Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan tingkah laku sebilangan remaja perempuan Islam yang dipeluk artis pujaan mereka dalam satu konsert minggu lalu sebagai satu agenda menghancurkan pegangan agama Islam.
Khatib melalui khutbah Jumaat hari ini berkata, umat Islam boleh dibinasakan dengan pelbagai cara, antaranya penyelewengan akidah, pencemaran akhlak dan budaya dari Timur ataupun Barat.
“Dalam suasana keperitan dan kehibaan saudara kita di beberapa negeri yang ditimpa musibah banjir, kita dikejutkan dengan aksi dan penglibatan segelintir remaja masa kini dalam program hiburan melampaui batas nilai-nilai agama yang didatangkan dari luar negara.
“Mereka begitu fanatik dan sanggup memuja bahkan memeluk idola pujaan mereka di khalayak ramai. Kita mungkin tidak menyedari akan muslihat atau agenda yang dibawa akhlak dan budaya di sebalik hiburan tersebut.
“Mimbar ingin menyatakan inilah satu proses untuk melemahkan nilai dan jati diri umat Islam serta menghancurkan pegangan ajaran agama Islam yang sebenar,” katanya dalam khutbah hari ini yang bertajuk “Transformasi Diri”.
Jakim berkata, pencemaran akhlak dan budaya dengan memuja budaya popular tersebut disebarkan melalui media massa, Internet, buku dan majalah, selain melalui propaganda dan ideologi.
Katanya, bagi mereka yang cetek pemikiran akan menganggap ia sekadar hiburan semata-mata tetapi jika dikaji dengan mendalam, nilai, adab dan moral budaya itu akan dapat ditemukan.
“Kejadian yang berlaku ini merupakan satu perbuatan maksiat yang serius dan berbahaya kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
“Justeru, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab bagi memastikan nilai budaya Islam terpelihara dan terjaga dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.
“Kita perlu mengamalkan kaedah pengurusan krisis yang lebih cekap dengan bertindak menghapuskan masalah sebelum masalah itu merebak menjadi barah kepada masyarakat,” katanya.
Konsert artis kumpulan K-Pop, B1A4 dari Korea Selatan minggu lalu mencetuskan kontroversi di laman sosial apabila terdapat adegan peluk dan cium di dahi oleh tiga ahli kumpulan itu bersama tiga gadis Melayu.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan daripada masyarakat Islam terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang melabelkan hiburan K-Pop merosakkan akidah remaja Islam dan ada kaitan dengan agenda Kristianisasi.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan akan memohon waran tangkap sekiranya gadis Melayu yang didakwa "dicabul" artis K-Pop itu masih tidak menyerahkan diri secara sukarela bagi membantu siasatan.
Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, kes itu akan dibawa ke mahkamah dan sekiranya dapati bersalah, gadis Melayu itu perlu menghadiri sesi kaunseling bersama Jawi.
Beliau memberikan tempoh seminggu kepada gadis terbabit untuk menyerahkan diri atau waran tangkap dikeluarkan.
Paimuzi pada Isnin dilaporkan berkata, bahagian penguatkuasaan Jawi sudah membuka kertas siasatan kes mengikut Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Tekanan turut diberikan NGO kepada penganjur konsert yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan kepada TGM Events.
TGM Events dalam kenyataan rasmi melalui laman sosial Facebook kemudian meminta maaf atas insiden itu dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam perkara membabitkan soal budaya dan agama ketika interaksi antara peminat dan artis pada masa akan datang.
Penganjur bagaimanapun memberi jaminan tidak akan mendedahkan maklumat peminat yang terlibat dan melindungi privasi mereka termasuk aspek fizikal dan psikologi.
"Sebagai syarikat yang sebahagian besarnya diusahakan oleh wanita, kami tidak sekali-kali membenarkan perlakuan cabul atau gangguan seksual seperti yang digembar-gemburkan media," kata penganjur tersebut. -tmi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.