Friday, January 16, 2015

Siapa dalangi serangan ke atas Dr M, Daim?'

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, cakap-cakap mengenai seorang individu yang didakwa memimpin kempen propaganda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

Beliau mempersoalkan sekiranya individu tersebut ada kaitan dengan siri serangan baru ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan oleh penulis blog pro-Najib dan juga media yang berhubung kait dengan Umno.

A Kadir membangkitkan perkara itu di blog kadirjasin.blogspot.com dengan merujuk kepada satu mesej teks yang diterimanya daripada seorang editor akhbar arus perdana yang bertanya mengenai individu tersebut.

“Siapa dia orang bernama H_____ R____ yang dikatakan terlalu rapat dengan PM dan berupaya memberitahu kepala-kepala Media Prima dan Utusan yang apa perlu dispin?,” kata editor tersebut, seperti yang diterbitkan semula oleh Kadir.

Katanya, beliau tidak berani menerbitkan semula nama individu tersebut dan dakwaan kaitan dengan Najib memandangkan maklumat mengenainya belum disahkan.

“Pertanyaan saya mengenai perkara yang dikemukakan kepada dua sumber PMO (Pejabat Perdana Menteri) juga masih belum dijawab,” kata Kadir.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu juga menimbulkan andaian bahawa individu yang dimaksudkannya itu mungkin mencaturi serangan sama ke atas bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“(Serangan) tersebut terlalu sistematik untuk dikatakan sebagai kerja wartawan atau editor yang mengejar berita. Ia dilihat sebagai satu usaha bersepadu dan didalangi oleh seseorang di luar (lingkaran) media,” kata Kadir.

Menurut Kadir, serangan itu bermula sebaik selepas satu pertemuan di antara Najib dan Mahathir di kediaman bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan pada 13 Disember lalu.

“Mereka bercakap mengenai beberapa isu termasuk 1MDB yang mana PM merupakan penasihatnya. Menurut sumber, PM tergugat dengan perbincangan mengenai syarikat tersebut.

“Anehnya, serangan ke atas Dr Mahathir oleh penulis blog pro-PM dan media arus perdana yang berkait dengan Umno bermula tidak lama selepas pertemuan tersebut,” katanya.

Kadir berkata, serangan itu antara lainnya mendakwa Mahathir menekan Najib untuk menjalankan semula projek “jambatan bengkok” menghubungkan Malaysia dan Singapura demi memuaskan hati bekas PM tersebut.

“Saya tidak pasti jika serangan ke atas Dr Mahathir dan Daim adalah kerja penasihat baru PM yang misteri ini, atau usaha bersepadu oleh seluruh jentera propaganda pro-PM untuk menggilap imejnya dengan memburuk-burukkan pengkritiknya.

“Apa yang saya lebih yakin, barisan pertempuran di antara PM dan pengkritiknya mungkin sudah diatur,” katanya lagi.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.