan menetap secara bebas di Sabah.

Tangkapan dan penghantaran balik yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Task Force), kata Jeffrey, hanyalah ‘sandiwara’ dan membazirkan wang rakyat dan menjadi ‘perniagaan’ bagi pegawai atasan dan tekong laut mendalangi kemasukan semula semua pati yang dihantar balik.

Ekonomi Sabah, kata Jeffrey akan terus jatuh merudum kerana pelabur dan pelancong takut datang ke Sabah, apatah lagi dalam industri rumpai laut di Semporna yang jatuh secara mendadak sehingga 90 peratus kerana para pengusaha bimbangkan keselamatan mereka, kerana dua mangsa berkenaan diculik ketika pihak berkuasa memberi jaminan keselamatan perairan Sabah pada tahap cemerlang.

“Jika lokasi berlakunya penculikan pada 8 Februari lalu berada di tengah-tengah kawalan ketat pihak berkuasa, bagaimana kita yang jauh daripada kawalan keselamatan? Kita harap agar Kerajaan Negeri Dan Persekutuan serius atasi masalah ini,” kata Jeffrey yang kesal dengan perkembangan terkini mangsa culik berkenaan.

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

2 comments:
Write comments
  1. May be strengthen our security especially to the border line, are needed.

    ReplyDelete
  2. Masalah kebanjiran PTI di negeri ini harus dihapuskan. Kebanjiran PTI ini juga mengundang pelbagai jenayah. Pihak berkuasa harus maejalankan tugas dalam menghapuskan PTI di negeri ini. Apa yang saya lihat terlalu ramai warga PTI yang sentiasa berkeliaran samada di bandar, perkampungan, pekan, tempat pelncongan, ladang pertanian dan sebagainya, tiada pun pihak berkuasa membuat penangkapan sedangkan yang jelas mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.