Thursday, May 27, 2010

UPKO BEAUFORT SINGKIR AHLI KORPORAT

BEKAS Bendahari Upko Bahagian Kuala Penyu, Limus Jury (kiri) disingkirkan daripada kepimpinan bahagian apabila parti itu kembali ke jawatankuasa penaja bahagian Beaufort baru-baru ini, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai penyingkiran beliau itu.



Ketua Bahagian, Datuk Wences Angang difahamkan tidak berminat untuk melantik semula ahli korporat tersebut walaupun sebelum ini beliau banyak berjasa dalam membantu memantapkan kepimpinan parti di bahagian berkenaan.

Malah, Limus, 47, yang sebelum ini pernah memegang jawatan Bendahari Pergerakan Pemuda Upko Pusat yang ketika itu diketuai Datuk Kalakau Untol dikatakan turut banyak memberi sumbangan kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Beaufort yang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Penyu dan Dun Klias.

Ramai kalangan kepimpinan bahagian parti itu juga dikatakan telah mengesyorkan kepada Ketua Bahagian supaya pemimpin muda itu terus diberi peranan dalam bahagian sebagai menghargai sumbangannya.

Jawatan Bendahari Bahagian kini telah diberikan kepada Thomas Kaling, seorang peniaga komputer yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Wences, bekas Timbalan Ketua Menteri yang tewas kepada calon Bebas, Datuk John OT Ghani dalam pilihan raya umum negeri pada 2004.

Wences yang juga Naib Presiden UPKO kini dilihat melakukan pelbagai strategi sebaik sahaja bahagian itu kembali menjadi penaja bagi bahagian Beaufort dengan membawa masuk beberapa muka baru termasuk beberapa pegawai kerajaan yang sudah pencen bagi mengimbangi golongan muda yang sedia ada dalam kepimpinan bahagian kerana beliau dikatakan masih memendam hasrat untuk berusaha kembali menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Pada masa yang sama, ahli politik veteran itu cuba mencaturkan beberapa nama pegawai kerajaan yang sudah pencen itu untuk ditonjolkan sekiranya beliau masih gagal menyakinkan kepimpinan tertinggi parti terutama presiden, Tan Sri Bernard Dompok yang sebelum ini telah menasihati beliau untuk berehat dan memberi laluan kepada muka baru yang lebih dinamik.

Ekoran tindakan Dompok itu memberi ruang kepada bekas Merinyu Kesihatan Majlis Daerah Kuala Penyu, John Teo menjadi calon pada pilihan raya negeri yang lepas dan berjaya memenangi kerusi Dun Kuala Penyu dengan kemenangan tipis.

Bagaimanapun Adun itu ketika ini pula dilanda krisis kerana beliau sudah tidak lagi sebulu dengan Ketua Bahagian serta menerima pelbagai kritikan rakyat di kawasannya kerana dikatakan tidak peka dengan masalah mereka malah dikatakan sangat sukar dihubungi sama ada melalui telefon bimbit atau SMS.

Yang lebih buruk lagi, Adun itu juga tidak mempunyai hubungan mesra dengan parti-parti komponen BN lain terutama Umno dan PBS sungguh pun kedua-dua rakan komponen itu telah bekerja keras membantu membawa kemenangan beliau dalam pilihan raya lalu.

Terdapat juga desas-desus bahawa Adun tersebut mungkin tidak akan diberi peluang lagi untuk bertanding semula dalam pilihan raya akan datang berdasarkan prestasi beliau sebagai wakil rakyat begitu kurang memberangsangkan.

Lantaran itu, senario itu telah menarik perhatian Ketua Bahagian untuk memasangkan strategi serampang dua mata yakni mencuba untuk menjadi calon BN semula atau memasangkan ‘ayam sabung’ lain yang beliau mempunyai kepentingan.

Bekas Adun Bebas, Datuk John OT Ghani yang telah menyertai PKR, berkata, kelibat Wences begitu ketara kebelakangan ini dan ia seolah-olah memperlihatkan bekas Timbalan Ketua Menteri itu kembali menaruh minat untuk mengadu nasib dalam pilihan raya akan datang sekiranya ia direstui kepimpinan parti dan BN.

Katanya, tindakan Wences itu jelas telah memperlekeh golongan muda di bahagian itu kerana beliau sepatutnya memberi ruang yang luas kepada mereka memandangkan ramai daripada mereka mempunyai kebolehan dan memiliki ketrampilan.

Oleh : RAHUL FIRDAUS (sabahkini)

7 comments:
Write comments
  1. siapa pun yang memimpin, yang menjadi ukuran ialah kualiti kepimpinan dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas. sekiranya golongan muda mempunyai potensi, mereka patut diberikan peluang.

    ReplyDelete
  2. Bagi saya, kualiti kepimpinan yang baik adalah datangnya dari individu itu sendiri, bagaimanapun pemilihan calon harus mengkaji latar belakang individu tersebut. Perlu juga dipastikan calon mempunyai kredibiliti dan PR yang baik.

    ReplyDelete
  3. sebenarnya kepimpinan ada diantara ahli politik yang tersebut dalam artikel disini, semasa beliau masih lagi wakil rakyat di KP dipersoalkan penduduk di sana kerana gagal membawa sebarang kemajuan dan perubahan kepada mereka. itulah sebab mereka di sana berpakat ramai-ramai menjatuhkan dia dengan mengundi pembangkang...

    ReplyDelete
  4. apa2 pun, bukan senang mau kasi kalah datuk john ghani tu, itu orang popular di sana.

    ReplyDelete
  5. tidak salah sekiranya seseorang itu dikekalkan selagi masih relevan untuk memberikan sumbangan dan khidmat kepada masyarakat...namun terpulang kepada mereka...yang penting kewajipan dan tanggungjawab kepada rakyat dilaksanakan dengan jujur dan telus...

    ReplyDelete
  6. I thought Datuk Wences already retired. How come this old man suddenly appear?..Lemme guess, he wants to make a comeback into Sabah's political scenes. Well, we will see..

    ReplyDelete
  7. hhmmm, ada2 ja spekulasi.
    Bagi saya yg penting ialah ketelusan pemimpin tu untuk bantu rakyat ba. hehhe

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.