Sunday, October 23, 2011

Himpunan Sejuta Umat Gagal Capai Sasaran

Himpunan Sejuta Umat yang dianjurkan bagi membanteras gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini gagal mencapai sasaran berikutan sambutan dingin berdasarkan kehadiran hari ini.

Tinjauan Berita Harian Online menganggarkan jumlah kehadiran kurang daripada 1,000 peserta berbanding 1 juta umat Islam dari seluruh negara yang disasarkan pihak penganjur.

Himpunan Sejuta Umat program anjuran bersama antara 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

Ia diadakan di Stadium Shah Alam, bermula jam 2 petang dan dijangka tamat pada jam 5 petang. -BH


Himpunan Sejuta Umat Gagal Capai Sasaran

SHAH ALAM: Jumlah peserta yang menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan pada Sabtu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 1 juta umat Islam.

Setelah hampir dua jam perhimpunan tersebut diadakan, stadium hanya dipenuhi kira-kira empat ribu peserta.

Namun demikian, tinjauan mStar Online mendapati terdapat beberapa orang bukan Islam yang hadir pada majlis yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini.

Antara pemimpin yang turut serta dalam perhimpunan berkenaan, ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Himpun diadakan untuk memperkasakan suara umat Islam di Malaysia dalam mnenegakkan syiar Islam dan mencegah aktiviti memurtadkan umad Islam di negara ini. -mstar




Himpunan Sejuta Umat berlangsung dengan penyertaan ‘jauh lebih kecil’

SHAH ALAM, 22 Okt — Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam, yang penganjur menyasarkan lebih 100,000 penyertaan, terpaksa dimulakan lewat 90 minit dengan kehadiran hanya sekitar 5,000 orang.

Kempen yang mendapat liputan meluas bagi membincangkan isu khusus mengenai murtad di kalangan Muslim dimulakan pada pukul 3.40 petang — lewat satu setengah jam daripada masa dijadualkan ekoran sambutan dan penyertaan yang dingin.

Acara dimulakan dengan para hadirin dihiburkan lagu-lagu nasyid tetapi terganggu sebentar dengan satu pengumuman mengecam buku kecil bertajuk “Siapa Bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?”

Sekretariat Himpun sebelum ini berkata mereka meletakkan sasaran kehadiran lebih 100,000 kerana mendapat sokongan sekitar 2,000 pertubuhan bukan kerajaan mewakili sekitar empat juta ahli dan pengikut. -TMI



Perhimpunan anti-murtad di Shah Alam

Stadium Shah Alam mula dipenuhi orang ramai yang menyertai Perhimpunan Sejuta Umat.

Satu kumpulan nasyid memulakan acara dengan mempersembahkan nyanyian lagu-lagi nasyid.

Beberapa kain rentang turutn dipasang di kawasan stadium, antaranya tertulis Pertahankan Institusi Raja, Hidup Melayu Hidup Islam, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Selain itu, beberapa orang di kalangan orang ramai yang hadir juga dilihat membawa satu risalah bertajuk "siapa bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?"

Seorang individu mengumumkan melalui pembesar suara di stadium bahawa terdapat pihak tertentu yang mengedarkan risalah yang "boleh timbulkan masalah."

"This is a peaceful assembly. Tolong jangan resahkan perhimpunan ini.

"Siapa yang jumpa orang yang edar risalah itu, tangkap dan bawa kepada polis," kata individu yang membuat pengumuman itu lagi.

Risalah, yang kelihatan seperti buku kecil (di bawah), memaparkan salib besar pada kulit, dan di dalam menggambarkan pastor kanan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Daniel Ho sebagai 'dalang' kepada dakwaan usaha mengkristian tersebut.

Ia juga mengandungi gambar pastor tersebut dan isterinya serta individu lain dalam DUMC dan Sinar Harapan - NGO yang terbabit dalam kontroversi tersebut.

3pm: Dianggarkan sekitar 5,000 orang telah mengambil tempat di kawasan tempat duduk stadium.

3.34pm: Duduk di tempat VIP ialah exco kerajaan Selangor bagi halehwal agama Islam, Datuk Hasan Ali dan bekas naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah; pemimpin TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid dan mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Turut kelihatan di kawasan VIP ialah bekas menteri besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim.

Difahamkan seorang pemimpin Pemuda PAS akan berucap di perhimpunan tersebut.

3.40pm: Pihak penganjur sekali lagi mengingatkan para peserta bahawa ia adalah satu perhimpunan aman dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk mencetuskan gangguan.

3.50pm: Pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Yusri Mohamad mula menyampaikan ucapan.

4pm: Dalam ucapannya, Mohd Yusri Mohamad dalam ucapannya menjelaskan bahawa perhimpunan hari ini bertujuan menyuntik kebenarannya kepada orang Islam dalam berdepan dengan isu murtad.

"Kita harap dapat suntik keberanian dalam diri kita, semuanya akan gerakkan perubahan dari segi undang-undang, dasar dan sikap terutamanya di kalangan mereka yang berkeras ingin murtadkan umat Islam, sedangkan ia kesalahan sebar agama lain kepada orang Islam."

4.20pm: Penulis yang pernah buat kajian ke atas isu Natrah - Fatini Yaacob - pula menyeru supaya golongan bukan Islam berhenti memurtadkan orang Melayu dan membuat provokasi ke atas orang Islam.

"Marilah hormati pilihan agama masing-masing," katanya yang berkata perhimpunan orang Islam yang membuat bantahan dalam isu Natrah pada waktu itu juga disertai golongan bukan Islam.

4:40pm: Berucap seterusnya ialah Farhan Abdullah - seorang pendakwah dari Sabah - yang mahu perlembagaan persekutuan dipinda untuk menyekat murtad.

Menurutnya, Perkara 11 menyatakan bahawa terdapat kebebasan beragama untuk semua yang berumur 18 tahun ke atas.

Beliau menggesa ahli parlimen meminda perlembagaan untuk menambah 'kebebasan agama hanya untuk orang bukan Islam'.

Tidak ada kebebasan (untuk menukar agama) untuk orang Islam, katanya.

Bagaimanapun, Farhan tidak mengulas lanjut mengenai bagaimana usaha memurtadkan orang Islam berlaku di Malaysia.

Beliau memberitahu hadirin bahawa mereka yang berminat, hendaklah membeli bukunya, yang hasil jualannya adalah untuk membina sebuah pusat Islam di Sabah.

4:50pm: Seorang wakil NGO belia dari Felda, Abdullah Abu Bakar, pula berikrar bahawa tidak akan ada kes murtad di tanah rancangan Felda.

Beliau tidak menyebut sama ada pernah ada kes seumpama itu sebelum ini.

Sementara itu, pihak penganjur memuji para hadiran kerana semuanya berjalan dengan aman.

5.02pm: Bekas naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah membangkitkan kegiatan kristian militan yang kini didakwa mempunyai 13 orang mubaligh di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang bermatlamat memurtadkan orang Islam.

Memetik dari buku 'Armies of God' tulisan Iain Buchanan, beliau menambah buku itu menyatakan bahawa mereka itu berada di Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Katanya murtad berlaku kerana umat Islam tidak bersatu dan bercakaran antara satu sama lain walaupun berdepan dengan ancaman.

Apa yang diminta adalah supaya umat Islam tidak diganggu, dan untuk semua mengikut undang-undang, katanya merujuk kepada kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama.

Beliau juga menyentuh dakwaan konspirasi bahawa Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan beberapa pemimpin Kristian, merancang untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

5.10pm: Wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Mohamad Hasan berkata berkata pertubuhan itu berharap supaya media menyampaikan fahaman Islam yang betul dan bagi memantapkan kefahaman dan ilmu Islam.

Tujuannya supaya anak muda tidak mudah disongsangkan.

"Kita harap keterbukaan media dalam beri laporan kerana anak muda tolak pemberitaan yang banyak bermotif keutamaan politik dan orang tertentu.

"Kita mahu golongan penyampai maklumat media harus bebas memberi maklumat," katanya.

Gamis juga mahu silibus pembelajaran Islam di universiti dikaji semula kerana mendakwa kegiatan murtad juga berlaku di kampus.

5.18pm: Pihak penganjur kemudian bertanya kepada para hadirin sama ada mereka bersetuju jika Himpun diadakan di seluruh negara. Para hadirin bersetuju.

Menurut pihak penganjur, tidak kira berapa ramai yang hadir hari ini tetapi apa yang penting ialah suara mereka sekuat seolah-olah terdapat satu juta orang yang hadir di situ.

Kelihatan ada orang yang beredar meninggalkan stadium.

5.35pm: Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamada yang mewakili Front Bertindak Anti Murtad berkata "musuh Islam' membuat tuntutan melalui 'interfaith commission' kerana orang Islam berpecah.

Beliau berharap perhimpunan hari ini menjadi titik mula untuk perpaduan Islam di Malaysia.

"Marilah kita ketepi perbezaan ideologi dan bersatu atas kalimah shahadah," katanya.

Dalam ucapannya, Kamaruzzaman turut membaca sebuah sajak bertemakan anti-murtad karangan ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

5.40pm: Hujan mula turun sejurus sebelum Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memulakan ucapan.

5:43pm: Mufti Perak itu memulakan ucapannya kepada para hadirin. Ramai yang kelihatan bangun dari tempat duduk mereka untuk pergi lebih dekat kepada mufti untuk mengambar gambar.

Harussani berkata orang Melayu adalah bangsa yang paling istimewa di dunia kerana semua orang Melayu adalah beragama Islam.

Beliau membaca ayat-ayat suci Al-Quran kepada para hadirin bahawa Allah telah memberi amaran mengenai malapetaka jika manusia gagal melindungi iman mereka.

6.00pm: Exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menutup perhimpunan tersebut dengan memimpin bacaan doa munajat.

-mk

Tokoh Bukan Islam Kecam Pembunuhan Kejam Gaddafi

Tokoh perdamaian Afrika Selatan Uskup Desmond Tutu (gambar kecil) mengecam tindakan pembunuhan kejam yang dilakukan terhadap bekas Presiden Libya Muammar Gaddafi.

"Cara mereka (pasukan Dewan Transisi Nasional) membunuh Muammar Khadafi benar-benar tidak mulia dan jauh dari nilai-nilai demokrasi," ujar Tutu, seperti dikutip AFP, Sabtu (22/10/2011).

Tutu menegaskan, membunuh seseorang bukanlah suatu hal yang patut dirayakan, dan rakyat Libya sepatutnya menunjukkan sikap baiknya.

Desmond Tutu merupakan salah seorang pemenang nobel perdamaian di Afrika. Presiden Afsel Nelson Mandela juga memberikan pandangan yang baik terhadap Tutu. Mandela bahkan mengatakan, Tutu merupakan seorang yang tidak pernah takut mengeluarkan pendapat.

Setelah jatuhnya rejim apartheid pada 1994 silam di Afsel, pemenang nobel pada tahun 1984 ini sering menggunakan frasa kata "Rainbow Nation" (Bangsa Pelangi) untuk menggambarkan keragaman masyarakat Afsel.

Uskup berasal Afrika ini bahkan sempat menyatakan cintanya pada pahlawan pro demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi pada September lalu. Tutu juga memuji sikap Suu Kyi yang melakukan perlawanan terhadap junta militer Myanmar. -okezone

Gaddafi merayu: Jangan bunuh saya

SIRTE: Ditarik keluar dari terowong kumbahan, bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, yang cedera, mengangkat tangannya dan merayu kepada pejuang revolusi.

'Jangan bunuh saya, anak-anak lelaki saya,' katanya.

Dia masih hidup apabila rakyat yang berang menarik rambut bekas pemimpin yang memerintah negara itu selama 42 tahun, sebelum berarak membawanya yang berlumuran darah di belakang sebuah kenderaan.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Encik Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.

Gaddafi cedera parah di kedua-dua belah kakinya.

'Ketika ditangkap, dia turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera pemerintah sementara Libya),' kata Encik Mlegata.

Dalam tempoh sejam, dia meninggal dunia ekoran cedera parah.

Dalam rakaman yang disiarkan saluran Al Arabiya, anggota tentera ditunjukkan sedang mengheret mayat bekas pemimpin itu di atas tanah manakala terdapat kesan luka di kepalanya.

Rangkaian televisyen Al Jazeera pula menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.

Sementara itu, Perdana Menteri Libya, Encik Mahmoud Jibril, dengan merujuk kepada laporan forensik berkata Gaddafi terbunuh ekoran terkena peluru di kepala dalam kejadian berbalas tembakan antara pejuang dengan penyokong-penyokong bekas pemimpin Libya itu selepas dia ditangkap di Sirte, kelmarin.

'Saya mahu membacakan kepada anda satu laporan doktor forensik yang telah memeriksa Muammar,' kata Encik Jibril pada sidang media di sini kelmarin.

'Ia berkata 'Muammar dibawa keluar dari terowong saluran najis... dia tidak beri tentangan. Apabila kami mula memindahkan dia, satu peluru terkena lengan kanan dan apabila kami meletakkan dia di trak, dia tidak mengalami sebarang kecederaan lain',' kata Encik Jibril.

'Apabila kereta bergerak, tercetus pertempuran antara anggota revolusi dan pasukan Muammar, dan sebutir peluru terkena kepalanya',' tambahnya.

Encik Jibril berkata doktor forensik tidak dapat memastikan sama ada peluru itu daripada pasukan anggota revolusi ataupun tentera Gaddafi sendiri.

Menurut beliau lagi, Gaddafi masih hidup ketika dibawa keluar dari Sirte tetapi mati beberapa minit kemudian ketika mendekati hospital.

Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya sedang berhubung dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang mahu membicarakan Gaddafi berhubung jenayah kemanusiaan, katanya.

Mahkamah itu pada mulanya mahu satu pasukan pakar forensik memeriksa mayat Gaddafi sebelum dia dikebumikan, kata Encik Jibril.

Bagaimanapun, selepas melihat laporan majlis itu, mahkamah bersetuju bahawa pemeriksaan susulan tidak diperlukan. -- Agensi.

WASPADA: Terdapat Susu Tepung Tercemar Di Pasaran

Mohd Hasbullah Mohd Razi, 25 berkata, susu berkenaan dibeli di sebuah kedai di pekan Kuala Kangsar untuk anaknya yang berusia enam bulan, dengan harga RM17.30 untuk satu paket seberat 650 gram.

“Susu berkenaan merupakan susu berjenama agak terkenal di negara ini banyak diiklankan di kaca televisyen yang mana dikatakan mempunyai khasiat tinggi serta bagus untuk bayi.

“Hajatnya mahu menukar jenama susu untuk anak dan saya telah membeli tiga paket sekali gus susu tepung berkenaan, namun tidak menyangka perkara sebegini boleh berlaku untuk satu jenama susu yang agak terkenal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Katanya, awalnya dia menyangka serpihan hitam itu adalah sampah yang terjatuh ke dalam bekas mengisi susu tepung untuk anaknya, namun setelah diperiksa, ketiga-tiga paket susu berkenaan didapati turut mengandungi serpihan sama.

Menyedari keadaan itu, Mohd Hasbullah berkata, dia merasa bimbang ia akan mendatangkan mudarat kepada anaknya kerana satu paket telah habis diminum bayi berusia enam bulan itu.

“Awalnya isteri saya menyangka ia adalah sampah kecil dalam bekas susu tepung lalu menapis sehingga habis satu paket pertama untuk membuang serpihan berkenaan, namun apabila menyedari ia turut terkandung dalam paket dua paket lagi, kami mula merasa bimbang, lalu mengadukan perkara ini kepada pihak berwajib,” katanya.

Menurut Hasbullah, isteri dan bapa mertuanya telah mengadukan perkara itu kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kuala Kangsar dan Pejabat Kesihatan Daerah pada 14 Oktober lalu, namun terkilan dengan cara masalah itu ditangani.

“Sikap menuding jari antara pihak berwajib sebenar membuat kami rasa terkilan, kerana sikap seperti ini membuatkan kuasa sebagai pengguna seperti tidak berguna langsung dalam situasi seperti ini.

“PPDNKK kata mereka hanya memantau dari segi harga dan masalah ini perlu dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah, manakala Jabatan Kesihatan pula mengatakan di sebaliknya dan keadaan ini membuatkan pihak pengguna seperti kami kecewa,” katanya.

Mohd Hasbullah berkata, hanya selepas bapa mertuanya berkeras baru Pejabat Kesihatan Daerah menerima sampel susu yang dibawa untuk diuji dan memaklumkan keputusan pemeriksaan akan keluar dalam masa enam minggu.

“Kami harap pihak berwajib lebih bertanggungjawab dalam menangani perkara sebegini kerana ia melibatkan makanan bayi dan jika karenah birokrasi terus dibiarkan seperti ini, ia akan mendatangkan mudarat kepada ramai pengguna,” katanya. -SH

Umpan Wartawan Untuk Tulis Berita Palsu?

PAS Kawasan Bukit Katil menggesa akhbar Sinar Harian membuat penafian berita mengenai penyertaan bekas ketua PAS cawangan ke dalam Umno.

Setiausahanya, Ramli Dalip menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar tersebut hari ini bahawa 30 ahli PKR Ranting Bukit Piatu Parlimen Bukit Katil bertindak membubarkan ranting tersebut dan bertindak menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam laporan itu, bekas Ketua Ranting PKR Bukit Piatu, Md Said Abu berkata mereka sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR yang tidak menjaga kebajikan ahli.

Gambar dalam akhbar itu juga menunjukkan bahawa bekas Ketua PAS Cawangan Bukit Piatu, Abdul Samad Mamat ada bersama-sama dengan Mohd Ali dan Md Said.

Menurut Ramli, malam tadi beliau telah bertemu sendiri dengan kedua-dua bekas pemimpin cawangan PAS dan ranting PKR Bukit Piatu itu.

Katanya, mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Mohd Ali.

"Gambar itu diambil semasa satu majlis yang melibatkan NGO bukannya majlis Umno atau majlis penyerahan borang Umno, mereka telah manipulasikan program tersebut ambil gambar kata Md Said masuk Umno.

"Cikgu Samad juga menafikan beliau menyertai Umno dan beliau masih aktif membantu Penyelia PAS Dun Kuala Linggi," ujarnya yang juga anggota Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Ramli berkata tindakan media itu menyiarkan berita tersebut adalah berniat jahat dan cuba memburuk-burukkan PAS dan PKR khususnya di Bukit Piatu dan Parlimen Bukit Katil.

"Kita menyelidik berita tersebut sebelum menyiarkannya kepada umum, ianya memberikan impak yang besar kepada imej individu yang ditunjukkan dalam gambar tersebut," jelas Ramli. -HD

30 ahli PKR keluar parti

BANDARAYA MELAKA – Akibat kecewa kebajikan tidak dijaga, selain hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan menyebabkan 30 ahli PKR dari Ranting Bukit Piatu, di sini, bertindak keluar parti.

Tindakan itu yang diketuai Mat Said Abu turut mendakwa kecewa kerana selama tiga tahun bersama PKR, pengorbanan mereka tidak dihargai.

Mat Said yang juga bekas Ketua Ranting Bukit Piatu berkata, mereka adalah antara yang bertungkus-lumus sebagai jentera pilihan raya umum lalu tetapi malangnya jasa mereka dipandang sepi. “Aduan kepada pucuk pimpinan parti gagal menjaga kebajikan ahli juga tidak dilayan.

“Saya sudah hilang kepercayaan daripada pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi, maka keputusan keluar parti beramai-ramai diambil. Sehubungan itu Ranting Bukit Piatu juga dibubarkan,” katanya.

Menurutnya, mereka menyerahkan borang kemasukan ahli Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Melaka Mall, semalam. -SH

Saturday, October 22, 2011

7 perangai pelik Gaddafi

CARA HIDUP LUAR BIASA...selain sentiasa dikawal sehingga 40 anggota keselamatan khas terdiri daripada anak dara
TRIPOLI: Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun kini menjadi sejarah dan bakal dikenang sebagai diktator yang didakwa menaja keganasan di negara luar.

Namun, di sebalik legasi itu, Gaddafi juga akan diingat sebagai tokoh yang suka melakukan perkara pelik.

Laman sesawang ABCNews.com menyenaraikan tujuh keanehan utama yang dilakukan Gaddafi.

1. Khemah kalis peluru: Ketika berada di Tripoli, Gaddafi tinggal dalam kubu dilengkapi dengan rangkaian sistem terowong untuk menyelamatkan diri.

Apabila berkunjung ke luar negara, tokoh berdarah Badwi itu membawa bersamanya khemah untuk dipasang di tempat difikirkan sesuai.

Disebabkan set khemah kalis peluru itu terlalu berat, ia terpaksa diangkut menggunakan pesawat berasingan yang mengiringi ke mana saja Gaddafi pergi.

Untuk menghidupkan suasana padang pasir, dia juga menambat seekor dua unta di luar khemahnya.

2. Pengawal anak dara: Nampaknya pengawal ini tiada ketika mereka sangat diperlukan apabila Gaddafi ditangkap kelmarin, tetapi biasanya tokoh itu dikelilingi 40 anggota terlatih sepanjang masa.

Digelar sebagai Amazon, pengawal wanita itu dilaporkan semuanya masih dara dan mereka berikrar mempertahankannya sebelum menyertai pasukan berkenaan.

Dilatih di sebuah pusat latihan wanita, pengawal terbabit dipilih sendiri oleh Gaddafi dan mengenakan mekap, kasut but bertumit tinggi.

3. Jururawat seksi: Selama sedekad, seorang jururawat Ukraine, Galyna Kolotnytska, sering dilihat berada di sisi Gaddafi.

Digambarkan sebagai mempunyai bentuk badan mengghairahkan, Galyna didakwa seorang daripada pembantu paling dipercayai Gaddafi dan dipercayai menjalin hubungan romantik dengan diktator terbabit.

Sejumlah jururawat Ukraine turut berkhidmat untuk Gaddafi dan mereka memanggilnya dengan gelaran “papa” atau “daddy”.

4. Jatuh hati kepada Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelar bekas Setiausaha Negara AS itu sebagai “wanita kulit hitam Afrika yang dikasihi.”

Ketika Condoleezza melawat Tripoli pada 2008, Gaddafi memberikan pelbagai hadiah bernilai AS$200,000 (RM629,880), termasuk cincin.

Bagaimanapun, minatnya kepada wanita itu hanya terbongkar selepas pemberontak menawan Tripoli.

Antara barangan yang ditemui di situ, satu album mengandungi puluhan gambar Condoleezza.

5. Takut menaiki pesawat dan lif: Antara alasan Gaddafi gemar membawa bersamanya khemah jika ke tempat lain adalah kerana bimbang terpaksa menggunakan lif untuk menginap di hotel.

Melalui kabel diplomatik yang bocor, Gaddafi juga tidak suka berada di tempat tinggi dan enggan terbang lebih dari lapan jam.

Jika perlu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gaddafi akan singgah bermalam di Portugal.

Had maksimum anak tangga yang mahu dinaikinya hanyalah 35 langkah.

6. Bunga Bunga: Pada 2010, satu daripada aktiviti masa lapang Gaddafi didedahkan melalui laporan pendakwa Itali yang menyiasat salah laku Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

Menurut laporan, pelacur berusia 17 tahun yang dilanggan Berlusconi, Karima el-Magroug, mendakwa Perdana Menteri Itali itu mengaku “menggunakan formula Gaddafi” ketika mereka berfoya-foya.

7. Pakaian aneh: Ketika pemimpin negara berbaris untuk bergambar bersama, amat mudah mengenali Gaddafi kerana pemilihan pakaiannya yang berbeza daripada yang lain.

Biasanya, Gaddafi mengenakan pakaian khas yang direka hasil gabungan di antara seragam tentera yang diubah suai dengan tradisi Badwi Afrika. - ABC

Demo UIA Bantah Penggantungan Aziz Bari

Persatuan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menghantar memorandum bantahan bagi mempertahankan kebebasan bersuara pensyarah di negara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengadakan demonstrasi di perkarangan masjid UIAM sebagai membantah tindakan penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari. -Foto THE STAR oleh: AZMAN GHANI

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata kumpulan berkenaan akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri yang dijangka mengadakan lawatan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada minggu hadapan.

“Kami dimaklumkan Perdana Menteri akan melawat UIAM minggu hadapan, jadi kami bercadang untuk menyerahkan memorandum ini pada masa tersebut.

“Ini adalah satu masalah yang serius terhadap pakar akademik kita. Mereka sepatutnya diberikan kebebasan serta ruang untuk menyuarakan pendapat dalam isu kritikal serta berdebat mengenainya,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di masjid universiti berkenaan pada Jumaat.

Terdahulu, kumpulan SMM mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di perkarangan masjid UIAM menggesa pihak pentadbiran universiti menarik balik penggantungan tugas yag dikenakan terhadap pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Ahmad Syukri turut memaklumkan bahawa mereka telah menyerahkan memorandum tersebut kepada kakitangan pentadbiran universiti.

Dalam demonstrasi berkenaan empat orang pelajar telah ditahan kerana didakwa menimbulkan kekecohan.

Ahmad Syukri berkata kumpulan berkenaan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya pihak universiti masih gagal menangani masalah tersebut dengan segera.

Pada Rabu, unit undang-undang UIAM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Surat tersebut dikeluarkan ekoran daripada kenyataannya yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

Abdul Aziz diberi tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk menjawab surat berkenaan dan sepanjang tempoh tersebut beliau tidak dibenarkan memasuki perkarangan universiti berkenaan tanpa kebenaran dekan.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran tindakannya itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya dan bekas Ketua Pemuda PKR, Senator Ezam Mohd Nor turut menggesa supaya Abdul Aziz disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pada Rabu, pensyarah kanan UIAM itu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pergi ke pejabat Abdul Aziz Isnin lalu untuk merekodkan kenyataan berhubung isu yang sama. -mstar





Aziz Bari Mendirikan Rumah Di Tepi Pantai

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqQYCBHf9zVJvG9iJfcDPaXgeP7jKOu9k7lo-rAoMAB0zx7RgON2xNJDj826d-UHY-e7UIueP1mQjZL3TGOi07_BP9mMS44QtGbeR2KYgxgtowdZXjFPGhj_inRVrRBgI5f-hCTlH7ydY/s400/azizbari.jpgUNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menggantung tugas Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Abdul Aziz Bari (foto) mulai semalam. Penggantungan itu ekoran siasatan polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) terhadap penysrah kanan itu. Aziz Bari disiasat polis ekoran terdapat lima laporan polis berhubung kenyataanya yang dianggap sebagai menyentuh kedudukan sultan Selangor.

Salah seorang makhluk yang membuat laporan polis ke atas Aziz Bari ialah seorang senator dari Umno. Mudah-mudahan sempena ulang tahun sultan nanti senator itu akan dikurniakan gelaran Datuk memandangkan jasa-jasa dan bakti besarnya kepada Umno termasuk memburukkan bekas bosnya sendiri dan 'mendolor' bos barunya. Manusia seperti itulah yang mendapat sanjungan Umno.

Saya tidak mahu mengulas sebab musabab mengapa siasatan itu dibuat ke atas Aziz Bari dan apakah ianya relevan atau tidak. Umum sudah mengetahuinya serba sedikit sebab-sebabnya. Tetapi apa yang hendak saya ulas di sini ialah mengenai keberanian Aziz Bari dalam mengeluarkan suaranya berhubung bidang yang beliau arifi, iaitu perlembagaan. Juga keberaniannya dalam menyatakan sesuatu yang hak dan tidak hipokrasi seperti beberapa orang profesor kangkung menjalar lainnya.

Persoalannya apakah salah kalau Aziz Bari bercakap sesuatu dari sudut ilmu - perlembagaan yang beliau tahu? Jangan peduli apakah topik yang beliau sentuh itu sultan atau siapa? Yang penting apa yang beliau perkatakan itu kebenaran dari segi ilmunya. Islam menuntut kita memperkatakan kebenaran. Sebuah hadtih bermnaksud; katakan kebenaran itu walaupuin pahit.

Sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyat, salahkan tindakan Aziz itu? Apakah ilmu yang dipelajarinya hanya untuk dikenang semata-mata dan tidak boleh dimanfaatkan untuk umum. Sarjana yang dimilikinya bukan saja untuk membolehkan dia lulus periksa kemudian mendapat wang, tetapi mendauluatkan ilmu itu untuk kepentingan semua. Bahkah itulah matlamat sebenarnya mempergunakan ilmu untuk hidup.

Soal teguran itu menderhaka ia hanya persepsi pihak tertentu yang sudah lama membenci Aziz Bari kerana Aziz tidak pernah condong kepada bayangan politiknya dan juga membenci kepada keberanian dan kebenaran Aziz Bari. Tanggapan itu dari minda orang yang otat kemeto. Saya yakin kalau apa yang Aziz Bari cakapkan itu memberi untung kepada Umno beliau tidak dipengapa-apakan. Usahkan hendak dikenakan tindakan menggantungkan tugas, hendak siasat jauh sekali.

Sudah ada banyak contoh sebelum ini, sesiapa yang bercakap tidak menguntungkan Umno kalaupun benar dia akan dikenakan tindakan. Akan disiasat dan didatangi polis. Tetapi kalau dia bercakap menguntungkan Umno walaupun telah dipecat dari Umno tujuh kali dia akan dipuji melangit. Polis pula akan membisu untuk memanggil orang itu disiasat walaupun ada beratus laporan polis terhadapnya. Tindakan polis sebeginilah yang dianggap sebagai tidak profesional dan menjadi alat kepada Umno.

Sekitar tahun 1982 dulu hampir semua pemimpin Umno mempertikaikan kedudukan dan kuasa raja-raja Melayu. Ada raja yang diaibkan dengan mendedahkan harta dan juga skandal mereka di media massa. Tetapi anihnya tiada seorang pun yang terlibat dalam kerja mengaibkan raja-raja Melayu itu tidak dikenakan tindakan. Kenapa? Jawabnya kerana mereka Umno parti yang memerintah, bukan saja memerintah negara tetapi turut memerintah raja-raja Melayu.

Di Malaysia ini mudah saja kalau anda ingin mengkritik raja dan selamat tidak disiasat polis, masuk atau kritiklah raja-raja dari rumah Umno, nescaya anda akan selamat. Raja-raja juga tidak ada kuasa dan hak untuk mengambil tindakan ke atas orang mengaibkan mereka kerana tidak ada peruntukan undang-undang? Raja kita raja berperlembagaan. Perlembagaan pula bukan perlembagaan Malaysia tetapi perlembagaan Umno! Perlembagaan Umno pula bukan berlandas kepada tatabudi dan agama tetapi kepada nafsu pemimpin tertingginya.

Rasanya kita semua tahu akan hakikat ini. Tindakan ke atas Aziz Bari menunjukkan negara ini tidak menghormati ilmu yang ada kepada seseorang. Ilmu atau pun kebebasan dibenarkan hanya slogan sahaja. Di samping itu tindakan itu sebagai isyarat kepada yang lain. Kepada pensyarah yang cuba hendak bercakap benar dan mengkritik Umno perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku ke atas Aziz itu. Itulah tujuannya. Makanya kalau profesor yang hati 'kie' penakut akan urung ke belakang sebelas ini dan terpaksa mengajar anak muridnya menggunakan selibas Umno kembali.

Tindakan seumpama ini bukan baru berlaku, tetapi sudah lama terjadi. Orang yang cuba menegakkan kebenaran berlandaskan ilmu dan undang-undangnya akan dikenakan tindakan sekiranya ia bertentangan dengan kepentingan parti yang memerintah. Kecerdikan dan kelogikan akan mengatasi kuasa politik 'gedebe' di negara ini. Sebab itu di negara seperti Malaysia ini lebih baik jadi orang bodoh dan tolol dari jadi orang cerdik. Dalam kloni politik tidak kira Umno atau apa orang bodoh memimpin orang cerdik.

Mengenai masalah dan risiko dihadapi Aziz Bari ini, saya sudah lama menaruh kebimbangan. Saya sudah fikir dengan ketelusan dan keberanian beliau mentafsir sesuatu yang berlaku di dalam negara ini berdasarkan ilmunya tanpa 'perdamian', lama kelamaan beliau akan berhadapan dengan masalah. Kerajaan ini mana boleh menerima sesuatu yang benar dan hak.

Apabila beliau disiasat polis kemudian dikenakan tindakan tunjuk sebab oleh majikannya, apa yang saya bimbangkan sudah menjadi kenyataan. Tetapi tidak mengapa Aziz... mungkin ada pihak yang bergembira dengan tindakan itu walaupun natijah ia membodohkan diri sendiri, tetapi ada segolongan rakyat akan bersama anda. Saya sendiri sudah melalui apa yang baru terjadi ke atas Aziz Bari itu.

Mereka yang sihat otak berpegang kepada prinsip ilmu dan kebebasan bersuara akan menyanjungi apa yang Aziz lakukan. Pembawa kebenaran adalah Aziz. Keberanian ialah menyuarakan apa yang difikirkna betul berlandaskan ilmunya tanpa gayut kepada tekanan dan ugutan. Aziz dalam erti kata lain seorang pratikal, kerana dia mengamalkan ilmu yang ada kepadanya. Orang yang ikhlas, berani dan jujur beginilah pemimpin sebenarnya. Aziz juga bererti berani.

Kepada Aziz beliau jangan risau dan sedialah menerima apa sahaja hukuman. Umno berkuasa ke atas segala-galanya. Jalan terbaik bagi Aziz ialah turun ke gelanggang. Kalau kampus tidak membenarkan dan cuba memotong lidahnya dari menyatakan kebenaran beliau boleh tukar gelanggang. Terjunlah ke gelanggang siasah. Bukan pula bermakna bila terjun ke gelanggang siasah beliau terlepas dari menghadapu ujian. Siasah lagi banyak dan mencabar ujiannya.

Waktu ini adalah terbaik untuk Aziz memulakan gelanggang baru. Sementara UIA mengantung tugasnya, Aziz boleh menjelajah ke seluruh negara untuk memperkatakan kebenaran. Masa yang diberikan ini gunalah seluas mungkin untuk mempraktrik langkah baru dalam medan juang baru.

Saya tidak fikir orang seperti Aziz yang simple dan tawaduk, memikirkan soal wang. Beliau lebih memikirkan kebenarannya. Orang seperti beliau merasa bersalah kalau dia tidak mempraktikan ilmu yang ada kepadanya. Kalau beliau memikirkan soal wang pasti beliau akan menjejaki beberapa orang pensyarah universiti yang menjadi majikan beliau itu yang kini senang lenang dan kaya raya menurut kamus materialistik.

Sebenarnya orang macam Aziz Bari tidak ramai. Di universiti di kalangan pensyarah dan tenaga akademi hanya beberapa orang saja. Ada yang cuba melawan Umno tetapi bila umno menawarkan kerusi usang mereka kembali berpaling menjadi alat bukan penentang lagi. Mungkin ada mengatakan Aziz bodoh kerana tidak sedia untuk memutarkan lidah dan melacurkan ilmunya tetapi rakyat nun jauh di kampung merasa bertuah kerana memiliki seorang Aziz. Aziz telah menjadikan dirinya harta rakyat bukan menjadikan ilmunya mengejar kekayaan untuk dirinya.

Percaya dan yakinlah rezeki untuk hidup bukan bergantung kepada satu sumber sahaja. Allah telah memberi jaminan akan menyediakan rezeki dan kemudahan kepada mereka yang berjuang dijalan-Nya. Aziz tidak perlu gundah dan bimbang. Selagi nawaitunya betul dan hatinya ikhlas kepada Allah, Allah akan bersamanya. Kalau tidak percaya cubalah Aziz bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya akan datang, beliau tentu akan disokong rakyat. Sokongan rakyat itu adalah sokongan Allah kerana Allah menggerakkan hati dan kalbunya untuk berbuat begitu.

Saya mendoakana semoga Aziz tidak akan cemas dengan apa yang berlaku. Dan saya percaya Aziz sudah pun bersedia untuk berdepan dengan angin dan ombak, kalau tidak masakan dia berumah di tepi pantai; mendokong perjuangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat samalah dengan pelaut yang berani mendirikan rumah di tepi laut.

Oleh Mohd Sayuti Omar

Sindiket Pelacuran Guna Facebook Cari Pelanggan

Laman sosial popular, Facebook bukan sekadar menjadi kegemaran sesetengah penggunanya untuk berkomunikasi secara canggih tetapi disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Terbaru dapat dikesan, Facebook digunakan untuk membuat tempahan pelacur. Malaysia No 1 Call Girl Service . 3C Agent 012959****, antara alamat dalam laman itu yang dikenalpasti sebagai medium untuk melanggan gadis negara luar antaranya dari China, Thailand dan Indonesia.

Setakat jam 7 petang semalam, laman tersebut ditanda ‘like’ oleh seramai 2,080 individu.

Perkhidmatan ditawarkan hanya di sekitar Lembah Klang seperti entri terbaru pemiliknya iaitu 3C Agent, kira-kira jam 5.15 petang; “Sila ambil Perhatian . Customer . Service 3C hanya Di KUALA LUMPUR . Negeri Lain Tak Ada . Jangan Telephone Tanya Lagi. Memang Tak Ada di Negeri Lain. Tolong Berkerjasama.”

Hanya dengan tiga cara mudah, pelanggan perlu mencari hotel, menghubungi 3C Agent di talian tertera, memaklumkan jenis gadis dan membuat pembayaran sebelum perkhidmatan seks dilakukan.

Bagaimanapun, ketika Sinar Harian cuba menggunakan talian itu, didapati ia gagal dihubungi.

3C Agent melalui komen balas di laman tersebut berkata; “Customer Terlalu Ramai ini Bulan . Kadang kala tak sempat Angkat telepon Customer. sila memahami. Minta Maaf . SMS boleh diterima.”

Laman tersebut juga memaparkan harga ditawarkan bagi setiap gadis yang dilanggan iaitu dari RM 180 hingga RM700 mengikut jam selain gambar wanita dipercayai pelacur turut diletakkan untuk menarik minat pelanggan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyedari kewujudan laman terbabit di Facebook yang berkemungkinan berpangkalan di dalam mahupun luar negara.

:Katanya, PDRM sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan kegiatan tersebut tidak terus meluas.

“Setakat ini tiada lagi tangkapan dibuat terhadap individu yang menawarkan perkhidmatan seks di Internet.

Friday, October 21, 2011

Seminar PBS Tanda PRU Di Ambang Pintu

NAMPAKNYA PRU13 kini semakin hampir sampai ke penghujungnya kerana Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan bertandang ke Tenom dan dijangka akan merasmikan seminar sehari suntuk pemantapan parti itu khusus untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan juga cawangan-cawangan PBS bagi kawasan N.35 Melalap pada 23 Oktober 2011 kira-kira jam 8 pagi bertempat di Hotel Perkasa Tenom.

Demikian dinyatakan Pengerusi Penganjur bersama seminar itu yang juga Ketua Wanita PBS Melalap Rosnah Ullap, dalam satu kenyataan yang menyatakan matlamat seminar adalah untuk mengkaji sejauh manakah persiapan parti itu di Tenom ketika ini; selain menggerakkan jentera parti yang telah ditubuh sebelum ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya umum kali ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Seminar yang dianjurkan bersama sayap wanita dan pemuda itu akan dihadiri kira-kira 250 orang akan mendengar taklimat dua penceramah khas yang diundang dari PBS Pusat terdiri daripada Setiausaha Agung PBS, Datuk Henrynus Amin dan Exco Pergerakan Wanita PBS Pusat, Datin Malianah Ugau.

Rosnah berkata, seminar yang bertema ‘Kearah Mentransformasi Minda’ dijangka akan memberikan suntikan baru dari segi informasi terkini kepada para hadirin dalam usaha memperkasakan parti itu agar mampu mematahkan isu-isu hangat yang bakal dilemparkan pembangkang ketika menjelangnya pilihanraya umum kali ke-13 akan datang ini.

Jelasnya lagi, semua jentera di peringkat akar umbi juga turut memainkan peranan yang penting sebelum PRU13 untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan BN termasuk dasar dan tujuan ‘Economic Transformation Programme (ETC) yang dijangka akan dikupas semasa seminar itu kelak.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBS yang baru terpilih, Mollin Haji Morris ketika diminta pandangan beliau pada PRU13 akan datang ini beliau menjelaskan, bahawa PRU13 kali ini merupakan satu-satunya cabaran pertama bagi beliau menghadapinya selepas terpilih sebagai Ketua Pemuda PBS.

Namun begitu tegasnya, Pemuda PBS sudah bersedia untuk turun ke gelanggang pada bila-bila masa dari sekarang untuk menggarap tugas penting yang tersandar di bahu pergerakan itu, tanpa rasa gementar ketika berhadapan dengan pembangkang yang beliau sifatkan suatu perkara yang bukan mudah baginya.

“Apa yang penting calon-calon yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 dapat mengekalkan kerusi mereka, terutamanya kerusi DUN Melalap yang diwakili PBS. Kami akan berganding bahu bersama parti-parti komponen BN yang lain untuk mempastikan kemenangan BN di kawasan dua DUN dan satu MP,” tegas Mollin.

Oleh: MEDIA PBS TENOM (sabahkini)

KJ Humiliate A Child

WHAT Khairy has said and done publicly to humiliate a child is not acceptable to me as a Barisan Nasional member and child rights activist.

The identity of Lim Guan Eng’s son should be protected by the Child Act even if there was any wrongdoing. Anyone who exposes a child like that in the media should be brought before the full force of the law.

It has far reaching psychological repercussions and if anything happens to that child in consequence, those who humiliated him should be answerable.

The vulgar expressions and street vernacular used by a political leader clearly shows that this time standards are significantly lowered. This is not a national laughing matter.

As a child rights activist, I am disgusted by this and as a young Barisan Nasional person I believe we should show greater class instead of lowering ourselves to this level just to be even with our political opponents. It is arrogant and revolting.

By : NILAKRISNA JAMES (sabahkini)