Wednesday, May 21, 2008

Mukhriz setia pada UMNO

Sumber : SabahKita

mukhriz.jpgKUALA LUMPUR: "Saya akan tetap setia sebagai ahli Umno dan akan menjadi suara yang lantang menegur kepincangan kepimpinan parti".

Demikian pendirian Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir selepas lebih 24 jam ayahnya memutuskan untuk keluar Umno.

Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno bagaimanapun sependapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad - terus mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sipaya meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Mukhriz mengumumkan pendiriannya di Hotel Seri Pacific di sini kira-kira pukul 5.30 petang dengan dikerumuni sebahagian penyokongnya.

Laporan wartawan mStar Online, Zanariah Abd. Mutalib dari Parlimen menyebut, malam tadi (Isnin) Mukhriz telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di kediaman Hishammuddin.

Mukhriz mengumumkan pendiriannya kira-kira tiga jam selepas Abdullah menemui ahli-ahli Parlimen daripada Umno di Parlimen.

Beliau yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Disember ini pernah menggesa Abdullah agar meletakkan jawatannya ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dan Umno gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menggesa Mukhriz tampil menjadi orang pertama menerima tawaran bapanya untuk keluar Umno.

Sejak Dr. Mahathir mengumumkan keputusannya semalam, Mukhriz dikatakan bakal mengikut jejak ayahnya untuk keluar parti.

Semalam, bekas Dr. Mahathir telah membuat pengumuman keluar parti dan tindakan beliau telah memberi reaksi pelbagai pihak di seluruh negara.

Beliau menyeru ahli-ahli Umno lain turut menyertainya sehinggalah ada perubahan dalam pimpinan parti.

Sehingga petang ini tiada pengumuman mana-mana ahli yang lain akan keluar parti.

Termasuk Dr. Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung, Tan Sri Sanusi Junid juga memutuskan untuk keluar parti.

Mengulas lanjut mengenai pendirian untuk kekal dalam Umno, Mukhriz berkata, beliau tidak berbincang dengan Dr. Mahathir mengenai keputusannya tetapi mengakui bapanya sedikit kecewa dengan keputusan beliau.

"Bagaimanapun matlamat utama kami adalah sama iaitu untuk selamatkan parti," kata beliau.

Ditanya sama ada beliau ada memujuk Dr. Mahathir supaya kekal dalam Umno, Mukhriz memberitahu, bekas Perdana Menteri itu tidak akan berbuat demikian kerana tahu bapanya tidak mungkin menukar keputusannya.

Apabila disoal sama ada tindakan bapanya akan mengakibatkan Umno porak peranda, Mukhriz menjelaskan: "Bagi saya Umno kita sudah porak peranda."

Selepas pilihan raya umum ke-12, Mukhriz juga telah menulis sepucuk surat untuk Abdullah mendesak beliau untuk bertanggungjawab atas kesuraman prestasi BN, namun ia disangkalnya.

Terdahulu, April lalu beliau menegaskan jika berlaku perubahan kepimpinan secepat mungkin akan dapat mengelakkan timbulnya ketegangan semasa pertandingan tahunan Umno Disember ini.

Menurutnya, sebarang pertandingan tersebut bakal menimbulkan keretekan dalam parti, dan beliau menyeru Abdullah supaya menyerahkan tampuk pemerintahan untuk timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.