Thursday, May 15, 2008

Roboh Rumah Setinggan

wb_01_2.jpgKOTA KINABALU 14 Mei - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyasarkan kira-kira 4,000 lagi rumah setinggan di bandar raya itu akan dikurangkan pada tahun ini bagi meningkatkan imej dan tahap kebersihannya.

Pengarah Penguat Kuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti lebih 30 kawasan yang menjadi penempatan setinggan iaitu di Likas, Inanam, Tuaran dan Menggatal.

Menurutnya, kebanyakan penempatan setinggan di situ adalah yang baru dibina dan majoriti penghuninya diduduki oleh warga asing terutama yang memegang dokumen IMM13.

''Berikutan itu operasi meroboh akan diperhebatkan terutama di kawasan penempatan setinggan baru bagi mengelak bertambahnya bilangan rumah haram selepas operasi meroboh dijalankan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi setinggan lama dan yang dibina sebelum tahun 2003, katanya, kerja-kerja meroboh akan dilakukan secara berperingkat iaitu selepas penduduknya berpindah ke penempatan baru yang disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya dan beberapa siri operasi meroboh setinggan yang dijalankan sebelum ini, Jabatan Penguat Kuasa DBKK mendapati kebanyakan penghuni setinggan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala sebahagiannya pula memiliki IMM13.

Tambahnya, operasi meroboh rumah setinggan dijalankan secara berterusan dengan bantuan unit-unit lain seperti Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dan polis mengikut Undang-Undang Kecil (Bangunan) Bandaraya Kota Kinabalu 1951.

"Operasi meroboh setinggan paling besar yang kita telah jalankan sebelum ini ialah pada tahun lalu melibatkan 638 buah rumah di kawasan Sri Tanjung iaitu melibatkan pembesaran lapangan terbang.

"Ia dijalankan secara berperingkat selama tiga minggu sementara menanti penghuni di situ dipindahkan ke kawasan perumahan yang telah disediakan kepada mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, DBKK mempunyai perancangan sendiri untuk mencapai matlamat setinggan sifar.

Namun, jelasnya, semua pihak terutama pemimpin masyarakat perlu bersatu hati dan memberi sepenuh kerjasama dengan DBKK bagi menjayakan misi itu.

Beliau berkata, dengan pengurangan rumah setinggan itu ia sekali gus diharap dapat mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing ke Sabah khususnya di Kota Kinabalu

Sumber : SabahKita , Utusan

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.